Saturday, October 24, 2015

TIADA TAJUK

Assalamualaikum...
Di luar rumah jerebu, dalam hati jerebu tak? Semalam baru tengok Bajet 2016, agak-agak jerebu tak rasa? 
Petang ini tajuk cerita - tiada tajuk. Reason? Disengajakan tiada tajuk, cuma tulis apa yang terlintas di kepala. Buat warming up dulu, sudah lama tidak tulis cerita baru di blog. Tahun ini 2015 - baru 6 entri aduiii... sibuk sangatkah?

Satu - cerita nasi bujang.
Di facebook saya terbaca nasi bujang. Katanya cara-cara nak jimat untuk student senang saja. Lunch RM2, petang -tidur. Malam RM2, so total RM4 sehari. Bermacam komen lucu dapat dibaca sebaik ianya viral.
Mengimbas, zaman saya bergelar student UM dan duduk menyewa di luar - saya beli barang dapur dan masak sendiri. Sekitar tahun 2001-2004. Saya duduk Vista Angkasa, tingkat 14, Blok 8. Sewa sebulan RM1200. Duduk 10 orang, bil api + bil air + sewa rumah kami sepakat seorang RM150 setiap bulan. Deposit kami mula-mula duduk situ RM 3000.

Selalunya RM150 itu berbaki purata RM5 -RM10 seorang, cukup untuk keperluan rumah sewa kami - penyapu, mop, sabun cuci pinggan, sabun untuk bersihkan bilik air, plastik sampah.
Setiap hujung minggu kami cari kerja part time di Mid Valley. Tambang sehala RM 0.50, sehari cuma seringgit
Seronok dan rindu mengimbas kisah lalu. 
Pasar malam setiap Jumaat dan Isnin. Tapak pasar malam berdekatan Flat PKNS 17 tingkat, seberang jalan Vista Angkasa. Deretan warung pun sudah tiada, berganti laluan beratap + banyak tempat duduk sambil tunggu bas kat situ sekarang).
Sekarang tapak pasar malam itu sudah tiada, flat yang berdekatan dengan Flat PKNS itu juga sudah dirobohkan diganti bangunan yang sedang dalam pembinaan, setelah siap nanti bersebelahan laluan antara LRT stesen Universiti ke stesen Kerinchi. 

Kalau saya tak silap ada signboard besar kat tepi jalan tu - KL gateway. Info lanjut just taip KL Gateway (Kerinchi Redevelopments) I Kuala Lumpur (Kerinchi). 

Saya hanya ingin mengimbas kisah lalu. Sebelum berdirinya bangunan megah itu. Dari sisi pandang survival sebagai student yang menyewa di luar kampus.
Sambil diiringi rasa rindu, manisnya mengenang suka duka zaman belajar.

Ok, di pasar malam Kerinchi ketika itu (2001-2004) harga telur mengikut saiz bermula 20 sen - 30 sen. Telur harga 30 sen pun dah cukup besar gred A atau B.
Nasi ayam RM2 - ada ayam seketul + sehiris tomato + sup + kicap + sambal merah, nasi penuh. heaven tak? 

Nasi lemak SERINGGIT - telur rebus SEPARUH, timun, ikan bilis, kacang, sambal.
Nasi kerabu biru berlauk daging bakar, telur masin, solok lada,ada kerabu, sambal tumis, sambal ikan +kelapa parut berharga di bawah RM 5. Nasi kerabunya banyak, kalau kita bahagi untuk makan 2 orang, cukup kenyang perut kita. Saya syak penjual nasi kerabu tu memang sengaja melebihkan nasi sebabnya dia faham kot keadaan student yang selalu ikat perut ni (terpakai untuk student yang asal keluarga miskin saja, yang kaya tak faham sangat benda-benda begini, ops..)

Saya bawa RM10 beli lauk seminggu pun cukup. Dada ayam 2 ketul free hati ayam tak sampai RM5. Selebihnya beli sayur, telur dan ikan bilis. Tapi dalam jumlah kecik lah. Yang saya kira jika sebanyak itu saya membeli pada tahun ini 2015 - paling cikai RM20.
Ikan bilis kita request RM5 maunya 4 genggam banyaknya, ikan bilis kita tahu banyak kategori, tapi sekarang kalau request RM5  +- 2 genggam ikan bilis yang jenis gred bawah2 tu.

Beza memang berbeza. Masa tu roti canai 50 sen sekeping, kuah dadar + sambal. Dan seringgit untuk roti telur.
Segala aneka nasi goreng ayam, pataya, kampung dan yang segaris dengannya semuanya di bawah RM5. Bawang putih bawang merah dapat beli seringgit sebungkus setiap satu, banyak pula tu. Harga sayur sen-sen pun ada, 50sen, 70 sen ikut berapa cekak kita ambil yang jika sekarang paling cikai seringgit ke atas harganya.

Memang tidak wajar membandingkan harga dulu dan sekarang, sesekali mengingat masa lalu. Cuba bayangkan di masa hadapan, 10 tahun ke hadapan 2025, agaknya macam mana harga makan minum ketika itu?
Sekarang roti canai RM1.50 dan roti telur RM2.40 di kedai keling berhampiran rumah kami ini. Nescafe tarik RM2.50.
Hari ini ada pasar malam di Klang, tapi semangat ke pasar malam semakin pudar. Sebabnya banyak harga tak logik dek akal kita. Tambah lagi esok hari minggu, adalah rutin kami ke pasar besar, tunggu esok sajalah beli stok lauk seminggu purata RM50 dihabiskan, berbaloi-baloi.
Minggu lepas mendengar cerita adik saya tentang harga makanan yang kena hadap setiap hari...jauh berbeza di zaman saya belajar. Lucu tapi terjadi - kuah  kena charge sampai seringgit. Sekarang zaman belajar adik saya di City University itu jauh beza dengan zaman saya di Universiti Malaya 15 tahun lepas.

Char kuay teow, kuay teow kerang zaman saya menjadi student berharga purata RM 2-RM3, kerang banyak, udang pun banyak. Burger yang dekat LRT University itupun murah-murah juga, sesuai bajet pelajar.


Smartphone/telefon pintar.
 Mula-mula dengar monopod dan selfie di facebook, rasa pelik sangat, ada pro dan kontra di fb. Lama-lama jadi biasa, kita dah tak rasa apa. Seterusnya bermula telefon picit-picit siap taip sambil tutup mata yang nokia 3310 yang glamour tu sehingga lah sekarang touch screen sampai tak reti menulis guna pen/pensil. Minggu lepas adik saya bercerita lecturer nya sudah pakai I Watch.  Yang hologram tu, siap tunjuk bangga dalam kelas lagi, katanya.Wow! selama ini tengok dalam movie saja, tak sangka ada dalam realiti bukan. Tapi belum masuk pasaran Malaysia katanya. Cuba bayangkan kita duduk makan di fastfood restoran KFC, McD, Kenny Rogers ... makan sambil layan internet ala-ala skrin hologram. Touch screen tak main dah, sudah ketinggalan zaman. Ha! dapat bayangkan macam mana? Untuk carian buka saja youtube bertimbun video I watch, teknologi untuk masa hadapan, katanya.

