Friday, June 29, 2012

RM2

Dalam sebulan sekurang-kurangnya dua kali saya dan suami akan memasuki kedai 2 ringgit. Ada-ada sahaja yang mau dibeli. Walaupun tidak semua barangnya berharga 2 ringgit, banyak pilihan barang keperluan rumah lebih murah berbanding di tempat lain. Sesuai untuk budget rendah. Kualiti? Faham-faham sajalah kalau dah 2 ringgit tu, nasiblah dapat barang bagus.
 
Tapi boleh tahan jugalah, tengok jenis barang yang hendak dibeli tu kerana kebanyakan barangnya berasal dari China. Ada tali ampaian yang saya beli di kedai ini masih elok lagi sampai sekarang. Saya pakai lebih kurang dua tahun. Kira oklah tu. Beberapa hari lepas saya masuk lagi ke kedai ini dan saya perasan barang jualannya penuh berlambak di rak berbanding sebelum ini banyak rak kosong/kurang barangnya.
 
Agaknya stok baru sampai maklumlah menghampiri bulan puasa, membeli bunga tiruan untuk dibuat hiasan kira murah, cantik... berbaloi juga membeli di sini. Yang seronoknya kalau beli bunga tiruan ini bila nak tukar lain design, kita pun tak rasa sayang sangat sebabnya harga murah sahaja.
 
Terkini saya membeli glitter pen, senduk nasi dan notepad, total RM 8. Cuba kita amati barang-barang yang dijual, saya simpulkan apa sahaja barangan 'Made in China' mesti  digabungkan dengan seni kreatif. Contoh, sekali pandang seperti ubat gigi dan berus gigi yang dipenuhi ubat gigi putih tapi melihat dari dekat tertera pemadam dan penajam pensel. Berus gigi yang seperti dipenuhi ubat gigi putih itu adalah pemadam dan ubat gigi itu rupa-rupanya penajam pensel. Memang kreatif! Tak termasuk di pasar malam lagi banyak barangan dari China walaupun banyak yang tiruan tapi cantik dan kreatif kan?
 
Tidak sia-sia China memiliki rakyat yang banyak malah warganya yang beragama Islam sahaja jumlahnya melebihi orang Islam Malaysia sedangkan China kalau tak silap saya sebuah negara komunis. Penduduk yang padat tapi kuat bekerja menghasilkan banyak barang yang nampak macam kecil, remeh, murah tapi pasarannya menembusi negara luar. Melalui fb, saya terjumpa page yang dikhususkan untuk memborong barang-barang di negara Tembok Besar itu, disertakan sekali panduan memborong, tempat tinggal dan makanan yang halal serta jadual memborong ke sana.
 
Kedai dua ringgit yang saya maksudkan terletak di Klang, tidak jauh dari bangunan Centre Point. Berseberang jalan dengan 7-E. Menghampiri Hari Raya saya akan semakin kerap masuk di kedai ini sebabnya saya hendak membeli lagi tali ampaian untuk mak. Mak tidak minta tapi saya yang hendak membelikan untuknya. Nantilah ada gambar tali ampaian itu akan saya upload di blog ini. Sesuai untuk menyidai pakaian yang menggunakan hanger. Tak perlu risau tentang kepadatan pakaian tak payah susah -susah hendak sepit hanger untuk menjarakkan pakaian.








 
 

NOSTALGIA

Entah kenapa sebentar tadi melihat fb rakan-rakan lama terutama sekali rakan dari sekolah rendah... membuatkan saya terfikir banyak perkara. Ada di antara mereka yang tidak pernah lagi menjejakkan kaki ke kampung halaman sebaik-baik sahaja habis bersekolah sehinggalah sekarang melalui kehidupan masing-masing - bekerja atau berumahtangga.
 
Berjumpa atau terjumpa rakan-rakan sekolah rendah merupakan sesuatu yang sangat manis, ianya berlainan dengan rakan-rakan dari sekolah menengah/universiti. Apatah lagi berpeluang menghadiri perkahwinan salah seorang rakan sewaktu kanak-kanak dulu, spontan terbayang semula kenakalan yang lalu, betapa cepatnya masa berlalu. Nostalgia sungguh kan. Menikmati zaman kanak-kanak tahun 80-an dulu berbeza dengan zaman kanak-kanak sekarang.
 
Pendapat saya secara peribadi, pulang atau tidak kita ke kampung halaman ada kaitannya dengan orang tua masing-masing. Ada antara rakan-rakan saya itu menjadi yatim piatu sejak sekolah rendah dijaga oleh adik-beradik orang tua mereka dan setelah dewasa, bekerja dan berumahtangga... ibu bapa pasangannya masih ada lagi, sudah tentu perhatian akan memberat kepada pasangan hidupnya. Yalah, siapa lagi yang hendak dijenguk di kampung halaman kalau memang tiada yang wajib diziarahi. Melainkan kubur orang tua mereka ada di kampung halaman... itupun setakat singgah sekejap sahaja.
 
Mengambil contoh terdekat, mak saya sendiri berpuluh tahun tidak balik kampung halamannya sendiri setelah kedua orang tuanya/ datuk nenek kami meninggal dunia. Sehinggakan rumah kelahiran mereka adik-beradik menjadi usang, rebah menyembah bumi... hanya semak samun tumbuh subur sewaktu kami datang semula ke kampung mak awal tahun ini, disebabkan urusan tanah dan ladang kelapa sawit.
 
Kedatangan kami ke sana tentunya mengundang perhatian orang-orang kampung, hanya beberapa warga emas sezaman dengan datuk nenek kami sahaja yang mengenali mak saya. Tidak jauh dari tapak asal rumah, ada seorang adik mak yang setia menetap di kampung mereka sehingga kini walaupun peluang berhijrah ke tempat yang lebih baik terbuka luas. Dialah yang selalu membersihkan tapak asal rumah itu.
 
Walaupun adik beradik, sampai masanya berkahwin, bekerja, akan terpisah jua. Jarang sekali dapat berkumpul bersama-sama terutama sekali Hari Raya. Maklumlahkan... masing-masing ada giliran berhari raya di kampung halaman pasangan.
 
Saya patut bersyukur... kerana mendapat peluang balik kampung halaman setiap tahun bermula dari tahun 2000 saya mula datang ke Semenanjung ini. Sedangkan yang lain walaupun bekerja berumahtangga di negeri sendiri... ada yang sukar hendak balik kampung halaman sendiri disebabkan kekangan tertentu.
 
