Tuesday, July 24, 2012

BERITA GEMBIRA

Assalamualaikum... hari Selasa hari keempat kita berada di bulan mulia - Ramadhan. Semalam, saya call rumah di kampung, macam biasa bertanya khabar mak adik beradik ipar duai termasuklah semperiding kecil. Adik ipar saya, Teng-teng pula sedang berada di hospital DOK, sakit perut nak bersalin.
 
Dan... awal pagi tadi menghampiri jam tiga pagi, adik saya Manan menghantar mesej isterinya selamat bersalin anak lelaki. Alhamdulillah, bertambah lagi bilangan cucu 126 pkt 6, cucu ketiga. Maknanya bertambah lagi semperiding baru dan tentunya merancakkan lagi kemeriahan keluarga kami dengan telatah anak-anak kecil ini yang pastinya mencuit hati.
 
Hari ini juga merupakan sebutan kes di mahkamah syariah, Sandakan susulan harta arwah bapa yang kami tuntut, ditukar hak milik sepenuhnya ke atas nama mak. Semua adik beradik diwajibkan hadir ke mahkamah, kecuali saya dan seorang lagi adik saya yang menetap di KL... kami cuma tandangan borang tuntutan di mahkamah syariah Kuala Lumpur dan dipos semula ke Sabah. Petang nanti saya nak call lagi rumah bertanyakan hal tersebut, semoga semuanya dipermudahkan.
 
Bercerita tentang Ramadhan, bulan yang sangat digemari ditunggu-tunggu oleh kebanyakan umat Islam. Saya mengatakan begitu kerana ada juga segelintir kecil yang tidak memahami kemuliaan bulan istimewa ini, gelisah kerana tidak suka berpuasa (maaflah ya cakap macam tu, tapi realitinya memang wujud golongan seperti ini).
 
Tapi itu tidak bermakna kita yang kononnya berpuasa ini sudah cukup ikhlas menunaikan perintah wajib ini. Puasa tapi tidak solat, sangatlah rugi... ingatan untuk diri saya. Terpenting sekali kesungguhan kita memperbaiki diri sendiri, merebut segala peluang/bonus tambahan/subsidi Ramadhan yang hanya datang sekali dalam setahun.
 
 Hari pertama Ramadhan, agak meriah di rumah kami di Klang ini. Sebabnya kami ada tiga orang tetamu dari KL, siapa lagi kalau bukan adik saya dengan tunangnya dan seorang lagi kawan kepada tunangan adik saya. Masaklah spesial kan, secara kebetulan saya dan suami membeli barang basah dan sayur-sayuran di pasar borong seawal jam empat pagi kami sudah gerak ke sana, sekali dengan bersahur.
 
Kurang dari sejam... jiran sebelah rumah menghantar juadah puding. Terima kasihlah yer juadah tu...sedap sangat. Kami pun membalaslah juadah tersebut dengan masakan yang kami masak, segan juga nak hantar pinggan kosong macam tu saja. Salam bertalu-talu, tapi tidak bersahut, mungkin makcik tu tiada di rumah dan akhirnya terbantut begitu sahaja hasrat kami membalas juadah. Mungkin makcik itu keluar... kami bersangka seperti itu.
 
Sebenarnya sebaik sahaja jiran sebelah hantar puding tu, ingatan saya terus sahaja meleret kepada pelbagai perisitiwa lalu tanpa dapat ditahan-tahan lagi. Tidak ada kaitan dengan jiran sebelah, tapi saya teringat seorang makcik yang saya kenali semasa bekerja di sebuah pasaraya. Biarlah kita namakan makcik ini Kak XYZ.

Kak XYZ dapatlah kita katakan warga emas, umur 50-an dan punya cucu ramai, anak-anaknya pun masing-masing sudah berumahtangga. Kami yang muda-muda ini hairan bercampur sedikit syak wasangka, kenapa Kak XYZ perlu bekerja, bukankah lebih baik dia duduk rumah bermanja dengan cucu-cucunya? Atau...adakah anak-anaknya tidak mempedulikannya?

Tanya itu ini... rupa-rupanya sangkaan saya dan rakan-rakan lain meleset sama sekali. Jelas Kak XYZ, dia bekerja bukan kerana duit ataupun dipinggirkan oleh anak-anaknya. Duit pencen suaminya sahaja lebih dari cukup untuk menampung kehidupan mereka, malah kalau setakat mengharap duit anak-anak...pun terlebih cukup juga. Tapi dia bekerja kerana dia suka dan biasa bekerja sejak dari umur muda lagi. Dia tidak tahan duduk-duduk di rumah, bosan katanya. Bukannya dia tidak mahu bermanja dengan cucu-cucunya, tapi kata Kak XYZ biarlah anak-anaknya berdikari melayari bahtera rumahtangga mereka. Setiap kali habis waktu bekerja, suaminya yang juga sudah pencen akan menjemputnya pulang ke rumah. Itulah rutin harian Kak XYZ.