Drone.
Bab drone ini saya ada keinginan untuk memilkinya di masa hadapan, InsyaAllah. Itu jer nak cakap.

Cerita tiada tajuk berhenti di sini, nanti sambung lain kali. Cerita ke Pulau Palawan, KL - Sandakan - Kota Kinabalu - Manila - Palawan (Puerto Princessa City - OringOring),  saya bercadang membuatnya dalam bentuk buku. INSYAALLAH ada rezeki terbit, Alhamdulillah. Bila? Tak tahu, sedang diusahakan, semoga dipermudahkan, amin...

love,
monalizahrais
24 Oktober 2015 Sabtu
Kapar, Selangor
 

 









Monday, August 24, 2015

KOTA KINABALU - MANILA - PUERTO PRINCESSA, PALAWAN - ORING-ORING,BROOKE'S POINT (BAB 1)

Assalamualaikum,

13 Julai 2015 - 24 Julai 2015 saya dan suami berpeluang jalan-jalan ke negara luar, Filipina. Jom dengar cerita,  pengalaman saya dan suami +- 10 hari berada di sana.
Pertama kali saya mendengar Palawan Island, lima tahun lepas. Akhirnya, siapa sangka tahun ini jejak kaki ke sana. Semuanya di luar jangkaan, saya dan suami cepat-cepat beli tiket Kota Kinabalu - Manila - Puerto Princessa, Palawan seterusnya ke  Oring-Oring, Brooke's Point.

Hendak mulakan cerita macam mana ya? Bukan main lagi idea dalam kepala melompat-lompat, semuanya tak sabar nak masuk blog, hehehe...Ok, satu demi satu, tulis ikut giliran.

*************************

13 Julai 2015 - Isnin
Kota Kinabalu International Airport (Terminal 2)

Kami sepatutnya menaiki penerbangan Airasia Z2 502 yang dijadualkan berlepas jam 11.30 pagi dan tiba di Manila jam 1.40 petang. Tapi delay lah pula, alahai, delay sehingga jam 2.30 petang baru pesawat berlepas. Kami sampai di Manila +- jam 4 petang, penerbangan kami seterusnya pada jam 5.40 petang ke Puerto Princessa, Palawan. 

Tuan-tuan dan puan-puan... meh sini saya nak cerita hal kami di airport. Disebabkan flight delay, hati kami kemain runsing, berdebar tak sudah. Maklum, kali pertama datang Filipina, tak dapat nak bayang macam mana situasi sebenar berbanding carian maklumat di rumah pakcik Google.
Sebelum itu, saya agak bimbang sebabnya melalui dapatan di internet... Ninoy Aquino International Airport ini dilabel sebagai 'the bad worst airport' di dunia. Maaf cakap, tapi saya rasa ada betulnya juga, kami sampai di Terminal 3 (NIA) khusus untuk penerbangan antarabangsa, seterusnya kami perlu ke Terminal 4 untuk penerbangan domestik - Manila ke Puerto Princessa (PPS), Palawan. Jangkaan tiba di PPS jam 7.05 petang/malam. Terminal 3 dan Terminal 4 rupa-rupanya bangunan yang berasingan, kita perlu ambik shuttle bas atau teksi.

Dari dalam flight KK ke Manila, pramugari memberi kertas survey, kertas kecik kaler kuning - pengesahan kesihatan. Agaknya ada kaitan isu MERS di Korea yang tengah hangat diwarwarkan di berita. Saya sangka kertas tu saja-saja jer, kita cuma tanda YES/NO. Dah si pramugari cakap Tagalog, bahasa dia, saya buat tak tau, memang tak faham pun, hahaaa...
Pramugari dia cantik, ada ciri-ciri pelakon yang selalu kita nampak dalam tv, sebenarnya mirip pelakon telenovela La Usurpadora yang famous di kaca tv kita sekitar tahun 2002 kalau tak silap ingat, kalah Marian Rivera, sungguh tuan-tuan dan puan-puan, saya tak tipu, haha...Ada beberapa penumpang lelaki asyik mengusik dia saja, macam-macam yang di tanya, di tambah lagi dengan lenggok manja ala-ala gedik gitu alahai... kita jadi penonton slot drama petang yer, siaran langsung.

 13 Julai 2015 tengah bulan puasa tuan-tuan dan puan-puan, dugaan sungguh. Sampai sahaja di Terminal 3, pelancong asing termasuklah kami ini setelah melepasi pemeriksaan imigresen dan kastam, selain scan bagasi (banyak kali scan aduiii)... serah borang pengesahan kesihatan itu (saya siap kena tanya lagi macam-macam disebabkan apa yang saya tanda) nasib baik husband boleh berbahasa Tagalog, senang sikit urusan. Saya mengalami kesukaran berbahasa Inggeris dengan pekerja di airport, sebabnya cara sebutan mereka berbeza daripada kita di Malaysia. Malah penggunaan ayat-ayat mereka juga banyak beza dengan 'stail' bahasa Inggeris yang sering kita gunakan.

Dari Terminal 3 kami buru-buru ke Terminal 4 dengan sesatnya, lapar, dahaga, tercungap-cungap memang cukup pakej. Berpeluh-peluh kami lari sana sini dengan bagasi yang ala-ala backpacker tu. (Saya suka bab backpacker tu... rasa macam pelancong sangattt). Tanya sana sini semuanya maklumat bercanggah. Akhirnya kami keluar bangunan direct ke pondok pak guard. Tanya punya tanya (husband cakap Tagalog) mujur ada seorang pengawal keselamatan tolong hantar kami ke Terminal 4. Keretanya Vios pergh!!! stereng belah kiri. Dia pandu kereta siap pasang bunyi siren lagi, cilok sana sini, masa semakin singkat ketika itu jam menghampiri 5.00 petang. Kami bagi dia tips 500 pesos /P500. 

Standard price untuk tambang taxi antara terminal P200 ke P300. Tak jauh manapun, tapi dengan trafik sesak, hon sana sini, sekali dengan wayar elektrik berterabur/serabut kat atas jalan raya, bertambahlah sesak perasaan kami dibuatnya. Sampai sahaja di Terminal 4, sambung lari lagi, jam menunjukkan tepat 5 petang, kebetulan staff Air Asia tengah jerit-jerit di kaunter - "Last call! to Puerto Princessa". Beg tak boleh masuk kabin, kena masuk kargo, lebih muatan katanya, alih-alih kami bayar 300 pesos / P300.

