Monday, February 18, 2013

WARNA WARNI DI MELAKA 08022013 - 11022013 3N4D

Assalamualaikum...

Salam Isnin, sekarang tempoh lunch kebanyakan pekerja, sama ada kerajaan atau swasta. Restoran, kantin, penjaja jalanan padat dan sendat sehingga jam +- 2 pm nanti barulah surut sedikit suasana meriah itu.

Sedar tak sedar, beberapa jam lagi menghampiri penghujung siang, giliran malam pula 'bertugas'. Tulisan bertajuk di atas sebenarnya saya hendak publish setelah semua bahagian cerita bergambar di Melaka selesai, tetapi memandangkan line internet lembap... 
lebih mudah menulis tanpa gambar. Line laju sekitar awal pagi sehingga sebelum 12 pm, di kawasan kami ini. Tempoh itu yang saya gunakan untuk upload gambar-gambar sewaktu di Melaka.

Pertama kali bagi saya bertandang ke Melaka, tapi bagi suami sudah beberapa kali. Begitupun suami mengatakan kali terakhir dia datang ke sana jika dibandingkan dengan suasana sekarang, banyak bezanya. Biasalah tu kan...

Warna warni sewaktu berada di sana... suka dan duka, ada yang seronok dan tidak kurang juga yang menyakitkan hati. Tetapi bab-bab seronok itu lebih banyak berbanding yang tak seronoknya. Ada peluang lain kali... InsyaAllah kami mahu datang ke Melaka lagi, mengunjungi tempat-tempat menarik yang tak sempat dilawati sebelum ini. Antaranya perkampungan Portugis, merasai masakan Baba Nyonya, duck tour (kami beratur untuk beli tiket tapi tiket hanya sah untuk hari esoknya kerana tour untuk hari itu sudah habis dijual, terpaksa cancel kerana esoknya kami sudah balik ke KL), ingin menaiki bas Panorama London yang warna merah tu dan banyak lagilah. Setakat tiga malam pun sudah beratus-ratus gambar kami tangkap untuk kenangan. Sampaikan perlu dipilih untuk dipaparkan di facebook dan blog saya ini. Yang penting ada ceritanya dan  info berguna kepada anda yang bercadang untuk melawat Melaka, apatah lagi kunjungan kali pertama.

Nasib baik Melaka River Cruise sempat kami naik, kerana pada waktu malam sebelum kami menaiki Melaka River Cruise... barisan pengunjung membeli tiket sangat panjang dan sesak, tak larat tunggu. Kami esok paginya sekitar jam 10 am sudah gerak menuju ke sana membeli tiket dan syukurlah barisan belum panjang lagi, itupun bot yang kami naiki penuh dengan cepatnya.

Begitu juga dengan Menara Taming Sari. Barisan panjang bermula dari membeli tiket sehingga menunggu giliran menaiki menara berputar. Kami menaiki Menara Taming Sari pada hari Sabtu, sehari sebelum perayaan CNY. Tak sesak sangat masa tu, lagipun kami datang seawal mungkin untuk mengelakkan barisan panjang. 

Rata-rata orang Melaka yang kami temui semuanya ramah dan apabila ditanya, mereka melayan kami dengan baik serta murah dengan senyuman. Sedikit perkara lucu, kami disangka pasangan yang belum berkahwin oleh salah seorang pekerja hotel. Seorang lagi pekerja hotel yang lainnya memberitahu suami tentang kemusykilan pekerja tersebut. Suami saya menjelaskan tentang status kami. Awal-awal lagi kami sudah sedia dengan sijil nikah di beg sandang sebelum menuju Melaka, maklumlahkan kami cuma berdua dan memang mudah disyak prasangka yang bukan-bukan. Kebanyakan yang datang bercuti satu rombongan sekali dengan anak-anak.

Yang menyakitkan hati... saya tidak suka bercerita tentang ini, tapi sekiranya peniaga makanan tersebut hanya mementingkan diri sahaja, bukan setakat kami sahaja, saya percaya akan ada orang lain yang akan menegur/memarahi dia. Ceritanya begini, saya dan suami makan di gerai XYZ (gelaran samar untuk menjaga air muka peniaga tersebut), sewaktu kami duduk mengambil tempat, meja di sebelah kanan saya kosong, dan tidak lama kemudian meja di belakang saya pun kosong setelah pengunjung tersebut selesai makan. 

