Wednesday, May 30, 2012

HARGA

Petang semalam saya pergi ke pasaraya yang terdekat dengan rumah kami. Kalau jalan kaki lenggang kangkung lebih kurang setengah jam, tapi saya tidaklah jalan kaki sebabnya banyak plastik beg yang nak dijinjing. Hampir setiap hari kami akan ke sini. Walaupun stok lauk masih berlambak di peti ais, ada-ada saja yang mau dibeli, kadang-kadang tu setakat roti ataupun garam. Benda-benda kecik tapi penting ini yang selalu tercicir dalam perbelanjaan kan.
Yang tak bestnya jarang sekali kami dapat lauk segar, kebanyakannya sudah lunyai. Akhirnya pasar borong juga perginya mencari lauk segar bugar. 
 Tapi semalam saya membeli barang-barang perempuan antaranya bedak muka. Sebelum itu saya ke Guardian di Klang... tapi entah kenapa bedak yang saya cari itu tetap kosong di rak pameran padahal bukannya jenama yang berharga belas ringgit. Bedak Maybelline maa... malas mau tanya pekerja di situ, bukan hanya bedak malah rangkaian lain seperti lipstik, eye shadow, pun kosong juga. Rak jenama lain seperti Silky Girl, Loreal dan IN2IT penuh pula...

Kemaruk sangat make up tu tidaklah, pakai ala kadar juga. Kalau ada majlis terutama majlis kahwin, takkan kosong je muka tu kan. Agak-agak jugalah, lagi nak bergambar bersama pengantin taklah nampak pucat sangat, mentang-mentanglah si pengantin make up da boom.

Oklah, memandangkan kami selalu ke carrefour yang paling dekat dengan rumah kami ini, puas jugalah menengok cashier bersilih ganti lama dan baru. Jadi kadang-kadang tu selalu juga kami tersekat di barisan panjang ataupun kalau barisan tak panjang tapi tersekat dek cashier baru yang terkial-kial hendak scan barang... belum masuk bab barang tak boleh scan atau berbeza harga dengan yang dipamer di rak/ tanda harga besar tu. Nak tak nak kena prihatin juga dengan harga semasa memilihnya.


Macam semalam harga salah satu item yang saya beli - RM 7.10. Saya belek pastikan item itu sama dengan yang tertera di rak, tapi setelah discan keluar harga RM 14.90. Saya suruh cancel... dan cashier baru itu mengatakan tidak boleh cancel sebabnya sudah masuk bil. Saya balas, boleh cancel, saya tak bayar duit lagi panggil awak punya supervisor, saya tak nak beli sebabnya harga berlainan. Secara kebetulan reliefnya ada di situ dan boleh cancel pun!. 

Sebenarnya mengikut pengalaman saya bekerja part time sebagai cashier waktu masih bergelar pelajar dulu... kita malas berdepan dengan relief cashier/trainee cashier sebabnya sebagai cashier baru, kita akan selalu melakukan kesalahan - scan barang dua kali, cancel item, salah scan, ditambah kalau mood penyelia kita itu tengah moody... maunya kena marah depan customer, mestilah malu. Kena pula dengan cashier baru yang lambat pick up, confirm muka merah selalu kena bantai. Opps bukan kena penampar atau kena lempang , tapi merah dek malu kena bebel. Tak termasuk karenah customer yang bermacam jenis perangai.
Duduk di barisan hadapan memang macam tu lah, tapi hak kita sebagai pengguna jangan dilupakan. Ada juga sesetengah pasaraya tu barisan dah panjang kaunter berderet tapi kosong!. Seksanya antaranya cashier tu... tu yang banyak kerja sekejap seminggu sebulan dua pindah tempat lain sebabnya tension. 

Saya suka kalau masuk Jusco, jarang kaunternya bermasalah walaupun cashier baru sebab kebiasaannya cashier baru ini akan digandingkan/diletak berhampiran dengan cashier lama. Senang untuk merujuk dan bertanya. Saya sendiri pernah part time cashier di Jusco, ambik part time 4 jam sehari mula jam 6 petang ke 10 malam, RM sejam... dapatlah RM16 sehari.(dulu-dulu punya cerita, masa jadi student)

Sepatutnya hari ini saya keluar lagi nak beli sedikit barang, tak siap-siap lagi shoppingnya. Tapi hujan turun... kalau cerah sekejap lagi nak keluar juga ni. hehehe... lagi satu tekak ni nak pekena McD sebenarnya...

babai...lain kali sambung lagi cerita...










Monday, May 28, 2012

CANTIK

Malam tadi saya dan suami ke Setia Alam. Dalam perjalanan pulang menuju ke Klang, kami terperangkap seketika... jalan jem dari arah keluar dari Shah Alam. Nasib baik kami naik motor, boleh cilok dan ikut jalan lain. Sudah diduga kesesakan itu sebabnya Masjid Shah Alam dibanjiri orang ramai yang mengikuti majlis ilmu bersama Ustaz Azhar Idrus. Bukan senang hendak berada di tahap ustaz tersebut bukan.
Melencong sekejap dari tajuk di atas. Nak cerita tentang hijab, tudung yang semestinya berkait rapat dengan kaum hawa. Bertudung, menutup aurat hukumnya wajib. Tidak ada kompromi. Bukan hendak bagi ceramah cuma nak menyatakan pendapat, peringatan untuk diri saya sendiri. Bagi saya dengan bertudung kita ada dua kecantikan malah lebih. Oleh kerana rambut tertutup, muka kita akan lebih terserlah walaupun tidak bersolek/solekan nipis dan sederhana, berbanding tidak memakai tudung... hendak menyerlahkan muka selalunya dibantu dengan alat solek, make up. Tak termasuk aksesori anting-anting, rantai... reben kat rambut, nak buat rambut lagi, cat kuku dan sewaktu dengannya. Semuanya melibatkan kos dan kos itu adalah duit. Membazir begitu sahaja. Lagi-lagi kalau yang fashionable.

Lumrah wanita memang gemarkan kecantikan... tapi kalau kecantikan itu untuk tatapan umum, apalah yang special sangat... sebabnya ia dikongsi. Emas ada yang tiruan/celup dan ada yang original. Beza tempat yang menjual emas tiruan berbanding yang original... yang ori selalunya di sebalik kaca tebal, hendak melihatnya membelek kecantikan sebelum memilih dan membeli perlukan jurujual. Tidak boleh hentam keromo main masuk begitu sahaja tengok dan pegang. Tapi kalau emas tiruan/celup dengan selambanya boleh sahaja disusun di meja tanpa kaca tebal tanpa 'security guard'. Sekadar tamsilan.

Kalau yang bergelar isteri malah ibu tapi pakaian seksi, tak cukup kain... hak eksklusif kecantikan itu terbahagi dua, satu untuk suami satu lagi untuk tatapan orang lain. Ruginya si suami kerana dia tidak mendapat sepenuhnya hak kecantikan yang menyeluruh.

Aishwarya Rai, nama yang dikenali ramai apa sahaja berkaitan dirinya menarik perhatian walaupun setakat isu berat badan. Bahana kecantikan yang diagung-agungkan sangat. Naik berat badan sahaja selepas melahirkan anak terus menjadi isu besar seolah-olah macamlah baru lepas gempa bumi. Padahal semua wanita mengalami perubahan itu. Akan ada masanya kurus dan gemuk. Jarang sekali seseorang itu kurus seumur hidupnya. Yalah, dia Aishwarya Rai pernah bergelar ratu cantik, kita ni biasa-biasa saja. Tu yang perhatian bukan alang-alang lagi tu.

Proses pembangunan jiwa seseorang itu berbeza, ada yang cepat/lambat. Memang selalu juga terlihat ada yang memakai tudung tapi kurang bersesuaian dengan baju dipakai misalnya agak sendat ataupun lengan pendek. Baju pendek dan seluar ketat. Tetapi dengan pemakaian tudung, paling tidak pun mesti terfikir takkan pakai skirt pendek ataupun baju tidak berlengan kan. Agak-agak lah jugakan. Sekurang-kurangnya dengan bertudung, duit untuk membeli aksesori dan make up itu akan tertumpu dengan pembelian tudung yang bermacam-macam pilihan sekarang ini. Sekalipun ada yang sekadar bertudung kerana ikut-ikutan, lebih baik terpengaruh dengan benda-benda baik daripada terpengaruh dengan warna rambut terkini.