Kak XYZ berharap semoga dia terus diberikan kesihatan yang baik dan dapat bekerja seperti biasa. Kak XYZ ini memang cergas orangnya, walau tidak secergas orang muda yang berusia 20-an... sepanjang saya mengenali dia, tidak pernah lagi saya mendengar dia cuti sakit atau merungut sakit itu ini. Alhamdulillah, itupun satu bentuk rezeki juga Allah bagi kat dia, nikmat kesihatan. Kita semua sedia maklum, berapa ramai yang memiliki kesihatan baik di usia emas, masih cergas lagi bergerak ke sana sini? Tentunya bilangannya sedikit berbanding mereka yang bertarung dengan pelbagai penyakit di usia tua mereka.
 
Ingatan saya tidak terhenti di situ. Contoh terdekat arwah nenek saya. Walaupun pakcik dan makcik saya termasuklah mak saya yang merupakan anaknya, berulangkali menghalang arwah nenek dari bekerja, tapi tetap juga arwah nenek saya itu tidak mahu duduk diam. Duit ada... dia ada simpanan sendiri, tidak termasuk duit yang dihantar oleh anak-anaknya, tapi yalahkan, mungkin situasinya sama seperti Kak XYZ, jenis yang suka bekerja. Arwah nenek saya ini setiap kali ada kelapangan... dia gemar turun bandar berbelanja dengan saya. Saya masih ingat lagi, dia sanggup tunggu saya balik dari KL semasa cuti semester hanya semata-mata sekadar menemaninya berjalan di bandar Sandakan.
 
Jangan kita pandang rendah, menghina mereka yang bekerja biasa-biasa sahaja sedangkan kita kerja relaks sangatsangatsangat, maklumlah aircond sepanjang masa, keluar pejabat masuk kereta aircond lagi dan balik rumah pun aircond lagi! (berapa kali aircond daaa...). Malah itulah yang dibangga-banggakan. Tapi kita tidak tahu, mereka yang bekerja biasa-biasa itu Allah beri anugerah kesihatan yang tidak ternilai bebas penyakit, sedangkan kita yang sentiasa aircond dan bersenang lenang ini mungkin kena turun naik masuk keluar hospital, siapa tahun kan? Mudah-mudahan kita semua diberi nikmat kesihatan tubuh badan, zahir dan batin serta jiwa sentiasa tenang dan selalu mengingatiNya.


 
 
 
 






 
 
 


 
 

Thursday, July 19, 2012

ISTERI

Assalamualaikum dan salam hari Khamis. Sementara menunggu ais keras membaluti lauk yang dikeluarkan dari peti sejuk mencair...ada baiknya saya menulis di blog terlebih dahulu. InsyaAllah lewat petang nanti kita akan mengetahui tarikh kita berpuasa di bulan Ramadhan tahun ini. Semoga kita semua dilimpahkan rahmat sebanyak-banyaknya semasa menjalankan ibadah berpuasa.
 
Hari ini saya nak menyuarakan pendapat tentang pengaruh isteri di dalam kehidupan berumahtangga. Isteri boleh jadi sumber motivasi, pemacu semangat, tulang belakang suaminya mencapai kejayaan atau boleh menjadi penyebab suaminya merudum semangatnya, hilang harga diri malah ada yang seperti lembu ditambat hidungnya sentiasa tunduk, takut dengan isteri sehingga suami tersebut selalu keliru/celaru.
 
Ianya bersifat abstrak, lain orang lain pandangannya. Sering kita mendengar pasangan itu ini tidak padan dari segi rupa paras dan tingkah laku, tetapi ketentuan jodoh itulah yang terbaik untuk dirinya.
 
Penyatuan dua jiwa di atas nama sebuah perkahwinan bukanlah memerlukan persamaan dari segala aspek, tapi bagaimana perbezaan itu dijadikan kekuatan dan kesatuan, persefahaman untuk melayari bahtera kehidupan. Setiap pasangan mengharapkan perkahwinan mereka kekal sehingga hujung nyawa, itulah yang pertama dan terakhir.
 
Fasa baru bermula... banyak cabaran malah ada yang tidak terduga di fikiran pastinya menguji kehidupan pasangan berumahtangga. Kalau cara fikir sama sahaja, bagaimana hendak melihat sesuatu permasalahan itu dari sisi pandang yang berbeza? Malah tidak akan nampak jalan penyelesaiannya. 
 
Melihat dari sisi fizikal sahaja sudah membuktikan, ianya saling melengkapi satu sama lain. Suami dan isteri masing-masing ada peranan dan pengaruhnya, terpenting sekali biarlah persefahaman itu terbentuk berlandaskan nilai-nilai agama.

Wednesday, July 18, 2012

KERJA

Assalamualaikum, salam hari Rabu. Cuaca hari ini bermula cerah dan beransur-ansur suram sehinggalah hujan lebat. Menulis dari cc sebabnya hujan lebat di luar sana... pergerakan tersekat sekejap, rancangan awal hendak membeli sedikit keperluan berpuasa, InsyaAllah...
 
