Tuesday, September 17, 2019

HARI RAYA PUASA 2019, ECZEMA, BEGUK

Assalamualaikum…


Masa untuk menyambung siaran. Cuaca cerah pagi tadi beransur mendung kemudian hujan turun ketika ini. Syukur hujan turun semoga jerebu berkurangan dan cepat pulih. Setiap tahun jerebu datang menjenguk kita dah macam hari raya pula ya.

Sama-sama kita beringat menjaga kesihatan. Termasuk 'cuaca' perasaan kita jangan sampai jerebu. Pastikan cerah bersinar ceria.

Timeline cerita bermula Ramadan sehingga sesudah hari raya haji 2019.


@ Paip pecah @
Kita sama-sama tahu, awal Mei 2019 ada kejadian paip pecah berhampiran Lebuhraya West Coast Expressway Banting – Taiping. Dekat saja dengan rumah kami. Kami antara warga Klang yang terkesan dengan insiden ini. Sehari sebelum hari pertama Ramadan, saya dan suami awal-awal lagi gerak menuju GM Klang membeli keperluan hari raya, flight saya 16 Mei 2019 KL to Sandakan. Beli awal malas nak kelam kabut.


Sebelum subuh kami pergi pasar beli stok lauk, balik rumah tidur sekejap kemudian gerak keluar. Waktu ini air paip dah mula perlahan. Balik dari GM Klang, mati air. Nasib baik stok air semasa proses penyelenggaraan paip akhir bulan April saya tak buang lagi. Dengan stok air ini kami berjimat cermat selama 3 hari bekalan air terputus.


@ Gatal @
Full pakej – puasa + cuaca panas menyengat + mati air. Saya perasaan badan rasa gatal, semacam ruam timbul bermula di bahagian bawah paha. Ambik ubat sapu (suami punya, dia beli kat farmasi), dan ok.


Kemudian gatal lagi, ada blister kat tapak tangan, semacam ruam naik dekat tangan serta sedikit dekat siku. Saya beli lotion calamine dekat farmasi, siap beli dua jenis – calamine jenis cecair dan calamine yang dalam tiub kecik macam ubat gigi tu, jenis oil katanya.
Sapu dan reda sedikit gatalnya.


16 Mei 2019 seawal jam 10 pagi saya dah sampai di Lapangan Terbang Sandakan, disambut mesra emak dan adik bongsu. Kemudian kami terus balik rumah, tak mau singgah mana-mana. Saya booking personal Grabcar sebelum sampai Sandakan, sebab adik-adik saya semuanya sibuk dengan kerja masing-masing, tiada yang available menjemput saya di airport. Jadual flight saya kena hari bekerja.


@ Klinik M @
Pergi Klinik M (nama samaran), dapat injection, ubat sapu dan ubat makan. Doktor tanya tentang alahan – habuk, cadar, makanan, air. 10 tahun duduk Klang, saya setiap kali bersihkan rumah, memang akan rasa badan gatal sikit, tapi selepas mandi rasa gatal tu hilang terus. Cadar, bilik kami yang kecik ini terdedah kepada cahaya matahari lagi-lagi waktu petang, kebiasaannya saya akan buka luas-luas tingkap dan ikat langsir bagi cahaya matahari masuk. Malah seawal pagi sebaik warna tanah dah nampak, saya buka tingkap dan ikat langsir.  


Makanan, kitaran menu yang sama, ikan, seafood dan ayam, selain sayur. Hanya beza pada jenis ikan dan sayur yang dipelbagaikan. Kami cuba cari sesegar mungkin lauk pauk untuk dimakan. Faham-faham sajalah kalau dah duduk bandar, sudah tentu ikan, ketam, udang tidak sesegar di kampung yang terus dari laut ke rumah.


Air – yang dapat saya kaitkan air kurang bersih, selepas kejadian paip pecah, air paip agak kekuningan. Saya agak  asbab air ini penyebab/trigger gatal-gatal di badan.
Kebetulan pula doktor yang merawat saya tu orang Klang, ya ampun sempat lagi kami ‘membawang’ macam-macam dia tanya tentang Klang, tentang LRT3, GM Klang, Grab Car, harga tiket murah ke mahal, katanya dia dah dua tahun tak balik kampung, rindu kat kampung halaman.


