Thursday, February 7, 2013

YANG PENTING BERSIH DAN HALAL

Assalamualaikum...
 
Setiap kali saya pulang ke Sandakan, daerah kelahiran saya ini, satu yang mesti saya lakukan ialah menikmati makanan laut di salah satu deretan kedai makan yang terletak di tingkat dua di dalam bangunan Pasar Umum Sandakan ini.
Sesetengah orang apabila taraf kehidupannya berubah daripada seorang anak kampung kepada anak bandar, setelah belajar di universiti dan mendapat kerja yang bergaji lumayan... dia merasa jijik, geli untuk masuk pasar, padahal sebelumnya seringkali masuk ke sini kerana makanannya murah.
 
Bukan hendak memuji diri sendiri, tapi Alhamdulillah saya masih seperti dahulu tetap masuk ke pasar untuk membeli lauk pauk segar. Sekarang pun di daerah Klang ini, setiap hujung minggu saya dan suami akan shopping lauk pauk di Pasar Besar, Klang, Meru.
 
Kedai yang saya selalu pergi itu berdasarkan kepada pengamatan saya... pemilik dan pekerjanya berbangsa Bugis. Saya suka ke situ kerana masakannya fresh, dimasak untuk hari itu juga, bukannya masakan sehari sebelum yang dipanaskan. Menu nasi campur atau nasi kuning menjadi pilihan saya dilawan dengan lauk udang galah, sotong dan sayur-sayuran, dilengkapkan lagi dengan sedikit sambal belacan dan sup kosong panas.
 
Kita dapat melihat pekerjanya memasak makanan kerana dapur dengan tempat menghidangkan makanan sebesar lebih kurang standard bilik tidur bersaiz sederhana. Tidak timbul keraguan makanan itu disediakan bersih atau sebaliknya. Saya pernah ke kedai makan kegemaran ini seawal pagi, ketika itu saya melihat deretan jenis sayur yang sudah siap dipotong sedia untuk dimasak, begitu juga dengan lauk pauknya. 
 
Pekerjanya juga ramah, memakai tudung kepala dan apron. Jadi ini bermakna salah satu aspek penting dalam penyediaan makanan sudah dipatuhi. Bayangkan kalau tukang masak membiarkan rambutnya terhurai begitu sahaja atau kuku panjang, merokok... hilang selera makan kita dibuatnya.
 
Insya Allah semoga panjang umur dimurahkan rezeki balik nanti saya akan ambil gambar makanan di kedai kegemaran saya ini.
 
Gambar-gambar di bawah berkenaan dengan Pasar Umum Sandakan yang berwajah baharu menggantikan yang lama.
 










Entah siapa punya idea... dan saya percaya tidak ada yang jujur sepenuhnya sebaik sahaja terbaca notis ini. Malah secara peribadi, saya berpendapat tak payah letak notis yang mengelirukan ini. Setakat caj buang air dan tisu atau tuala wanita kira berbaloi jugalah.
 
 

Bayaran untuk air besar dan air kecil. Berbanding di sini di The Store, Klang misalnya, hanya caj buang air dan tisu sahaja dikenakan.


Berbaju biru dan berpeluk tubuh itu suami saya, dia sedang melihat lori mixer berdekatan bangunan yang sedang dalam pembinaan. Atap oren memanjang itu sebenarnya lif. Satu-satunya lif yang terdapat di Pasar Umum Sandakan. Tak tinggi manapun bangunan ini, cuma kemudahan ini berbaloi kepada warga tua, peniaga yang membawa turun naik barangan jualan mereka.
 


Jalan masuk ke pasar menuju ke ruangan parkir.
 
love,
monalizahrais 

No comments:

Post a Comment