Bersyukurlah dengan kehidupan yang sedang dijalani, walaupun ianya mungkin biasa-biasa pada pandangan orang lain, tapi siapa tahu itulah kebahagiaan kita di sini.
 
Tidak ada yang kekal di dunia ini kerana yang abadi hanya di sana... di akhirat. 
 
 
 
 
 
 
 
 

Wednesday, June 27, 2012

AYAM MASAK KICAP

Ayam - potong ikut citarasa masing-masing
Bawang merah rose, bawang putih, halia, kunyit hidup - ditumbuk kasar@halus
Sedikit tepung jagung untuk memekatkan kuah
Kicap pekat manis ABC sauce Heinz
Sup tulang Adabi (peket)
Bawang holland potong bulat/gelang
Cili merah dipotong serong - tak payah buang biji
Cara memasak :
Tumis bahan-bahan yang ditumbuk halus@kasar. Masukkan sup tulang Adabi (yang dijual peket)
Masukkan ayam.
Tumis seketika sehingga naik bau, masukkan air, masak sehingga mendidih dan ayam hampir masak. Tambah air sekiranya berkurangan atau ayam belum masak lagi.

Setelah kuah tinggal sedikit dan ayam sudah masak, kecilkan api. Masukkan kicap pekat manis dan tepung jagung untuk memekatkan kuah.

Kemudian masukkan bawang holland dan cili merah.
Masak sekejap lagi untuk sebatikan semuanya dan padam api. Siap untuk dihidangkan.
....................................................................................
Stail masak ayam masak kicap ini biasa kami buat di rumah. Kicap dimasukkan akhir sebabnya kami tak suka kuali tu hitam sangat selepas melalui proses mendidih dan mengurangkan sedikit kuahnya itu.

Saya pernah juga terjumpa resipi ayam masak kicap yang memerlukan goreng ayam terlebih dahulu kemudian masak kicap dan kicapnya ditambah di awal masakan.

Memandangkan saya berada di Malaya, sukar untuk mendapatkan kicap yang biasa kami gunakan, rasa terdekat sos ABC produk Heinz itu.
Gambar tiada disertakan sebabnya  wayar USB entah di mana letaknya, lagipun resepi ayam masak kicap ini tidak begitu asing sangat di mata orang lain kan... malah bahan-bahan yang saya gunakan pun simple sahaja dan senang didapati di mana-mana pasaraya/kedai runcit/pasar borong.



Tuesday, June 26, 2012

SMS

RM 0.00 : Free 7 days love & romances magazine! Send ON LOV to 2220! RM1/Week.
 
Mesej yang masuk di inbox handset saya tengah hari tadi. Free letak depan, bayar letak belakang. Mengingatkan saya dengan karenah jurujual jualan langsung yang selalu putar belit dan merimaskan walaupun kita sudah beritahu tak mau beli (tidak semuanya hanya segelintir kecil sahaja bersikap begitu, diorang pun cari makan juga kan).
 
Tapi memang dahsyat lah yang datang rumah saya ni. Tak dapat pintu depan rumah, pergi kat pintu belakang dekat dapur, memaksa lagi supaya membeli barang diorang. Begitu juga yang minta derma untuk sekian pertubuhan itu ini yang meragukan walaupun  ada gambar dan surat rasmi.
 
Kadang-kadang tu saya berfikir seperti ini - jenis yang tak faham bahasa ini ada baiknya ditangani dengan parang ataupun penyapu... buat stail kampung. Bukanlah hendak libas betul-betul, setakat gertak bagi diorang beredar, dah memang tak reti bahasa pulak tu ada yang siap marah kita lagi kenapa tak beli barang diorang, cakap kita kedekut!
 
Isk...isk..isk, kalau ya pun nak promosi barang tu, agak-agaklah, perlukah bersikap biadap sebegitu? Saya ni bukan anti sangat dengan jurujual kadang tu kesian pun ada melihat diorang berpeluh-peluh lagi tu tengah cuaca panas... carilah kerja lain kalau sampai ke tahap memaksa/ putar belit tanpa sedar kita mencari rezeki sambil menyakiti hati orang lain. Bisnes motifnya memang untuk mengaut keuntungan sebanyak mungkin... tapi dalam pada menjalankan perniagaan itu banyak yang 'itu ini' yang tidak sepatutnya berlaku/diamalkan, tak ke mana juga rezeki itu lagi susah nak masuk.
 
Tidak jauh dari kawasan perumahan saya ini, ada satu kawasan lagi yang didiami oleh kaum Cina. Diorang siap lekat sticker no salesman di pintu rumah dan letak anjing di hadapan rumah. Nampak sangat diorang tak berkenan dengan jurujual. Yalah kalau menyusahkan siapa yang larat nak melayannya. Banyak lagi kerja yang perlu dibuat.
 
 
 
 

TERLEBIH SUDAH

Membawa maksud lebih daripada yang sepatutnya, contoh kalau kita makan dan kenyang siap sendawa lagi tapi masih juga makan - melantak, kira terlebih sudahlah tu. Jadi kalau kita terlalu berprasangka membayangkan yang macam-macam sehinggalah kita sendiri percaya dengan apa yang kita bayangkan itu... itupun terlebih sudah...
 
 
Yang baik datang dari Allah S.W.T dan yang tidak baik datang dari diri sendiri. Kadangkala kita menyalahkan orang lain kenapa mereka bersikap sinis, dingin, menyindir dengan kita tapi siapa tahu mungkin ianya bermula dari sikap diri kita sendiri. Yalah, hendak tahu kita ni baik ke tidak... kenalah sesekali melihat  refleksi/cermin  diri melalui kaca mata orang lain. Selalunya musuh yang tidak digemari itu akan berterus terang menyatakan keburukan/kelemahan yang kita seboleh-bolehnya tak mahu dengar, dibandingkan dengan rakan baik kita yang sentiasa menyokong dan menyatakan yang baik-baik sahaja. Rakan baik sangatlah baik sehinggakan hendak menegur pun rasa serba salah.
 
