Tuesday, October 30, 2012

BETIK GORENG

Bahan-bahan :

Betik
Tepung goreng pisang Adabi
Tepung cucur lemak manis Adabi
Sedikit garam 
Air
Tepung gandum

Cara-cara :

Adunan tepung di atas di satukan, tambah air dan celup betik sedia untuk digoreng.

*** resipi betik goreng ini saya dapat dari rancangan Spice Routes pagi tadi, saya sengaja simpan dekat blog ini supaya mudah untuk saya merujuk kembali apabila saya hendak mencuba resipi ini kelak.  


 

JUADAH ISTIMEWA

Assalamualaikum dan salam hari Isnin, hari 'kegemaran' kita setiap kali muncul minggu yang baharu, hehe gurau jer. Hujan sebentar tadi dan alangkah seronoknya mendengar sayup-sayup azan berkumandang ketika hujan turun dengan nada sederhana. Melihat azan di kaca tv dengan scenery yang ditunjukkan selalunya pemandangan alam semulajadi - lautan atau masjid agak berbeza rasanya berbanding mengalami sendiri azan yang dikumandangkan sebentar tadi sewaktu hujan turun. Pun begitu yang penting sekali menghormati azan sama ada azan yang terbit dari kaca tv atau dengar secara langsung dari masjid berdekatan rumah kita serta bersegera menunaikan solat fardhu.



Ok, pendahuluan kata sudah disiapkan sepanjang satu perenggan dan memasuki perenggan kedua saya ingin bercerita tentang juadah istimewa dan berhubung rapat dengan masa silam atau lebih tepat lagi zaman kanak-kanak saya sebagai seorang anak kampung yang terpisah dari arus moden. Mungkin mood hari raya Aidiladha masih bersisa lagi dalam diri saya ini walaupun sudah memasuki hari keempat, sukar untuk membendung ingatan yang sesekali bertandang ke kotak fikiran, minta diimbas semula.



Dahulunya di zaman kanak-kanak saya, setiap kali ada majlis kenduri kendara melibatkan perkahwinan, tahlil, kesyukuran, cukur jambul dan sebagainya... saya masih ingat lagi itulah masa untuk makan sedap. Ketika itu hampir semua isteri peneroka adalah surirumah, maknanya setiap kerja-kerja dapur akan dipenuhkan oleh golongan isteri-isteri ini sehari atau beberapa hari sebelum majlis berlangsung, semangat bergotong royong begitu utuh, tuan rumah hanya perlu fikir bajet untuk membeli barang dapur yang utama sahaja, antaranya merangkumi beras, gula, tepung, rempah ratus, ayam dan daging. Kadang-kadang makanan laut diperolehi melalui usaha sendiri memukat di Pantai Dandulit dan sayur-sayur kampung diperolehi dari belakang rumah atau ladang kelapa sawit, antaranya sayur nangka, pucuk ubi, pucuk betik, paku pakis, lamiding, cendawan sawit. Tidak perlu risau tentang upah memasak atau penyediaan makanan kerana ianya sudah menjadi sebahagian daripada kewajipan bermasyarakat di kampung saya ketika itu.



Juadah istimewa yang mesti ada - ayam masak kicap dan daging masak kari atau daging masak kicap dan ayam masak kari. Makanan berhidang dan susun atur makanan pula seperti berikut - lauk utama di tengah-tengah talam mesti berkuah dikelilingi empat jenis lauk yang bertumis/tidak berkuah. Lauk utama misalnya ayam masak kari diletakkan dalam mangkuk batu berwarna putih dilengkapkan dengan dikelilingi empat cuit kaca selalunya berwarna hitam dan transparent, padanan lauk daging masak kicap, ikan serta dua jenis sayur atau kombinasi daging masak kari (mangkuk batu putih) + ayam masak kicap + ikan + sayur + udang. Maaf, sepatutnya gambar saya sertakan untuk memudahkan keterangan tetapi saya percaya pembaca yang lahir sebagai anak kampung dan pernah mengalami situasi makanan berhidang sedikit sebanyak menghampiri/sama dengan gambaran yang saya terangkan. Sudah lama juga sebenarnya saya ingin mendapatkan gambar makanan berhidang ini tetapi belum berkesempatan lagi. 