Ramai yang belajar tinggi-tinggi dan mendapat pekerjaan yang gajinya beribu-ribu ringgit setiap bulan, malah ada yang hidup mewah. Mewah mengikut tafsiran masing-masing, mampu membeli set wangian dan handbag berjenama yang ratusan ringgit. Tapi berapa ramai yang mengamalkan/menyampaikan ilmu yang mereka dalami sewaktu di universiti dahulu? Misalnya seorang graduan berkelulusan sains dan menjadi seorang guru, adakah dia benar-benar mendalami ilmunya ataupun sekadar menyampaikannya mengikut sukatan pelajaran yang telah ditetapkan? Pernahkah dia mengaitkan tentang sains dan kehidupan  atau dari sudut pandang agama sambil bercerita tentang itu kepada anak muridnya?
 
Saya teringat satu kisah yang bagi saya ianya lucu dan tidak patut diucapkan oleh seorang guru. Beberapa tahun lepas, seseorang yang saya kenali... dan dia seorang guru bertanyakan soalan lazim - kenapa saya tidak mempunyai anak lagi?, bila hendak beranak dan yang paling melucukan ialah... katanya jangan tunggu lama-lama, cepat-cepat buat anak.
 
Spontan respon saya sebaik sahaja mendengar setiap patah katanya itu... ketawa sesuka hati... tak dapat ditahan-tahan lagi ketawa saya itu sebabnya kalau yang bertanya itu seseorang yang tidak berpelajaran tinggi, hidupnya biasa-biasa sahaja dan hanya duduk di kampung kahwin dan beranak pinak, tidaklah menghairankan sangat, tapi yang bertanya itu seorang guru berlatarbelakangkan jurusan sains dan pembawaan dirinya seolah-olah dia tahu semua perkara. Senang cerita temberang, bilang orang Sabah.
 
Itulah bahananya kalau berpendidikan tinggi tapi bekerja untuk duit semata-mata. Sayang sekali, ilmu yang dipelajari berkarat begitu sahaja kan. Oh ya, jawapan saya sangat mudah... kalaulah aku tahu jawapannya, soalan seperti itu tidak akan wujud, lagipun kita cuma berusaha Allah juga yang menentukan bukan?
 
Dia tersengih-sengih mendengar jawapan saya itu... saya tidak suka dengan situasi ini, maksud saya dia sebagai seorang yang berpendidikan tinggi, janganlah temberang atau bangga sangat dengan kedudukan yang kita ada. Ilmu bersifat sangat luas. Dugaan bagi orang yang berilmu bukan untuk dibanggakan ilmunya itu, tetapi cabarannya mengamalkan/menyampaikan kepada mereka yang tidak tahu.
 
Kadang-kadang kita lihat datuk nenek kita dengan bangganya bercerita tentang warisan keris pusaka dari nenek moyang, sekurang-kurangnya dia bercerita tentang sesuatu dan mengaitkannya dengan kehidupan/keberanian orang terdahulu. Tapi kalau sekolah tinggi dapat kerja bagus tunggu cukup bulan dapat gaji, menghabiskan duit membazir begitu sahaja... apalah yang dapat diwariskan terhadap anak-anak, takkan ilmu membeli-belah secara mewah kan?
 
 


 

Monday, July 16, 2012

ALA-ALA SURROGATES GITU !

Assalamualaikum dan salam Isnin. Cuaca sekejap terang sekejap kelabu, tidak menentu nadanya, tak kisahlah... cuaca memang begitu tidak jauh bezanya dengan emosi kita bukan. Bukan cerita tentang surrogates yang hendak dikupas, cuma sedikit dari point cerita itu yang hendak dikaitkan dengan fenomena laman sesawang - facebook.
 
 
Kadang-kadang dalam fb kita merasakan orang ini peramah sebabnya rajin update status di wall, tetapi setelah bertentang mata... dia seorang yang sangat pendiam, sepatah ditanya sepatah atau separuh kata sahaja dijawab. Ada juga fb rakan yang seolah-olah hidup segan menunggu mati rupa-rupanya setelah terjumpa di luar fb, dia sangat peramah. Itulah facebook... hanya gambaran minda dipaparkan bermacam rupa cuba digambarkan tapi tidak semestinya 100% sama dengan realiti.
 
 
Saya masih ingat lagi, satu ketika dahulu saya online fb waktu tengah malam semata-mata untuk update apps sahaja. Dalam masa yang sama saya tengok laman web yang lain. Malah saya tidak tengok pun news feed. Sehinggakan saya disapa seseorang yang hanya dikenali di laman fb bertanya di ruangan chatting... kenapa saya online setiap malam, adakah saya berjauhan dengan suami, terkejut tergelak saya membaca soalan rakan fb itu. Sedangkan suami ada di sisi, ringkas sahaja jawapan saya...saja-saja online, duduk serumah dengan suami yang tengah layan internet juga. Saya siap bagitau lagi, suami tahu password fb saya dan saya tahu password fb suami. Dan sapaan itu terhenti di situ.
 
 
Ada juga rakan yang kantoi berfb di waktu bekerja, akhirnya kena panggil masuk bilik bos. Rupa-rupanya bos cakap macam ni, agak-agaklah fb tu, nanti customer komplen payah nak jawab! Hehe... menyelam sambil minum air. Rupa-rupanya bos pun tengah layan fb jugaaaa...
 
