Assalamualaikum...
Bermula pagi sehingga tengah hari ini cuaca asyik mendung, rasa macam tak bermaya pula kalau cuaca asyik mendung, tapi takkan hendak tidur saja sepanjang masa.
Lebih baik saya menulis sesuatu yang mungkin sekadar cerita biasa bagi diri kita, tapi siapa tahu ianya luar biasa kepada orang lain yang membacanya. Contoh, ayam masak kicap itu sekadar cuma satu masakan dan kita selalu memasaknya sehingga kadang-kadang bosan hendak masak ayam masak kicap tapi di luar pengetahuan kita, ada ramai orang di luar sana yang masih tercari-cari resipi ayam masak kicap. Sekadar tamsilan.
Apa yang kita lakukan pada hari ini, peristiwa apa yang kita alami dan makan minum kita pada hari ini tentunya berbeza dengan orang lain. Kalaupun sama ianya sekadar kebetulan. Waduh tajuk cerita menghargai sejarah tetapi mukadimahnya, ayam masak kicap pun disebut juga! Keh keh keh...
Terus kepada poin cerita... melihat stok gambar berlambak dalam fail 'picture' di badan si Green ( my laptop), membuatkan saya terfikir ada baiknya saya pilih gambar yang menyimpan pelbagai cerita. Setelah saya bertungkus lumus membuat cerita bergambar ke Melaka tempoh hari dan sehingga ke hari ini pun belum siap sepenuhnya, saya terfikir tempat-tempat lain yang pernah saya lawati... kenapa tidak saya ceritakan sahaja di blog, ada juga manfaatnya daripada terus terperap dalam fail yang entah bila akan dijenguk semula setelah disimpan.
Walaupun line internet sentiasa sahaja turun naik, ada ketikanya laju dan memudahkan kerja memuat turun gambar.
InsyaAllah esok saya akan ke library menyiapkan sepenuhnya beberapa bahagian cerita bergambar ke Melaka, malas hendak tunggu sehingga line clear di tempat kami ini. Kerap ditangguh jadinya tak siap pula. Rasa geram juga dengan line internet ini. Bayar RM 68 setiap bulan tapi servis kurang memuaskan.
Subjek Sejarah semasa saya sekolah menengah dahulu, merupakan antara subjek yang saya tidak suka, sangat membosankan dan ikutkan hati sekiranya diberi pilihan, mahu sahaja saya drop subjek tersebut daripada matapelajaran teras. Tapi ketika itu sudah ditentukan subjek Bahasa Melayu, Matematik, Sejarah dan Pendidikan Islam wajib kami ambil dan beberapa subjek pilihan.
Tingkatan 4 dan 5 saya berada di kelas terbaik iaitu aliran Sains Tulen. Tumpuan utama saya tentunya subjek sains tulin - Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik Tambahan. Yang paling saya gemari Biologi kerana saya merasakan ianya sangat dekat dengan diri. Contoh apabila kita memperkatakan tentang sistem tubuh badan dan fungsi tumbuhan-tumbuhan.
Pada masa itu disebabkan kesusahan hidup kami sekeluarga, yang sering bermain di fikiran, sering juga dikatakan oleh orang tua saya malah guru-guru pada ketika itu - belajar rajin-rajin supaya lulus cemerlang dalam peperiksaan, sambung belajar sehingga peringkat tertinggi di universiti dan dapat kerja baik, gaji pun besar, ribu-ribu dan lumayan.
Diringkaskan cerita, tujuan belajar ketika itu semata-mata untuk lulus periksa. Ketika itu saya sangatsangatsangat bosan setiap kali tiba waktu pembelajaran Sejarah. Saya berpendapat pada masa itu buku teks Sejarah yang kami pelajari itu hanya kisah-kisah peperangan orang terdahulu, mereka asyik bergaduh, berperang sampaikan saya tertanya-tanya - diorang tiada kerja lainkah selain berperang? Bosannya! Yalah, ketika itu bukannya ada line internet seperti sekarang yang mudah didapati. Kebanyakan rakan sekelas saya, selesai peperiksaan SPM atau semasa cuti panjang sebulan itu biasanya akan merancang untuk belajar komputer di bandar, siap ada sijil penyertaan lagi dan cuma membayar beberapa ratus sahaja. Malah dipandang tinggi siapa yang ada sijil komputer.
Cara pemikiran pada masa itu pun jarang yang bersifat kreatif dan kritis, kebanyakannya hanya mengikut, mengulangi kata-kata guru. Bahan ilmu hanya terhad kepada buku semata-mata itupun tidak luas rangkaiannya.
