Thursday, January 31, 2019

BAHAI


Assalamualaikum…


Hari ini cuaca cerah bermula pagi sehingga sekarang saat saya menulis cerita ini. Dan cuaca di dalam hati pun cerah ceria. Kelmarin saya basuh toto, jemur, tinggal hujung toto ada sedikit basah, lembap. Sambung semalam jemur lagi dan masih basah sedikit di hujungnya. Pagi ini saya jemur lagi, hujung toto yang basah tu dah kering cuma saya sengajakan untuk jemur lagi bagi kering kaw-kaw. Kemudian basuh selimut dan jemur bantal bagi hilang bau bantal tu. (berapa banyak jemur daaa)


Oklah kita tinggalkan cerita toto, bantal dan selimut. Bahai? Bahai membawa maksud beg plastik. Di Sabah di kebanyakan tempat beg plastik kita sebut bahai. Kenapa kita bercerita tentang bahai?


Tadi di Facebook (FB) melintas satu cerita yang membuatkan saya tersenyum sendirian. Ah kita memang selalu tersenyum setiap kali melihat FB bukan? Ada seseorang bercerita dia didatangi kumpulan gores dan menang. Bersungguh menyuruh dia join gores dan menang. Encik D (bukan nama sebenar) bertanya adakah pasti dia akan menang kalau dia join peraduan ini. Dibalas jawapan memang akan menang. Bahagian melucukan bagi saya ketika membaca ceritanya itu ialah – akhirnya Encik D menyuruh kumpulan itu gores sendiri dan menang sendiri, kemudian berlalu pergi.


Spontan ingatan saya kembali ke zaman kanak-kanak. Saya selalu ikut arwah bapa saya ke banyak tempat sama ada laut, pasar, ladang kelapa sawit, mencari kayu dan papan untuk membuat rumah atau ketika arwah bapa bertukang menyiapkan rumah penduduk kampung.


Bahai – di pasar besar di Sandakan ketika itu pada tahun 80-an, saya dan arwah bapa sedang membeli keperluan dapur ikan dan sayur. Ada banyak kanak-kanak usia sebaya saya menjadi penjual bahai. Kanak-kanak ini memang kerjanya menjual bahai pelbagai saiz. Kita kalau dah beli macam-macam barang dan menjinjit banyak bahai di tangan, kanak-kanak ini akan mengekor kita sambil offer bahai yang dijual. RM 0.50 saiz besar dan RM 0.20 saiz sederhana.


Oleh kerana rimas dengan karenah kanak-kanak penjual bahai ini yang kadang-kadang semacam memaksa pun ya, akhirnya arwah bapa tanya balik budak-budak tu… “Ini di tangan aku ni bukan bahaikah? Sama-sama juga kita ada bahai kan? Sudah ku cakap aku nda (tidak) mau bahai, kau paksa juga beli?”. Budak-budak tu sekadar tersengih-sengih garu kepala, kemudian berlalu pergi. Sebenarnya selalu juga arwah bapa saya membeli bahai saiz besar mereka. Semua barang dapat dikumpul dalam satu bahai besar. Sekarang kanak-kanak penjual bahai sudah tiada di Pasar Umum Sandakan, tapi sudah upgrade bawa kereta sorong. Menurut adik saya, bergantung kepada berapa banyak barang dan jauh dekat barang kita yang perlu dihantar ke kereta. Kalau tak silap saya lebih kurang RM5 ke RM10.


Sesuatu yang menyentuh hati saya pada satu hari tiba-tiba melintas di dinding fb… melalui page komuniti Sandakankini, ada ahli yang upload kisah kanak-kanak penjual bahai. Di ruangan komen ada banyak confession yang mengatakan zaman kanak-kanak mereka sangat susah, mereka mencari duit poket dengan cara menjual bahai. Selesai menjual bahai dan hasil jualan itu cukup untuk sarapan… mereka akan naik ke tingkat atas pasar makan mee goreng, nasi kuning. Ketika itu, seringgit dua sahaja kita sudah dapat menikmati mee goreng dan telur mata. Agak hebat sebenarnya matematik kanak-kanak penjual bahai ini. Kenapa saya kata begitu? Apalah sangat RM 0.20 kan? Cuba kita kira…RM 0.20 x 100 pcs = RM 20. Itu saiz sederhana. Saiz besar RM 0.50 x 100 pcs = RM 50. RM 50 pada tahun 80- an…kita sama-sama tahu nilai duit sebanyak itu agak besar nilainya bagi seorang kanak-kanak yang membesar dalam suasana miskin.