 
Kaitan dengan surrogates? Di dalam surrogates, manusia sebenar hanya duduk rumah tapi klon mereka yang berupa robot pintar sentiasa cantik, tampan, muda belaka menjadi wakil mereka menjalankan kehidupan seharian. Hanya ada beberapa orang manusia sahaja yang menjalani kehidupan 'tradisional'. Di akhir wayang digambarkan kesemua robot ini musnah dan kelihatan begitu ramai manusia sebenar (pembeli/pengguna robot) keluar terpinga-pinga hairan kenapa robot mereka musnah begitu sahaja. Yang menarik perhatian saya mereka keluar dengan baju tidur dan tidak terurus. Robot pintar ini hanya perlu dipantau dari rumah, digambarkan hanya perlu duduk/baring sambil memakai cermin mata khas dan dikawal oleh minda si pengguna.
 
 
Sampai macam tu sekali, memanglah sekadar fiksyen sahaja, sedikit kaitan dengan fb... macam yang saya sebut tadi, apa yang kita lihat di fb tidak mengambarkan 100% siapa seseorang itu di luar dari fb. Berapa ramai yang tahu adakah gambar yang diupload itu gambar edit/original. Dalam fb nampak cantik lawa handsome sudah tentu gambar yang ada nilai sebegitu sahaja akan dipaparkan di fb masing-masing, takkan hendak dedahkan kelemahan diri sendiri bukan? 
 
 
Apa sahaja yang kita update di wall masing-masing semuanya menjawab soalan Encik Facebook iaitu What's on your mind?.  Nasib baiklah hanya di laman maya, bayangkan kalau satu hari nanti jadi macam surrogates pula... kita duduk rumah dan robot kita yang menjalankan tugas seharian kita. Kita pilih robot yang cantik, handsome, sentiasa muda dan kita hanya perlu mengawal pergerakan/pertuturan/pemikiran robot ini hanya melalui komputer dari rumah?
 
Di mana original kita sebagai seorang manusia kalau sudah sampai ke tahap seperti itu?. Manusia diciptakan sebaik-baik kejadian. Pemikiran orang barat ini memang tidak ada batasannya tidak ada garis panduan kerana mereka tiada panduan hidup seperti kita Islam yang ada Al-Quran dan Hadis yang sentiasa available sepanjang zaman, dalam apa jua keadaan.
 
 
Melalui pemikiran, orang barat ini sentiasa menjajah minda orang Islam menggunakan apa sahaja medium sekecil watak kartun malah sebesar seluas tayangan filem-filem mereka di seluruh dunia. 
 
 
Takkan robot kita yang pergi Solat Jumaat atau kalau pengguna robot itu meninggal dunia... robot juga yang mengebumikan jenazah? Atau sakit pening bersalin di hospital misalnya takkan dikendalikan robot? Contoh terdekat ciptaan komputer, telefon bimbit yang melalui pembaharuan sepanjang masa, pelbagai fesyen bermacam pilihan. Tapi sebenarnya otak kita yang lebih hebat, anugerah yang tidak ternilai kurniaan Allah S.W.T. 

 
Ciptaan manusia itu hanya bertujuan membantu memudahkan urusan seharian malah tidak sesempurna ciptaan Allah pemilik alam semesta. Betapa kerdilnya kita di sisi-Nya.






 
 