Ikut pengamatan saya, selama saya berada di Semenanjung ini sejak dari tahun 2000 sehinggalah sekarang, mudah untuk saya mendapatkan pakaian yang menutup aurat dan harganya pun berpatutan. Banyak peniaga Melayu dan peniaga yang macam muka Pakistan tu berjual pakaian jenis ini, cantik-cantik pula tu. Sebagai contoh kalau kita ke pasaraya besar antaranya Giant, Tesco, Carrefour, Mydin, Jusco... biasanya banyak kiosk yang berderet di hadapan pintu masuk menjual baju jubah berharga sehingga serendah RM 39 yang jika dibandingkan di Sandakan ianya mencecah RM 100 ke atas, baju dan jenis kain yang sama.

Jauh bezanya, tambang kapal terbangnya mahal... selalu kami cakap macam tu. Banyak juga yang saya nampak pakai T-shirt kemudian pakai sarung lengan dipadankan dengan seluar jeans setiap kali saya turun di bandar kelahiran saya. T-shirt banyak murah serendah RM 10. Tidak wajar membandingkan, tapi fesyen menutup aurat di sana agak mahal dijual saya sendiri tidak sanggup membelinya. 
Saya dan suami pernah mengirimkan kain pasang berharga RM 50 tiga pasang, melalui anak buah kami untuk buah tangan kakak ipar di Filipina. Dia gembira dengan pemberian itu, katanya kain tu cantik sangat. Itu di Filipina sebuah negara yang agama rasminya bukan Islam, sudah tentu pakaian menutup aurat lagi sukar diperolehi.

Sekalipun pekerjaan kita seorang guru, ustazah yang mengajarkan tentang aurat dan kepentingannya... bagi saya perniagaan pakaian juga sama pentingnya. Fesyen pakaian di satu-satu tempat itu kadang kala terbentuk daripada jualan/ bekalan yang ada dengan penjual. Motif utama memanglah keuntungan bagi kebanyakan peniaga, tapi ianya saling berkaitan juga. Macam mana hendak memakai pakaian sempurna kalau sukar untuk memperolehinya. Oh ya, maksud saya di tempat daerah kelahiran saya sendiri. 
Tidaklah teruk sangat cuma pilihan terhad bagi yang berpendapatan sederhana. Apa yang saya nampak macam tu lah, kecuali jenis yang memang memakai baju kurung sepanjang masa. Bekalan kain untuk buat baju kurung memang banyak, mudah didapati di kedai-kedai keling, tapi untuk baju segera misalnya blouse atau lengan panjang... ada memang ada tapi harganya masih mahal. Tudung yang berharga RM10 ke RM15 di sini yang dijual di JMI dan jalan TAR tu biasanya berharga dua kali ganda harganya di Sandakan.

(amboi macamlah kau yang berniaga pakaian... memanglah bukan aku yang berniaga pakaian dan mungkin bukan  orang yang paling tepat berbicara tentang itu, itukan cuma sekadar pendapat, manalah tau...)
Ada satu pemandangan yang tidak dapat saya lupakan, ada sekali saya dalam perjalanan pulang ke rumah dari Bandar Sandakan. Waktu petang... sekumpulan budak sekolah rendah berjalan berduyun-duyun di tepi jalan. Waduh meriah memang meriah, sebabnya semua kanak-kanak itu memakai beg sekolah Angry Birds! Malah botol air pun Angry Birds juga! 

Sekali lagi, bukankah itu antara bukti bahawa fesyen kadang-kadang terbentuk dari stok yang ada di pihak penjual?



Sunday, May 27, 2012

MASJID

Melihat wall fb saya tadi, meriah dengan ucapan ulang tahun kelahiran daripada rakan-rakan fb, ada yang dikenali hanya di laman fb dan ada yang memang sudah kenal sejak sekian lama. Tak kisahlah yang penting doa anda untuk saya itu sebenarnya doa untuk diri sendiri juga. Kita mendoakan yang baik-baik untuk orang lain, tetapi kita juga sebenarnya mendapat manfaat dari doa itu sendiri.
 
Isu lain yang tidak kurang menariknya di wall fb (mengikut pandangan saya) isu berkaitan kuliah Maghrib. Dinyatakan dan disertakan bukti bergambar ribuan jemaah membanjiri masjid As Salam di Puchong, senang cerita kuliah Ustaz Azhar Idrus. Di wall fb Ustaz Zahazan pula turut dinyatakan ribuan jemaah menghadiri majlis ilmu di masjid Kg. Sentosa, Maran. Fenomena yang sangatsangatsangat baik. 
 
Meniti arus kemodenan yang banyak berpaksikan idea barat yang entah apa-apa tu...barangkali situasi ini menjelaskan betapa kebanyakan dari kita sememangnya dahagakan ilmu. Terima kasih juga kepada teknologi kerana selain tersebarnya banyak perkara yang mengundang keburukan... pengguna teknologi kini kebanyakannya sudah bijak menilai memilih mana yang terbaik. Malam ini pula di  Masjid Shah Alam majlis ilmu Ustaz Azhar Idrus akan diadakan, mengikut jadual yang saya tengok di fb.

Apalah gunanya bangunan berdiri megah sana sini tapi masjid kosong, hanya sebagai hiasan. Teringat saya tentang kaum Yahudi yang mengatakan mereka hanya akan takut dengan umat Islam sekiranya umat Islam solat berjemaah Subuh sama banyaknya seperti solat Jumaat (betulkan saya kalau salah).
 
Cerita tabligh yang berkunjung ke kampung kami beberapa bulan lepas... disampaikan oleh adik saya, rombongan tabligh ini datang ke sebuah pulau yang terpencil, agak jauh dari bandar. Lokasinya di Sabah, mereka diraikan, disambut mesra dan dilayan 'first class' sepanjang berada di sana. Masjid di kampung itu walaupun kecil tetapi sentiasa penuh dengan kelibat orang kampung bertanyakan pelbagai permasalahan agama. Malah setelah berakhir tempoh mereka berada di sana, penghuni pulau terpencil itu mengalu-alukan kedatangan semula rombongan tabligh itu, di lain waktu. Pengalaman bermakna itu diindahkan lagi dengan hidangan makanan segar setiap hari... seafood dan secara kebetulan kebanyakan tabligh ini berasal dari Semenanjung Malaysia.
 
  Kebiasaannya setiap kali menjelang Ramadhan... akan ada rombongan tabligh berkunjung ke kampung kami. Ada yang menerima secara baik dan sebaliknya. Daripada menghadiri konsert K-pop, Hip Hop dan segala datuk nenek hop... kalaupun tidak berkesempatan menghadiri majlis ilmu, duduk di rumah lagi best! Laptop, I Phone, Android tu boleh juga di belek tengok internet, tapi perkara kebaikan sajalah.

Saya sendiri pun banyak yang perlu dibaiki, menulis yang baik-baik dan mungkin ada juga manfaatnya kepada yang membaca/terbaca tulisan saya di blog ini, dan itu juga salah satu cara saya mencari kebaikan dan manfaat untuk diri sendiri.




 
 

ANAK

Situasi satu :
 
A dan B sudah lama tidak bertemu, masing-masing sudah mendirikan rumahtangga di tahun yang sama dan setelah beberapa tahun kemudian mereka terjumpa di satu majlis keramaian. Seperti biasa akan bertanya khabar terkini dan sudah tentu isu anak mesti tidak terkecuali.
 A dengan bangganya mengatakan sekian jumlah anak yang dimiliki dan bla bla bla...B pula dengan jujur mengatakan B suami isteri masih berusaha mendapatkan zuriat. Reaksi A seperti ini :

Belum ada? (kehairanan). Kau tengok aku... anak dah berderet. Cepat-cepat buat, sampai bila nak tunggu. Umur dah meningkat, kau dah semakin tua, susah tau nak melahirkan anak kalau  umur dah tinggi ni. Siapa nak jaga kau suami isteri kalau dah tua kerepot nanti? Tak sunyi ke? Bila lagi nak dapat anak? bla bla bla...

Situasi dua :
 
Sebaik sahaja A mendengar jawapan B yang belum dikurniakan zuriat walaupun dah bertahun berkahwin... A terus berkata seperti ini :
 
Mungkin ada hikmah di sebaliknya. Bersabarlah dan teruskan berusaha berdoa bertawakal. Aku ada juga dengar beberapa petua dari rakan-rakan aku yang lambat dapat anak ni, mungkin kau boleh cuba. Antaranya berurut dan bla bla bla... dunia perubatan semakin moden, semakin maju, dugaan ini tidak sebesar mana jika dibandingkan dengan salah seorang nabi kita yang mendapat anak pada usia tuanya, tak ingat namanya tapi begitulah ceritanya...