Saya selalu ternanti-nanti waktu makan berhidang, di samping itu saya suka mengambil tempat yang paling dekat dengan pelamin pengantin supaya mudah melihat mempelai. Majoriti penduduk kampung kami berbangsa Tidung dan oleh itu ada adat yang perlu dipatuhi sewaktu penyediaan makanan berhidang untuk tetamu. Ada 'protokol' yang mesti diikuti oleh tukang hidang makanan - yang pertama, mangkuk cucian tangan diikuti talam berlauk kemudian pinggan nasi yang sudah tersedia nasi putih, minuman, nasi tambah dan air minuman tambahan. Mengemas hidangan hanya dibenarkan setelah semua tetamu siap makan di dalam satu kelompok, dianggap biadap... walaupun hanya tinggal seorang yang belum siap makan.



Hikmah adat ini pada pendapat saya secara tidak langsung membentuk satu pengurusan atau sistem yang teratur. Misalnya tukang hidang perlu menghantar mangkuk cucian tangan terlebih dahulu, katakan ada sepuluh mangkuk maknanya ada sepuluh talam lauk, empat atau lima pinggan nasi untuk satu talam, gelas dan seterusnya nasi tambah untuk satu atau dua kelompok talam berlauk dan satu jag minuman tambahan dapat  dikongsi untuk dua, tiga kelompok tetamu. Satu kumpulan/kelompok boleh jadi tiga, empat, lima orang tetamu yang mengelilingi satu talam. Senang ingat dan senang cerita... seperti kelopak bunga raya misalnya, kelopaknya ada lima dan mengelilingi 'talam' bunga.
Atau seperti berikut :
10 mangkuk putih (jenis batu yang tebal dan berat) membawa maksud ada sepuluh talam.
Cuit kaca ada 4 di dalam setiap talam, maknanya sepuluh talam memerlukan 40 cuit kaca.
Satu talam pula membentuk 3, 4 atau 5 orang mengelilinginya, bermaksud anggaran 10 talam untuk hidangan seramai +-  50 tetamu. 
Untuk gelas minuman (pada masa itu gelas kaca putih tidak bertangkai) ya sudah pasti segelas seorang.
Nasi tambah kebiasaannya satu untuk dua atau tiga kelompok, begitu juga dengan jag minuman tambahan.  



Masak kicap dan daging bagaikan satu kemestian kerana ianya ada kaitan dengan proses awal penyediaan masakan. Ada potongan daging tertentu yang sudah sepakat dipersetujui oleh penduduk kampung, misalnya tuan rumah memberitahu daging masak kicap. Automatik mereka yang membantu di dapur akan menghiris daging nipis-nipis dan kalau potongan untuk daging masak kari... potongan dagingnya tebal/ berbentuk segiempat tepat atau kiub. Lagi satu, kentang mesti ada dalam masakan kari, tukang kaut lauk bertanggungjawab memastikan sekurang-kurangnya ada dua atau tiga ketul bahagian kentang di dalam mangkuk utama. Begitu juga dengan masak kicap, masak kicap bermaksud mesti berwarna hitam pekat dan kalau kurang gelapnya... seakan tidak sempurna masakan itu. 