 
Ehem ehem... sebenarnya saya nak cerita tentang fb (masih dalam mood fb ni, sorry yer...). Seorang rakan fb saya menyangka saya sedang mengandung, dan dia pun bertanyalah bila due. Saya tidak pernah walau sekali pun menyatakan saya sedang mengandung di wall fb, sebabnya memang saya tidak berada dalam kondisi itu. Tapi yalah kan... sekali lagi yang baik itu datangnya dari Allah S.W.T dan yang tidak baik berpunca dari diri sendiri. Ianya bermula setelah rakan saya itu ada melihat gambar saya yang seakan-akan mengandung, maklum... badan tengah naik masa tu, ditambah pula time kami bergambar tu angin bertiup dari arah belakang menyebabkan baju yang saya pakai 'terlebih sudah' ke hadapan menambahkan lagi prasangka yang saya sedang mengandung. Dan dikuatkan lagi dengan banyak gambar anak buah yang masih baby tu (yg ditagged oleh family) menghiasi fb... sudah tentu  menguatkan lagi sangkaannya itu.
 
Jangan terlalu percaya dengan fb. Ianya bukan jaminan 100% siapa kita di luar dari fb. Tengok boleh, percaya 50-50. Ada yang mengaku bujang tapi sebenarnya sudah beranak pinak, ada juga yang mengaku 'married' walhal still bujang trangtrangtrang lagi, bergambar berdua dengan adik sendiri disangka pula boyfriend... macam-macam ada.
 
Biasalah tu... ada masanya terlebih sudah kan?


 
 
 
 


 
 
 
 

Monday, June 25, 2012

like.comment.share


dia memandangku sambil tersenyum
seperti dia sedang melihat anak kecil berlari riang
dia menggenggam tanganku erat... lembut
seperti dia sedang memegang sutera
ketika awan hatiku sedang kelabu
dia muncul seperti matahari terbit pagi
menyinari bumi kasihku
bayu cintanya tidak pernah bertiup kencang
bayu cintanya hanya berbicara lembut
membelai halus rambutku
mencium pipi mulusku
kasih sayangnya seluas lautan
walau ombak sering membadai pantai
atau meragam menangis membentak di tengah samudera luas
kapal hatinya tetap tegar meredah gelombang
membawaku menuju destinasi
kebahagiaan
 
Hakcipta terpelihara @ monalizahrais 

like.comment.share

................................................................................................

Ok... dilarang keras copy paste, tidak dihalalkan yer... pagi ni berjiwang-jiwang dulu. Bab tulis puisi ini bukan bidang saya, sekadar suka-suka saja tu. Asyik-asyik menulis di blog yang serius saja bunyinya... tulis lain macam sikitlah pula. 

Separuh dari puisi yang tidak seberapa ini saya tulis di wall fb malam tadi sebelum masuk tidur, itu yang taip like.comment.share tu sekadar ambik mood fb.
 
Ok, ceriakan pagi kita dengan senyuman...'penyakit umum' yang senang berjangkit dengan orang lain.


 

Sunday, June 24, 2012

MASAK RANUM



Zaman lain, kisah pun berlainan. Zaman mak bapa nenek moyang kita, walaupun umur baru belasan tahun... tapi sanggup memikul tanggungjawab berumahtangga, malah kekal sehingga anak cucu cicit/ hingga hujung nyawa. Zaman kita pula, belasan tahun masih bersifat kebudak-budakan... boleh tahan lah juga tapi kalau dah umur 20-an masih berfikir macam remaja bawah umur, payah juga tu nak dewasa lambat sikit matangnya (bukan tubuh badan tapi cara berfikir).
 
Mungkin ianya ada kaitan dengan kesedaran pentingnya pendidikan dan keperluan materialistik. Harga keperluan asas seperti makanan dan pakaian apatah lagi rumah semuanya semakin mahal dari sehari ke sehari, walaupun arus kenaikannya bergerak perlahan. Seperti jarum saat, ia terus berputar perlahan tetapi konsisten membentuk minit dan jam tanpa sedar.
 
Remaja yang terus bekerja selepas habis peperiksaan SPM dan fokus sepenuhnya dalam bidang pekerjaannya itu akan terarah kepada perkahwinan, aset seperti rumah atau kereta. Dia akan cepat menjadi dewasa kerana bergelumang di dunia realiti. Berbeza remaja yang menyambung pelajaran sehabis peperiksaan SPM pula, rasa menjadi remaja itu berpanjangan sehinggalah habis belajar dan mendapat diploma atau ijazah. Pada ketika ini remaja yang bekerja selepas SPM itu sudah memiliki sebahagian aset sama ada rumah, kereta, ataupun sekurang-kurangnya naik pangkat dan sudah berkahwin/ beranak pinak.
 
Ikut pengalaman saya sendiri, ada di antara rakan saya yang terus kahwin sebaik sahaja habis sekolah. Masa itu saya rasa hairan sangat kenapa mereka berfikir seperti itu. Tetapi kemudian saya katakan kepada diri sendiri... lain orang lainlah cerita kehidupannya.
 
Bercerita tentang perkahwinan, sesuatu yang menyeronokkan bagi saya. Opps! Jangan fikir yang bukan-bukan ya, maksud saya transformasi cara kita berfikir. Semasa bujang, mustahil saya akan dapat menulis pelbagai cerita di blog ini... kalaulah pada masa itu saya ada blog. Minat menulis ini  malah berjinak dengan dunia blog hanya setelah menjejak usia 30-an dan berbelas tahun menjadi anak perantau.  Dunia bujang kita dahulunya terbatas dengan rakan-rakan yang bujang sahaja,  membuat keputusan diri sendiri, ikut kata hati diri sendiri tanpa dipengaruhi orang lain. Setelah berkahwin kita tidak boleh sesuka hati membuat sesuatu keputusan kerana kita sudah berdua bukan. Kena saling bertolak ansur.
 
 Kalau tetamu bertandang ke rumah, saya hanya akan menghidangkan minuman sahaja lepas tu masuk bilik ataupun berperap di dapur, orang tua yang melayan tetamu tetapi setelah menjadi isteri... bermula dari menyambut salam menjemput tetamu masuk rumah hidangkan air dan melayani karenah tetamu, mahu tidak mahu itulah tanggungjawab kita sebagai tuan rumah. Itu tidak termasuk bagaimana menangani tetamu yang tidak diundang ataupun tetamu yang banyak songeh.
 