Pengajaran sungguh tuan-tuan dan puan-puan... jangan jadi macam kami. Beli tiket pastikan 'gap' masa mencukupi untuk 'tempoh bertenang'. Airport NIA beza banyak dari KLIA. Nak tukar flight antarabangsa ke domestik senang jer di tempat kita semuanya satu bangunan, tapi di Manila ada 4 Terminal berbeza, dan setiap Terminal kena shuttle bas atau taxi. Ada juga shuttle bas percuma, cuma dalam kes kami yang flight delay ... memang haru kejadiannya.

Eh, dari tadi saya asyik membebel tak sudah, mana gambarnya? Jom layan gambar.


 Kami tukar duit awal, supaya tak kelam kabut. RM1760 dapatlah 20 ribu pesos/PHP 20,000. Kayo mokcik yo! Ni kalau tukar rupiah dah jutawan dah.







 Menarik nafas lega, setelah menjadi atlet mee segera sekejap, kaki saya sakit sangat, suami pula saya risau asmanya berulang. Alhamdulillah semuanya baik-baik saja, setakat berpeluh, terkapus-kapus bilang orang Sabah. Ketika ini, menunggu flight berlepas menuju Puerto Princessa, Palawan.





 Antara pemandangan Metro Manila ketika kapal terbang berlepas. Bangunan tinggi tak sempat snap.





Total - P600. Terkejut pramugari tu kami minta macam-macam menu, siap tanya kami lagi kalau-kalau kami mampu bayar. Ok, P600 = RM48, +-

 




Menghampiri Puerto Princessa, awan dia tebal-tebal belaka, macam-macam bentuk. Melihat air laut di bawah, langsung tiada kapal atau perahu di dada laut. Amazing!




Sekejap lagi mendarat di airport Puerto Princessa, Palawan.
Menghampiri waktu Maghrib.
Ketika ini hujan turun.
Hujan gerimis.

 
Jom bergambar sementara tunggu beg keluar.





Ok,abaikan muka tak ready tu, fokus kepada tulisan Welcome To Palawan, Every Island an Adventure!

 
Sampai sahaja di airport Puerto Princessa, berkumandang lagu seakan lagu kebangsaan/patriotik, melalui muzik dan lirik yang saya faham hanyalah Puerto Princessa yang diulang berkali-kali.
Sementara menunggu kakak ipar dan abang ipar menjemput kami, suami berlegar-legar mencari simcard Filipina.
Hampir setengah jam menunggu, sampailah mereka.
 
Ada yang memegang signboard/placard, menunggu orang penting kot.

 
Hujan turun,riuh rendah suara orang ramai dan kenderaan - tricycle (roda tiga), van pelancongan, kebanyakannya tricycle. Saya perhatikan, banyak pelancong Barat yang bergerak sendiri tanpa melalui agensi pelancongan, lepas ambik bagasi dengan selambanya memanggil tricycle menuju destinasi mereka. Saya dengar El Nido, Underground River antara yang disebut-sebut oleh pemandu tricycle. Palawan Island terkenal melalui pantai-pantainya yang cantik, bersih serta lokasi menyelam  yang jernih, belum tercemar oleh arus moden. Kamu taip saja Palawan Island di Google, semua info ada di situ. Saya nak cakap lebih-lebih pun tak reti, hehe...
Dekat youtube pun ada banyak video tentang Pulau Palawan. Cari, jangan tak cari. Dan datanglah ke sini, ianya berbaloi-baloi, sekiranya kamu seorang pencinta alam sekitar atau jenis suka menyelam... sesuai sangat.
  
Episod seterusnya, kami menaiki trooper menuju Puerto Princessa City, Palawan. Deretan gambar dan video di bawah, tempat kami menjamu selera. Layan, jangan tak layan. 













Di seluruh kawasan ini menempatkan aneka hotel dan restoran, terserah kita pilih ikut citarasa kita nak menginap di mana. Memang kawasan pelancong sungguh, elemen alam semulajadi diserap di segenap sudut binaan restoran dan hotel. Cantik, memang cantik, mendamaikan. Kreatif. Arak bebas dihidang mengikut permintaan customer, faham-faham jer lah, ini Filipina bukan Malaysia. Kena pula tu kawasan pelancongan.

Restoran Malaysia? Kotak fikir saya tak henti-henti berfikir tentang ini, selain isu makanan halal. Hendak juga saya bertanya tentang restoran Malaysia,mana tau ada kat sini, tapi tersekat di fikiran, di hati, tak terluah langsung! 

Ok lah saya lompat sekejap di penghujung cerita, hari terakhir saya dan suami di sini dalam perjalanan menuju airport Puerto Princessa... kami ternampak restoran Malaysia, alangkah indahnya rasa, yahoooo!!! Tapi kami tak sempat singgah, ketika itu kami buru-buru menuju airport. Cerita selanjutnya akan saya nyatakan pada bab terakhir.

Info lanjut ada di facebook : Seri Pal-Malaysia Hotel and Restaurant.
Dia punya tagline - In the Heart of Palawan.
Siap ada cop halal lagi.
 



Selesai makan di Haim Chicken Inato, kami menikmati waktu malam di bandar Puerto Princessa. Bandarnya kecik,  pi mai pi mai tang tu saja.
Mengikut pandangan saya, ianya seperti bandar terbiar, serabut dan sesak mata memandang. Bertentangan sungguh dengan kawasan tadi. 
Gambar di atas dan di bawah antara pemandangan di kawasan pasar malam. Ala-ala waterfront. Tepi laut. Orang minum arak merata tempat, sambil makan-makan dan lepak. Anak-anak remaja dating, berpeluk cium, duduk di tembok tepi laut.
Tak sanggup saya tangkap gambar suasana tu.
 
Tu  dia! Ini kalilah. Sanggup tak?
Saya sanggup ambik gambar saja untuk kenang-kenangan.

 
Basikal untuk disewa, banyak kanak-kanak dan remaja menyewa basikal ini, mereka kayuh pusing-pusing di sekitar pasar malam dan tembok tepi laut.

 
Leganya... waktu yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba jua. Apalagi kalau bukan rehat - tidur - mandi. Makan sudah, jalan-jalan pun sudah. Itu kunci pention house, semacam chalet/homestay. P800/day, sebilik 2 pax sahaja dibenarkan. Mereka sangat tegas tentang ini, untuk bilik 2 pax tapi sekiranya kita 3 pax, akan dikenakan harga lain atau disuruh tukar bilik. Katil sebiji + bilik air + tv + aircond + almari kayu saiz kecik dengan beberapa hanger disediakan. Nak solat pun ada ruang taklah sempit sangat bilik. Musim perayaan seperti Krismas, kena tempah bilik awal-awal, cepat penuh oleh tourist, mengikut cerita biras saya. 
 