Untuk masakan kari, santannya original, kelapa dikukur secara tradisional dan diperah santannya menggunakan tenaga manusia sepenuhnya. Pada peringkat ini juga, kemahiran memerah santan dan berapa banyak air yang diperlukan sangat penting kerana ianya mempengaruhi pekat cair sesuatu masakan berkari itu. Oh ya sebelum terlupa, tidak ada minuman sejuk berais, minuman glamour dan utama apa lagi kalau bukan kopi pekat. Kopi yang dibancuh 100% air masak yang baru mendidih. Untuk memasak nasi dan air panas dalam kuantiti yang banyak, dapur kayu digunakan. Tentang kuih tradisional, sudah pasti kaum ibu dan isteri ini sememangnya arif dan daun pisang sentiasa bersedia 'memberikan; khidmatnya. Daun pisang dan kuih tradisional tidak dapat dipisahkan. Apatah lagi yang beraroma daun pandan.



Kuih tradisional kegemaran saya - kuih pasung. Bayangkan kon aiskrim dan kuih tepung pelita. Daun pisang dibentuk menjadi kon aiskrin dan diisi dengan adunan yang rasanya seperti kuih tepung pelita cuma bezanya adunan itu berwarna hijau disebabkan pewarna asli yang digunakan - pati daun pandan dan lebih kenyal. Proses memasaknya dikukus tetapi untuk meletak kon kuih pasung ini, batang pisang disusun dalam periuk besar. Kon kuih pasung ini - bayangkan pula pulut panggang, balutan daun pisang yang membentuk kuih pasung ini disemat dengan lidi.
   


Saya fikir, faktor inilah yang menjadikan juadah tersebut istimewa. Ditambah dengan rasa gembira sewaktu bergotong royong menyediakan keperluan memasak. Walaupun juadah istimewa pada masa itu hanya terhad kepada dua jenis masakan sahaja iaitu masakan kari dan kicap, tetapi ianya kekal segar di ingatan sehingga ke hari ini. Peredaran zaman menyaksikan kemasukan banyak resepi baharu seiring dengan kemajuan teknologi. Kebanyakan penduduk kampung kami sudah jarang mengamalkan konsep makanan berhidang ini, lebih selesa dengan konsep katering. Arus kehidupan moden sudah mengalir perlahan-lahan menenggelamkan kehidupan tradisional, anak-anak muda/generasi kedua dan ketiga sudah keluar mencari kehidupan di luar dari suasana kampung halaman. 



Sekarang, juadah majlis di kampung kami banyak variasi dan berwarna-warni, ada yang mengupah tukang masak atau memasak sendiri antaranya yang glamour - sup tulang, masak merah, rendang, tomyam, kerabu, bubur lambuk, serunding, sate dan saya perasan ada ciri-ciri masakan orang Malaya terutama sekali kalau ada anak-anak kampung yang pulang bercuti dari Semenanjung Malaysia (termasuk aku ler... hehe)
     