Menempuh alam perkahwinan juga bermakna kita berhadapan dengan pelbagai peringkat umur anggota keluarga kedua belah pihak suami dan isteri. Bermula dari cucu sehingga ke nenek datuk. Malah kita akan banyak pangkat dan gelaran... aunty, uncle, kakak, adik, biras malah nenek dan datuk!. Suami saya anak bongsu dan ada antara anak buah kami yang berkahwin muda dan mendapat anak... menjadilah kami datuk dan nenek...
 
Dan banyak lagi kan...
 




MOOD

Dua tiga hari ini... entahlah malas menulis di blog tiba-tiba pula macam tu. Bukannya kekeringan idea, tapi entah tiada mood pula. Petang ini menghampiri Maghrib saya gagahkan juga menulis, tak boleh ikutkan sangat perasaan malas menulis itu. Tapi mungkin tulisan ini bernoktah menghampiri Isyak, sebabnya kena fikir tulis edit stop sekejap untuk solat Maghrib...+- play, pause, continue, end.
 
Hmmm... cerita tentang apa ya? Cerita pasal rumah siap tapi pahat masih berbunyi - selalunya selepas menghadiri majlis perkahwinan, segelintir kaum hawa yang prihatin dengan segala macam dekorasi pelamin, solekan pengantin, handsome/cantik mempelai dan sewaktu dengannya itu akan 'dibahas' sekembalinya dari majlis tersebut.
 
Bermacam nada suara turun naik saling sahut menyahut  antara satu dengan yang lain. Rancak bercerita kalau masuk tajuk mengumpat, sering dikaitkan dengan perempuan.

Saya tak reti nak gambarkan macam mana, banyak versinya kan. Semua orang pun tahu. Tulisan ini ingatan untuk diri saya terlebih dahulu. Berbicaralah yang baik-baik sahaja atau lebih baik diam. Di pihak kita, ianya hanya sekadar pendapat, tapi di pihak orang lain/pendengar kita tidak tahu adakah dia berfikir/sependapat sama seperti kita.
 
Bagi contoh senang nak faham kan. A hendak membeli baju kurung atau jubah. A pun pergilah mencari baju kurung/jubah yang kena dengan citarasanya, di samping melihat internet dan survey banyak kedai/butik pakaian untuk mendapatkan harga yang berpatutan. Ada baju yang cantik tapi saiz yang ada cuma saiz kecik atau saiz XXXL. A mencari saiz 'yang sedang-sedang saja' tapi ternyata design yang ada pun tidak memenuhi citarasanya.
 
Lama-kelamaan A dapat juga saiz  yang sesuai dengannya walaupun tidak memenuhi sepenuhnya citarasa yang dikehendaki. Tak kisahlah fikir A sebabnya kalau dia menangguh pembelian bajunya, dia bimbang duit yang ada akan terguna kepada perkara-perkara lain. 
 
Lagi nak tangguh, nak servay semula mencari sana sini, banyak buang masa - fikir A. Sedangkan ada banyak lagi kerja yang perlu dibuat yang lebih penting daripada asyik ke sana sini hanya semata-mata satu baju/jubah. Yang penting selesa dipakai.
 
Rakan A yang bernama B, sebaik sahaja nampak baju kurung yang dibeli rakannya, pantas sahaja komplen macam-macam siap tunjuk gambar lain yang lebih cantik berbanding baju yang dibeli A. 
 
So? Apa tujuan buat macam tu? Baju sudah beli  kemudian dibandingkan dengan baju lain yang kononnya lebih cantik... duit engkau ke? Kau yang pakai baju tu? Hello... baju itu kawan kau yang pilih dia yang nak pakai macam tu, itu hak dia ok!

Agak-agaklah kalau hendak memberi pendapat tu. Cantik di mata kita mungkin hodoh di mata orang lain. Citarasa berbeza beb! Bayangkan kita berhari raya di sepuluh rumah yang berlainan... tidak akan ada dua rumah yang sama dekorasi/hiasannya bukan? Walaupun mungkin kesemuanya menghidangkan rendang atau ketupat, tapi tetap tidak ada yang sama 100% bukan, kalau sama 100% tu kita mesti terfikir siapa tiru siapa, tak gitu?

Belajarlah menghormati hak orang lain. Sama macam peristiwa yang sudah berlalu, tiada guna mengungkitnya semula lebih-lebih lagi yang menyakitkan hati, akan ada hati dan perasaan yang tersinggung. Hari ini milik kita sepenuhnya, itulah realiti yang perlu ditempuh. Hari esok penuh dengan ribuan harapan, cita-cita. Orang yang lebih baik dari hari semalam itulah yang terbaik, bukannya menjadi lebih teruk berbanding hari sebelumnya.



 
 


 

Thursday, June 21, 2012

PAKAR

Simple saja makanan tengah hari kami, tahun lepas... masih dalam mood raya. Jemu makan ayam dan daging, makan lain pula. Tendakal, ulas buah terap ditumis dengan belacan, ikan masin, sedikit ikan goreng dan sayur. Makan ramai-ramai satu keluarga.
 
Bercakap tentang makanan dan masakan. Beza antara yang pandai memasak dan tahu memasak bagi pendapat peribadi saya - pandai memasak maknanya tahu selok belok masakan, sebaliknya tahu memasak tidak semuanya masakan dia tahu buat hanya masakan  tertentu sahaja. Seseorang yang berniaga restoran sebaik-baiknya pakar dalam masakan kerana dia akan berhadapan dengan bermacam jenis pelanggan, walaupun setakat berniaga nasi ayam.
 
Saya bukan pakar memasak, tapi yang pastinya saya tahu masak makanan yang saya suka makan dan tahu masak masakan kegemaran suami saya, sekalipun saya tidak makan makanan itu. Contoh... suami saya suka makan ikan cencaru, saya boleh makan ikan cencaru setakat secubit sahaja, ikan cencaru bukan makanan pilihan saya tapi saya berusaha belajar resepi berkaitan ikan cencaru dan Alhamdulillah suami suka dengan setiap masakan saya, malah tidak cerewet.
 
Bukan memuji diri sendiri... saya menulis seperti itu sebabnya sering kita mendengar menjadi isteri perlu pandai memasak pelbagai masakan dan kuih muih. Betul... tapi tidak semua wanita berpeluang mempelajari pelbagai masakan sewaktu bujangnya, ada yang terikat dengan kerja dan pelajaran, jadi fokus utama di situ. Hanya setelah menempuh alam perkahwinan barulah fokus itu mengarah kepada topik masak memasak. Tidak semuanya begitu tapi memang wujud situasi sebegini di zaman serba moden dan pantas ini.
 
