Wednesday, February 22, 2017

OBAT OH OBAT



Assalamualaikum…


Menghampiri Mac 2017, singgah sekejap di blog saya tadi, untuk bulan Februari ini belum ada cerita baru disiarkan di sana. So hari ini saya nak tulis sikit, cerita tentang ubat. Sebelum itu, kita periksa cuaca di luar rumah cerah, cuaca di dalam hati pun cerah, haha…macam tak sah kalau tak letak cuaca ya, dah semacam trademark pula. Hish takkan kita perlu serius muka ketat sepanjang waktu, tak gitu?
31’C bilang si Green. Mostly cloudy, angin 5km/h dan humidity 80%.


Semalam saya unfriend seorang friendlist. Marah tidak, benci pun tidak, kenal pun tidak. Unfriend sebab sangat-sangat tidak selesa melihat iklan jual jamu dia tu berbaur ayat-ayat lucah, tanpa berkias, tanpa beralas. Nama profile seorang wanita, gambar profile gambar bertiga dia, suami dan seorang anak kecil lingkungan umur +- 2 tahun.


Seluruh wall fbnya penuh dengan ayat-ayat lucah. Dia aktif mengiklankan produk jamu perawannya itu yang saya pasti tidak ada hologram dan pengesahan sticker dari pihak yang sepatutnya. Homemade katanya, dan terhad bergantung kepada order yang diterima. Overclaim, drama lebih, wayang lebih. Semua orang pun tahu kebaikan jamu, cuma cara dia mengiklankan produk tu yang buat kita kurang selesa. Seolah-olah dalam fikiran kita ini asyik memikir seks sepanjang masa.


Agaknya soft spot Malaysian  banyak berkaitan hal-hal dalam kain kot, iklan di tv, papan iklan tanpa malu promosi produk untuk ketat/kuat/gagah/perawan/teruna dan yang sewaktu dengannya. Guna ayat-ayat lucah. Itu pasal pengasas produk terus kaya, mewah dan bergaya. Saya selalu terfikir, bahan-bahan untuk produk kuat ketat perawan ini kilang dia dekat mana sebenarnya? Yang ditayang dekat tv harta benda banglo kereta mewah lifestyle pengasas produk itu saja, tak pernah lagi saya ternampak kilang atau cara pembuatan benda-benda alah ni. Maklumkan saya kalau saya terlepas pandang. Bersangka baik… saya yang terlepas keretapi agaknya.


Tentang ubat moden… pernah kita nampak bangunan Pharmaniaga dekat Shah Alam tu, biasanya dekat kotak/bungkusan dia tu ada alamat pengeluar, kita google dapat cari dengan mudah. Siap imej lagi. Baru-baru ini ada sepupu sambung study bidang farmasi, lepas ni kita tanya terus dia hal-hal ubat.


Ada satu program tv - Food Source bercerita tentang sumber makanan di Singapura datangnya dari mana. Begitu terperinci bermula dari ladang membawa ke meja makan. Kita dapat melihat setiap proses penghasilan makanan itu. Analogi : ‘Dari skrip ke pentas’ – pinjam sekejap elemen teater ini. Setiap sesuatu itu ada prosesnya, bukannya terjadi terus begitu. Bahagian proses menghasilkan itu yang kita selalu terlepas pandang. Atau memang kita tidak peduli langsung.


Kalaulah ada dokumentari atau program tv yang mendedahkan setiap proses membuat produk kecantikan/jamu etc itu… seperti konsep Food Source itu kan bagus. Sudah tentu ianya satu bonus/menambah nilai seterusnya meningkatkan keyakinan pengguna membeli produk mereka… tapi orang kita kau just cakap ayat-ayat power buat drama sikit pun dah cukup. Bagi elemen hal-hal dalam kain dah senang-senang jual barang. Laku keras.


Hari ini Rabu, esok Khamis. Malam Jumaat nanti, akan ada banyak status entah serius entah sarcasm, highlight malam Jumaat. Bermacam warna warni status malam Jumaat berbaur seks, kena sungguh fikiran mereka yang bercorak pelangi yang asyik fikir seks memanjang. Malam lain, hari lain tak boleh buat ke? Seks memang satu keperluan biologi, elemen penting dalam perkahwinan tapi sudah namanya social media yang digerakkan oleh fikiran… amat mudah diterjemahkan dalam bentuk tulisan yang bermacam nada dan bunyi itu (biar betul kau Mona? Nada dan bunyi?) Scroll laju-laju jer lah. Buat-buat tak nampak.


Tiba-tiba saya teringat beberapa tahun lalu, saya up status +- begini – malam ini panas, rasa lega sudah mandi, dah selesai sungkai (iftar) dan terawih. Tiba-tiba ada rakan fb respon – “baru siap ehem-ehem ke?”. Saya jadi macam… biar betul dia ni.. rupa-rupanya malam itu malam Jumaat …macam-macamlah diorang ni. Dia tak malu ke tulis begitu?