Sunday, October 28, 2012

RUMAHKU SYURGAKU

Assalamualaikum pembuka bicara di awal pagi Ahad, pagi minggu hari ketiga Aidiladha. Agak baik mood saya menulis ketika ini. Suami sudah hanyut dibuai mimpi (agaknya lah, hehe) tapi mata saya masih segar, jari jemari masih sanggup menari membuahkan perkataan di blog ini. Minggu ini ada beberapa segmen yang menyentuh hati saya, melihat rancangan ini secara tidak sengaja sebenarnya, kita sungguh bertuah menjadi rakyat Malaysia. Oh, tidak ada kaitan dengan politik ya. Maklumlahkan, bahang politik sudah mula membara perang poster sudah dapat dilihat di sekeliling jalan di kawasan perumahan kami ini. Dunia tersembunyi - salah satu rancangan kegemaran saya memaparkan tentang sebuah kehidupan terasing, kawasan setinggan di tanah perkuburan. Di negara kita ini, hendak melintas di kawasan perkuburan sahaja sudah membuatkan kebanyakan kita berfikir panjang dan mula mencongak untuk melalui jalan lain, terutama sekali pada waktu malam. Aneh bagi saya yang melihatnya, tetapi biasa seperti tidak ada apa-apa kepada penghuni tersebut. Ada yang menetap lebih dari 40 tahun dan semua anaknya lahir di situ!.
Anak-anak kecil menjadikan kawasan sekitar perkuburan sebagai taman permainan mereka. Langsung tidak terlihat riak wajah gelisah dan  ketakutan. Desakan hidup membuatkan mereka memilih kehidupan seperti itu. Dengan nada bergurau saya berkata kepada suami, bukan lagi manusia yang takut dengan hantu/alam mistik tetapi hantu sudah yang takut kepada mereka. Sukar untuk diterima logik akal tetapi itulah kehidupan mereka. Sememangnya negara Filipina punya ceritanya yang tersendiri. Keunikan inilah yang menggamit kedatangan mereka yang berada di luar negara untuk mengetahui dengan lebih mendalam tentang warna kehidupan
Berbeza di tempat kita, orang mendiami kawasan perkuburan hanyalah si penggali kubur, itupun bukannya dia tinggal di kawasan perkuburan, tetapi hanya berhampiran sahaja. Generasi seterusnya pula apabila ditanya tentang impian mereka , selain pekerjaan yang baik termasuklah rumah yang lengkap untuk dimiliki suatu hari kelak. Bertambah menarik, apabila ditunjukkan tulang-tulang yang dibungkus dalam plastik hitam dilonggokkan di satu tempat, hanya kerana waris si mati tidak melunaskan bayaran sewa kubur. Sudahlah hidup berhadapan dengan kos sara yang tinggi termasuklah sewa rumah, sesudah mati hanya tinggal tulang sahaja pun terpaksa 'menyewa' kubur yang didiami. Sungguh, sampai begitu sekali desakan kehidupan yang dipaparkan. Patutlah penghuni setinggan kawasan perkuburan itu sudah tidak takut apa-apa lagi, tidak kisah dengan cara kehidupan mereka yang unik itu... siap ada tv, kipas dan tempat tidur lagi. Tidak terkecuali rumah atas pokok turut ditunjukkan. Sampaikan begitu sekali kehidupan yang daif dan miskin.


Selain rancangan Dunia Tersembunyi... sebentar tadi cerita tentang perjanjian damai Bangsamoro di wilayah Mindanao, Filipina dengan kerajaan Filipina turut menarik perhatian saya. Juga selama lebih kurang 40 tahun perjuangan mereka mendapatkan kemerdekaan untuk Bangsamoro yang seakan-akan tiada berkesudahan... akhirnya bertitik dengan perjanjian damai. Yang mengagumkan, Bangsamoro ini berjuang untuk Islam, mereka sanggup bersusah payah kerana menegakkan agama dari dipengaruhi unsur Kristian. Sesuatu bangsa itu menjadi kuat apabila kesatuannya kukuh dan tidak mudah ditindas oleh unsur luar. Walaupun terdapat sedikit perpecahan di dalam Bangsamoro antaranya terpecah kepada Abu Sayyaf dan MILF, tetapi tujuan utama mereka tidak lain mendapatkan hak mereka terutama sekali hak beragama.
Hendak mengulas dengan lebih mendalam... saya bukanlah orang yang tepat untuk membicarakannya tetapi sesuatu perjuangan memang ada harga yang perlu dikorbankan, antaranya ratusan nyawa melayang disebabkan peperangan. Kesedihan, keperitan kehilangan keluarga tersayang, sentiasa hidup dalam keadaan ketakutan dan sentiasa berjaga-jaga dari serangan musuh untuk satu tempoh yang agak lama juga tu, akhirnya berhasil dengan perjanjian damai, itulah yang sebaik-baiknya.
 