Sunday, July 15, 2012

PENYENGAT

Assalamualaikum, malam ini hujung minggu dan esok Isnin permulaan hari bekerja untuk minggu yang baharu, InsyaAllah hujung minggu akan datang bermulalah bulan yang ditunggu-tunggu apalagi kalau bukan bulan mulia - Ramadhan. Akan munculnya bermacam jenis juadah berbuka puasa bermula dari manisan ke pelbagai jenis nasi dan lauk pauk. Tanya diri sendiri hendak berpuasa dan berbuka puasa melalui cara yang bagaimana menjadi pilihan. Tidak termasuk pilihan bermacam pakaian raya bermula dari yang sekecil-kecil aksesori sehingga yang menyaluti tubuh badan menjadikan kaum wanita terutamanya, rambang mata dibuatnya. Terpenting sekali... asalkan tidak terkeluar daripada lingkungan kemampuan belanjawan kita. Ikut nafsu memang hendak beli semuanya walaupun tidak semua bersesuaian dengan diri sendiri. Ingatan untuk diri saya terlebih dahulu, pastinya.
Tajuk cerita penyengat tapi pendahuluan cerita langsung tidak berkaitan dengan tajuk, hehehe...tersengih-sengih sekejap. Sebetulnya macam ini ceritanya... beberapa minggu lepas saya berhasrat hendak membersihkan tingkap dan pintu rumah. Pintu rumah masuk senarai juga sama seperti tingkap, sebabnya pintu rumah dicat dengan warna seperti ulas buah durian, sudah tentu terang nyata habuk yang terkumpul di pintu, apatah lagi tingkap kaca yang sudah kurang serinya itu. Kita kadang-kadang sibuk mendandan diri sendiri sehingga terlupa mendandan rumah yang kita diami. Kipas siling, sawang, mop lantai, cuci tandas dan bilik air, sapu longkang... suami saya selalu bersihkan ini. Menyapu, masak dan basuh pinggan, kipas meja, basuh baju, lap tingkap dan pintu rumah... saya yang selalu buat ini. Tapi itu bukanlah muktamad sepanjang masa, tapi kecenderungan kami masing-masing membuat kerja-kerja pembersihan itu.
Disebabkan sibuk dan penat, tertangguh lagi kerja lap tingkap dan pintu rumah itu. Hinggalah pada satu malam saya bermimpi... sekumpulan penyengat dalam kumpulan besar terbang menuju ke rumah kami, tapi tersekat di luar rumah tak dapat masuk ke dalam. Bangun dari tidur saya melihat tingkap dan pintu rumah... betapa banyaknya habuk terkumpul terperap di situ. Malu dengan diri sendiri, saya tangguhkan kerja yang lain dan terus belasah bersihkan tingkap dan pintu rumah. Saya tidak mahu terlalu berfikir tentang mimpi penyengat itu, yang penting rumah kami bersih luar dalam dan doa saya semoga kami suami isteri terhindar dari sebarang perkara yang tidak baik.
Kali kedua sebenarnya saya bermimpi tentang penyengat yang berduyun-duyun terbang itu. Kali pertama beberapa bulan yang sudah sekitar hujung bulan April sewaktu mak berkunjung ke KL. Saya menemani mak di KL di rumah adik, saya dan mak tidur di bilik adik, adik saya tidur di ruang tamu. Namanya pun bilik bujang, tiba-tiba saya dan mak mengambil alih sekejap bilik adik untuk dua minggu, berlambak dengan pakaian kami bermacam barang yang dibeli untuk dibawa balik Sabah. Pastinya bilik adik saya itu lebih sesak daripada biasa. 
Ok, terus kepada cerita mimpi penyengat semasa di KL tempoh hari. Saya bermimpi berduyun-duyun penyengat terbang mengejar saya sehingga saya terjun ke dalam kolam yang jernih airnya dan kumpulan penyengat itu tidak dapat menghampiri saya. Bangun pagi saya cerita dekat mak, responnya biasa sahaja... mungkin kita kurang bersihkan bilik ini, tu yang mimpi macam-macam. Dan... kami pun membersihkan bilik tersebut sebersih yang mungkin, siap jemur tilam lagi.  


Rupa-rupanya mak pun ada mimpi ganjil juga, menurut mak malam pertama dia di rumah adik saya dia bermimpi ada ramai orang melihatnya dengan riak wajah hairan tanpa berkata apa-apa.  Emak tidak mengenali wajah-wajah itu, dan mak pun tak ambik kisah sangat. Setelah diselidik, rupa-rupanya tilam yang kami baring itu pernah terbiar beberapa bulan, tidak digunakan di rumah sewa adik sebelum ini. Proses menjemur tilam itu membuka kepada rahsia tersembunyi, rupa-rupanya ada 'bangking', a.k.a kutu tilam bersarang di tilam itu. Tu yang mimpi macam-macam tu... nampak macam remeh kan tapi tempat tidur kita itu juga antara penyumbang kepada lena tak lena atau mimpi-mimpi buruk kita.



Orang kalau nak kenakan suami isteri atau orang gaji yang busuk hatinya, tempat tidurlah yang sangatsangatsangat sesuai untuk meletak/menyembunyikan benda-benda terlarang itu. Kalau mimpi yang pelik, jangan cepat menuduh si polan itu ini yang kemungkinan besar ingin mengenakan kita, pada saya kita perlu/wajib membersihkan rumah kita terlebih dahulu, bukan sekadar menyapu begitu sahaja. Ambil sedikit waktu/ atur jadual berkala untuk make-up rumah terutama sekali part yang tidak digemari seperti - belakang kusyen/perabot, tepi atau bawah katil/tilam, belakang almari pakaian, belakang TV LCD kita tu, sawang, kipas siling malah stor barang juga sebaiknya jangan dibiarkan berbau hapak. Kebersihan separuh daripada iman.



Tapi kalau dah bersih masih mimpi yang pelik-pelik juga dan ianya memang menganggu, kita juga rasa ada yang tidak kena... buatlah tindakan sepatutnya jumpa dengan orang alim yang sesuai...


Kesibukan kita dengan tugasan harian memang membataskan kerja-kerja rumah, sekiranya kitalah tuan rumah dan kita juga 'pembantu rumah' kita. Memang begitu lumrahnya, tapi bagi saya terpenting sekali sama-sama kita jadikan rumah kita tak kira rumah sewa/rumah sendiri - rumahku syurgaku...








Friday, July 6, 2012

TOREH DAN MENANG

Malam tadi semasa menonton 999 di tv3... menarik perhatian saya sebaik sahaja pengacara rancangan itu mengatakan pihak mereka banyak menerima aduan berkaitan stail penyeluk saku yang menoreh beg menggunakan pisau/alat tajam tanpa disedari pemilik beg. Ingatan saya serta merta 'melompat' ke zaman kanak-kanak saya, sekitar tahun 80-an.
 