Jauh beza situasi satu dan situasi dua bukan? Tetapi situasi A yang sering berlaku. Jarang sekali situasi B berlaku.


Saturday, May 26, 2012

HARI LAHIR

Assalamualaikum...
26 May, hari ini ulang tahun kelahiran saya yang ke 32 tahun. Macam biasa sahaja, tidak ada apa-apa yang luar biasa segalanya berjalan seperti hari-hari yang lain, berharap hari ini lebih baik berbanding hari semalam. Begitulah juga yang diharapkan pada hari-hari seterusnya. Bab kek harijadi tiup lilin tu tidak sinonim dengan saya, cuma setelah berkahwin ini kami suami isteri just makan di luar saja sempena ulang tahun kelahiran.
Harapan, impian, azam tidak bermula pada sekian tarikh yang dianggap keramat misalnya tarikh lahir, awal tahun baru atau pun anniversary perkahwinan. Bila-bila masa sahaja boleh memulakan sekian usaha doa dan tawakal untuk mencapai sesuatu. Waduh macam serius punya bunyinya! hahaha...
Bertambahnya lagi umur yang diberi olehNya membawa maksud semakin sedikit umur yang kita ada. Melihat ke belakang mengutip pengajaran dan iktibar, saya bertanya apa yang telah saya lakukan untuk mengisi ruang kehidupan yang telah berlalu? Sesekali merenung sejarah tidak salah kalau untuk renungan diri sendiri, kerana namanya pun sejarah ianya akan berulang semula sekiranya dilupakan. Kalau cemerlang yang diulang-ulang tak mengapalah juga tapi kalau sebaliknya itu yang tak best.
Berbintang Gemini, bermacam-macam juga yang saya telah baca berkaitan dengan personaliti ini seawal usia saya menginjak remaja. Biasalah tu kan...sekadar suka-suka sahaja yang penting kita menjadi diri kita sendiri berdasarkan acuan yang bersesuaian dengan tuntutan agama, itu yang terbaik.
  
Denyut nadi kehidupan kadang kala tenang kadang berdebar rancak. Tidak selamanya mendatar begitu sahaja, itulah lumrah kehidupan. Doa saya di hari ulang tahun kelahiran ini saya memohon kepada Allah semoga sentiasa diberkati, dipanjangkan usia, murah rezeki dikurniakan harta dan anak yang banyak, kesihatan diri bebas penyakit, kebahagiaan hidup berumahtangga, sentiasa diberi petunjuk hidayahNya.... kalau nak disenaraikan semuanya memang banyak...
Doa yang menghimpunkan segala kebaikan:
"Ya Allah ya Tuhanku,  sesungguhnya aku memohon kepada-Mu segala kebaikan yang sekarang dan yang akan datang, yang aku telah ketahui dan yang belum aku ketahui. Dan aku berlindung diri kepada-Mu daripada segala kejahatan, yang sekarang dan yang akan datang, yang saya telah ketahui dan yang belum saya ketahui. Dan saya memohon kepada-Mu syurga dan segala yang boleh mendekatkanku kepadanya daripada perkataan ataupun amalan. Dan saya berlindung diri kepada-Mu daripada api neraka dan segala yang boleh mendekatkanku kepadanya daripada perkataan ataupun amalan. Aku memohon kepada-Mu segala kebaikan yang dipohon dengannya oleh hamba-Mu dan utusan-Mu Muhammad s.a.w. Dan aku memohon kepada-Mu agar segala yang Engkau putuskan buatku dari apa-apa urusan sekalipun biarlah Engkau jadikan akibatnya yang baik belaka."
Sumber doa ini saya ambil dari buku Doa, Zikir dan Munajat yang Didengari ALLAH terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd.

Friday, May 25, 2012

RAKAN-RAKAN FB

Assalamualaikum...
Hari ni nak cerita sikit pasal rakan-rakan fb saya. Untuk privacy akaun fb, saya telah setting hanya friend sahaja yang boleh menengok gambar dan status di wall fb saya. Saya tidak memilih rakan-rakan tidak hanya terhad dengan mereka yang saya kenali sejak zaman sekolah rendah, menengah, universiti dan alam pekerjaan sahaja. Sesekali saya blogwalking, ada juga blogger yang saya request friend kerana tertarik dengan kisah mereka - contohnya cabaran kehidupan, resepi masakan, bakat mereka dalam bidang tertentu. Malah personaliti tertentu di dalam bidang tertentu misalnya ahli agamawan, pakar motivasi.

Malam tadi saya terpaksa remove seorang rakan, saya kenal sebenarnya dia itu tapi fbnya meragukan. Tanpa gambar profile, kosong begitu sahaja. Saya tidak kisah sangat dengan latar belakang rakan-rakan fb... maksud saya parti mana yang disokong, pendapat masing-masing tentang sesuatu isu, emosi yang turun naik... semuanya saya baca. Saya selalunya akan komentar hanya di wall fb yang saya kenal semasa zaman persekolahan rendah menengah dan universiti.

Selain itu saya menjadi tukang baca bagi mereka yang hanya saya kenali di laman sosial ini. Pernah saya accept fb yang pada mulanya tidak meragukan, namun pada satu hari entah kenapa saya tergerak hati membaca fbnya, rupa-rupanya banyak gambar perempuan seksi malah ada yang separuh bogel! Cepat-cepat saya remove, tambah-tambah lagi pada masa itu saya menerima beberapa mesej misteri daripada individu yang tidak dikenali.

Dua tahun lebih saya berfb... saya semakin mengenali rakan-rakan fb yang lainnya, maksudnya turun naik emosi mereka serta pelbagai peristiwa yang terjadi di sekeliling mereka. Saya simpulkan lebih kurang 20% rakan-rakan fb saya yang aktif berfb sepanjang hari. Ada yang senyap seketika kemudian tiba-tiba muncul berderet untuk beberapa hari dengan cerita terkini. Antaranya cerita kelahiran ahli baru - anak cucu menantu dalam keluarga mereka dan perkahwinan.

Perbezaan ketara pada awal-awal berfb dulu, selalu sahaja orang lain tag fb kita dengan iklan yang merimaskan. Selalunya saya akan terus remove iklan-iklan tersebut. Bukan saya seorang malah ramai yang merungut tidak suka iklan ditampal percuma di 'dinding rumah mereka'. Lama-kelamaan fenomena menampal iklan percuma itu sudah berkurangan dan sekarangpun sudah tidak ada/ jarang berlaku, mengikut pemerhatian sayalah.
Saya pernah remove sebuah page yang bersungguh-sungguh mempromosi barangannya bukan hanya di wall fb malah bertalu-talu mesej masuk di inbox. Walaupun saya sudah x di wall fb kerana terlalu semak sampaikan fb itu seolah-olah bukan fb saya lagi. Terlebih bersemangat agaknya. Begitulah manusia, hendak hairankan sangat pun tak boleh juga, kerana sememangnya setiap individu itu berlainan perwatakannya. Alangkan kembar seiras tetap ada bezanya, inikan pula yang langsung tidak seiras dan tiada talian keluarga.

Yang saya suka sangat berkaitan fb sudah tentu gambar-gambar yang diupload oleh rakan-rakan yang lainnya. Kebanyakan kita punya kamera kalau pun tidak secanggih DSLR... sekurang-kurangnya hampir semuanya memiliki kamera telefon bimbit, betapa lagi yang mampu memiliki galaxy tab dan I Phone. Cerita gambar membawa pelbagai cerita, mengikut tafsiran tukang tatap gambar tersebut, malah boleh jadi pemangkin perasaan sayu, gembira, sedih, teruja, benci, iri hati, cemburu.