AYAM

Yang paling menarik tentang ayam, bagi saya ianya seperti kelapa juga, bermacam variasi masakan yang dapat dihasilkan malah berkait rapat  dengan adat resam misalnya perlu ayam hitam atau putih sepenuhnya sahaja bagi tujuan perbomohan. Hendak bermula dari mana ya, bermacam cerita berlegar di kepala ini tetapi hendak menyusunnya yang perlu difikir. Semasa zaman kanak-kanak saya, dapat jugalah merasa penyediaan ayam secara tradisional. Bermula dari menyembelih, merebus ayam untuk memudahkan bulunya dicabut sehinggalah proses akhir - tersedia di pinggan untuk dinikmati kami sekeluarga. Orang tua kami menyembelih ayam kemudian direndam direbus sepenuhnya ayam itu di dalam belanga atau kuali besar menggunakan dapur kayu. Saya turut sama mencabut bulu ayam setelah ayam itu dikeluarkan dari kuali/belanga dan diletakkan di dalam talam.
Proses seterusnya setelah ayam tadi bogel, akan disalai sekejap di atas bara api bertujuan untuk memudahkan bulu-bulu halus yang tinggal sedikit di badan ayam itu dicabut dan dibersihkan sepenuhnya. Kemudian ayam itu akan dipotong  dan selalunya ayam masak kicap menjadi pilihan emak saya untuk memasaknya. Terasa sedap sangat, maklumlahkan kami jarang menikmati masakan ayam. Ayam dianggap mewah ketika itu, kehidupan seharian kami berkisar kepada ikan laut dan sayur-sayuran. Sekiranya kami turun bandar Sandakan... harga menu ayam lebih mahal berbanding ikan sehingga dua kali ganda!.
Sekarang setelah bertahun-tahun menetap di bumi Semenanjung Malaysia ini, ayam sebahagian daripada makanan seharian sehinggakan saya terpaksa menjadualkan pemakanan ayam di dalam kehidupan seharian kami. Saya sering bertanya kepada suami, adakah dia suka makan ayam setiap hari?, jawapan yang saya perolehi... suami saya suka makan ayam tapi kalau itulah lauk setiap hari, dia akan berasa jemu. Kemudian saya melanjutkan pertanyaan bagaimana pula dengan ikan. Balasnya ikan boleh tahan lagi kalau makan setiap hari, yalah ada pelbagai jenis ikan kan. Nasib baik saya 'sekepala' dengan suami, hanya makan ayam sesekali dan lebih kepada menu ikan. Rasanya ini juga berkait rapat dengan latar belakang geografi kami yang berasal dan lahir, membesar  berhampiran laut. 
Zaman saya remaja dahulu, sebagai 'budak asrama', sudah tentu jadual pemakanan kami ditentukan. Saya masih ingat lagi, setiap tengah hari Jumaat merupakan waktu puncak di dewan makan asrama, sebabnya sesi pagi akan balik awal untuk solat Jumaat dan begitu juga dengan sesi petang akan lewat sedikit memasuki kelas. Kena pula menu istimewa apalagi kalau bukan nasi ayam. Sehinggakan kalau terlambat makan, ada yang tidak dapat menikmati makanan isitimewa itu, sama ada makanan tidak cukup ataupun ada yang makan lebih dari sekali. Dalam keadaan padat dan sesak, mustahil makcik dewan akan mengecam pelajar asrama yang sudah makan. Apatah lagi kalau awal-awal sudah siap dikautkan nasi dan lauk di tray makanan, kami hanya perlu berbaris untuk mengambil makanan. Yang seronoknya ada di antara rakan kita yang memang tidak makan ayam, rasa bertuah sungguh dapat ayam lebih. Kenangan manis yang sentiasa manis, tidak pernah luput di ingatan ini. Selain nasi ayam, ayam masak kurma dan ayam masak kari antara juadah istimewa di asrama. Yang melucukan, sampai masa menu ikan rebus... suasana begitu lengang di dalam dewan asrama, sampaikan saya terfikir pada masa itu, hanya pelajar yang benar-benar susah kehidupannya sahaja yang sanggup datang ke dewan makan, kerana mereka tidak atau hanya sedikit sahaja wang saku yang perlu dibelanjakan secara berhemah, dan golongan ini termasuklah saya sendiri pada masa itu. Walaupun setakat ikan kembung rebus dipadankan dengan sedikit sayur, saya tetap menghargainya kerana kesusahan keluarga kami pada masa itu yang seringkali tidak berlauk.