Pagi-pagi lagi suami saya keluar cari sarapan, melucukan apabila tidak ada makanan bungkus/take away. Sudahnya inilah kejadiannya. Usai sarapan, gelas hantar semula ke restoran. Yang macam bihun goreng tu, sebenarnya suhun kalau di Malaysia. Sebelum beli, suami tanya dulu ada babi tak makanan tu, nasib baik tak ada. Huhuhu... berhuhu lah kita yer...itu saja yang disahkan halal.
 Menghampiri waktu tengah hari, sambil kemas-kemas barang untuk check out sekejap lagi, kakak ipar datang membawa sarapan roti dan kuih muih. 14 Julai 2015 kami gerak dari Puerto Princessa City menuju Brooke's Point. Perjalanan mengambil masa +- 4 ke 5 jam. Seperti perjalanan Sandakan - Kota Kinabalu.

Pastikan kamu ada travel adaptor. Saya ternampak ada dijual di kedai D.I.Y, di tempat kita. Satu malam di pention house - smartphone, kamera, powerbank, langsung tak dapat charge. Lain sikit dorang punya extension. Ini kami beli dekat NCCC Mall, Palawan. Di kedai hardware.

Sebelum gerak menuju Brooke's Point, kami ronda-ronda dulu sekitar bandar Puerto Princessa. Sekarang gambar-gambar mood siang hari. Ok, gambar time 0_*.
 Gambar-gambar di hadapan pention house.





 Cuba teka, ini apa?
Saya amati betul-betul... sabut kelapa, dia buat sampai jadi macam tu? 
Kreatif sungguh.



 Tengah renovation. 

Anjing bebas berkeliaran di sekeliling kita. Kat luar rumah, bukan dalam rumah, huhuhu...Saya rasa pelik sangat, kurang selesa sebenarnya. Tapi nak buat macam mana, itulah realitinya. Sebelum kami bergambar kenangan, kami halau anjing dulu. Sudah 'line clear' baru senang hati. Ok, stop sini sekejap, episod seterusnya bersambung pada entri akan datang, tungguuuu....

 

love,
monalizahrais
Selangor
24 Ogos 2015, Isnin. 






 











Friday, August 21, 2015

FACEBOOK, WHATSAPP - PRIVACY, PRINTSCREEN, SCREENSHOT

Assalamualaikum...

Asyik rindu saja dengan blog ini tapi jarang-jarang sangat ada kat rumah, huhuhu.. Sibuk sangat kat rumah lain - facebook, instagram dan whatsapp. Kaya rumah kita rupanya. 'Rumah' laman sosial gitu, tamu pun banyak, kan? Tak habis-habis bersembang siang malam, sembang zaman gadget gitu. 

Ni nak cerita kat korang, kongsi-kongsi cerita apa yang menarik kat facebook, menarik fantastik kebabooommmm!!!!!... dari sudut pandangan saya untuk 'storage' di blog ini. 
Ok, begini ceritanya, semalam tiba-tiba facebook suami online dan upload banyak gambar. Kebanyakannya gambar semasa kami bercuti ke Filipina baru-baru ini. Tentang percutian ke Filipina itu... akan saya cerita pada lain hari, InsyaAllah secepat mungkin, sebabnya mood kenangan semasa berada di sana masih fresh lagi.

Kembali kepada facebook suami saya yang tiba-tiba online dan upload gambar tu. Sudah tentu kami terkejut, kouta internet smartphone suami sudah habis, malah husband ketika itu ada bersama saya di sebelah. So? Siapa yang online ni? Jeng jeng jeng... suspen.
Meneliti setiap gambar yang diupload itu... kami perasan ianya gambar-gambar yang terdapat pada smartphone suami yang sudah bertukar pemilik. Sebelum pulang semula ke Malaysia, anak buah minta telefon tersebut, dan suami pun bagilah 

Silapnya kami sebagai pemilik asal telefon, kami tidak sempat 'line clear' gambar, data, malah akaun e-mail husband yang passwordnya sudah diset automatic. Tu pasal facebook husband saya dapat dibuka dan online oleh tangan-tangan ghaib. Bayangkan sekiranya e- mail suami  bersambung terus dengan akaun bank? Nauzubillahiminzalik. Mohon dijauhkan. Mujur smartphone itu baru sekejap digunapakai oleh suami, jadi tak banyak sangat gambar atau data yang 'nakal-nakal' tersimpan di situ. 
Yalah kita ni suami isteri kekadang nak usik pasangan kita tangkap curi atau candid kan... untuk tatapan sendiri. Tentulah ada aurat yang terdedah misalnya isteri tak pakai tudung atau husband tak pakai baju, just seluar pendek saja. Then mesej yang nakal-nakal... yalah suami isteri.

Tindakan pantas kami terus ubah password facebook suami dan deactivated, untuk elak benda-benda tak elok. Harap-harap selepas ini tiada lagi benda sebegini terjadi, boleh jatuh fitnah tau!. Mohon dijauhkan fitnah akhir zaman. Semoga ALLAH melindungi kita daripada segala jenis kejahatan yang nyata atau tersembunyi, mudah-mudahan aib dan kelemahan kita dilindungi daripada tersebar kepada umum, amin...

Ok, yang itu dah siap story kat korang, next... app Whatsapp di smartphone saya sudah  remove/uninstall. Telefon asyik bunyi tak henti, hal penting dan tak penting semuanya bercampur baur, penuh telefon dengan bermacam gambar yang kadang-kadang menyemakkan mata memandang, maaf cakap tapi semua orang yang ada aplikasi whatsapp, saya pasti anda mengalami situasi ini. Ada sekali tu smartphone saya 'hang' sekejap sebab lama tak buka whatsapp akibatnya mesej masuk bertubi-tubi.

Selepas remove whatsapp rasa tenang jer, tercari-cari jugalah kebiasaan sebelum ini cuma awal-awal ini agak janggal lama kelamaan terbiasalah tu. Untuk orang berniaga, app whatsapp dan facebook ini penting, berbeza kalau tujuan kita untuk suka-suka sekadar mengikut peredaran zaman, mengikut adat ber gadget, tanpa sedar terlalu banyak masa kita terbuang sia-sia. Lagipun untuk hal-hal penting, pasti keluarga dan rakan-rakan sejati kita akan call kita, yang tak penting tak adanya nak call saja-saja buang kredit telefon kan. Sesetengah perkara saya agak kuno, tradisional. 