Zaman yang semakin pantas bergerak tanpa batasan ini (maksud saya dari sisi alam maya, talian internet)... cara baru kita bersembang/bergaduh/bertukar pendapat/bercinta/belajar walaupun kita dilihat memerap di rumah/bilik tetapi hanya luaran sahaja, kita merentas tanpa sempadan, hendak pergi jauh manapun hanya di hujung jari sahaja. Sekarang bayi yang tidak tahu apa-apa itu pun sudah memegang gadget terkini berbeza dengan zaman saya sendiri sampai ke tahap sekolah menengah pun masih terkial-kial memandang komputer malah komputer yang berderet di bilik komputer pada masa itu lebih banyak tersadai daripada digunakan untuk pembelajaran. Melihat hari ini, betapa kepentingan teknologi semakin diutamakan/tak dapat elak dalam kebanyakan agenda kehidupan seharian kita.
Beberapa hari lepas saya membayar bil internet yang tertangguh dua bulan. Hanya setelah talian tidak dapat diakses barulah kami tersedar tentang bil. Dua tiga malam juga tanpa internet, siaran tv pun tidak ada yang menarik perhatian malah radio pun malas hendak dengar. Rasa janggal juga tapi situasi ini membuatkan saya dan suami masuk tidur lebih awal berbanding biasa malah kami berdua tiba-tiba lebih rajin daripada biasa membersihkan rumah. Sampaikan kawasan halaman rumah yang baru sahaja dibersihkan... diulangbersihkan sekali lagi. 
Sebab itulah balik kampung sesuatu yang sangat-sangat melegakan bagi saya. Tanpa internet dan telefon, malam-malam yang senggang tanpa sebarang aktiviti, selalunya berisi dengan mendalami tafsir Al-Quran. Suasana sunyi, udara malam yang sejuk hanya kedengaran bunyi unggas malam berlagu. Maaf, bukan hendak bagitau saya ni arif sangat tentang agama, cuma suasana sebegitu agak berbeza dengan keadaan di sini yang kadang-kadang panasnya sama sahaja tidak kira malam dan siang. Jarang sekali saya berselimut sewaktu tidur semasa di sini, tapi kalau di kampung halaman kalau tidak berselimut waktu malam boleh menggigil demam jawabnya. Sudah tentu waktu Subuhnya nanti rasa air itu macam baru keluar dari peti sejuk. Itulah indahnya kampung halaman yang selalu di ingatan.
salam sayang,
monalizah rais



Thursday, May 24, 2012

NOMBOR

Genap tujuh tahun sebaik sahaja memasuki bulan Jun tahun ini. Maknanya juga selama itulah saya mengenali suami saya. Hanya selepas tiga tahun perkenalan barulah kami berkahwin. Nak kata  bercinta tu... cinta jarak jauh jugalah sesekali berjumpa. Jarang bersms, setakat cakap dalam telefon pun cakap macam biasa saja. Tak larat nak berjiwang macam yang selalu kita lihat anak-anak muda yang lainnya bercinta. Mungkin faktor jarak umur suami saya beza lapan tahun lebih tua berbanding saya sendiri.
 
Waktu nikah kahwin pun saya berumur 20-an dan dia sudah memasuki usia 30-an.
 
Nombor 016 xxxxxxx itu suami saya belikan sekali dengan nombor dia, pada tahun 2005. Lama juga ya, tanpa sedar peralihan masa macam cepat saja. Selalu sangat orang bercakap seperti itu kan. Termasuklah saya sendiri. Tapi nombor yang suami saya beli sekali dengan nombor saya itu sudah banyak kali tukar, sebabnya kadang-kadang banyak gangguan dari orang yang tidak dikenali dan handset kena curi.
 
Saya sendiri pun pernah mengalami situasi diganggu oleh orang yang tidak dikenali malah yang dikenal pun ya juga, cumanya saya tutup handset untuk beberapa bulan kemudian barulah saya buka semula nombor itu.
 
Teringat saya dengan nombor telefon adik sendiri. Dia membeli special offer untuk pelajar, setiap kali dia reload kredit... semakin panjang tarikh luput penggunaannya sampai ke tahun 2020. Memang best! Masuk kredit RM10 sahaja tidak perlu risau tentang due date. 
 
Kenyang, tadi makan sederhana sahaja setakat sayur campur dengan telur. Lauk ada, ikan tongkol yang sudah disiang dan diperap dengan kunyit dan garam sedia untuk digoreng, tapi masih diperap juga di peti ais. Tidak teringin pula hendak menggorengnya. Membuka peti ais tadi saya tersenyum sendiri, lebih banyak stok sayur berbanding lauk. Lauk tetap ada sebabnya suami saya sudah terbiasa/terdidik oleh keluarganya lauk mesti ada, tiada sayur ok lagi tapi jangan tiada lauk sekurang-kurangnya ikan. Sebelum ini saya pernah menulis di entry saya yang terdahulu, akan ada masanya saya berasa jemu makan lauk sahaja dan saya akan mencari sayur untuk dimakan.
 
Semalam pun, sebelum memasuki waktu Maghrib... saya goreng nasi campur dengan fish cake yang dipotong halus. Tidak lama kemudian, suami pun pulang dan itu sajalah makan malam/lewat petang kami. Katanya dia sudah kenyang tak payah masak lagi sebabnya dia pun baru melantak di site.
 
Setiap kali balik berhari raya di kampung, sudah tentu ayam daging menu utama di setiap rumah yang dikunjungi. Dan kalau kita hanya makan sedikit/sekejap sahaja pasti tuan rumah tegur, tambahlah lagi bukan selalu masak sedap macam tu. Benar kata tuan rumah itu, tapi kami yang duduk di Semenanjung ini sudah terbiasa dengan ayam agak sukar untuk menatap/ merasai masakan ayam sekali lagi. Peluang balik Sabah sesekali terutama waktu special ini... seboleh mungkin saya hanya mahu meratah ketam udang sotong sahaja, kerana rasanya berbeza dengan ketam udang sotong yang ada di sini.
 
Kalau turun di bandar, saya akan makan di Pasar Besar Sandakan mencari lauk udang, rumpai laut, ketam dan sotong. Saya tidak peduli dengan standard tempat makan, yang penting masakannya fresh dan bersih. Dan saya akan stok banyak-banyak udang kering, ikan masin, belacan untuk dibawa ke sini. 

Saya fikir macam ni, kita selalu juga melihat steambot dijual di tepi jalan/pasar malam kan. Bahan-bahan frozen yang digunakan pun sama dengan steambot berbayar RM 28 ++++ seorang di restoran yang punya dekorasi yang menarik. Sesekali makan beramai-ramai dengan family... tidak ada salahnya tapi kalau terlalu memilih atau temberang bilang orang Sabah... membazir bukan, menjaga standard konon.

Padahal rebus-rebus saja pakai kuah tomyam/stok ayam. Buat sendiri pun boleh di rumah sendiri. Oppps! panjang pula bebelan saya ni, bukan komplen sesiapa cuma bercakap dengan diri sendiri. Kita kan ada kata hati, suara hati sendiri yang kadang-kadang/selalu tidak sama dengan apa yang terkeluar dari mulut kita. Benda normal terjadi kepada semua orang...

Salam Khamis

salam sayang,
monalizahrais
 
 
 

Wednesday, May 23, 2012

TERINGAT JACK

Semalam ingatan saya terhadap Jack begitu kuat. Pertama kali bertemu Jack sewaktu saya berumur belasan tahun dan Jack pada ketika itu berumur 29 tahun. Opps! Tidak ada kaitan dengan kisah cinta, tapi tak dinafikan itu antara momen indah di zaman remaja saya. Pertemuan, perkenalan singkat dalam situasi yang tidak terduga namun setiap kata-katanya masih saya ingat sehingga ke hari ini. 
 
Saya ada menulis kisah penuh pertemuan saya dan Jack... cuma saya set draf untuk tatapan saya sendiri. Sekarang hari ini setelah saya mencongak, Jack sudah berumur sekitar 40-an. Saya tidak pernah bercerita tentang Jack dengan rakan-rakan saya pada masa itu, agak perahsia juga saya ni. Sekarang pula saya tak kisah bercerita tentangnya di blog ini. Sekiranya saya diberi peluang sekali lagi bertemu dengannya, saya tidak akan menolak. ( sudah tentu sekali dengan suami, hehe.. )
 
Tak mau cerita lebih-lebih, bimbang di salah tafsir... 
sekadar catatan perjalanan sebuah kehidupan
cerita kehidupan kita tidak pernah sama
perbezaan itulah keunikkannya
serta istimewa menjadi 
seorang manusia
kerana Tuhan tidak menjadikan manusia itu sia-sia
 
salam sayang,
monalizahrais
 
 
 

PROSES KREATIF DUA

Assalamualaikum Nong, malam tadi adik saya dan tunangnya datang sekali ke rumah kami menghantar barangan hantaran - beg Carlo Rino beserta walletnya, set minyak wangi Coach, set penjagaan badan Loreal, Telekung bercorak... itu saja tapi set warnanya semuanya pink. Waduh, peminat tegar warna pink sungguh bakal isteri adik saya itu.
 
