Wednesday, December 27, 2017

2017 (SUMMARY)

Assalamualaikum…

Cuaca di luar rumah mendung, cuaca di dalam hati cerah. Rindunya hendak tulis begini ~ ‘bab cuaca’ tu, agak lama meninggalkan blog bersawang berhabuk, banyak cerita tersimpan terperap begitu saja di fail laptop… dah siap tulis cuma belum upload di blog.
Hari ini bertarikh 27 Disember 2017, bersamaan Rabu, saya ringkaskan kisah kami sepanjang 2017 ini. Berbaki kurang seminggu memasuki tahun 2018… kalau dah masuk 2018 baru nak tulis benda-benda dari 2017 rasa macam kurang fresh pula.

@Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Haji@

Kedua-dua raya kami di Klang, Selangor. Atas sebab tertentu yang tidak dapat dielakkan… kami terpaksa beraya di sini. Beberapa hari menghampiri hujung bulan puasa… tiba-tiba suami cadangkan kami turun KL pergi tengok Tugu Negara. Pergi sana waktu Hari Raya pertama. Kata encik suami, selama dia duduk Malaya dia tak pernah jejak kaki ke sana lagi, kurang sikit sedih sebab tak dapat balik beraya.

Kami pun pergilah ke Tugu Negara, dari KL Sentral kami ambik teksi, RM 15 sehala, perjalanan lancar, nasib baik kami pergi awal puas bergambar. Menjelang tengah hari, ada banyak kumpulan pelancong yang datang ke sini, sampai tahap nak bergambar kena ikut giliran. Selesai di Tugu Negara… ambil teksi sekali lagi drop dekat Dataran Merdeka, seterusnya kami bergambar lagi, jalan-jalan, makan-makan. Plan asal kami naik LRT saja menuju KL Sentral seterusnya ambik komuter menuju Klang.

Realitinya? KL dan pekerja asing Bangladesh, Myanmar, Nepal berpisah tiada kalau dah cuti umum. Tambah-tambah lagi waktu perayaan…hmm…melihat mereka memenuhi segenap segi pelosok Kuala Lumpur (dalam cerita ini Pasar Seni dan sekitarnya) rasa menyesal pula turun KL, sesak padat nak bergerak pun susah. Akhirnya kami cari teksi lagi menuju KL Sentral, RM 10 sehala.

So, kesimpulannya… kalau dah hari raya tu cuba sedaya upaya untuk balik kampung, kecuali ada kekangan yang tak dapat dielakkan.


@Azam 2017@

Soalan untuk diri sendiri, ‘apa citar’ azam 2017 tu? Langsai tak langsai? Atau kena sambung bawa ke hadapan 2018? Aduh duh duh pedih rasa… ada yang kena sambung 2018, tak apa, yang penting FOKUS. Teruskan berazam dan teruskan usaha merealisasikan azam kita tu. Sebenarnya azam saya bukannya luar biasa sangat pun…lebih kurang sama dengan azam orang lain, tapi hendak ditulis di sini rasanya kurang sesuai pula.

@Balik kampung 2017@

Saya sangka sebab tak dapat balik beraya kedua-dua raya puasa dan haji…mungkin tahun 2017 ini memang tak jejak kaki ke Sabah. Tapi itulah, siapa kita hendak menduga kejadian pada masa hadapan. Ingat lagi tak tahun sudah 2016 saya balik kampung berbulan lamanya atas urusan rumah kami? Sangkaan saya semuanya ok, no problem bilang orang puteh, baik-baik belaka gitu.

Rupa-rupanya… individu yang kami amanahkan sebagai wakil membayar sewa rumah kami, entah apa masalah dia sebenarnya, bayaran rumah kami ditangguhkan begitu saja. Duit kami dah kirim tapi tak dibayar ke majlis. Macam-macam alasan, ayat-ayat ‘back up’ diberi. Bertembung pula dengan pelarasan akaun dari pihak majlis perbandaran yang memerlukan kehadiran tuan rumah…akhirnya saya tergesa-gesa balik kampung halaman.

 Itu ini begitu begini… makan masa lebih kurang dua bulan saya balik Sandakan 18/09/2017 sampai tarikh 15/11/2017. Malas mau cerita panjang-panjang bimbang ter…laser tercakap yang jahat-jahat tapi untuk ingatan kita bersama…amanah dan tanggungjawab dalam setiap apa yang kita lakukan, mudahkan urusan orang lain, InsyaAllah urusan kita dipermudahkan. Marah memang marah tapi biarlah…Allah  Maha Adil, biarlah Allah membalasnya, yang penting kami tidak menyusahkan orang lain, kami usaha untuk kesenangan kami suami isteri di masa hadapan. Zaman sekarang agak mencabar mencari orang yang amanah, jujur dan ikhlas…lagi-lagi melibatkan urusan wang ringgit.