@ Klinik K @
Tiada perubahan huhuhu…semakin bertambah lagi, dan semakin merebak ke bahagian badan yang lain, ubat dah habis makan dah.


Saya pergi klinik K,  doktor bagi Cloxacilin 250mg (capsule), 16 biji sehari – 4 biji  X 4 kali sehari, Loratadine 10mg (tablet) 1 biji X sekali sehari, Neosafe cream 0.5% (30gm). Sebab dekat peket ubat ada nama klinik, saya tak upload gambar di sini, tulis nama ubat saja.
Yang saya pelik, berulangkali doktor, nurse dan MA yang ada kat situ tanya saya – ada kencing manis dan darah tinggi tak? Ada makan ubat? 


Ulang-ulang tanya dan tanya dan tanya lagi walaupun saya dah jawab berulang kali saya tak tahu, sebab saya jarang datang ke klinik, tidak ada temujanji dengan mana-mana klinik pun dan saya tak makan apa-apa ubat selain dari ubat yang diberi Klinik M.


Kemudian doktor bagi ubat katanya kalau tiada sebarang perubahan dalam tempoh seminggu, datang semula ke klinik K.
Pun tiada perubahan, semakin gatal dan terus gatal.


@ ‘Hadiah Hari Jadi’ @
Saya birthday 26 Mei. Dari tarikh saya sampai Sandakan pada 16 Mei 2019 dan setelah pergi dua klinik berlainan sampai ke tarikh 27 Mei 2019, alahan saya itu merebak ke seluruh badan, kecuali muka. Semakin bertambah dan semakin gatal. Saya tidak dapat menggenggam tangan, (di tapak tangan dan jari ada blister) hanya mampu berkemban siang malam di rumah, terperap di bilik. 


Maksud terperap, sebab saya hanya berkemban, duduk dalam bilik saja sambil pasang kipas. Waktu tengah malam dan tengah hari adalah waktu-waktu ‘meradang’, ‘mengamuk’ merujuk kepada rasa gatal dan panas yang lebih gatal dan panas daripada biasa.
Entah, saya tak tahu macam mana nak describe rasa gatal tu. Lebih kurang macam kena chicken pox. Gatal yang teramat sangat. Dan panas yang teramat panas. Rasa nak nangis pun ya. 


Dalam masa yang sama saya datang bulan. Dengan keadaan tangan yang tak dapat menggenggam, saya terpaksa genggam sambil tahan sakit, kalau tidak macam mana saya nak membersihkan diri dan makan minum. Ada satu ketika saya tengah minum air sejuk berais, air tertumpah terkena kaki, rasa macam disapu cili. Pedas. Lalu dekat dapur yang tengah on api, pun rasa sakit. Saya hanya mandi tak pakai sabun langsung, rasa pedas kulit. Siram macam tu saja, janji dapat mandi.  


Malam 27 Mei 2019 adalah malam yang saya dah tahap tak tahan sangat-sangat-sangat. Emosi bercampur baur, ada rasa sedih, nak marah, menangis pun ya. Perasaan takut memikirkan membayangkan setelah sakit ini sembuh, adakah meninggalkan parut? Atau bekas alahan kekal di badan? Saya langsung tak dapat tidur walau seminit pun. Ubat sapu dah habis, kalau sapu pun hanya reda sekejap saja rasa gatal tu. Semacam untuk menahan rasa gatal untuk seketika.



@ Eczema @
Di klinik K yang saya pergi tu, klinik tak simpan buku rekod kesihatan kita. Bila-bila masa kita sakit, kita bawa buku tu pi klinik untuk rujukan perawat. Tapi saya tak dapat buku, cuma dapat sehelai kertas. Dalam kertas ada tertulis atopic dermatitis.Yalah kita cuma balik sekali setahun, mana nak dapat satu buku kan…


Open Google sambil taip perkataan DERMATITIS, ATOPIC DERMATITIS. Cari dan terus cari info di Google, sampai jumpa image yang serupa dengan yang ada di badan. Tanya kawan-kawan di whatsapp group, buat carian di facebook  cari klinik pakar kulit di Sandakan.