Lagipun  yang ada whatsapp sekarang ni banyak yang ada facebook dan aktif juga ber online nya. Pi mai pi mai tang tu juga. Ini mengikut pengamatan dan pendapat saya, mungkin berbeza pendapat dengan anda, it's ok masing-masing punya fikiran tersendiri. 

Bagus ada gadget ini, terserah kita hendak manfaat cara masing-masing. Untuk orang berniaga, seakan wajib kena ada facebook dan whatsapp. Jimat dan memudahkan berurusan.
Saya terfikir, mungkin saya akan kembali berwhatsapp menggunakan nombor baru, sebelum ini, tiba-tiba jer  kena add dalam group, payah juga kalau nombor sekarang sudah tersebar.

Seterusnya cerita beralih ke Facebook, yang menarik perhatian saya tentang isu 'share yang mengundang reaksi negatif' dan isu novel lucah. Sekarang sangat mudah menyimpan 'bukti', tersalah taip sikit pun boleh mengundang padah, dengan adanya kemudahan 'printscreen', 'screenshot', rakan maya kita boleh menyimpannya atau share dengan dunia di luar sana. 
Contohnya semalam viral screenshot pengantin solat sunat di masjid setelah nikah. Yang dipertikaikan pakaian pengantin kurang sesuai dibawa bersolat. Beribu komen negatif vs positif siap gaduh-gaduh lagi di ruangan komen, aneka warna komennya, kalah warna pelangi  :D

Entah siapalah yang memulakan gambar tersebut, memuatnaik ke laman sosial seterusnya viral. Sekejap saja dah jadi artis mee segera, padahal tak nampak pun muka pengantinnya, yang tukang gambar tu fokus gambar bahagian belakang pengantin terutama sekali punggung pengantin perempuan, alahai kenapa begitu jadinya, apa motif sebenar individu yang tangkap gambar tu.
 Kenapa tak tegur saja masa tu? Tunggu pasangan pengantin siap solat dan tegur secara berhemah. Kalau kita niat baik, InsyaAllah orang lain pun mudah terima. Itu lebih baik berbanding ambil gambar - upload kat fb - viral, seolah-olah baling batu sembunyi tangan. Apabila kita menjaga aib orang lain, aib kita pun terjaga juga InsyaAllah.

 Isu novel lucah yang dikatakan semakin menular penjualannya, best seller pula tu, turut mengundang kemarahan di fb, malah ada beberapa penulis terkenal turut highlight isu ini di laman fbnya. Dapat dilihat banyak komen-komen 'membaham' si penulis novel lucah tapi yang anehnya ada yang menyokong novel sebegini.

Saya sebagai pembaca novel tempatan (bukan novel lucah ya) mula-mula terkejut juga, saya sangkakan novel lucah ini sudah 'tenggelam' sebabnya dapat dilihat lambakan novel tempatan mudah didapati di kedai-kedai buku besar, kecik, malah buku-buku berkaitan agama juga banyak yang best seller. Walaupun banyak novel cinta di pasaran, tentunya berbeza dengan novel lucah kerana fokus lucah tu lebih detail, 'sulit dan persendirian', mendebarkan, menghanyutkan si pembaca, menjentik imaginasi.

Mengimbas ketika saya remaja sekitar tahun 90-an, setiap kali ke library bandar mencari rujukan assignment, ada satu 'port' - rak menempatkan novel lucah ini. Novel dari seberang, nama penulisnya saya sudah lupa tapi hampir semua bukunya memang jenis lucah. 'Port' novel lucah ini sentiasa penuh oleh pelajar lelaki. Kali terakhir beberapa tahun sudah saya berkesempatan ke library itu dan meminjam beberapa buku terjemahan, ada beberapa helai yang dikoyak? entahlah tapi halaman tersebut memang ada adegan berahi cumanya dinyatakan secara berlapik/tamsilan. Pun buku best seller juta-juta punya jualan malah sudah diadaptasi dalam bentuk filem pun... pulangannya juta-juta dolar juga. Datang dari Barat, tak hairan sangat kan. Yang menjadi isunya sekarang, novel lucah tempatan yang berlegar di sekeliling kita, berbahasa Melayu.

Saya tak nak komen lebih-lebih, cuma saya membayangkan dalam lingkungan terdekat kita ada adik beradik, anak buah, sepupu, anak sendiri tentu kita tak sedap hati sekiranya mereka terdedah, terbaca, membaca novel lucah ini. Menulis novel lucah untuk kaut untung cepat, pendapatan hasil jualan novel lucah mungkin lumayan tapi dari sisi ilmunya, impak jangka masa panjang dibimbangi tidak berkat, bayangkan duit itu diberi makan untuk keluarganya. 

Apa lagi ya nak tulis? Sebenarnya mata dah berat sangat, isyarat nak tido ni,ok lah tido dulu, nanti sambung story morry bercuti dekat Palawan Island, Filipina.



love,
MR,
Selangor
21/8/2015 Jumaat


 



 




Monday, April 20, 2015

KONGSI RESEPI KONGSI ILMU - JANGAN KEDEKUT

Assalamualaikum...

35`C, suhu hari ini, sekarang ini di Jalan  Kapar, Klang mengikut smartphone saya. Panas kan, baru 35`C tu.
Boleh rasa bahang panas matahari, jom minum lebih kerap untuk kesihatan kita yang lebih baik.
Terbayang-bayang pula air kelapa muda di seberang jalan tu, godaan...

Ok, terus kepada tajuk di atas. Di Facebook sahaja, bertimbun-timbun resepi, carilah apa sahaja resepi roti, nasi, kuih muih, kek, manisan dan yang segaris dengannya, semua ada. Suka hati kita nak pilih yang sesuai ikut citarasa masing-masing.

Malah ada rakan fb lelaki yang turut sama 'share' resepi di wall fbnya. Meriah memang meriah, sama naik meriahnya seperti isu semasa yang lain. Fb saya pun macam stor resepi sudah, 'share' saja lebih, buatnya entah bila hahaaa...
 Sebenarnya begini ceritanya... ada satu member group whatsapp dia kerja dengan orang perseorangan jual sayap ayam panggang.

Kami bertanya resepi, tapi katanya bos belum bagi resepi lagi, kecuali kalau kerja lama dan ikhlas. Bos cuma bagi bahan dan kawan saya itu hanya menjual sahaja.
Bukan sesuatu yang ganjil lebih-lebih lagi bagi seorang peniaga makanan untuk merahsiakan resepi makanan istimewa mereka. Alasannya untuk mengelakkan persaingan, dan itu juga salah satu cara supaya pelanggan tetap hanya membeli makanan daripada mereka, seterusnya keuntungan bisnes pun bertambah.