Awal-awal lagi saya sudah kuarantin barang-barang asas dulang reben dan lain-lain tu, adik saya pesan jangan bagi tengok tunangnya yang beria-ia hendak melihat, sudah tentulah tidak boleh, tak suspen kan Nong. Lucu juga menengok perangai mereka berdua itu, sifat budak-budak itu masih menebal lagi dalam diri mereka berdua. Biasalah tu, setelah menggalas tanggungjawab berumahtangga, sifat dewasa itu akan menyerlah berbanding sifat keanak-anakan.
 
Siap bawa ayam golek seekor berharga RM20, ikut pengamatan saya ayam tu seberat di bawah 2 kilo, jadinya mahal begitu sebab cara masakannya ala-ala masakan pakcik Kenny Rogers gitu. Saya balance kan dengan masakan sup sayur. Melihat barangan hantaran, mudah untuk kita mereka letak di dulang, dekorasi hiasannya. Kalaulah bukan disebabkan kesemua barang ini akan naik flight... mahu sahaja saya menggubahnya siap-siap.
 
Bah, tidak banyak yang perlu diceritakan untuk proses kreatif dua ini, hanya kepada memilih design yang cantik dan mudah disiapkan sebaik sahaja sampai di Sabah nanti. Proses seterusnya akan saya sambung lain kali ya Nong. Sampai jumpa lagi di lain lembaran.

salam sayang,
monalizahrais



Tuesday, May 22, 2012

PROSES KREATIF SATU

Assalamualaikum Nong, salam hari Selasa yang indah permai walaupun sedikit mendung ini. Tidaklah panas sangat kan. Biasalah tu cuaca, sentiasa berubah. Apatah lagi kita manusia. Daun-daun kering pelbagai saiz, warna dan  bentuk sering memenuhi halaman hadapan rumah kami sejak akhir-akhir ini. Angin bertiup agak kuat juga tau. Langsir kayu yang dianyam tu yang selalu Nong beli itu... macam bunyi orang memukul dinding, rumah di belakang kami tu bah, setiap kali makcik angin 'bernafas'.
 
Maka bermulalah proses kreatif saya membuat/ mengubah/ memikir hantaran adik saya itu. Macam memasak juga, bermula dengan membeli bahan mentah antaranya dulang 7 buah, bunga, riben, inti bunga, gabus, kain dan lain-lainlah. Malas pula mau sebut. Nanti saya upload juga tu di fb berkaitan proses kreatif saya ini. Cuma saya tidak bercerita dengan tulisan, lebih kepada cerita bergambar sahaja. Oh ya, tema kami pink silver. Sesuatu yang agak asing bagi saya sebenarnya, sebabnya Nong saya lebih mesra dengan warna gold, purple, merah. Warna-warna yang kuat... pada pendapat sayalah. Lain orang lainlah citarasanya kan Nong.
 
Saya dan adik saya yang pergi berbelanja, dia yang tanggung ongkosnya, saya cuma perundingnya saja, hahaha...lebih kurang tiga bulan lagi, tapi kau taulah Nong kalau saya sudah di Sabah time raya, selalu saja 'bersilat' di dapur. Naaa... nantinya sampai di Sabah tinggal pasang siap saja barang-barang hantaran itu. Mau jimat masa, maklumlah kan Nong kurang tiga minggu saja kami bercuti di Sabah untuk raya puasa nanti. Raya pertama kami sekeluarga tanpa arwah bapa... entah macam manalah situasinya nanti.
 
Di rumah pula adik beradik lelaki dan ipar saya sudah bertukang membaikpulihcantik rumah dapur. Sudah diorang membeli zink dan kayu. Sedikit sebanyak bakat arwah bapa bertukang itu turun kepada anak-anaknya. Ditambahbesarkan ruang dapur itu untuk memudahkan proses memasak semasa majlis nanti.  Tentang pelamin pula akan dbuat oleh mama dekat-dekat majlis nanti. Tambah satu bilik lagi untuk pengantin baru kita tu, sudah tentu katil tilam barunya sekali. Siapnya nanti ada enam bilik semuanya. Dua di dapur dan empat di rumah hadapan, berdekatan kawasan ruang utama/ ruang tamu.

Itu yang syioknya kalau rumah kayu dan punya kawasan tanah yang agak luas. Boleh renovation bila-bila masa, sediakan duitnya saja kan Nong.

Oh, pasal projek saya yang lagi satu... dugaan juga ni, saya cuba siapkan tapi bukan alang-alang juga cabarannya. Kena lepas yang pertama dulu, INSYAALLAH kali yang kedua semuanya sudah ok. Bilang mereka yang sudah melaluinya. Doakan ya berjalan lancar dan dipermudahkannya.

Namanya pun baru proses satu, nantilah Nong saya akan sambung lagi cerita tentang ini. Untuk proses kreatif dua. Bah, kirim salam sama family kita di sana ya...


 
 
 
 
 

Thursday, May 17, 2012

BELINJO

Belinjo, belinjau, melinjau antara nama yang keluar di skrin sebaik sahaja saya taip di google search. Tadi saya makan keropok belinjo sambil online. Saya bukanlah peminat keropok ini baru hendak belajar memakannya. Rasa sedikit pahit dan lemak di tekak. Melalui carian di internet, rupa-rupanya buah ini selalu saya lihat di pasar malam. Tentang keropok belinjo ini pula, sering saya lihat dan kenal sebelum ini banyak dijual di pasar borong, sekali duduk dengan keropok lekor. Saya selalu membeli keropok lekor, sebab itulah saya kenal keropok belinjo ini.
 
Masa mak saya datang tempoh hari, mak membawa sepeket keropok ini dialah yang menggoreng dan mengunyah keropok ini. Manakala saya dan adik pula hanya mengambil sedikit sahaja sekadar merasa dan sukar untuk menerima rasa yang baru. Kali pertama saya makan keropok ini sebenarnya beberapa bulan lepas semasa saya di Sabah. Pakcik saya mengirimkan keropok ini kepada kami. Tapi saya memang hanya makan sedikit sahaja.
 
Baru belajar makan bah keropok ini manalah tau lama lama nanti akan menggemarinya juga kan. Plan saya sekarang sebenarnya nak pergi depan rumah tu tempah makanan, rasa macam hendak makan makanan restoran pula hari ini. Masih berkira-kira lagi sama ada hendak pergi ke tidak ni, still cakap-cakap lagi ni di blog.  
 
Keropok lekor kering pun ada lagi stok di dapur itu, adui rasa macam hendak menggorengnya pun ada! Selera makan ni... macam-macam ada, nampak sangat negara kita ni melimpah ruah dengan makanan kan? Syukur Alhamdulillah, kebuluran makanan tidak ada di negara kita walaupun yang miskin dan golongan gelandangan pun masih ada makanan untuk mereka, sedangkan ada banyak orang di luar dari negara kita yang kebuluran makanan, Afrika antaranya. Semoga nikmat yang dikurniakan kepada kita ini akan berkekalan dan  mampu melembutkan hati kita sentiasa beringat kepada mereka yang memerlukan. Ingatan untuk diri saya sendiri.

Menghampiri jam tujuh, pergi ke tidak ni ke restoran depan tu ?
 

ASSALAMUALAIKUM DAN SELAMAT PAGI CIKGU !

Sebaik sahaja cikgu masuk ke kelas... itulah antara ucapan beramai-ramai yang kedengaran. Dan sesudah kelas berakhir, sekali lagi kami akan berdiri dan mengucapkan TERIMA KASIH CIKGU !, diketuai oleh ketua kelas atau dalam bahasa Arabnya Ra e sul Fasli. Yang seronoknya di fb akan ada waktu meriahnya kan, dengan bermacam jenis ucapan yang ditulis paparkan di wall masing-masing. Yalah, sendiri punya fb sendiri punya suka hatilah hendak tulis apapun.

Tidak terkecuali Hari Guru 16 Mei. Banyak juga rakan sekelas saya menjadi warga pendidik. Semoga rakan-rakan dan guru-guru saya yang terdahulu tabah, sabar dan sentiasa bersemangat menjalankan amanah mendidik anak bangsa. Malah sekiranya mereka ikhlas menunaikan tanggungjawab ini, 'saham akhirat' mereka merupakan satu bonus yang tidak ada pada kebanyakan orang lain. Pun begitu, apapun kerja yang kita lakukan ianya tuntutan ibadah sebagai nilai dan tiket menambah pahala serta amal jariah.