@Happy Birthday!@

Bukan budaya dalam keluarga kami ucapan birthday kek tiup lilin bagai tu. Tapi kita dah join facebook, rakan-rakan fb kita akan tahu birthday kita sekian-sekian haribulan, ada yang ucap, so kita terima sajalah. Menariknya birthday saya 26 Mei pada tahun 2017 ini sehari sebelum bulan puasa, iaitu sehari sebelum 1 Ramadhan. Mengingatkan saya momen mula-mula berblog tujuh tahun lepas…sehari sebelum bulan puasa masa tu, Jun 2011.


@Dengarlah Ceritaku@

Saya mula berblog Jun 2011 seperti yang saya nyatakan dalam poin di atas. Setiap kali menghampiri tahun baru, hujung tahun… saya selalunya blur memikirkan display, heading, theme dan yang segelas dengannya, tentang blog ini. Untuk tahun 2018, saya masih belum menetapkan sebarang tema mencantikkan, ‘renovation’ blog. ‘Dengarlah Ceritaku’ itu asalnya dari perkataan ‘Mari Bercerita’ atau ‘Cerita Saya’ atau ‘Aku Bercerita’  tapi setelah ditolak campur bahagi darab akhirnya saya memilih ‘Dengarlah Ceritaku’, rasa macam sedap sikit didengar dan agak unik. Lama kelamaan, bertahun berlalu saya terjumpa satu novel bertajuk Aku Bercerita penulisnya RAM. Masa itu saya terfikir rupa-rupanya perkataan Aku Bercerita itu ‘wujud’. Nasib baik tak letak jadi heading blog.

Kemudiannya saya cuba berfikir terbalik ‘Dengarlah Ceritaku’ dari sisi negatif mungkin seakan luahan emosi terpendam yang orang lain tidak tahu, tidak mengetahui apa yang saya pendam, rahsiakan. Sebenarnya dalam kebanyakan tulisan saya di blog ini… ianya bahagian diri saya, sisi saya yang lain, keluarga dan rakan-rakan tak tahu. Malah kalau saya bercerita kepada mereka… mungkin mereka akan menyangka saya bergurau.

Baru-baru ini sewaktu saya balik kampung… kebetulan saya dan adik bercerita tentang sekolah/kolej/university yang menawarkan pengajian seni. Saya berkongsi cerita yang saya tahu, sambil sempat bercerita tentang kursus Seni Persembahan (Drama) atau senang sebut Teater yang saya ikuti sewaktu zaman belajar di UM 2000 – 2004.
Reaksi adik saya? Dia semacam hairan, menyangka saya sekadar bergurau. 

Sememangnya keluarga hanya tahu saya belajar ‘kebudayaan’ sebab itulah yang saya beritahu mereka. Ditambah lagi buat masa sekarang saya ‘jauh’ dari aktiviti teater… siapa mau percaya kan? Sah-sah kita disangka bergurau. Alangkan suami saya pun buat muka pelik setiap kali saya sebut teater, inikan pula orang lain.

Sentiasa berharap blog ini menjadi medium pembacaan orang lain yang mungkin akan ada manfaatnya, tak dapat banyak, sedikit pun sudah cukup baik. Yang baik-baik dijadikan teladan, yang tak baik cepat-cepat buat sempadan. Seronok menulis, dan dalam masa yang sama saya kena beringat, niat menulis tu bukan kondem hentam marah maki hamun pihak lain. Saya ini bukannya orang terkenal, orang biasa-biasa saja, sekadar berblog melayan pendapat sendiri tentang isu-isu yang berlegar di sekeliling kita. Masing-masing punya fikiran dan pendapat.  

‘Usia’ blog saya +- 7 tahun, kalau budak sekolah dah masuk darjah satu. Semoga tahap tulisan saya lebih baik pada hari-hari mendatang, lebih matang, mantap dan sentiasa malar segar (amboi malar segar kau, bukan alang-alang).


@Graduation Day@

Julai 2017 adik saya konvo, yang datang adik dan emak. Hari graduasi… saya, suami, emak, adik Not memeriahkan majlis adik Amin saya di ILP, KL. Majlis berjalan lancar – gambar family, terima skrol, cari hotel, shopping sikit-sikit. Sekejap saja adik Amin dan emak di sini hanya 4 hari, datangnya Sabtu baliknya Rabu, atas kekangan kerja. Walaupun sekejap, yang penting momen manis itu, bukan selalu emak dapat datang ke sini.

Dan lain-lain berjalan seperti biasa, buat rutin harian, rasanya summary 2017 setakat ini saja. “Tidak semua cerita perlu diceritakan” – pinjam sekejap petikan dialog dari filem Tombiruo ini.


love,
monalizahrais
Klang, Selangor
27 Disember 2017
Rabu