Kawan-kawan sekampung recommended Klinik Chung di bandar Sandakan.
Esoknya pagi-pagi lagi saya dan adik bongsu dah sampai depan klinik. PUSAT PERUBATAN DAN KULIT CHUNG. Next, kita tunjuk gambar.



malam 27 Mei 2019









@28 Mei 2019@
hari mendapatkan rawatan di sini






@28 Mei 2019@
petang 28 Mei 2019 setelah balik ke rumah






@31 Mei 2019@






@ Proses Penyembuhan @
Belum sempat saya bertanya, sebaik saja doktor melihat saya sambil meneliti alahan di badan, dia sebut ekzema, tapi bukan disebabkan oleh makanan, ada sebab lain katanya. Bukan juga alahan seafood. Saya boleh makan seafood dan lain-lain makanan macam biasa. 


Kena suntik di bahu kiri dan bahu kanan. Dapat ubat makan, ubat sapu dan sabun mandi (rujuk gambar di atas selepas gambar klinik). Kos rawatan RM125. Sebelum disuntik doktor bertanya sama ada saya mengandung atau tidak. Mungkin ada kaitan dengan kesan ubat, ingatan saya terimbas beberapa tahun sudah, saya pernah ke klinik di Klang disebabkan alahan juga...doktor bertanya seperti itu sambil menjelaskan kesan ubat.


Selepas disuntik, rasa macam ada sesuatu yang mengalir dari bahu sampai ke seluruh badan, pada bahagian alahan terasa sedikit pedas atau pijar? Rasa gatal hilang serta merta.  

Proses penyembuhan yang cepat. Dalam masa lebih kurang 3 hari, blister dah kering sepenuhnya, bahagian tompok kemerahan semakin gelap, kulit kering dan terkupas sendiri, berganti kulit baru. 

Alhamdulillah hampir tiada bekas alahan, kulit saya kembali seperti biasa dan lebih halus seperti disapu losyen. 

Tak pasti sama ada ianya kesan ubat, saya rabun lebih rabun daripada biasa selama +- 2 minggu, jarak penglihatan saya tu... sedekat 2 langkah pun dah blur. Dan semacam cirit birit najis cair cuma tak rasa sakit, badan rasa segar. 

Sekali lagi ingatan saya terimbas beberapa tahun sudah, selesai saya berbekam seluruh badan termasuk bekam muka dan belakang kepala, pandangan saya kabur lebih kurang 3 hari, ada pening sikit, dan najis saya hitam tapi badan rasa segar.
Beza pada saya tak pening selepas alahan ni sembuh.



@ Kasih Sayang @
Emak antara orang yang paling terkesan. Setiap hari, sepanjang masa emak bertanyakan saya, adakah saya  demam, sakit kepala, selera makan saya macam mana, apa yang saya rasa, tanpa jemu. Emak dengan kudrat tuanya itu bertungkus lumus memetik daun gelenggang di belakang rumah kami, bersihkan daun kemudian menumbuk lumat daun, air daun itu emak sapu di badan saya.

Love you mom, miss you muah...
TQ so much my family & suami (love you too encik suami)

Disebabkan kami sekeluarga agak sibuk dengan persiapan perkahwinan adik saya, saya hanya mampu tengok tak dapat tolong apa-apa. Hanya selepas mendapatkan rawatan di Klinik Perubatan dan Kulit Chung barulah saya dapat menolong apa-apa yang patut ditolonglah ( dah habis idea tak tahu nak tulis macam mana hahaha). 


Emak yang keletihan sebab berpuasa serta aktiviti lainnya, tidur awal daripada biasa. Sudahnya saya sapu sendiri air daun gelenggang di badan, bahagian belakang badan saya minta tolong adik bongsu sapukan.
(adik bongsu cakap hafalannya terjejas asbab melihat bahagian-bahagian seksi di badan saya, kahkahkah...)

Sewaktu video call dengan suami, sambil saya tunjuk badan yang tengah eczema ini, suami hanya mampu kesat air mata sambil menyuruh saya pergi klinik pakar kulit.



Sesungguhnya sokongan emosi dari seluruh keluarga dan suami banyak membantu. Anak-anak buah yang cerdik umur bermula 3 tahun ke 9 tahun itu tidak menjauhkan diri dari saya walaupun dalam keadaan saya yang penuh tompok merah, blister sana sini di badan. Mereka berbual seperti biasa dengan saya, sambil mendoakan saya cepat sembuh. Supaya saya dapat masak sedap-sedap untuk mereka, kata budak-budak tu. 