Seperti biasa, datanglah bos bertanyakan order kami, ok, saya order nasi goreng ayam dan suami nasi paprik ayam. Minuman teh o ais limau dan nescafe ais. Sementara menunggu makanan sampai, biasanya minuman sampai dulu, biasalah tu. Kemudian meja di kanan saya didatangi sekumpulan anak muda lingkungan 20-an... seramai 6 orang dan order mereka pun diambil. Selepas itu meja di belakang saya pun didatangi beberapa pelanggan dan order mereka juga diambil.

Tunggu punya tunggu, nasi goreng ayam saya pun sampai dan apalagi ngap lah, perut sudah lapar. Makanan suami tak sampai lagi, tak apa tunggu sekejap lagi, kata kami kerana pada ketika itu orang mulai ramai. Terus kepada point cerita... pengunjung di meja belakang kami itu, makanan mereka sampai dulu berbanding suami dan 6 orang anak muda di meja sebelah kanan kami. Tentunya ini menimbulkan tanda tanya dan kami mula resah. Mana boleh macam tu bang oiii... siapa sampai dulu, makan minum dia kena uruskan, kena ikut giliran, tak boleh macam tu... nak berniaga buat cara berniaga.

Sebelum itu, memang saya dah nampak, di meja yang lain... pengunjung yang tiba lewat daripada kami tapi ordernya sampai dulu. Rasa pelik juga tapi malas mau berprasangka... Suami yang memang lapar, order tak sampai lagi sehingga saya selesai makan, macam mana tak marah. Bukan tentang cepat atau lambat tetapi setakat yang saya tahu, kena ikut giliranlah siapa yang sampai dulu dan datang kemudian. Peniaga tersebut perlu peka kepada situasi ini. 

Disebabkan rasa tidak puas hati, kami tak nak tunggu order yang nampak sangat berat sebelah tu. Saya terus terang dengan bos kedai (saya anggap dia ketua di situ sebab dia asyik mengarah pekerja yang lainnya, dia sekadar bertanya order dan duduk-duduk sahaja memerhati), kenapa order saya sampai dulu tapi order suami tak sampai-sampai...kenapa orang lain yang datang kemudian dari kami tapi makan minumnya sampai dulu? Jawapan yang diterima sangat-sangat tidak logik. KONONNYA STAIL DI SITU, TUKANG MASAKNYA AKAN MASAK SATU MENU SEKALIGUS SEBELUM BERALIH KEPADA MENU YANG LAINNYA. MISALNYA MASAK NASI GORENG AYAM SEKALIGUS LEPAS TU BARU MASAK NASI PAPRIK DAN SETERUSNYA.

Parahlah kalau macam tu peraturannya. Jadi, katakan kumpulan pertama order nasi ayam, nasi paprik, nasi goreng cina dan kumpulan kedua yang datang kemudian order nasi ayam misalnya... si tukang masak tengah masak nasi ayam, tentunya orang yang order nasi paprik dan nasi goreng cina itu terbelakang order mereka. Ada juga rupanya peniaga makanan macam ni. 

Apabila saya bidas kata-katanya, alasan lain mula muncul, kononnya banyak orang disebabkan mood perayaan, tukang masaknya begini begitu dan bermacam alasan lagi, saya malas hendak bertekak, just bayar dan sebelum beredar barulah nasi paprik ayam yang suami saya order siap, dia menyuruh pekerjanya bungkus dan saya ambil juga nasi paprik ayam itu kerana memikirkan suami yang kelaparan. Kesudahannya? Bungkusan nasi paprik ayam itu suami saya buang dalam tong sampah betul-betul di hadapan kedai makan tersebut! Ketika itu kedai tengah penuh dengan pengunjung...

Sungguh, seumur hidup saya setiap kali makan di restoran, kedai atau gerai tepi jalan pun, siapa yang sampai dulu dan telah diambil ordernya itu... itulah yang dapat makan minum dulu. Malah kalau kita hendak beli barang pun, barisan panjang itu bukannya disebabkan barang sikit atau banyak, tapi berdasarkan giliran yang datang kemudian berbaris di belakang walaupun barangnya cuma sedikit berbanding orang di hadapan. Apatah lagi order makan minum di restoran. Difikir logik, kalau yang datang kemudian tapi makan minumnya sampai dulu di mejanya, kena pula di sebelah meja kita, sudah tentu kita tertanya-tanya atau terfikir... eh aku sampai dulu tapi kenapa makan minum dia yang sampai lambat dari aku, tapi siap cepat?