Minat atau tanggungjawab antara sebabnya. Mula-mula saya datang ke Semenanjung Malaysia ini melanjutkan pelajaran di UM, sukar untuk saya menerima rasa makanan yang baru seperti tomyam, pelbagai masakan goreng yang mesti ada kepingan/cebisan isi ayam dicampur, minum manis selepas makan dan bermacam lagilah resepi yang sukar diterima tekak saya. Nasib baik ada satu gerai Kelantan tidak jauh dari rumah sewa saya pada masa itu yang menjual ikan bakar, ayam bakar dan sayur-sayuran.

Di tempat inilah saya membeli makanan setiap hari kerana itu sajalah yang dapat diterima tekak saya. Malah nasi lemak sukar juga untuk saya menerima rasanya kerana saya sudah terbiasa dengan nasi kuning... sama juga cuma berbeza dari segi warna sahaja. Nasi kuning yang sering saya makan lauknya ikan tongkol yang dimasak merah dan mee goreng kicap dengan telur dadar sarapan yang banyak disediakan di mana-mana gerai atau restoran di Sandakan. Tapi itu dulu, sekarang lebih kurang sama macam di sini juga sudah ada pelbagai pilihan.
 
Persekitaran mempengaruhi diri seseorang itu, lambat atau cepat kita akan serasi juga dengan situasi baru. Pertama kali menyewa rumah sewa sekali duduk dengan rakan serumah pelbagai negeri dan secara kebetulan rakan-rakan saya ini semuanya hebat dalam bidang masakan malah kuih muih tradisional dan moden... tempias itu terkena saya juga. Daripada seorang yang hanya tahu masak nasi dan masakan biasa-biasa sahaja, saya akhirnya tahu juga memasak tomyam, pelbagai jenis masakan goreng dan sedikit kuih muih, pengat. Minat itu muncul perlahan-lahan bermula dengan belajar secara langsung dengan housemate, menyalin resepi di majalah dan surat khabar sehinggalah mengumpul buku masakan siap bawa balik kampung kasi dekat mak.

Sekarang... bermula dari bahan mentah memilih membeli di pasar sehinggalah masak dan berhidang di pinggan, tidak ada masalah untuk memasak makanan untuk tetamu sekiranya ada majlis kenduri doa selamat di rumah saya. Kebiasaannya sekitar 50 orang tetamu akan bertandang ke rumah untuk majlis kecil-kecilan. Hanya kami adik beradik ipar duai mengendalikan hal-hal dapur tidak perlu menyuruh orang lain masak atau katering. Malah kenduri tahlil arwah bapa kami yang dihadiri hampir seluruh penduduk kampung...+- ratus juga yang datang.... Alhamdulillah kami adik beradik ipar duai dapat menyediakan semua masakan kecuali nasi yang dimasak oleh makcik kami.

Kemahiran memang boleh dipelajari, adanya minat mendalam memudahkan lagi pembelajaran itu. Sekiranya setakat tuntutan tanggungjawab sahaja, kemahiran itu tidak akan berkembang hanya di aras itu sahaja, disorong oleh minat mendalam pula banyak perkara baru yang dapat dipelajari malah kita sendiri terfikir... rupa-rupanya aku boleh buat macam ni!






 
 
 
 


SIAPA KITA DI LUAR RUMAH

Kredit gambar : Google
 
Kecuali artis terkenal... siapalah kita di mata orang lain. Tiada siapa yang akan teruja melihat kita di mana-mana, apakah salah betul kita memakai pakaian itu ini melainkan trend pakaian itu lain sangat. Tetapi selalunya lebih kurang sama macam orang lain juga.
 
Kadang-kadang di luar jangkaan kita akan terserempak dengan kawan lama, rakan sekampung di tempat-tempat yang tak terduga misalnya lapangan terbang, pasaraya atau ketika berada di daerah tertentu. Ada masanya juga ingatan kita samar-samar, siapa yang menegur kita itu maklumlahkan... berbelas malah berpuluh tahun tidak berjumpa. 
 
Saya tidak menyangka akan berada di Kota Kinabalu selama seminggu, peristiwa tahun lepas sebenarnya. Sebelum ini saya cuma transit beberapa jam di sana itu pun sebab menaiki kapal terbang. Saya tidak ingat sangat tempat itu, tapi kami sedang parkir kereta di tepi sebuah restoran. Penjaga parking menegur kami datang dari mana dan buat apa di KK.
 
Berbual seadanya rupa-rupanya dia pun asal Sandakan juga. Mengejutkan saya, dia berkata sebaik sahaja kami turun dari kereta dan ternampak saya... dia tahu siapa saya, satu sekolah dengan dia dulu, sebab itulah dia menegur kami sekeluarga. Puas saya memikir siapa orang itu, sungguh saya tidak kenal dia walaupun satu sekolah. Menurutnya lagi, dia selalu tengok saya di sekolah semasa sekolah menengah dahulu.

Bukanlah saya hendak perasan saya ni hebat dan sewaktu dengannya, tapi saya terfikir saya tidak kenal dia, tapi dia sebaliknya malah masih boleh cam saya sebaik sahaja turun dari kereta (mengikut yang dia cakapkan). Apa yang saya terfikir ialah bagaimana pembawaan diri saya walaupun berada di tempat yang tidak mungkin ataupun peratusannya rendah untuk terjumpa dengan orang yang kita kenali. Bayangkan sekiranya saya bersikap buruk tanpa sedar mungkin disaksikan oleh orang yang kenal kita, juga berada di tempat itu, cuma kita tidak tahu dan dia pula tidak menegur kita... entah apa yang difikirkannya.
 
 Apalah sangat hendak difikir benda-benda macam tu... tapi ada masanya juga tiba-tiba orang yang tidak kita kenali tapi selalu ter...sama-sama berada dalam tren, LRT. Tidak pernah bertegur sapa tapi sama-sama tahu kehadiran masing-masing. Sehinggalah pada satu hari kita tidak nampak lagi kelibatnya bersama-sama dalam perjalanan seperti hari-hari sebelumnya, terdetik juga di hati... di mana sudah orang tu? Sudah pindah kerja ke?
 