Cuma saya elakkan fizikal contact bimbang anak-anak ini pula yang sakit nanti. Sekadar berjaga-jaga. Walaupun doktor cakap ianya tidak berjangkit.
 Di hari ulang tahun kelahiran saya 26 Mei 2019 yang ke 39 tahun, anak-anak ini siap buat kad harijadi. Gambar di bawah. Redup sedikit perasaan saya yang sedang haru biru merah kuning hijau tu. 












@ Puasa @
Puasa saya terjejas. Sepanjang sakit saya minum banyak air, makan minum saya layankan saja. Syukur saya tak demam. Hampir 3 minggu hutang puasa yang perlu saya ganti. Nanti ganti sikit-sikit, lama-lama langsailah tu, InsyaAllah. Semoga dipermudahkan.



@ Kahwin @
Majlis nikah adik saya hari raya ketiga dan sanding keesokan harinya di rumah pengantin perempuan. Majlis tingkuang/resepsi sebelah lelaki iaitu sebelah kami… 16 Jun 2019. 12 Jun 2019, flight suami saya KL to Kota Kinabalu. Paginya saya bertolak menaiki bas ekspres menuju Kota Kinabalu, dua hari kami di sana, kemudian bertolak sama-sama ke Sandakan, singgah sekejap di Bukit Garam jejak kasih abang kepada suami saya, kami panggil Abang Ali, setelah terpisah selama 30 tahun!.


19 Jun 2019 saya dan suami pulang semula ke Semenanjung, flight Sandakan to KL.



@ Demam @
Sampai Klang…demam selsema batuk lah pula alahai, akhirnya terpaksa mengalah 
pergi Klinik N, 24 Jun 2019. Alhamdulillah sembuh. Rutin harian seperti biasa sehingga hujung Julai 2019, rasa macam sakit dekat bawah telinga kiri, sedikit bengkak.



@ BEGUK @
Kami sebut 'gajah-gajah'. Waktu budak-budak dulu, setiap kali ada kawan-kawan yang terkena beguk/'gajah-gajah' saya sering memikirkan ada 'gajah' sedang mengacau kawan saya, itu pasal 'gajah' bagi bengkak dekat muka kawan saya. (fikiran budak-budak ☺☺☺)

Tiba-tiba pada usia 39 tahun ini, mendapat beguk/'gajah-gajah'. Mengunyah sakit, mengiring ke kiri pun sakit. Tidur malam tak lena. Sakit berdenyut yang bengkak tu. Nak kata jerawat tak nampak pun jerawatnya tapi bengkak tu nampak. Sakitnya semakin bertambah sampai ke pipi kiri, dan yang peliknya atas dahi saya pun semacam ada benjol gitu. Menghadap lagi ke Klinik  N. Doktor cakap beguk. Dapat vitamin C 6 biji, surut bengkak Papain, antibiotic seperti gambar di bawah dan Mefenamic Acid 500 mg. Farmasi tu cakap, antibiotic tu kuat. Entah apa maksud antibiotic 'kuat', saya pun tak faham 😊😊😊







3 hari makan ubat beguk, saya rasa pening dan berdebar-debar.  Hari yang ketiga itu rasa pening dan berdebar lebih kuat berbanding hari sebelumnya, rasa nak pengsan pun ya. Sambil tangan menggigil, saya call suami suruh pulang rumah segera. Pintu rumah saya buka kunci siap-siap.



Suami baru hendak keluar site dekat Seksyen 16 Shah Alam, bergegas balik rumah sekali dengan lori company. Hampir sejam juga saya menunggu suami sampai, mujur suami berulang kali video call saya. Saya baring di bilik, perlahankan kipas sebab rasa sejuk pun ya, waktu tu dah petang melepasi waktu asar, bilik tidur kami memang akan terkena cahaya matahari petang.



Selama menunggu suami sampai, saya sengaja berjemur sambil berharap rasa sejuk itu kurang/hilang. Alhamdulillah ok. Suami sampai, tiba-tiba pula rasa nak berak. Saya gagahkan diri menuju tandas diiringi suami, dah siap berak, mandi ekspres saja, asalkan basah badan. Suami saya jadi guard depan pintu, pintu bilik air dan tandas tak tutup pun…lagipun kami berdua saja di rumah ini.