Cepat atau lambat bukan masalahnya, kita pun faham juga orang ramai tapi yang menjadi isunya ialah... sekali lagi PENIAGA MAKANAN TERSEBUT KENA PEKA, SIAPKAN ORDER MAKAN MINUM MENGIKUT GILIRAN, INGAT TU... MENGIKUT GILIRAN! 

Sayang sekali, perkara sebegini terjadi di tempat pelancongan yang terkenal dengan gelaran bandar warisan dunia. Pengunjung terdiri bukan hanya dari dalam tapi juga dari luar negara, yang menghargai sejarah atau paling kurang pun sekadar melihat-lihat. Berniagalah mengikut cara berniaga yang sepatutnya, apatah lagi kalau bisnes itu melibatkan makanan. 

Saya teringat satu tempat kerja part time semasa masih belajar dulu. Ketika itu di kedai runcit tempat saya bekerja sambilan itu...  penyelia kedai berbangsa Cina dan penolongnya berbangsa Melayu. Ada dua syif dan mereka bertugas mengikut giliran masing-masing. Saya masih ingat lagi, faham-faham sajalah pelanggan kedai macam-macam karenah kan... pada satu hari terang nyata pembeli itu yang salah dan dia memarahi siap maki hamun lagi ketua kami yang orang Cina tu, dan walaupun begitu ketua kami itu tidak membalas malah dia pula yang meminta maaf. Sebaliknya penolong ketua kami itu pantang ditegur pelanggan kedai walaupun pelanggan itu bercakap benar, seringkali tercetus pergaduhan antara pelanggan kedai dan dirinya. Sampaikan ada pelanggan yang tidak mahu masuk kedai ketika gilirannya bertugas. 

Berbalik semula kepada cerita yang menyakitkan hati kami itu... jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Buatlah cara berniaga makanan betul-betul bang oiii... jangan fikir nak untung jer, hati pengunjung kena jaga juga supaya bisnes terus lancar!

Nasib baik kami ini menghargai sejarah, walaupun melalui pengalaman yang tak sedap didengar itu, kami masih berminat untuk datang semula ke Melaka mengunjungi tempat-tempat menarik yang tak sempat kami kunjungi sebelum ini. Tapi yang pastinya TIDAK akan jejak kaki lagi ke kedai makan dia tu.

Ok lah, yang lainnya warna warni di Melaka... sekadar sakit kaki dan badan sebab jalan kaki dari siang ke malam, tiga malam sajakan dan masa sesingkat ini perlu digunakan sepenuhnya untuk meneroka tempat-tempat bersejarah, lagipun entah bila lagi dapat bertandang ke sana semula. 

Kemudahan surau dan tandas juga mudah didapati, yuran memasuki muzium sangat murah dan berpatutan. Pendapat peribadi saya, sekiranya anda berkemampuan untuk datang ke Melaka, datanglah beramai-ramai, bawa sekali anak-anak, cucu yang masih bersekolah, mudah bagi mereka memahami sejarah kerana maklumat sejarah dalam bentuk tulisan atau bergambar  mudah difahami. Saya sendiri teruja melihat Hang Tuah, Hang Jebat, pelayar hebat seperti Laksamana Cheng Ho, Panglima Awang. Saya terfikir sendiri ketika melihat pameran item sejarah di muzium... bestnya kalau semasa sekolah menengah dahulu aku sampai ke sini, tentunya markah sejarah saya tinggi. Pengalaman bertandang ke tempat bersejarah berbanding sekadar membacanya di buku teks tentunya berbeza bukan.
 

Apapun keseluruhannya dapat saya simpulkan percutian kami kali ini sangat berbaloi dengan bajet yang dirancang...

InsyaAllah ada rezeki lebih, akan melancong lagi di tempat-tempat yang menarik.


love,
monalizahrais




 

 



 



 

 






 

No comments:

Post a Comment