Hari demi hari berlalu sehingga kita mengandaikan sah memang dia sudah berpindah ke tempat baru ataupun pergi ke tempat kerja dengan kereta baru (padahal setakat andaian semata-mata). Permainan perasaan diri sendiri saja tu. Itu tandanya mungkin ada sesuatu yang menarik tentang dirinya walau cuma beberapa minit berada bersama-sama dalam satu-satu perjalanan tapi ter... sama-sama setiap hari, suasana yang hampir sama membuatkan ketidakhadirannya mengundang pertanyaan.
 
Sehinggalah tiba satu hari setelah sekian lama tidak nampak kelibatnya dan kita pun sudah lupa tentang itu, tiba-tiba tanpa sedar dia berada di sebelah kita dalam tren yang sama, kesesakan yang sama, malah  sebaik sahaja terpandang wajahnya... spontan dia pun mengukir senyuman... sekali lagi tanpa kata-kata.
 
Maknanya sama-sama tahu... lebih dari itu... malas mau sambunglah. Awal pagi ni tulis macam tu pula, jiwang sekejap...lalalalala....


 
 
 






Wednesday, June 20, 2012

MULUT

Kredit gambar : Google
 
Kerana mulut badan binasa... betul betul betul (ajuk sekejap cakap upin ipin). Tahun lepas saya berhari raya di rumah si polan. Dia ni jenis berterus terang memang cakap tak de lapik langsung. Bukan niat saya hendak mengumpatnya tapi setelah bermalam di rumahnya beberapa hari dan mendengar ceritanya... bukannya saya tidak percaya ceritanya itu tapi saya berpendapat segala masalah yang diceritakannya itu bermula dari dirinya sendiri.
 
Sebabnya, saya sendiri tersinggung dengan kata-katanya, rasa lucu pun ya. Dia komplen kami suami isteri kononnya tidak berpenampilan menarik, selekeh. Berkali-kali dia menyuruh suami saya grooming rambut di salon, menyuruh saya makan itu ini untuk jaga badan seolah-olah saya ni badak sangat. Padahal anaknya lagi badak dari saya. Mulanya saya rasa marah tapi akhirnya saya hendak tergelak mendengar dia komplen kami suami isteri. Syukur Alhamdulillah saya mampu melihat dari sisi berlainan dan mengambil iktibar untuk diri saya sendiri. Hati kecil saya berbisik sendiri, padanlah dia kena santit/santau ... kalau jenis tak sayang mulut...
 
Sebaik sahaja dia mula membebel komplen macam-macam, mata saya melihat kondisi suaminya lebih teruk berbanding suami saya... suaminya seorang yang sangat sedih, sentiasa letih mudah tertidur di mana-mana sahaja walaupun setakat di bangku awam. Baju yang dipakai suaminya lusuh kotor seperti tidak berbasuh, rambut serabai. Anak lelakinya sekali pandang macam gangster dengan rambut kembang, bertindik di telinga, jeans koyak, berbau rokok dan arak. Anak perempuannya pula sentiasa tak cukup 'kain'.
 
Maaflah agak kasar sedikit, bayangkan kalau seseorang komplen kita tapi keadaannya lebih teruk dari kita... mestilah kita rasa lain macam kan, apahal dia cakap macam tu tapi dia sendiri pun tidak meyakinkan. 
 
Bercakaplah yang baik-baik sahaja atau lebih baik diam. Bagi kita mungkin ianya tidak apa-apa, sekadar pendapat tapi penerimaan dan pemahaman orang lain yang mendengar setiap patah kata kita itu tidak semestinya selaras dengan apa yang kita fikirkan. Ada yang tersinggung dan terus berdendam membalas secara halus. Ada juga yang bersifat sabar walaupun tersinggung. Manusia banyak ragamnya walaupun ahli keluarga kita sendiri. 
 
Salah faham sering terjadi. Kita fikir macam tu, dia fikir macam ni. Sebaiknya jangan cepat berprasangka buruk dan terus percaya dengan prarasa yang tidak pasti itu. Apapun bentuk perasaan yang berlegar dalam diri kita pada masa itu, tidak semestinya itu juga yang ada dalam fikiran orang lain walaupun mimik muka lebih kurang sama. (macam mana tu?)

Ada sekali saya berjumpa dengan seorang kawan. Dia hendak mempromosi barangan jualannya. Saya dan suami pun pergilah jumpa dia di restoran berdekatan rumah kami. Mula-mula bertanya khabar meleret kepada hal ehwal kampung halaman. Kami berdekatan kampung. Bual punya bual entah macam mana terbuka cerita tentang masjid baru yang didirikan di satu simpang. Rancak bercerita lagi sahut menyahut tetapi akhirnya kami tergelak sesama sendiri, sebabnya kami bercerita masjid yang berlainan tempat. Gambaran visual masjid dalam kepala kami berlainan walaupun topiknya sama iaitu masjid baru. Akhirnya kerana berlainan cerita ini, rupa-rupanya ada beberapa masjid baru didirikan di kawasan kami...  ingatkan satu sahaja.
 
Ada sekali hujung minggu, saya, suami dan adik hendak ke Mid Valley. Jadi kami pun pergilah ke sana menaiki kereta adik saya. Masa tu adik saya baru transfer KL tak tahu banyak jalan, jadi dia pun ambillah jalan yang dia tahu untuk ke Mid Valley. Rupa-rupanya kami parkir di The Garden yang bersebelahan dengan Mid Valley. Saya sendiri tidak perasan kami parkir di The Garden sehinggalah keluar dari kereta dan memasuki bangunan The Garden. Susah juga hendak dapat parkir sebabnya faham-faham sajalah hujung minggu, bukan hari bekerja dan kebanyakan pengunjung pasaraya mengambil kesempatan ini untuk berbelanja bersama keluarga.
 
Saya dengan spontan mengatakan kami perlu ke bangunan sebelah ke Mid Valley - tujuan asal kami ke sana. 'Kita dah salah masuk ni.' Selesai berkata seperti itu, adik saya terus berdiam diri dan riak mukanya tension, siap mengeluh lagi. Hairan juga melihat perubahannya itu, tadi ok je sekarang lain macam. 'Kau kenapa macam muka tension je?' Tanya saya.
 'Jadi kita kena balik semula ke kereta lepas tu keluar cari jalan lain pula menuju Mid Valley?' Oh, rupa-rupanya adik saya menyangka sebegitu sedangkan maksud saya lain. Tergelak juga saya... 'Tak payah, jalan kaki sajalah, kita cari saja 'jambatan' atau pintu keluar yang terus ke Mid Valley.' Barulah dia tersenyum-senyum.
 