Seorang manusia normal yang dikurniakan nafsu tak kisah kau lelaki atau perempuan… mana mungkin akan sentiasa berfikiran baik-baik sahaja sepanjang masa. Ada waktunya akan terbabas tergelincir sekejap fikiran kita itu. Social media memudahkan fikiran baik buruk kita dibogelkan dengan cukup mudah, dibaca oleh orang lain.


Zaman sebelum wujudnya social media, betapa susah kita menjaga percakapan seharian kita, hari ini lebih susah menjaga percakapan mulut dan hujung jari kita. Padanlah di akhirat kelak mulut kita dikunci hanya jari-jari dan anggota lain yang dibicarakan.


Ada satu entry saya bertajuk lucah. Saya sengaja letak tajuk begitu, tapi tidak ada satupun ayat-ayat lucah di dalam entry tersebut, hanya pada tajuk. Capaian view untuk entri lucah itu melepasi pelayaran 10 ribu dan sentiasa mencanak naik. Nampak sangat…kau sambunglah sendiri hihiii…dahsyat tidak?

 *******

@Mabuk ubat@


Dulu, setiap kali demam batuk selsema, saya direct ke klinik swasta ABC. Akhirnya saya  serik/taubat makan ubat (jenis ubat yang dimakan) dari  klinik ABC tu dan tak mau beli ubat dari farmasi XYZ.  Tiada niat memburuk-burukkan, saya berpendapat ubat itu yang tidak serasi dengan saya. Nama ubat? Sudah lupalah, yang saya ingat satu jer – cetrizine.


Saya jadi pening, sakit kepala, mengantuk amat. Pijak lantai terasa seperti berjalan atas permaidani, tengok tv beralun seperti kain langsir ditiup angin. Malah bercakap dengan orang lain saya melihat mereka sekejap kecik sekejap membesar. Deria pendengaran saya seperti speaker radio yang dibesar kecilkan volume. Tekak perit, panas.


Nasib baik saya tidak berhalusinasi, ternampak yang bukan-bukan atau bercakap yang tidak-tidak. Saya tanya suami kalau-kalau ada perangai atau percakapan saya yang ganjil… balasnya tiada, macam biasa saja, cuma saya banyak diam, katanya.


Tahun sudah 2016, saya tekad ke klinik kerajaan, walaupun terpaksa berulang-ulang  ke klinik K1M BB, due to sakit kepala dan sakit yang lainnya, saya perasan saya tidak mengalami keadaan ‘mabuk ubat’ seperti yang saya nyatakan di perenggan atas. Hanya rasa mengantuk, tidur sekejap dan lega. Malah, bermula habis sepapan ubat dimakan (mengikut arahan tentunya) akhirnya membawa kepada hanya beberapa biji ubat yang ditelan, sakit saya mudah dan cepat sembuhnya.


 Mula-mula datang…kena habis sepapan ubat yang 10 biji tu +- makan untuk 3 hari, akhirnya di lain waktu sakit yang sama berulang, baru makan sebiji dua ubat, sakit dah baik dah. Tak sempat habis ubat tu dimakan, balance ubat kita tetap simpan, anytime sakit yang sama berulang di masa hadapan…telan jer lah ubat tu selagi belum expired.


Baru-baru ini saya ke klinik K1M BB tapi bukan sebagai pesakit, sekadar meneman suami saya, tangan dia gatal-gatal alahan. Alhamdulillah tahun ini saya belum pernah ke klinik sebagai seorang pesakit…dan itu membawa makna tiada ubat yang ditelan lagi setakat ini, semoga saya sentiasa sihat walafiat, amin…


Ibrah - saya melihat sendiri beberapa orang yang dikenali… saya andaikan mereka sudah ketagih makan ubat, sesuka hati menelan ubat tanpa pengawasan doktor. Ubat beli sendiri. Tapi nak cakap lebih-lebih pun susah juga, bukannya dia dengar pun cakap kita. Kita pula level anak buah jer, sah-sah nampak sangat ‘lawan tauke’ kalau kita beri pendapat. So, kita jadi saksi tanpa rela, tengok dalam terpaksa sambil berfikir – dia ni normal ke tidak? Biar betul?
Memang nampak macam tak betul sikit dari cara percakapan, turun naik emosinya itu. 


Mood swing  memanjang, suka marah-marah, sensitif lebih, sentap lebih.
XYZ sepanjang masa menghidu Vicks, yang jenis inhaler. Cara hidu dia tu hidu sungguh-sungguh, sampai saya naik hairan dan tanya dia, selsema teruk ke? Jawabnya tak, saja-saja hidu sedap bau, best. Aduh jawapan. Tu belum masuk ubat kencing manis, darah tinggi, kolesterol yang dia telan sebelum makan, selepas makan dan anytime nak makan benda manis yang sedap-sedap. Saya kira purata sehari 15 biji – 20 biji +- ubat yang dia makan. Stok ubat dia tu…mula-mula saya sangka itu beg laptop atau housing notebook, rupa-rupanya itu beg ‘stor ubat’.