Sebab suami bergegas balik sekali dengan lori company, kami ke klinik Kom***** yang dekat sangat dengan rumah. Panggil Grab Car. Selama saya ke sana mendapatkan rawatan, tidak pernah lagi saya menunggu lama, hampir tiada pesakit atau kurang pesakit di klinik ini. Asalnya suami menyuruh ke Klinik N semula tapi  sebab tempoh menunggu agak lama di Klinik N saya ajak suami ke klinik Kom***** saja. Kecuali suami tengah cuti, tak kisah kalau tunggu lama dekat Klinik N. (sebenarnya selepas buang air besar dan mandi  saya dah rasa lega dah, tapi sebab suami dah sampai rumah... takkan saya nak cakap tak perlu ke klinik, suami dah lah kelam kabut balik rumah aduiii drama apakah ini alalala...)



Dapat ubat muntah dan pening, disuruh banyak minum air dan banyak rehat.
Lebih kurang 2 minggu sembuh sepenuhnya bengkak beguk termasuk ‘benjol’ di dahi saya.

Sebenarnya saya agak pelik, tapi itulah penangan sosial media, info tanpa sempadan. Berdasarkan pembacaan saya dan hearsay yang biasa saya dengar, beguk biasanya akan sembuh sendiri, tiada rawatan khusus serta TIDAK PERLU RAWATAN ANTIBIOTIK. Anehnya saya dapat antibiotik dan vitamin C serta ubat lain. Menguatkan rasa pelik saya itu sebab saya membaca artikel tentang beguk yang ditulis oleh staf nurse dan doktor di media sosial ~ tak perlu antibiotik katanya.




@ Batuk @
Selepas hari raya haji 2019, sakit tekak dan batuk menyusul. Waduh-waduh, sabarlah wahai hati…sungguh saya tak suka ulang alik ke klinik. Kali ini saya ke farmasi beli ubat batuk, saya beli jenama Breacol. Alhamdulillah syukur nikmat…syukur sangat-sangat sakit tekak dan batuk sembuh dalam masa seminggu.


Kenapa saya menulis perkara-perkara di atas? Sebagai peringatan untuk diri saya sendiri. Supaya jangan ambil mudah setiap kali kita sakit, pergi klinik atau cari/beli ubat segera, jaga makan minum. Di sini di Klang kami suami isteri jauh dari keluarga di Sabah. Memang ada keluarga terdekat seperti adik saya sendiri yang bekerja dan menyewa rumah di Puchong, dan sepupu-sepupu suami juga ramai di sekitar Klang dan KL.



Tapi untuk sakit-sakit begini, takkanlah kita hendak mengadu kepada mereka. Yang terdekat dengan kita tentunya jiran sebelah rumah. Itupun, takkanlah kita nak mengadu ke dia kita ni sakit itu ini…kecuali untuk hal-hal kecemasan.

Ikut kita nak urus macam mana.


Selingan @
"Sakit apa tu yang macam nama kereta saja bunyinya?" tanya suami selepas saya menyebut eczema. 
"Sejenis alahan memang namanya begitu," balas saya.

Anak-anak buah menyebut 'dish' membawa maksud kudis. Reaksi mereka melihat alahan di badan.

Loratadine ~ baca nama ubat teringat semacam nama orang Lora ke Lara or something Din gitu. Lora/Lara dan Din.

Amoxcillin ~ something mengamuk, kak Lin, atau kak Lin mengamuk

Ada satu ketika limpas di wall fb kawan post gambar anak masuk ward sambil letak caption kesian ke anak dia sebab kena demam Kawasaki. Kawasaki? apalagi bermacam reaksi di ruangan komen siap ada yang marah mengatakan sebagai ibu tak patut dia bergurau tentang sakit anak, ada ke patut dikaitkan dengan jenama motorsikal, jenuh juga kawan tu bagi penjelasan menjernihkan keadaan. 

Ok dah siap tulis, hujan pun dah berhenti tapi still mendung lagi, tata titi tutu kita jumpa di lain waktu. 

love,
monalizahrais,
Klang
17 September 2019
Selasa