Tafsir guru tidak terhad kepada mereka yang bekerja secara rasmi di jabatan pendidikan. Apabila seseorang mengajar orang lain sesuatu ilmu yang bermanfaat dan ianya diajarkan kepada orang lain pula, bagi saya itupun dipanggil guru. Cuma ianya mungkin tidak famous seperti kebanyakan tanggapan kita terhadap guru-guru di sekolah.

Sering kita mendengar perkataan 'sifu' kalau kita selalu tengok wayang/ drama Cina terutama sekali yang ada aksi kungfu. Bahkan dalam sesetengah program masakan Cina... kadang-kadang pengacara akan memanggil chef yang terlibat dengan gelaran sifu.
Sekarang di TV3 sedang ditayangkan drama adaptasi dari novel Seindah Sakura. Melihat gelagat Fahrin yang sentiasa mencari kesalahan Fasha (Shakira) membuatkan saya tersenyum sendiri dan teringat kisah saya semasa remaja dulu. 

Ada seorang cikgu biarlah saya namakan dia cikgu XYZ. Saya tinggal di asrama sepanjang saya berada di sekolah menengah. Ada sekali tu saya sakit mata, jadi dapatlah excuse tidak datang kelas dan duduk dalam bilik sahaja. Cikgu XYZ tidak ada kena mengena dengan hal ehwal asrama tetapi kadang-kadang dia terlebih prihatin, mengikut pandangan sayalah. Saya menjadi perhatiannya selama beberapa tahun dan saya sungguh rimas dengan situasi ini, saya benar-benar tidak selesa, tidak suka setiap kali berhadapan dengan cikgu XYZ.

Cikgu XYZ datang ke asrama meronda sekeliling asrama perempuan melihat kalau-kalau ada pelajar ponteng, secara kebetulan dia terserempak dengan saya yang baru keluar dari bilik mandi. Sudah tentulah saya 'disoalsiasat' kenapa tidak datang sekolah sedangkan terang bersuluh mata saya merah bengkak siap bertahi mata lagi. Sebelum itu pengetua sudah meronda asrama dan tahu perihal tentang saya, begitu juga dengan warden asrama. Menjadi kesalahan sekiranya berada di kawasan asrama sewaktu sesi persekolahan berlangsung, kecuali atas sebab-sebab tertentu.

Saya seringkali menjadi perhatiannya, sering dicari juga oleh cikgu XYZ ini padahal dia tidak pernah mengajar di kelas saya. Itulah yang menghairankan saya, dan saya tidak ada jawapan kepada kemusykilan ini, saya sering tertanya apa kesalahan saya dan apa sebenarnya yang saya telah lakukan sehingga mengundang perhatian cikgu XYZ terhadap saya, pada masa itu.

Kemuncak perasaan saya itu sewaktu saya dan rakan-rakan mengisi borang memasuki universiti. Kebanyakan pelajar akan meminta nasihat dengan cikgu XYZ kerana dia berada di kawasan sekolah di luar waktu persekolahan. Termasuklah saya sendiri, walaupun risau apa reaksinya sebaik sahaja berjumpa cikgu XYZ, tayang keputusan STPM sekali dengan pilihan kursus yang relevan di mata saya. 

Diringkaskan cerita... cikgu XYZ mengatakan bermacam perkara menyakitkan yang tidak sepatutnya diucapkan oleh seorang guru. Dia mengatakan saya tidak akan berjaya dalam hidup dengan keputusan yang saya ada, pilihan universiti yang saya pilih itu katanya akan menolak bulat-bulat permohonan saya, katanya saya tidak layak untuk masuk UM, malah tidak layak untuk masuk mana-mana universiti pun! Terkejut, kecewa dan rasa hendak menangis dilayan seperti itu. Dalam hati saya, bukan cikgu XYZ yang menentukan saya hendak masuk ke mana-mana universiti. Sudahnya saya berjumpa secara personal dengan seorang lagi cikgu yang tidak ada kaitan dengan urusan permohonan masuk ke IPT, malah dari aliran berbeza. Saya suka peribadi cikgu yang lagi satu ini. Dia memberikan nasihat yang saya masih ingat sehingga ke hari ini. Terima kasih cikgu SN di atas nasihat itu.

Saya diterima masuk UM dan berjaya menamatkan pengajian. Semuanya sudah berlalu, dendam tu tidaklah terhadap cikgu XYZ, jumpa di mana-mana pun saya tetap layan seadanya cikgu XYZ tu cuma tidak semesra orang lain. Lucunya saya ada add cikgu XYZ di fb, tetapi tidak diaccept, akhirnya saya cancel saja friend request tu. Tidak mahu memikirkan yang bukan-bukan, sekarang saya dan cikgu XYZ sama-sama berada di alam realiti kehidupan, dia terus berbakti di institusi pendidikan dan saya bekerja sendiri. Di usia ini, kenangan lalu itu sesekali akan terjelma juga di ingatan kan. Macam parut jugalah, setiap kali kita memandang parut itu, kita kan teringat kesakitan yang pernah kita alami dahulunya dan kadang-kadang ianya membuat kita tersenyum sendirian.

 



 





 

Tuesday, May 15, 2012

HARGA KASIH SAYANG

Hargai ibu selagi mereka masih ada. Ucapan yang banyak ditulis di wall fb terutama sekali rakan-rakan yang telah kehilangan ibu mereka. Ada betulnya kata-kata ini kerana ibu kandung kita yang melahirkan kita hanya satu dan itu pasti, sampai saat seseorang itu ditalkinkan... si mati di bin/dibintikan dengan nama ibunya. (betulkan saya kalau saya tersilap). Bahkan seringkali juga kita diingatkan syurga itu di bawah telapak kaki ibu.

Oh, saya bukan hendak komen sesiapa cuma peringatan untuk diri saya sendiri. Menulis/menyatakan pendapat di personal blog berbeza dengan menulis pendapat di wall fb. Bagi saya tidak semua yang memiliki akaun fb akan sabar/sanggup membaca cerita/gambar di blog orang lain. Pemikiran mereka yang suka blogwalking sama ada menyapa atau tidak itu bagi saya berbeza dengan mereka yang berfb sahaja.

Hargai ibu bapa selagi mereka masih ada, setelah mereka tiada, tiada apa yang dapat kita lakukan lagi. Ada juga yang berkata seperti itu. Saya tidak setuju dengan kata-kata ini terutama sekali 'setelah mereka tiada, tiada apa yang dapat kita lakukan lagi'. Kita sering mendengar banyak mana pun harta kita, ianya tetap tidak dapat dikuburkan bersama setelah menghembuskan nafas terakhir. Hanya amalan menjadi teman di sana.

Kita disaran berbuat kebaikan terhadap kedua ibu bapa kita, bukan hanya semasa mereka hidup tetapi sepanjang hayat kita walaupun mereka mendahului kita. Maksud saya, kalau kita benar-benar menyayangi mereka, doa untuk kesejahteraan mereka di sana berterusan dihantarkan sama ada doa selepas kita bersolat di samping mengadakan kenduri doa dan tahlil. Dan... tidak termasuk mengusahakan harta peninggalan mereka ke arah yang sepatutnya. Di samping, upah haji misalnya sekiranya kita berkemampuan.

Di wall fb saya tahun lepas, saya nyatakan sajak berkaitan dengan kasih sayang ibu. Rupa-rupanya sajak itu membuatkan salah seorang rakan fb saya tersentuh dan di luar jangkaan dia meluahkan rasa rindunya terhadap arwah ibunya yang telah pergi. Rasa bersalah pula saya masa tu, menyesal pun ada, sekadar suka-suka saja tu publish sajak tersebut sebenarnya. Walaupun sukar, saya balas komennya dengan menyatakan teruskan berdoa untuk arwah ibunya kerana kekuatan doa itu mampu merentas alam dan masa. Dia membalas dengan menyatakan dia baru sahaja mengadakan majlis tahlil untuk arwah ibunya pada malam Khamis sebelum itu. Menitis air mata saya membaca komennya.