Ok, kasi satu contoh lagi... masa di Sabah hari tu, saya berniat hendak memasak makanan untuk diberi kepada jemaah yang bersembahyang Jumaat. So... saya pun membelilah bahan-bahan mentah yang diperlukan - mee satu bundle, kicap, telur satu papan, bekas polistren, plastik, sayur... Al kisah sampailah hari yang ditunggu-tunggu. Pagi Jumaat itu awal lagi saya bangun mau masak mee. Tapi tiba-tiba mak saya mengatakan dia hendak ke bandar ada sedikit urusan... dan nampak gayanya dia jalan dengan adik saya sajalah. Hasrat hatinya hendak jalan sekali dengan saya tapi tak jadi sebabnya saya perlu masak mee goreng untuk jemaah di masjid.
 
Dan saya pun bergeraklah ke dapur hendak memulakan projek  mee goreng tu... tapi kemudiannya tak jadi masak, sebabnya? Bawang sudah habis dan minyak juga tinggal sedikit. macam mana hendak masak? Takkan kita bersedekah hentam keromo sahaja? Kalau ya pun agak-agak lah kan...Macam manalah aku tak perasan benda-benda penting ni? Rungut saya sendiri. Jadi... terpaksalah tangguh ke Jumaat minggu hadapannya.
 
Saya, mak dan seorang lagi adik pun berangkatlah ke bandar. Adik saya yang memandu kereta sepanjang perjalanan masam sahaja mukanya, mungkin bergaduh dengan isterinya, fikir kami. Saya dan mak tanya juga kenapa dia macam tu, gaduh dengan bini ke? Tapi adik saya jawab acuh tak acuh saja, dan riak mukanya kelat sepanjang  hari. Teruk juga diorang ni gaduh kot, fikir kami...
 
Menjelang tengah hari, urusan mak dah siap dan barang-barang yang saya perlukan pun sudah dibeli... dalam perjalanan pulang ke rumah telefon saya tiba-tiba berbunyi. Adik bongsu saya bertanya... 'Jadi ke buat mee goreng tu hari ini? Kakak XYZ tanya dia tak mau buat mee goreng untuk sedekah masjid tu, dia tak pandai masak banyak tu.'

'Oh, lupa pula aku bagitau kamu... mee goreng tu pospon minggu depan, enda jadi dibuat hari ni, enda cukup bahan-bahannya,' jelas saya. Barulah kelat muka adik saya yang tengah memandu itu hilang. Rupa-rupanya dia dan isterinya menyangka saya menyuruh adik ipar saya itu memasak mee goreng bagi pihak saya. Sampai di rumah saya menjelaskan hal sebenarnya, pagi itu saya tidak sempat maklumkan diorang di rumah sebabnya kelam kabut bersiap turun sekali dengan mak ke bandar.
 
Tanpa sedar kita telah membuatkan pihak lain terasa walaupun tidak ada sekelumit pun tujuan berbuat sedemikian... kerana jarang sekali fikiran kita sama aras dalam satu-satu masa. Apatah lagi tidak semua orang memiliki/kurang rasa empati -  berupaya menyelami apa yang sedang dirasai oleh orang lain. 


 
 
 
 
 
 
 


 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 


Tuesday, June 19, 2012

PINK

Dalam plastik, baru naik dari 'darat' (halaman belakang rumah)
 
 
Letak dalam raga untuk dibasuhbersihkan
 
 
Rendam dalam air panas +- sama macam kita rendam mee segera
 
 
Tulisan saya sebelum ini bertajuk JOM MAKAN, saya mengatakan akan bercerita tentang buah lain yang tidak ada dijual di mana-mana sama ada di pasar malam ataupun pasar borong. Buah ini juga buah hutan. Kecuali mereka yang berketurunan orang asli ataupun kerap masuk hutan mungkin mengenali buah ini.
 
Kami menggelar buah ini buah TENDAKAL. Nama saintifik saya tidak tahu. Ketinggian pokok buah tendakal ini yang di belakang rumah saya di Sabah tu +- pokok kelapa, struktur pokoknya seperti kayu balak. 
 Buah ini akan jatuh sebaik sahaja masak ranum, macam buah durian pula kan kena tunggu dia jatuh kat bawah. +- kurang macam pingpong... bentuk buahnya. Dalam ada biji warna coklat. Isinya seperti tauhu lembut, rasanya lemak, cicah dengan sedikit garam menaikkan lagi rasa lemaknya itu. Kami di rumah anak beranak makan dengan nasi, kadang-kadang tu tabarus sangat (gelojoh) makan begitu sahaja, hahaha....
 
Ada baiknya saya menyimpan cerita berkaitan buah ini di blog, sentimental value juga bagi kami. Membesar di kampung dan sekarang menetap dalam lingkungan kehidupan moden, yang dulu-dulu punya cerita nostalgia dapat ditatapbaca oleh generasi seterusnya.
 
Mungkin biasa-biasa saja bagi orang lain, tapi penuh makna bagi kami. Paling tidak pun saya tidaklah lupa daratan sangat. Ingat lagi asal-usul datang dari mana dan hendak ke mana (aiik... macam orang bertanya soalan pula). Dan sekali lagi, pokok ini ditanam oleh arwah bapa kami. Selain kami yang memakannya, rezeki ini juga dikongsi dengan burung-burung, monyet dan tupai yang banyak berkeliaran di halaman belakang rumah.

Musim buah sering kami melihat monyet malah orang utan 'anak beranak' duduk bersantai di dahan pokok ini. Saya ingat lagi saya pernah ternampak spesis 'proboscis monkey' yang hidung mancung dan seperti berseluar dalam putih itu bertenggek di pokok-pokok buah-buahan di belakang rumah.
 
Kumpulan orang utan dan monyet selalu kelihatan di belakang rumah lebih-lebih lagi sewaktu musim buah. Dengan berseloroh kami selalu berkata seperti ini : kita tengok free je belakang rumah tak payah pergi sana Sepilok, kesian orang putih tu datang jauh-jauh berbayar lagi semata-mata hendak tengok monyet-monyet ini.