Yang melucukan saya, sebaik sahaja menerima keputusan peperiksaan SPM... subjek Sejarah yang sangat saya benci itu... grednya lebih baik berbanding subjek sains, ekonomi dan matematik. Tidak pernah saya meminati Sejarah malah saya sekadar target cukuplah sekadar kredit tapi tak sangka pula ianya jadi begitu. Selepas SPM, saya terpaksa memasuki tingkatan enam kerana masalah kewangan menghalang saya daripada memasuki mana-mana matrikulasi ataupun ITM (sekarang UiTM), walaupun layak.
Walaupun sedih kerana terpaksa memasuki aliran sastera, tetapi saya tiada pilihan ketika itu. Bertambahlah benci saya dengan subjek Sejarah, apatah lagi ketika itu sukatan pelajaran sastera memerlukan kita khatam banyak buku sastera antaranya novel Empangan, Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu. Saya mengambil masa sehingga tiga bulan menghabiskan bacaan buku Sulalatus Salatin, itupun saya tidak memahami jalan cerita sepenuhnya, sangat bosan dan saya sungguh tertekan pada masa itu. Rakan sekelas lain dengan bangganya mengatakan mereka hanya mengambil masa sebulan sahaja untuk menghabiskan bacaan.
Akhirnya saya buat dek, tak larat memikirkan benda-benda Sejarah ini, saya belajar seadanya, setakat yang saya faham, ikut acuan saya sendiri. Saya beli buku-buku rujukan tambahan yang menyediakan soalan dan jawapan sekaligus, dan cuba mengingat/menghafal sebanyak yang saya boleh.
Keputusan STPM saya menyaksikan, hanya subjek ekonomi lulus separuh atau R dan 4 subjek yang lain semuanya lulus penuh atau P termasuk subjek Kesusasteraan Melayu. Subjek ekonomi pada ketika itu saya tidak kisah lulus atau gagal kerana saya tidak suka dengan guru yang mengajar subjek tersebut, garang sangat pada pengamatan saya serta pilih kasih, dia hanya marah pelajar perempuan tetapi tidak pernah marah pelajar lelaki, tu yang saya tak suka tu... ( pada masa itulah, zaman dulu-dulu).
Tahun demi tahun berlalu... teknologi maklumat dan rangkaian alam maya mudah didapati malah banyak buku-buku berkualiti mudah didapati di pasaran. Akhirnya tanggapan saya tentang sejarah berubah kepada meminatinya, mungkin kerana pembacaan yang luas dan sering juga melayari lautan internet yang padat dengan pelbagai maklumat baik dan buruk.
Banyak perkara yang tidak kita fahami sewaktu remaja dahulu, dengan mudah difahami pada waktu dewasa ini. Setiap kali balik kampung halaman, saya suka memilih seat A atau F berhampiran tingkap kapal terbang, sering melihat sayap kapal terbang yang terbuka dan tertutup itu spontan mengingatkan saya kepada hukum fizik yang tidak pernah saya faham ketika sekolah dahulu, akhirnya dapat saya fahami setelah berulang alik menaiki flight.
Sama seperti sewaktu berada di Melaka tempoh hari walaupun setakat beberapa hari sahaja... banyak kisah sejarah yang tidak saya fahami di buku Sulalatus Salatin terutamanya... tapi semuanya seakan mudah difahami dan senang diingat selepas itu. Tidak pandai semasa di sekolah bukan kerana pelajar itu bodoh tetapi mungkin sedikit sebanyak ianya ada kaitan dengan pengalaman kehidupan. Kita sering mendengar pelajar Cina senang-senang score subjek Matematik... cuba kita lihat kehidupan seharian mereka dan apa pekerjaan ibu bapa mereka. Tentunya berniaga dan asas mengira itu sudah sebati dalam kehidupan seharian.
Sama seperti subjek kemahiran hidup. Ada masanya kita perlu belajar memasak dan bertukang. Ada di antara rakan-rakan kita yang terserlah kemahirannya kerana mereka di rumah rajin memasak menolong ibunya atau pandai bertukang disebabkan selalu membaiki rumah. Mengimbas... ketika sampai waktu subjek kemahiran hidup, saya mendapat markah rendah dalam masakan tetapi markah tinggi dalam bertukang, saya masih ingat lagi kami diajar menyiapkan tabung duit berbunyi dan menyala lampunya setiap kali memasukkan duit ke tabung.
Mereka yang melupakan sejarah akan mengulanginya. Sejarah menyimpan pelbagai cerita untuk direnungi dan dapat mengubah kehidupan ke arah yang lebih baik berbanding sebelumnya. Hargai sejarah kerana tanpa sejarah tiadalah masa hadapan.
love,
monalizahrais
No comments:
Post a Comment