Pada masa itu hasil kelapa sawit agak lumayan. Mereka yang memandu bas pula rezekinya melimpah ruah setiap kali peneroka gaji. Selain charge tambang menaiki bas, charge barang turun dikenakan. Pada ketika itu  orang tua kami berduyun-duyun menaiki bas menuju bandar Sandakan. Macam satu pesta kecil. Gentingmas, Chung Kwong dan Pasaran Ria selain Pasar Payung-Payung dan Central Market Sandakan sentiasa padat dengan pengunjung. Oleh kerana mood gaji... mudah juga tersebar apa sahaja peristiwa menggemparkan.
 
Termasuklah penyeluk saku yang mahir menoreh beg dengan pisau cukur. Ada di antara orang tua yang berbelanja ini hanya menyedari beg mereka ditoreh, duit pun sudah lesap semasa hendak membuat pembayaran di kaunter. Kesian makcik/pakcik tu...cerita ini kekal segar di ingatan saya. Saya dengan berseloroh malam tadi mengatakan kepada suami... rupa-rupanya penyeluk saku jenis ini sudah sampai di semenanjung, maklumlah kan di sini lagi berbaloi berbuat demikian bukan duit sahaja malah handset yang mahal-mahal tu! Memang lumayan.
 
Pandai betul diorang hiris beg. Cekap tangan diorang ni, tapi bukankah lebih elok diorang belajar silap mata, lebih bagus malah dapat juga menghasilkan duit. Macam-macam jenis manusia. Ada-ada saja...
 
 
 
 

RAYA

Raya di mana? Di kampung halaman sendiri atau kampung halaman pasangan kita. Soalnya  hari raya pertama itu kadang-kadang membuatkan suami isteri berselisih faham. Ada juga yang dapat bertolak ansur bincang elok-elok mengatur giliran tapi tidak kurang juga yang bersifat kuku besi, sama ada di pihak isteri atau suami.
 
Saya dan suami tidak ada masalah tentang raya di mana, setakat ini raya di Sandakan dahulu kemudian barulah di KK. Ada kaitan dengan faktor flight juga, lebih mudah menaiki penerbangan terus dari KL menuju Sandakan berbanding KL ke KK. Dari KK hendak ke Sandakan itu akan menyekat/memperlahankan urusan di Sandakan. Berdasarkan pengalaman lepas... hanya setelah semua urusan penting selesai barulah kami gerak ke KK.
 
Malam tadi suami bercadang hendak singgah di KK semasa cuti kami di Sabah yang cuma 14 hari saja itu. Minggu pertama kami sekeluarga akan ke Semporna untuk majlis kahwin adik saya dan selang seminggu kemudian majlis di Sandakan. Usai majlis dari Semporna suami saya bercadang ingin singgah di KK bertemu keluarga. Mungkin hanya suami sahaja yang singgah ke KK. Katanya sekadar singgah untuk satu malam. Saya tak kisah kata saya, terpulanglah kepada dia hendak berapa hari pun... tapi saya terus terang katakan... saya tidak dapat ikut sekali ke KK kerana selang masa seminggu itu sebenarnya terlalu singkat, banyak yang perlu dibuat di Sandakan untuk majlis resepsi nanti.
 
Ada sebab kenapa saya berkata seperti itu. Ikut pengamatan saya, keluarga suami saya jenis yang terlalu berpegang dengan adat resam... lebih gemar berkahwin dengan kaum keluarga sebangsa misalnya ada yang berkahwin dengan sepupu sekali, diringkaskan perkahwinan yang diatur sesama keluarga terdekat. Bertujuan untuk memelihara ikatan keluarga dan adat resam itu sendiri. Jadi maknanya dari segi pemikiran pun ada masanya sukar untuk menerima perubahan/idea baru. Yang lucunya ada masa-masa tertentu kami bakal bertemu ahli keluarga yang tinggal jauh... saya sudah dapat mengagak raut wajah ahli keluarga tersebut. Mesti muka paten macam ini itu... dan memang banyak acuan serupa, yalah kalau dah kahwin sesama keluarga.
 
Berbeza dengan keluarga saya yang berkahwin dengan pelbagai bangsa, kami tidak kisah sangat tentang adat resam ni, sekadar ambik cukup syarat saja selagi tidak menyalahi agama. Malah sifat tolak ansur itu memang menonjol mungkin disebabkan ada banyak jenis bangsa dalam keluarga kami, bebas memberi dan menerima pendapat.

Sepatutnya saya perlu ikut suami singgah ke KK, tapi saya fikir macam ni... memandangkan kedua-dua orang tua suami saya telah lama meninggal dunia, saya berhak untuk tidak ikut. Bukannya apa... kita cakap singgah sekejap sebabnya ada urusan di Sandakan tapi selalunya akan ditahan untuk beberapa hari... itu yang saya tak nak. Lain dirancang lain yang jadi... Seperti yang saya katakan sebelum ini, berdasarkan pengalaman lepas... hanya setelah urusan penting siap dijalankan barulah singgah di KK. Lagipun...masalah bas tu, faham-faham sajalah mood perayaan, saya risau tiket tiada ataupun takut dapat tiket yang cuma sehari dua sebelum majlis di tempat kami. Kereta keluarga ada tapi tentunya sibuk turun naik bandar membeli belah persiapan kahwin. Kalau bergerak sendiri ok jugalah tapi namanya pun kereta keluarga +- macam kereta syarikatlah...
 