Di usia ini setelah berumahtangga, sesekali saya dan suami balik ke kampung halaman, turun sahaja dari lapangan terbang dan memasuki kereta , selalunya saya akan menyuruh adik saya supaya singgah di pasaraya berdekatan untuk membeli bahan-bahan memasak ayam. Dua kali ganda harganya berbanding di sini, sekilo mencecah RM13. Pun begitu, saya sudah sediakan bajet awal-awal untuk menjamu keluarga saya di kampung halaman di Sandakan, Sabah. Saya akan memasak pelbagai jenis juadah berasaskan ayam dan daging, hampir setiap hari sepanjang saya berada di kampung. Hari-hari yang dilalui sepanjang bercuti di kampung halaman saya gunakan sepenuhnya untuk memasak makanan isitimewa, maklumlahkan bukan selalu kami dapat berkumpul beramai-ramai. Terutama kami yang jauh ini yang menetap dan mencari rezeki di perantauan. Sesekali saya merindui suasana zaman kanak-kanak dan remaja saya yang begitu indah, ah sememangnya seronok kepada kebanyakan orang. Lagi-lagi kalau kita anak kampung.
Mengimbas lagi, sayap ayam juga termasuk juadah istimewa yang hanya dapat dibeli hanya pada waktu-waktu tertentu, misalnya genap sebulan gaji. Saya masih ingat lagi, arwah bapa kami akan membeli sayap ayam panggang, seorang akan dapat satu. Sehingga sekarang, sayap ayam yang mudah didapati di sekitar bandar utama di kawasan Sandakan tetap menjadi antara juadah istimewa yang selalu kami beli untuk dimakan beramai-ramai. Di sini pun kawasan Klang, sudah ada orang Sabah berniaga sayap ayam dan mudah didapati di pasar-pasar malam. Sedap memang sedap, tapi lumrahnya kita akan cepat jemu sekiranya itulah lauk yang dimakan setiap hari. Seperti yang saya katakan pada perenggan di atas, saya terpaksa menjadualkan pemakanan ayam di dalam kehidupan seharian kami. Ayam terlalu mudah dan murah harganya untuk dibeli. Malah kalau kita ke restoran kemudian memesan sebarang jenis masakan nasi bergoreng, bagaikan tidak sah menu itu sekiranya tidak terdapat potongan kecil daging ayam. Tujuan utama saya menjadualkan pengambilan makanan berasaskan ayam, berkait rapat dengan penjagaan kesihatan, dan seimbangkan makanan seharian yang kami ambil. Sekurang-kurangnya seminggu sekali ataupun sebaik-baiknya dua kali dalam sebulan. Mungkin bagi mereka yang sudah terbiasa dengan masakan ayam semenjak kecil lagi, agak sukar untuk berbuat  sedemikian tetapi bagi kami suami isteri, ianya tidak sukar kerana latar keluarga kami lebih banyak memakan ikan berbanding ayam. Apapun bersyukur dengan rezeki yang ada. Jangan terlalu cerewet dan membazirkan makanan. Ada banyak orang di luar sana yang tidak menikmati makanan sedap, rentetan kesempitan hidup.