 Makan minum tak kawal, rembat ikut nafsu. Duduk dalam aircond sepanjang masa, langsung tak bersenam waima senaman yang ringan-ringan, aduh seram nak! Jalan kaki tak sampai 20 langkah dah penat buru-buru cari tempat duduk. Dia botak licinkan kepala (XYZ ni wanita dan bertudung) katanya tak selesa ada rambut di kepala, rimas dan panas. Sepanjang masa pakai pantyliner, tak selesa katanya kalau tak pakai, selalu basah, selalu terkencing kalau batuk/bersin.


Umur muda lagi, baru awal 40 – an. Anak bandar, hidup senang duit tak ada masalah dari kecik sampailah sekarang. Saya tidak pernah nampak dia solat.
Saya tegaskan, saya tiada niat memburuk-burukkan XYZ. Ini pengajaran sungguh untuk diri saya sendiri terlebih dahulu.Sesungguhnya kesihatan tubuh badan, minda dan fizikal adalah nikmat hidup dan amanah yang perlu kita jaga.


@Emak@


Saya agak risau dengan kesihatan emak di kampung. Emak disahkan ada darah tinggi, kencing manis. Sampai tahap doctor suruh suntik insulin. Dengar saja doctor cakap begitu…emak terus stop jumpa doctor. Sampai ke hari ini emak langsung tak ambil peduli tentang penyakitnya. Adik saya beli glucometer untuk emak mudah cek/pantau paras gula dalam darah…emak tak pakai pun benda tu. Saya belikan emak beras perang, nasihat sikit-sikit tentang jaga makan minum…pun tak jalan juga.


Doa yang baik-baik untuk emak. Dah dia degil tak nak jumpa doctor. Jenis aktif, tak reti duduk diam emak saya ni, almaklum orang kampung, dia rajin berkebun bunga menebas rumput di sekeliling rumah. Selalu berjalan kaki ke sana sini di kampung halaman. Tapi yalah kalau stop terus jumpa doctor kita pun tak tahu tahap kesihatan emak yang terkini kan, dah dia tak nak, dan kami anak-anak pujuk dia pun tak berkesan juga. Di luar nampak ok, dalam kita tak tahu.
Emak jenis macam ni, serupa arwah bapa juga.


 Memanglah tawakal pergantungan terhadap Allah itu tinggi, percaya bahawa hidup mati seseorang sudah ditentukan. Tapi kita juga sama-sama tahu, menzalimi diri sendiri pun tak kena juga ya. Misalnya tak nak jumpa doctor langsung. Dipujuk-pujuk pun tak nak juga. Saya pernah dengar emak bercakap, dia tak kisah sangat tentang kemahuan hidup saling berlumba-lumba, bersaing bermacam benda seperti material wang ringgit, kereta rumah anak-anak etc. dia sudah melepasi tahap itu. Sudah bercucu.


 Dia sudah tua katanya, yang terpenting sekali umurnya dipanjangkan sampai ketiga-tiga adik saya yang masih bujang dan bersekolah itu habis belajar dan bekerja. Sebab itu dia  tak kisah sangat perihal penyakit kencing manis dan darah tingginya itu. Emak still balun nasi, minum manis, jenis minum manis dia tu sangat-sangat manis, saya panggil double triple manis.



Arwah bapa saya lagi ‘ohsem’, langsung tak pergi klinik walaupun dah terbaring terlantar menggigil. Memang tak nak langsung. Saya ingat lagi dia terpijak duri sawit dan demam hampir sebulan, pun tak nak pergi klinik, bertahan begitu saja. Pada ketika yang lain pula, dia digigit kala jengking sampai bengkak kakinya, pun tak pergi klinik, dia ubat sendiri letak kari macam-macam rempah dekat kaki dia tu, bantai minum air cap badak dan ubat serbuk cap kaki tiga. Bertahan sehingga surut bengkak kaki dia tu. Sehinggalah satu hari dia sesak nafas, akhirnya dia mengalah terus dibawa ke hospital membawa kepada diagnosis kanser paru-paru stage 4.



Mujurlah orang tua kami bukan jenis anti vaksin. Cuma kalau mereka sakit memang tak nak ke klinik. Tapi  kami adik-beradik kalau sakit orang tua bersegera membawa ke klinik. Ok, setakat ini saja entri ubat, akan disambung lain tajuk tata...


love,
monalizahrais
Bt.3 Jln Kapar,
Klang

22 Februari 2017 
Rabu