Bukan terlalu risau, sebabnya kita tidak tahu apa sebenarnya akan terjadi di masa hadapan. Kita cuma merancang dan inilah yang saya terjemahkan melalui tulisan di blog ini... proses berfikir itu mengambil kira pelbagai faktor termasuklah pengalaman lepas. Secara peribadi, sejak saya remaja lagi, saya sudah memasang impian untuk tinggal di KK tetapi setelah dewasa dan melalui alam berumahtangga... setelah terjadi bermacam peristiwa pahit manis, yang terbaik buat masa ini menetap di Malaya.
 


 
 


 

Monday, July 2, 2012

ADAT RESAM vs AGAMA

Assalamualaikum...
Saya tidak bermaksud mengkritik menyatakan begitu begini buruk pada pandangan saya, saya cuma sekadar menulis berdasarkan apa yang saya lihat dan apa yang saya rasa, berlandaskan sedikit pengetahuan dan pengamatan apa yang terjadi di sekeliling saya. Cuba kita lihat proses ini, daripada tidak tahu kepada tahu, kemudian daripada tahu berminat mendalami sesuatu ilmu itu sehingga menjadi 'master'.
 Ambil contoh bermula dari sekolah rendah menaiki sekolah menengah dan berpeluang serta sanggup/mampu belajar lagi sehingga peringkat diploma, ijazah, master, PHD malah ada yang double degree. Semuanya melibatkan PROSES/PERINGKAT. Ianya berlangsung bukan dalam waktu yang singkat bukan. Begitu jugalah dengan proses pembangunan jiwa kita.
Hormati orang yang lebih tua, selalunya membawa maksud kita akan bersalam tangan dengan sedikit badan yang ditundukkan/mencium tangan orang yang lebih tua - itu kata adat resam. Tapi kata agama... pun begitu juga kita perlu hormat mereka yang lebih tua dari kita cuma ada batasnya, tidak semua boleh bersalam bersentuhan tangan. 
Orang tua-tua yang teguh memegang adat resam berharap yang teramat sangat semoga ianya dapat diwariskan kepada anak cucunya, dia akan sangat sedih sekiranya generasi muda tidak berminat dengan kerja-kerja adat ini. Tidak semua adat resam sesuai diamalkan sepanjang zaman, sebagai contoh ada satu adat yang mewajibkan bakal pengantin dilarang keluar bilik/rumah/dikuarantin sehinggalah majlis kahwin bermula dan setelah berkahwin pun dilarang pijak tanah untuk beberapa hari. 
Dahulu... berdasarkan cerita kahwin orang tua-tua kita, logiklah tu kena duduk bilik/rumah seminggu atau lebih sebelum majlis kahwin. Sebabnya orang dulu-dulu kebanyakannya bekerja di ladang/sawah padi/nelayan yang sentiasa berpanas berhujan... jadi ada sedikit waktu itu digunakan untuk pakai bedak sejuk seluruh badan, mandi bunga supaya nampak segar, cukup tidur dan makan minumnya pun dijaga/dicatu, maklumlahkan bukan selalu jadi raja sehari, paling lama pun sehari dan setengah malam...disandingkan di pelamin untuk tatapan para jemputan.
Tidak perlu pergi jauh, yang dekat pun sudah lebih dari cukup untuk dijadikan iktibar, untuk diri saya terutamanya.  Saya dan suami cuma bertunang selama seminggu. Bayangkan betapa sibuknya persiapan untuk kahwin, setiap hari saya dan keluarga turun naik bandar menguruskan segala macam bermula dari mencuba pakaian pengantin sehinggalah pergi ke majlis agama mengisi borang bertemu jurunikah... sehari selepas majlis kahwin cuma ada seminggu sahaja masa untuk 'terbang' ke Semenanjung. Seminggu itulah yang digunakan untuk bertandang ke rumah keluarga di Kota Kinabalu dan Sandakan...So, macam mana hendak ikut adat resam kan? Zaman berbeza.

Adik saya yang kahwin raya tahun lepas lagi 'menarik' ceritanya bahkan dijadikan usikan keluarga sebabnya langsung tidak menepati adat resam 'kuarantin' itu. Selesai bersanding pada malamnya, beberapa jam selepas itu +- jam tiga pagi saya, suami, adik saya suami isteri dan dua orang ahli keluarga bergegas menuju ke Kota Kinabalu, sebabnya adik ipar saya itu terikat dengan peperiksaan semester akhir. 
Bukannya kami tidak merancang tarikh perkahwinan adik saya itu supaya tidak 'berlanggar' hari dengan peperiksaan, tapi tarikh peperiksaan tiba-tiba diubah di saat-saat akhir ketika semua jemputan sudah disampaikan, takkan ditarik balik kot... mana boleh itu macam kan. Mahu tak mahu saya dan suami ikut sekali ke KK sekali jalan, walaupun kami ada pilihan pergi hari lain. Yalah, takkan si pengantin yang sudah mengantuk penat itu pula yang 'drive' sendiri. Kesian dia... berjam juga tu Sandakan ke Kota Kinabalu, kena pula tu suasana pagi benar, kelam malam masih meliputi alam. The best momen 4r sleeping beauty...right?
Balik dari KK, barulah adat kuarantin itu dijalankan. Syaratnya pengantin lelaki mesti tidur/diam di rumah keluarga isterinya selama tiga hari tiga malam. Adat punya pasal, padahal sebelum itu ter... honeymoon di KK seminggu kerana urusan peperiksaan semester akhir. 