Di sekitar Klang, saya melihat sayap/kepak ayam panggang hanya dijual oleh Sabahan. Tapi sayangnya tidak semua kawasan perumahan ada peniaga sayap ayam panggang. Yang terdekat dengan kami hanya di Sungai Pinang itupun kena tunggu pasar malam hujung minggu, kalau teringin sangat memakannya. Yang lain ada di Bukit Tinggi. 

Kata kawan saya lagi, bos mereka itu memang monopoli bisnes sayap ayam panggang di beberapa tempat dan capaian keuntungan sehari ribu-ribu katanya. Seronok di dengar tapi dalam masa yang sama saya rasa terkilan juga (saya bukan peniaga).
Maksud terkilan yang saya nyatakan dari sudut WARISAN. Ya, warisan makanan itu. Resepi yang hebat, digemari ramai orang sekiranya dirahsiakan lama-kelamaan resepi itu akan pudar dan hilang ditelan arus masa. Ramuan itu akan berubah sedikit demi sedikit sehingga hilang ramuan yang asli yang asal yang dirahsiakan itu.

Zaman saya kanak-kanak, arwah bapa saya setiap kali terima gaji peneroka, dia akan membeli sayap ayam panggang untuk kami, dapatlah seorang satu. Sebulan sekali kami akan makan sayap ayam panggang. Harganya 50 sen satu, sekitar era 80-an sehingga 90-an. Sekarang standard price RM 1.50 ke RM 2 setiap satu. Rasa sayap ayam panggang itu masih saya ingat sehingga sekarang... tetapi belum pernah lagi saya jumpa rasa yang sama di mana-mana tempat saya beli sayap ayam panggang walaupun penjualnya warga Sabah.

Jadi, apa maksudnya itu? Ini menunjukkan ramuan sayap ayam panggang pakcik yang selalu arwah bapa saya beli itu sudah pupus atau tidak tersebar secara meluas resepinya atau... dirahsiakan. Mungkin diturunkan kepada generasi seterusnya, cuma lambat laun ianya akan berubah sedikit demi sedikit ramuan itu kerana sudah tentu si penerima resepi tadi akan dipengaruhi faktor sekeliling... kenaikan harga kos untuk ramuan vs untung yang diperolehi. Adakah berbaloi atau tidak mengekalkan ramuan yang sama atau perlu ubahsuai/tolak tepi sebahagian bahan yang digunakan.

Contoh lain, untuk menguatkan hujah saya. Ada satu program masakan di tv, misi pengacara itu menjejak resepi tradisional, mencari mereka yang pakar tentang makanan yang hampir pupus ditelan ombak dunia moden. Pengacara itu berjumpa dengan seorang pakcik membuat dan menjual mee 100% kaedah tradisional. Di situlah rumah pakcik itu berhampiran dengan kilang kecilnya dan kedai tempat dia berniaga mee. 

Usianya sudah lanjut, katanya hanya menunggu masa untuk 'pergi' bila-bila masa sahaja. Ditanya oleh pengacara itu kenapa pakcik itu sanggup memilih kaedah ini walaupun mesin membuat mee sudah dicipta. 
Jawab pakcik tu lebih kurang macam ni - dari usia kanak-kanak sehingga sekarang hanya tinggal dia seorang sahaja yang masih bertahan dengan kaedah tradisional yang rumit itu. Warisan dari orang tuanya. Proses membuat mee bermula jam 3 pagi sehingga lewat tengah hari. Tidak ada orang muda yang sanggup meneruskan pekerjaan ini malah anaknya sendiri pun tidak berminat. Dia hanya ingin membuat mee sehingga akhir nyawanya, itu sahaja.

Di dalam interview itu, ditanya rahsia ramuan mee yang dibuatnya. Pakcik itu mengatakan tidak ada apa-apa rahsia, mungkin kaedah tradisional yang digunakannya penyebab mee itu lebih segar dan sedap berbanding kaedah membuat mee menggunakan mesin. Dan yang menariknya... dulu-dulu ketika harga barang masih murah, dia menggunakan TELUR ITIK sebagai salah satu ramuan mengenyalkan mee namun begitu disebabkan sekarang semua barang naik harga, pakcik tu tiada pilihan terpaksa beralih menggunakan TELUR AYAM sebagai salah satu ramuan dalam pembuatan mee. 

Kan... faktor semasa menyebabkan ramuan asli itu berubah. Pengacara itu agak terkejut, tidak menyangka TELUR ITIK pernah digunakan sebelum digantikan dengan telur ayam. Saya sendiri pun baru tahu tentang TELUR ITIK  itu. 

Contoh lain yang dekat dengan kita - ketupat tradisional vs ketupat segera. Sekiranya tidak ada usaha dokumentasi ketupat tradisional (nasib baik ada, yang terpantas capaian di youtube berlambak cara-cara membuat ketupat tradisional guna daun kelapa) mungkin kita pun terkejut mendengar cerita tentang ketupat tradisional. Ok, cerita contoh sudah siap dan saya perlu U-turn ke dalam cerita sayap ayam panggang,  @_@

  Sayap ayam panggang Sabah ini kategori street food/makanan jalanan. Bukannya terhasil seperti KFC yang sentiasa berkembang maju dan terus melebar 'sayapnya' di seluruh dunia. Tidak semua yang menjual sayap ayam panggang sekarang sedap rasanya, malah ada yang keras dagingnya atau tak rasa pun ramuannya.

Ops! sorry, terlebih terus terang pula. Semalam, hari Ahad saya cuba buat resepi puding raja/royal puding yang asalnya adalah sajian istana. Melalui carian di blog-blog masakan... resepi asal dari istana itu sudah boleh dinikmati rakyat biasa dengan tersebarnya resepi, antaranya melalui buku masakan bertajuk Air Tangan Tengku Puan Pahang.

Sekarang sebaran ilmu/resepi puding raja mudah didapati di hujung jari sahaja. Malah ada yang bisnes jual puding raja dan hasilnya, laku keras.. Ilmu yang tersebar lebih berkat... dapat membuka pintu rezeki yang lain malah cuba bayangkan! Rangkaian pahala yang diperolehi sentiasa berpanjangan antara yang mengajar dan diajar, inilah contoh ilmu bermanfaat yang diamalkan.

Saya sendiri sudah terbayang-bayang INSYAALLAH balik raya nanti... saya hendak buat puding raja  bersama family saya di kampung.
Kita respect kepada blogger masakan di laman maya yang sudi berkongsi resepi mereka. Bukan mudah menulis resepi, upload gambar tetapi semuanya dikongsi percuma. Sesekali saya letak resepi bergambar di blog, hendak menyusun kata-kata pun adakalanya tunggang terbalik, maklumlah bukan chef.