Sekarang di zaman moden ini kalau kita tidak pakar dalam masakan, tidaklah susah sangat untuk menikmati makanan yang digemari. Sekurang-kurangnya pilihan peket segera berlambak di rak-rak pasaraya, merangkumi serbuk ataupun yang siap diblender dan dibungkus khas, hanya perlu gunting penutup peket sahaja dan tuang isinya ke dalam periuk belanga kuali kita diikuti ayam. Itupun kalau tak tahu potong ayam, kebanyakan pasaraya menyediakan khidmat percuma potong ayam, daging dan ikan sebaik sahaja lauk tersebut ditimbang. Malah siap ada arahan lagi di peket segera itu, begitu juga dengan nasi, serahkan sahaja kepada si periuk nasi elektrik. Tetapi seni memasak itu saya akui, sudah berkurangan berbanding penyediaan secara original. Nak buat macam mana kan, kehidupan kita yang pantas berlalu bagi mereka yang bekerja banyak menyekat kegemaran atau kebiasaan orang tua kita dahulu. Nak yang segera? Beli yang sudah siap misalnya ayam golek atau order sahaja dari restoran kegemaran kita, atau yang glamournya makan/bungkus KFC, Mc Donald.
Wah, cerita pasal ayam sahaja meleret leret menjangkaui masa bermula dari zaman kanak-kanak sehingga sekarang. Tidak diempang aliran cerita itu sebabnya saya hendak berbicara secara bebas dan tenang mengikut apa sahaja yang terlintas dan dapat diterjemahkan ke dalam bentuk tulisan saya berkaitan ayam. Saya pernah bekerja dengan orang perseorangan yang mengkhususkan penjualan ayam sahaja. Antara ilmu yang saya perolehi, rupa-rupanya ayam boleh dipotong empat selalunya untuk nasi ayam/ayam panggang, ayam potong lapan untuk rendang atau lauk nasi lemak, ayam goreng berempah, ayam potong dua belas, enam belas atau potong kecik-kecik untuk jenis masakan yang lainnya. Di tempat kerja itu jugalah saya mengenal jenis-jenis rempah , malah sering mendengar tips atau bermacam cerita dari pelanggan yang datang. Ilmu bersifat sangat luas, tidak hanya diperolehi melalui pendidikan formal sahaja, malah terdapat dimana-mana, sekiranya kita hendak mendapatkan ilmu pengetahuan.
Saya masih ingat lagi, masakan pertama saya yang berkaitan ayam adalah ayam masak kicap. Potong bawang putih, bawang merah kemudian saya tumis dan masukkan ayam, garam dan ajinomoto. Setelah itu saya perah sedikit asam jawa dan saya masukkan air. Setelah mendidih agak lama dan airnya semakin sedikit dan saya berasa yakin ayam juga sudah hampir masak, saya kecilkan api masukkan kicap kemudian sedikit tepung jagung Sehingga dihidangkan, saya masih lagi ragu-ragu tentang masin tawarnya, hehe. Itu cerita zaman remaja saya. Saya langsung tidak tahu memasak, sentiasa ragu-ragu dan berusaha mengelak untuk memasak, mungkin kerana saya sering berada di asrama dan menumpukan sepenuhnya perhatian terhadap pelajaran. Hanya setelah memasuki universiti dan berdikari dengan menyewa rumah sewa bersama rakan-rakan, barulah saya berjinak-jinak dan belajar bersungguh-sungguh tentang masakan kegemaran saya.
Oh, ayam oh ayam, terasa panjang sangat cerita saya tentang ayam ini di dalam kehidupan kami. Tetapi satu yang saya bangga, kaum Melayu di Semenanjung ini banyak yang terlibat dengan ternakan ayam, sama ada bermula dari perladangan sehinggalah kepada menjual hasilnya. Ini juga salah satu faktor yang menyebabkan harga ayam dikawal pada harga tertentu oleh kerajaan kita. Berbeza di tempat kelahiran saya, perniagaan berasaskan ayam ini kurang sedikit dipelopori oleh kaum bumiputera dan harganya masih berlegar pada RM 13 sekilo (harga runcit). Tentu best sekiranya harga ayam di Sabah dapat selaraskan sama dengan harga semenanjung. Oklah, stop di sini dulu ceritanya, InsyaAllah lain kali sambung cerita tentang isu yang lain pula. Tata...