Tahun ini saya tidak menulis apa-apa di wall fb berkaitan Hari Ibu, saya cuma menukar profile picture, gambar berdua dengan mama yang terkini, diambil sewaktu mama berkunjung ke sini baru-baru ini. Tambahan pula saya terbaca asal-usul perayaan Hari Ibu. Bagi saya terpulang kepada niat masing-masing menzahirkan kasih sayang mereka terhadap ibu masing-masing, mustahil kita hendak menyatakan rasa kasih sayang kita kepada perkara yang tidak berkaitan. Kalau sepuluh orang memakai cermin mata berlainan warna tetapi memandang bangunan yang sama, sudah tentu pandangan mereka berbeza. Hanya setelah sepuluh orang itu membuka kaca mata masing-masing... barulah warna sebenar bangunan itu diketahui. (sekadar tamsilan)

Saya petik kata-kata dari sebuah page dari Indonesia - Hargai kedua ibu bapamu semasa mereka masih ada, kerana setelah mereka pergi barulah kau tahu betapa kerasnya hidup ini - betul dan saya setuju kerana saya telah mengalaminya. Maksud saya pemergian arwah bapa kami Oktober tahun lepas, membuka mata dan minda saya menjadi lebih dewasa dan berfikir matang bahawa realiti kehidupan ini praktikalnya lebih besar berbanding teori.

Rasa syukur juga impian saya melihat kedua ibu bapa saya menjejakkan kaki ke sini tercapai, cuma masa sahaja yang berlainan... semuanya berlaku di dalam kawalanNya, kita hanya merancang Allah menentukan. Harga kasih sayang terlalu mahal, tidak dapat diukur dengan wang dan emas. Lebih mahal dan penuh makna sekiranya didasari dengan nilai-nilai agama. Buat peringatan untuk diri saya sendiri.

salam sayang,
monalizahrais






 

Sunday, May 13, 2012

BUKU

Dua minggu berkampung di Pantai Dalam menemani mak saya, saya terdengar VCD Ustaz Azhar Idrus dimainkan di salah satu gerai di pasar malam yang menjual buku-buku dan VCD. Dapat dilihat juga beberapa pengunjung pasar malam singgah melihat rakaman yang ditayangkan termasuklah saya sediri.

Sememangnya pasaran buku, majalah dan VCD malah program berkaitan agama Islam semakin digemari ramai, meliputi pelbagai peringkat umur. Itu sesuatu yang sangat bagus... paling tidak dapat 'balance' bermacam program hiburan yang muncul di radio dan tv. Dunia akhir zaman barangkali, semakin ramai memuja artis dan mengutuk ahli agama. Mohon dijauhkan dari situasi ini. 

Saya secara peribadi, meminati produk keluaran Telaga Biru Sdn Bhd. Kalau tidak membelinya saya akan membacanya di perpustakaan negeri. Isi yang padat, penuh info dan dalam bentuk yang menarik menjawab pelbagai permasalahan terkini di zaman serba canggih ini. Lagi satu yang terpenting sekali panel/penulis yang terlibat di dalam setiap penulisan mereka... latar belakang mereka memang meyakinkan misalnya berkelulusan/ berpengalaman belajar/berguru/ di Mesir, Jordan, universiti tempatan. Pada pendapat saya kalau hendak berbicara tentang permasalahan agama... biarlah orang yang sepatutnya, sedikit latar belakang ilmu/kerjaya/pengalaman banyak membantu meyakinkan kita kan. Kerana sumber ilmu itu terjamin tidak dipesongkan.

Lihat saja di fb, banyak benda yang tidak boleh dipercayai, banyak page yang tidak kita ketahui siapa adminnya dan kita pun ragu-ragu untuk terima apa yang ditulisnya di wall fb itu. Misalnya page XYZ menulis hadis, tetapi tidak ada rujukan dari mana hadis itu dicedoknya...ditambah lagi dengan admin XYZ yang tidak diketahui siapa pemiliknya.
 Sewaktu berkunjung ke Pesta Buku di PWTC, saya terus membawa mak saya ke booth Telaga Biru. Mak ada juga membeli beberapa buku doa sebagai tanda kenangan balik Sabah nanti dan menambah koleksi buku-buku agamanya, sudah tentu juga untuk kegunaan di rumah.

Hari ini ada pasar malam tidak jauh dari rumah kami, nak pergi juga ni...tunggu suami balik dulu then pergi sama-sama...char kue teow...yong tau foo...air selasih...sedikit barang dapur...kuih muih (adik dtg mlm karang)...ayam stop sekejap sebabnya sudah jemu...





 



HANTARAN PERKAHWINAN

Liputan internet di kawasan ini sememangnya kurang memuaskan. Hanya 15 minit sahaja menuju ke Klang Bandar Diraja, tetapi itulah realitinya. Kalau sebut Klang sahaja terlalu umum sebabnya ada Klang Utara, Selatan dan Barat, Klang Utama. Sewaktu mula-mula berpindah ke sini tiga tahun sudah, line telefon kami hanya boleh menerima SMS (khidmat pesanan ringkas) kalau bertelefon perlu keluar ke laman rumah. Nasib baiklah sekarang line telefon sudah ok. Ops! tidak semua syarikat telekomunikasi, hanya segelintir sahaja ya.
 
Internet ? Kali kedua menggunakan line dari syarikat telekomunikasi berbeza. Hanya baik sedikit berbanding yang dulu, cuma kalau nak upload gambar saya kena pastikan line ok terutamanya waktu pagi selepas tengah malam sehingga sebelum Subuh. Tapi waktu cuaca hujan, line memang kurang memuaskan. Pun begitu saya bersyukur jugalah masih boleh akses internet dan dapat update blog saya ini. Pilihan yang ada hanyalah menukar service internet yang lain. Saya dan suami sebelum ini sampai ke Bukit Tinggi... ada satu kawasan berdekatan Maybank, di situlah Digi, Celcom, Maxis dan lainnya (tak larat sebut) berkumpul untuk menjawab pertanyaan pengguna line masing-masing.
 
Terus kepada tajuk utama, hantaran perkahwinan. Keluarga saya tidak biasa dengan hantaran perkahwinan, maksud saya seperti yang selalu kita lihat dan dengar... 7 dulang di pihak lelaki berbalas 9 di pihak perempuan, 7 berbalas 9, 9 berbalas 11 dan sewaktu dengannya. Tetapi budaya yang sinonim dengan masyarakat di Semenanjung Malaysia ini/kaum Melayu semakin diterima baik oleh mak bapa kami di Sabah.
 
Terutama sekali kalau ada perkahwinan campur antara Sabah/Sarawak + Malaya, hantaran seperti sejadah+telekung, Al-Quran, make-up set, Wallet, I Phone, manisan, kasut, buku dan vcd agama, sirih junjung,.... antaranya lah kan. Tiba-tiba pula saya bercakap tentang hantaran perkahwinan. Semalam saya memasuki satu kedai yang menjual keperluan gubahan hantaran ini. Memang puas hati dengan barang-barangnya, semua ada. Rasa meriah juga melihat hasil kerja gubahan hantarannya, memang cantik dan berkelip-kelip, tak berkelip mata saya hehe...tapi untuk pameran sahaja tak boleh sentuh dan tangkap gambar. So, tengok sajalahkan. Untuk promosi barang dia tu...

Sebelum ini saya seringkali melihat banyak stok dihantar ke kedai ini, mungkin kerana permintaan tinggi dan sekarang menghampiri cuti sekolah, yang pastinya akan banyak majlis perkahwinan diadakan.

Di kampung saya sendiri sudah banyak yang mempraktikkan budaya ini. Seingat saya sewaktu majlis kahwin saya tahun 2008, hanya cincin dan kain kuning sahaja yang wajib dibawa oleh pihak lelaki sewaktu bertunang sekaligus bincang hal perkahwinan di samping duit kahwin sekian RM. Banyak adat yang kami tinggalkan sebabnya adat-adat itu menyusahkan dan tidak relevan lagi diamalkan pada hari ini, malah ada yang bersifat syirik.
 
Kemudian adik perempuan dan adik lelaki saya menyusul berkahwin pada tahun 2010 dan 2011. Kedua-dua mereka berkahwin dengan bangsa sendiri tetapi hantaran perkahwinan berbalas dulang itu tetap dibuat atas persetujuan kedua-dua belah pihak. Sekarang, InsyaAllah beberapa bulan dari sekarang semoga semuanya berjalan lancar... adik saya yang bekerja di KL ini akan melangsungkan perkahwinannya juga dengan orang Sabah, cuma berlainan bangsa. Hantaran perkahwinan selain RM, kuih penyaram 300 biji, sebentuk cincin kahwin, kain putih satu kayu/papan mengikut adat sebelah perempuan.
 