Adat resam cuma satu pilihan, jangan dijadikan ianya kewajipan malah wajib meninggalkannya sekiranya adat resam itu menyusahkan atau ada unsur-unsur mistik/syirik. Tuntutan agama yang perlu diutamakan/ diwariskan kepada generasi seterusnya. Benar, petunjuk hidayah itu milik Allah... 

Terlalu banyak adat resam semakin tenggelam dek arus kehidupan moden. Memang ada waktu tertentu terjadinya konflik antara generasi muda dan tua berkaitan adat resam ini. Yang terbaik juga semestinya berlandaskan ajaran agama Islam yang suci... apa sahaja permasalahan semuanya terjawab jelas dengan mendalami ilmu... mendalami Al - Quran dan himpunan hadis... ingatan untuk diri saya terlebih dahulu sebelum berpesan-pesan dan ingat mengingati kepada orang lain.







Sunday, July 1, 2012

ANAK KAMPUNG ANAK BANDAR

Lahir dan membesar, melalui zaman kanak-kanak sehingga remaja dan seterusnya dewasa di dua tempat yang berlainan... kampung atau bandar, semestinya perwatakan yang berbeza. Setiap kali saya balik kampung, kalau seseorang ada anak yang masih bayi lingkungan dua tahun ke bawah (contoh terdekat adik saya)... mesti kedengaran pesan dari orang tua-tua supaya tidak membawa anak kecil itu keluar rumah menjelang waktu Maghrib, walaupun keluar rumah menggunakan kereta. Dibimbangi anak kecil itu diganggu oleh makhluk halus yang bermacam namanya itu.
 
 
Di I - City dekat Shah Alam, malam sudah melepasi 12 tengah malam, bukan sesuatu yang asing melihat pengunjung membawa sekali bayi mereka, ada yang ditolak dengan stroller ataupun digendong begitu sahaja. Bayi itu pula terang matanya tidak ada tanda-tanda mengantuk. Di kampung, kalau si anak kecil menghampiri jam 9 malam masih tidak mahu tidur lagi, mak bapa nenek datuknya sudah bimbang kenapalah bayi ini tak mahu tidur walaupun sudah disusukan.
 
 
Mak saya yang baru pertama kali datang ke sini itu berkata, di bandar ini bukan lagi manusia yang takut dengan hantu, tapi hantu sudah yang takut dengan manusia, berani sungguh orang-orang di sini membawa keluar bayi mereka pada waktu malam. Semestinya mak berpandangan seperti itu kerana lingkungan hidupnya sentiasa di kampung halaman, hanya hal-hal penting sahaja barulah dia keluar bandar. Hendak mengajaknya setakat keluar bersiar-siar... belum tentu lagi dia setuju 100%, banyak membazir duit katanya.
 
 
Hidup di bandar terutamanya di KL memang mencabar, tinggi kos hidup walaupun bergaji tetap setiap bulan dengan RM yang ribu-ribu. Hidup di kampung walau gaji tidak setinggi mana, hati tetap senang tidak terlalu memikirkan banyak perkara yang remeh temeh. Di bandar, benda remeh pun menjadi perhatian misalnya masuk tandas sekurang-kurangnya kena stand by duit syilling. Hendak keluar sekejap membeli barang kena sedia duit kecik untuk bayar parking. Istilah sekejap di bandar memakan masa berjam-jam tanpa sedar dek ramainya orang dan kesibukannya, istilah lama di kampung pula sejam itu sudah cukup merimaskan kerana suasana yang selalunya tenang sahaja, jarang sekali hiruk pikuk.
 
 
Ambil satu sisi, kanak-kanak kampung yang tahan lasak selalu panjat pokok terjun sungai begitu dekat dengan alam semulajadi, sambil bermain kalau makan pun biasanya buah-buahan yang ada di sekitarnya. Kanak-kanak bandar mungkin lebih mengenali pelbagai jenis coklat mahupun makanan segera yang senang didapati berhampiran kediaman mereka serta bermain di taman permainan. Beza memang berbeza, saya menulis seperti ini pada lewat petang ini kerana saya lahir dan membesar dalam suasana kampung, hanya setelah mencecah umur 20 tahun sehingga sekarang saya tinggal dalam lingkungan kehidupan moden... suasana bandar walau saya rasa penampilan saya masih 'kampung' lagi. Sekurang-kurangnya saya bersyukur saya tidak terlalu terpengaruh dengan fesyen, payah juga tu kalau obses dengan bermacam stail berpakaian yang kebanyakannya 'lari' daripada yang sepatutnya.
 
Sering kita mendengar, lain dahulu lain sekarang... memang betul dan saya sedar, Al-Quran dan Hadis jugalah yang sesuai diamalkan sepanjang zaman. Itulah pegangan terbaik... ingatan untuk diri saya sendiri.