Sepilok terletak di batu 16, rumah kami di kawasan batu 12... masih banyak lagi hutan merimbun di Sandakan, jadi memang mudah malah jemu melihat orang utan dan monyet. Apatah lagi mereka yang tinggal di daerah Kinabatangan terutama sekali berdekatan dengan Sungai Kinabatangan.

Sandakan Bandaraya Alam Semulajadi -  semoga kekal seperti slogannya dan keindahan alam semulajadi terus menjadi tarikan pelancong di daerah kelahiran saya ini.


 



Monday, June 18, 2012

JEREBU

Kredit gambar : Google
 Gambar di atas tidak ada kaitan dengan tajuk cerita, sekadar hiasan sahaja.
 
Minggu sudah isu jerebu meliputi kawasan Lembah Klang. Malah mencatat bacaan IPU yang tidak sihat. Saya ikuti perkembangan ini melalui laman sosial facebook dan tv. Malah Sabtu petang lepas sekitar Klang ini jelas berjerebu. Alhamdulillah hujan turun mengurangkan rasa tidak selesa bahana jerebu. Terjadi disebabkan proses pembakaran terbuka di negara seberang, asapnya dibawa angin sehingga ke negara kita, rasanya hampir setiap tahun isu yang sama akan kedengaran di media cetak dan tv.
 
Sampai bila? Entah... tidak ada jawapan jitu tentang itu.
 
 


PEMANDU PERIBADI

Kredit gambar : Google
 
Malam Sabtu lepas... tentunya cerita drama di TV3 bertajuk Begitulah Sayang. Bukan mengkritik cerita tersebut, sekadar menonton untuk hiburan, menonton bersama suami. Jujur... saya dan suami bukan peminat setia drama Melayu tapi itu tidak bermakna kami benci ataupun block terus drama Melayu... cuma kami jarang tengok tv dan memilih rancangan tv sekiranya kami on tv.
 
Saya tak kisah sama ada hindi, tamil, cina, telenovela, sinetron, korea, jepun - apa pun bahasa yang digunakan sekiranya ceritanya menarik di mata saya, akan ditengok juga diikuti siri perjalanan drama/filem tersebut.

Suami saya peminat setia telenovela dari negara seberang - Filipina, walaupun dia bukan peminat setia drama Melayu, saya perasan ada antara pelakon Melayu menarik perhatiannya untuk kekal menatap skrin tv antaranya seperti Rosyam Nor, Fauziah Nawi, Faezah Elai, Zamarul Hisham, Rita Rudaini dan Fasha Sandha.

Saya sendiri tidak ada pelakon pujaan... semuanya pukul rata sahaja, tengok tv/drama/filem just untuk hiburan semata-mata.

Berbalik kepada kisah dalam drama Begitulah Sayang... sebaik sahaja kami suami isteri menonton drama ini, segera kami terimbas pengalaman kerja dulu-dulu. Suami saya ni pernah menjadi pemandu peribadi seorang CEO syarikat XYZ.

CEO syarikat XYZ ini pula bercadang tambah bini baru dan minta dirahsiakan dari isteri pertama.  Bini baru, jarak umur macam anak dan bapa. Siapa lagi kalau bukan pemandu peribadi yang mahu tak mahu terpaksa berbohong sekali dengan majikannya. Maklumlahkan, gaji kita siapa yang bayar? Parah juga tu terlibat perkara seperti ini, Madam tanya itu ini tapi terpaksa menipu macam-macam, pandai-pandailah berlakon. Saya kata kat suami nasib baik majikannya itu  sibuk nak berbini, kalau dibuatnya suruh kahwin dengan anaknya suruh jadi pak sanggup, sanggup ke?
 
Hehehe... cerita dulu-dulu syiok juga sesekali dikenang. Arwah bapa saya yang kerjanya tukang kayu itu pernah juga diminta oleh seseorang untuk menyiapkan rumah baru, khusus untuk isteri rahsia (isteri kedua). Sampai anak dari isteri kedua itu besar dan menjadi peguam pun kedua-dua isterinya tidak tahu mereka dimadukan.
 
Bayangkan kalau 'seseorang' yang beristeri dua itu tiba-tiba meninggal dunia, agak-agak apa jadi? Rahsia yang terpendam sekian lama akan terbongkar juga... saya sendiri tidak tahu perkembangan terkini keluarga 'seseorang' itu. Individu berkenaan juga telah berpindah ke tempat lain. Sebenarnya dia agak rapat dengan arwah bapa saya pada masa itu, apa sahaja kerosakan walaupun setakat membetulkan tiang rumah tangki ataupun engsel pintu rosak, arwah bapa juga yang dipanggilnya untuk membetulkan kerosakan itu.

 
Duit upah yang dihulur selalunya tidak berpatutan dengan kerja yang dilakukan, bukan kurang atau tidak cukup, tapi berlebihan. Sudah namanya rezeki. Walaupun arwah bapa bertegas hanya mahu mengambil upah berdasarkan harga yang berpatutan, ternyata individu itu lebih tegas lagi supaya arwah bapa terima sahaja upah yang berlebihan itu, kerana baginya duit yang banyak itu bukan penentu utama bahagia atau merana, dia sudah pening memikir macam mana hendak mengatur isteri-isteri dan anak-anaknya. Jalan yang macam mana hendak memberitahu rahsia yang terpendam sejak sekian lama itu.
 
 
Ok, sambung cerita yang berkaitan tajuk di atas. Pengorbanan pemandu peribadi itu terhadap majikannya tidak sia-sia. Digambarkan sejak mula berkahwin, mendapat anak sehinggalah anaknya bersekolah di darjah satu... lama kemudian akhirnya Julia insaf itupun setelah mengetahui dia tidak akan hidup lama lagi disebabkan penyakit yang dihidapinya.
 
Mungkin ianya wujud di luar dari drama kerana sebagai seorang penulis, dari mana lagi kalau bukan dunia sebenar yang menjadi rujukan, cuma mungkin ianya ditambahcantikkan lagi jalan cerita supaya nampak lebih menarik. 
 
(Opps! Ada macam nada kritikan ke? Sorry tulisan ini saja-saja untuk suka-suka, tiada maksud apa-apa, selalu menulis di blog ini kadang-kadang idea menulis terinspirasi daripada bermacam-macam situasi kan, perkara yang terjadi kepada semua orang.)