Tambahan kepada hantaran perkahwinan ini sama seperti hantaran perkahwinan yang lain atas persetujuan dan perbincangan antara adik saya dan tunangnya, kami di pihak lelaki membawa 7 dulang berbalas 9 dulang di pihak perempuan.
Saya terlibat secara langsung membuat proses hantaran perkahwinan ini, menyumbang tenaga mengubah secara kreatif dan menarik. Maka saya pun semakin akrab dengan blog, page, majalah yang memaparkan variasi gubahan hantaran. Gubahan pertama saya sewaktu majlis meminang tempoh hari, disiapkan dipulun dalam waktu singkat, menjadi bidan terjun kerana sudah tidak ada orang lain yang dapat diharapkan lagi. Alhamdulillah siap jugalah, buat sedikit research di internet dan sedikit panduan dari kedai yang menjual keperluan barangan hantaran... bermula dari dulang sehinggalah ke manik-maniknya.
 
Gambar hantaran semasa meminang itu yang tidak dapat diupload di blog ini. Akan diusahakan juga nantinya, tapi sudah upload di fb saya. Entahlah senang upload gambar di fb tapi susah pula di blog saya ini. Seronok juga buat hantaran ini, yang meriahnya sewaktu membawa dulang yang sudah siap untuk diletakkan semasa majlis nanti. Mampu dan tidak menyusahkan kedua-dua pihak, asalkan yang wajib diutamakan., rasanya tidak salah untuk dipraktikkan. Lagipun barang-barang hantaran itu untuk kegunaan kedua mempelai juga.
 
 


 
 
 
 

Friday, May 11, 2012

TIKET

RM 840 untuk dua orang, sudah tentu saya dan suami. Tiket sudah siap dibeli malam tadi. Si Erin jugalah yang cekap menjalankan tugasnya itu. Tidak pernah dia menghampakan kami setiap kali kami berurusan tiket dengannya, memang puas hati. Sememangnya lebih mudah kalau kita ada talian internet dan guna kemudahan seperti Maybank2u.com untuk beli tiket secara online. Bahkan setiap kali ada promosi, member yang akan dapat faedahnya terlebih dahulu.
Hmm...tapi buat masa sekarang biarlah kami berurusan dengan Erin dulu.

Berbaki lebih kurang tiga bulan sebelum penerbangan... sebelum ini kami akan membeli tiket enam bulan sebelum tetapi special case adik saya yang baru bertunang beberapa minggu sudah dan tunggu sudah confirm tarikh nikah/sanding/tingkuang... barulah kami beli tiket.
 Kira murah tu sebabnya naik MAS Airlines dari KLIA ke Sandakan, tiada transit, free berat beg 20 kg dan free makan. Suami saya awal-awal lagi sudah target kalau ada topi lambang MAS dia nak beli. Setakat ini suami sudah ada topi Airasia dan Firefly.

Ingatan saya tidak dapat ditahan-tahan terhadap satu peristiwa tahun lepas semasa kami balik untuk Hari Raya Puasa, sekali dengan majlis kahwin adik saya, Abdul Manan. Jerak/serik kami. Harapan saya nanti ianya tidak akan berulang lagi.

Bukan niat saya mencari kesalahan tambah-tambah lagi di hari Jumaat yang mulia ini... tapi kalau kita di pihak pekerja bermajikan dan berhadapan dengan pelanggan yang mempunyai latar belakang berbeza, karenah bermacam-macam, jalankan saja tugas tu sebaiknya mengikut peraturan syarikat, apapun cerita peribadi jangan campur baur dengan urusan kerja.

Kami naik MAS Airlines. Saya check-in di machine yang disediakan setelah itu drop baggage di kaunter. Di luar jangkaan pekerja di kaunter itu bersikap tidak seperti pekerja MAS Airlines yang saya biasa lihat. Sewaktu saya drop bag di situ, ada seorang penumpang yang lain overload bag dan ingin tumpang sekali dengan bag kami. ***Kami tanya petugas di kaunter itu, bolehkah macam tu, dia kata boleh.

Kami pun bagi 'boarding pass' yang diperolehi dari machine 'self check-in' tadi. Sekali dengan penumpang yang lagi satu. Petugas itu meneliti kedua-dua 'boarding pass' dan melekat 'tag' di tangkai beg masing-masing. Selesai... dia mengucapkan terima kasih dan menyerahkan semula 'boarding pass'. Penumpang yang lagi satu tiba-tiba bertanya sesuatu tentang penerbangan mereka menuju ke Tawau. Dan di sinilah bermulanya konflik antara saya, penumpang tadi dan petugas kaunter.

Saya dan suami menuju ke Sandakan, rupa-rupanya penumpang yang tumpang beg saya itu ke Tawau dan petugas kaunter itu tersalah tag beg, diringkaskan cerita dia telah tag beg saya menuju ke Tawau dan begitulah sebaliknya dengan penumpang yang lagi satu, begnya telah ditag menuju ke Sandakan. Kurang sejam sebelum penerbangan yang dijadualkan jam 7 pagi, hanya satu kaunter untuk bag drop sahaja dibuka dan barisan di belakang kami sudah panjang.

Mungkin kami salah, tapi kami juga keliru kerana 'tv' yang selalu memaparkan sekian kaunter untuk penerbangan ke sekian destinasi off. Rupa-rupanya kaunter untuk drop baggage itu bukan untuk satu-satu penerbangan sahaja. Lihat semula perenggan sebelum ini dan saya ada tanda ***Kami tanya....

Petugas di kaunter ada melihat 'boarding pass' kami sebelum tag beg. Seorang pekerja yang cekap dan peka akan cepat mengesan ada yang tidak kena sebaik sahaja kami beri 'boarding pass'. Pada masa itu dia boleh menegur kami supaya tidak boleh tumpang beg tambahan pula penerbangan kami berlainan. Apa sebenarnya yang dilihatnya di 'boarding pass' kami dan apa yang ada di kepalanya pada masa itu?. 

Kami disalahkan dibebel kerana kononnya kami menyusahkan petugas kaunter itu. Yang lucunya kononnya kami tidak memaklumkan dia terlebih dahulu tentang destinasi kami sehingga menyebabkan dia salah teg bag. So... apa fungsi 'boarding pass' itu?. Suami saya meledakkan kemarahannya di kaunter kerana sepatutnya dia perlu peka, itu tugasnya. 

Penumpang lain yang berbaris panjang di belakang kami mula gelisah, menjenguk-jengukkan kepala masing-masing malah ramai yang ke hadapan bertanya kenapa barisan tidak bergerak sedangkan masa semakin singkat untuk penerbangan. Sekali lagi, bukan hanya untuk satu destinasi sahaja. Malah ramai yang keliru bertanya di manakah tempat sebenar check-in.

Petugas kaunter itu dengan selamba menyuruh kami mendapatkan beg di satu tempat yang dipersetujui oleh kami sebaik sahaja kami sampai ke Sabah. Katanya sama-sama Sabah juga senang jumpa untuk tukar beg. Dengan marahnya suami saya membentak petugas itu, Tawau dan Sandakan itu bukannya dekat walaupun satu negeri, kenapa tidak tengok 'boarding pass' itu dengan teliti.

Konflik itu berakhir dengan campurtangan rakannya yang lagi satu, bersebelahan dengannya. Melihat situasi yang berlarutan hampir SETENGAH JAM, rakannya itu menyuruh dia tutup kaunter, turun ke bawah untuk tag semula beg kami. Malah rakannya yang meminta maaf kepada kami, buka kaunter baru dan melayan pelanggan yang lain dengan senyuman.

Kesan dari peristiwa itu, saya dan suami nekad tidak akan bermurah hati lagi untuk membenarkan penumpang lain tumpang beg kami. Untuk keselamatan kami, kerana kita tidak tahu apa yang ada di dalam beg orang lain itu. Curiga itu perlu di dalam situasi tertentu kerana kita tidak berseorangan dan setiap makhluk bernama manusia tidak sama perwatakannya, bukan.


Kita selalu mendengar slogan PELANGGAN ADALAH RAJA, terutama sekali kalau kita berada di pasaraya. Memang akan ada waktu-waktu tertentu kita seakan tercabar/ tidak sabar dengan karenah pelanggan yang cerewet. Tetapi memang begitulah bekerja, bermacam situasi yang perlu ditangani sepatutnya membentuk pekerja itu menjadi bijak menangani sesuatu permasalahan malah itu juga antara kayu ukur prestasi seseorang pekerja bermajikan.

Sekali lagi, janganlah berulang perkara yang sama. Semoga semuanya dipermudahkan urusan selepas ini. Siapalah saya untuk menilai orang lain, tapi yang pastinya saya bercakap dari kacamata seorang pengguna. Tidak semua begitu tetapi kadang-kadang yang seorang itulah yang selalu menjadi nila setitik, merosakkan susu sebelanga.