Sekiranya kita ada ilmu bermanfaat, jangan kedekut berkongsi resepi. Rezeki Allah amatlah luas siapa tahu ilmu yang kita kongsikan menambahkan lagi rezeki yang kita ada sekarang. Rezeki tidak semestinya menjelma dalam bentuk wang ringgit sahaja, boleh jadi rezeki melalui kesihatan diri yang bebas penyakit, dijauhkan bencana dan dipermudahkan pelbagai urusan seharian.

Saya menunggu dan berharap satu hari nanti akan ada 'otai' sayap ayam panggang yang berpengalaman dalam bisnes ini sudi berkongsi rahsia resepi secara meluas contohnya muncul di program-program pagi di kaca televisyen kita. Reminder me atau beritahu saya sekiranya anda ternampak mereka di kaca tv, hehehe....

Di facebook, saya lihat mereka yang tayang gambar makanan sambil menyatakan resepi dan mempersilakan kita 'share' ramai sungguh peminat mereka, macam artis. Beza memang berbeza daripada yang sekadar tayang gambar makanan sahaja. Yang buat bisnes makanan tapi beritahu juga resepinya... saya lihat bisnes mereka semakin 'maju' semakin bertambah rakan online. Yang bisnes makanan tapi tak share resepi kurang sikit meriahnya berbanding yang share resepi tadi. 
Yalah bisnes online tentunya diukur melalui respon, komen, like yang diberikan dapat memberitahu gambaran kasar di mata kita bisnes mereka maju atau suam-suam kuku.

Semua di atas sekadar pendapat peribadi saya sahaja, di mana lagi hendak menyatakan pendapat panjang x lebar x tinggi x dalam mengikut acuan sendiri kalau bukan di blog sendiri. Kita bebas berbeza pendapat, kerana kita sememangnya berbeza antara satu sama lain, mencari musuh jauh sekali.

love,
monalizahrais
Klang,selangor
20 April 2015
Isnin 






 

 




Sunday, March 29, 2015

JANGKITAN KUMAN DAN SUP KETAM

Assalamualaikum...

Malam minggu tiba-tiba rajin update cerita di blog. Cerita yang biasa-biasa mungkin luar biasa atau ada info berguna kepada orang lain. Kita update masakan telur dadar misalnya kedengaran biasa kepada mereka yang sering masuk dapur tetapi mungkin tidak kepada mereka yang tak pernah masuk dapur. Samalah macam masak nasi, saya melihat nasi yang ditanak atas dapur gas atau cara tradisional atas dapur kayu bagi saya itu bukan sesuatu yang ganjil kerana saya pernah melalui detik sukar dalam hidup di masa lalu, tetapi mungkin ianya satu 'penyeksaan' terhadap adik bongsu saya yang lahir sahaja sudah ada bekalan air dan elektrik, masak nasi pun tak reti, haha... goreng telur sahaja terkial-kial.

Ok, fokus kepada tajuk di atas. Lihat diari kejadian di bawah, saya cuba cerita seringkas mungkin.

DEMAM - 10/3/2015, suami saya demam kuat, menggigil, badan panas seperti kita dekat dengan api tapi katanya sejuk yang teramat. Suami minta selimut berlapis-lapis siap lapis toto lagi adeiii (jangan ikut petua ini). Bermula selepas Maghrib sehingga melewati tengah malam. Ditambah lagi di luar rumah hujan lebat,kilat dan guruh sedang 'bertarung', sangat-sangat merisaukan saya, hanya kami berdua dan yang terbayang di kepala sekiranya keadaan suami bertambah teruk, call teksi. Tapi dengan cuaca hujan lebat selebatnya seakan tidak mahu reda... mahukah pakcik teksi membawa kami ke hospital? Atau pakcik teksi juga sudah diulit mimpi indah? Doa dan tawakal mengiringi perasaan gundah gulana saya malam itu. Alhamdulillah melewati 2 pagi, suami masih demam tapi sudah tertidur, menggigilnya sudah reda, hanya sesekali meracau, mengigau. Suami saya kalau sakit memang macam tu stailnya.

Esoknya kami ke klinik swasta - Poliklinik Khoo & Quay di Klang, suami minta suntik tapi doktor beritahu, dia hanya boleh bagi ubat sahaja, tidak boleh suntik kerana kerajaan tak benarkan untuk kes demam. Maklum kes denggi di Selangor agak runcing, rasanya anda pun tahu tentang ini.
Doktor nasihat makan ubat dulu kalau demam berulang segera ke klinik kerajaan cek darah. Ok, suami saya makan ubat dan Alhamdulillah demamnya baik.

DEMAM - 16/3/2015, suami demam lagi macam demam di atas, bezanya kebetulan kami bertiga dan tidak hujan, adik saya datang ke rumah bercuti. Kali ini demamnya bermula sebelum Maghrib sehingga keesokan harinya. Kali kedua ini saya tekad tidak akan selimutkan dia yang tebal-tebal dan berlapis seperti yang sebelumnya, saya teringat pengalaman demam anak-anak rakan saya di group whatsapp dan pengalaman emak ketika malaria, tidak elok selimutkan begitu ; berlapis- lapis sebab panas demam tu terperangkap di dalam badan pesakit, sebab tu kalau kanak-kanak demam panas sangat, kadang-kadang sampai sawan dan pengsan.

Saya tukarkan baju suami, pakaikan dia baju sejuk dan seluar trek. Kemudian hanya selimut biasa sahaja sambil saya basahkan tuala lap badan dia, basahkan kepalanya. Dia menolak tapi saya tetap lap badannya dengan tuala basah, punyalah panas badan sampaikan air yang saya peras dari tuala setelah lap badan suami pun panas! Bayangkanlah, betapa panas badannya, rasa kesian pun ada tengok dia menggigil terketar-ketar tapi saya tetap lapkan badan terutama sekali dahi, sekitar leher, belakang dan dadanya.
Kebetulan suami saya ada sejarah malaria dan pernah masuk hospital ketika di Johor pada usia 20-an. Emak saya yang kebetulan ada sejarah malaria dan pernah admit wad, berkongsi pengalamannya dia direndam dalam air sejuk ketika dia sedang menggigil terketar-ketar, direndam selama 1/2 jam di hospital. Ketika itu jam 3 pagi katanya, selepas direndam kata emak tiba-tiba demamnya beransur surut dan sakit kepalanya juga hilang.

Sebab itu saya gigih juga lap badan suami walaupun dia terketar-ketar, Alhamdulillah demamnya masih ada cuma panasnya berkurangan dan nampak nyenyak juga dia tidur walaupun sesekali meracau dan mengigau. Hampir setiap jam saya bangun pegang dahi dan badannya untuk pastikan badannya tidak panas semula.

Esoknya 17/3/2015, suami sambil ditemani adik saya, ke klinik kerajaan dekat Klinik Anika, Jalan Tengku Kelana untuk cek darah, kemudian dia disuruh ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang. Hasil darah mendapati suami mendapat jangkitan kuman dalam darah. 
Di hospital TAR, suami diperiksa darah sekali lagi dan X-Ray.
 Kemudian suami disuruh masuk wad kerana menurut doktor ada banyak kuman dalam darah. 
Mereka pergi klinik waktu petang berlanjutan sehingga malam di hospital TAR, lebih kurang jam 7.30 malam saya bergegas ke hospital setelah suami telefon saya, katanya dia disuruh masuk wad. Saya call pakcik teksi yang sering kami guna khidmatnya, direct ke hospital. Pakcik teksi yang cekap memandu, mahir selok belok jalan di Lembah Klang ini dan boleh dipercayai.

Ok, next.. cerita berkembang lagi :D, sampai di sana, suami menunggu giliran masuk wad, terlalu ramai orang demam, wad penuh kata nurse. Tunggu punya tunggu dan tunggulah jawabnya. Kebetulan malam itu suami rasa tak sedap badan seakan hendak demam, cepat-cepat dia maklumkan nurse dan suami ditambah air ubat (antibiotik) di bilik menunggu. Habis jugalah sepeket, Alhamdulillah demamnya tak jadi dan suami pun rasa lebih segar. Sebenarnya ada tempat untuk suami di wad, cuma keutamaan diberi kepada pesakit yang lebih teruk dari suami, ada yang menggigil, ada yang terpaksa disorong dengan kerusi roda malah diusung dengan katil pun ada! Suami secara zahirnya seperti orang sihat, ke sana sini merayau di sekitar hospital melayan bosan sama seperti saya dan adik saya.

Sehingga esok pagi suami saya tak dapat tempat di wad lagi. Saya dan adik menghabiskan masa makan minum di kantin, melayan internet dan tidur di kantin malam itu. Saya rasa serabut menunggu di kawasan laluan staf hospital dan bermacam ragam pesakit yang batuk, demam dan yang segaris dengannya. Tu pasal kami melepak di kantin hospital. (Eh, aku ni cerita ringkas atau nak buat novel?).

Esoknya, +- jam 7 pagi ketika hari masih gelap, saya dan adik berasak di perhentian bas untuk balik rumah. Suami ditinggalkan sekejap, saya bercadang hendak berehat tidur sekejap dan datang semula ke hospital selepas lunch. Sampai sahaja di rumah, terus 'tumbang' melayan penat semalaman tidur tak menentu di kantin hospital, sebenarnya tidur-tidur ayam kata orang, sekadar bersandar di kerusi dan seterusnya berbantalkan meja kantin.

Tengah hari selepas lunch ketika saya sedang bersiap-siap untuk ke hospital, suami call katanya tak perlu datang, dia duduk wad sekejap sahaja dan dibenarkan balik petang itu juga.Cek darah dan X-raya sekali lagi. Menurut doktor suami hanya perlu makan ubat dan berehat di rumah, dia dapat MC satu minggu. Hari Isnin berikutnya iaitu 23/3/2015, suami disuruh cek darah sekali lagi di klinik berhampiran rumah kami, yang terdekat Klinik Desa Rantau Panjang, Klang.

Hasil keputusan darah suami kurang memuaskan. Ini membimbangkan kami, jangkitan kuman tu, tapi doktor tak nak bagi ubat katanya datang lagi 26/3/2015 untuk cek darah lagi. 
Mendengar jangkitan kuman dalam darah, bimbang kami bukan alang-alang lagi, melalui dapatan di blog-blog dan laman web aduii... jangkitan kuman yang bab kencing tikus tu yang mengerikan kerana ada seorang penyanyi tu meninggal dunia disebabkan jangkitan kuman kencing tikus. Tapi suami saya tidak pula dinyatakan kuman apa yang ada dalam darahnya.

Dan saya pun gigihlah mencari alternatif di internet, godek sana sini sinun saya terjumpa petua SUP KETAM. Selama ini saya dengar sup ketam untuk mereka yang demam denggi sahaja. Jadi kesimpulannya bermula Isnin 23/3/2015 sehinggalah 26/3/2015 tu kami pun mencari ketam dan berlauklah kami sup ketam selama 3 hari berturut-turut. 
Alhamdulillah pada temujanji 26/3/2015 itu, setelah cek darah suami disahkan sembuh dan tak perlu ulang alik lagi cek darah. Rasa bimbang yang mencanak sampaikan kami terfikir hendak balik kampung sekiranya sakit suami tak sembuh lagi... hilang begitu sahaja.
Alhamdulillah...
Sekiranya kamu demam on off, sekejap demam sekejap ok, jangan ambil ringan terus sahaja jumpa doktor, macam saya dan suami yang rakyat marhaein ini... tentunya hospital kerajaan menjadi pilihan. Menunggu berjam-jam? Bersabarlah kita kerana kita bukannya taraf VIP/VVIP. 

Banyak pengajaran dan hikmah kepada saya dan suami ketika suami disahkan ada jangkitan kuman dalam darah. Sebelum ini asal sakit sahaja kami direct ke klinik swasta, faham-faham sajalah kan... servicenya cepat cuma bayarannya standby jer lah RM 50 ke RM 100 kalau setakat demam batuk selsema tu. Sesekali kita perlu ke klinik kerajaan juga kalaupun tak suka sangat menunggu, kerana ada part tertentu yang doktor swasta tak dibenarkan buat, misalnya untuk demam, mereka dimaklumkan tidak menyuntik pesakit sebaliknya terus ke klinik kerajaan untuk cek darah/tindakan susulan.

Hikmah lain suami saya sudah mula belajar makan sayur, minum sup, makan makanan seimbang dan berusaha mengurangkan bilangan rokok yang dihisap setiap hari. Tiada darah tinggi, tiada diabetis cuma dia dinasihatkan supaya berhenti merokok oleh doktor.

Semoga ada manfaatnya cerita di atas, siapa tahu bukan? Tentang sup ketam itu, saya tak pasti dari segi saintifik, cuma saya sering mendengar pengalaman dari mereka yang pernah melaluinya sahaja. Jadi, saya sekadar mencuba dan Alhamdulillah dengan izinNya, mungkin ia banyak membantu kesihatan suami saya ketika disahkan tentang jangkitan kuman itu. Allahu'alam.
Kita cuma berusaha, Allah juga sebaik-baik penyembuh.

love,
monalizahrais
Batu 3 Jln kapar,Klang
Selangor
29/3/2015