Bahai berwarna hitam digunakan untuk stok barang basah di Pasar Besar Sandakan (zon cerita masih pada 80-an ya). Driver bas dan konduktor sudah sedia maklum tentang ini. Dalam bas sudah disediakan gelen yang dibelah dua… khusus untuk menyimpan barang basah seperti ikan, udang, ketam, ayam. Gelen ini disimpan di bawah tempat duduk penumpang atau di belakang pemandu bas. Yang lucunya sebab semua bahai penumpang bas berwarna hitam… ada masanya tertukar bahai. Terambil bahai orang lain. Korang pandai-pandailah ingat bahai sendiri.


Lagi satu ingatan tentang bahai, fikiran emak saya tersangatlah unik. Dia akan cuci bahai itu, bagi sabun dan bilas kemudian dijemur. Alaaa..macam jemur kain tu. Dah kering, simpan. Tapi khas untuk bahai yang diguna isi ikan tadi. Saya tanya emak kenapa emak suka cuci bahai? Emak jawab… bahai tu bukannya rosak, boleh pakai lagi, cuma perlu dicuci saja, hilangkan bau hanyir ikan… sekali lagi, unik kan emak saya?


Next, kembali ke zaman sekarang. Sudah beberapa tahun berlalu, bahai/plastik beg dikenakan caj RM 0.20/pc. Mula-mula diperkenalkan… banyak pro dan kontra nya. Kami suami isteri beli plastik beg hanya untuk mengisi sampah harian sejak bermulanya caj beg plastik. Sebelum ini kami pakai semula beg plastik yang percuma tu. Saya akui, kadang-kadang saya terbasuh juga bahai-bahai ikan yang kami beli di Pasar Besar Meru, Klang, hahaha…terbawa-bawa perangai emak.


Stok bahai sentiasa ada di rumah. Memang kita simpan dan guna semula, banyak kegunaannya. Tentang ini semua orang pun tahu kan?


Kita kembangkan lagi cerita bahai, semasa saya menjadi pelajar teater zaman muda-muda dulu umur 20-an... ada satu istilah, 'plastik diri' yang membawa maksud bahasa badan/body language. 
Lagi satu nak beritahu kepada pembaca... kami belajar layang-layang guna plastik yang digunting, rangka badan layang-layang pakai lidi kelapa. Ketika kali pertama melihat layang-layang kertas... saya agak hairan, jakun pun ya...😆😆😆😆 
My husband sebut bakul. Bakul yang saya tahu semacam raga plastik atau raga rotan. Lain tempat lain sebutannya.

‘Gores dan menang’ di fb. Maksud saya membuat hantaran status di fb bernada sentap dan ‘menggores’ perasaan orang lain. Yang ‘tukang gores’ perasaan itu merasakan dirinya telah menang dan yang ‘digores’ dan ‘tergores’ perasaannya dianggap kalah. ‘Menggores’ perasaan orang lain dan merasakan dirinya telah menang sebenarnya dialah orang yang paling kalah. Kalah yang dikalahkan..hihihi…kita jenis yang macam mana? 

Semoga hari-hari kita selalu ceria dan berbahagia, tata titi tutu...kita jumpa lagi di lain cerita 💝💝💝💝 

 love,
monalizahrais
Klang, Selangor
31 Januari 2019
Khamis

Sunday, January 20, 2019

#10YEARSCHALLENGE


Assalamualaikum…


Bersiaran di bulan Januari 2019, siaran pertama di tahun ini, Alhamdulillah kita masih diberi peluang menulis di blog ini walaupun ada ketikanya agak lama juga rumah blog terbiar sunyi sepi. Hari demi hari berlalu, saya percaya ramai di antara kita yang sangat selesa update apa saja cerita kehidupan di laman sosial berbanding blog. Setakat ini saya masih setia menulis di blog sendiri dan dalam masa yang sama saya aktif melayan aplikasi Facebook (FB) dan Instagram (IG).


Seperti biasa sebelum melanjutkan tulisan seterusnya, tak sah kalau tak cakap tentang cuaca. Ok, cuaca di luar rumah agak mendung tapi terasa panas berbahang dan cuaca di dalam hati cerah ceria sambil ditiup angin sepoi-sepoi bahasa.


Di FB ada cabaran #10yearschallenge. Saya sendiri seronok melihat gambar-gambar lama dibandingkan dengan gambar terkini. Dan saya sendiri turut serta cabaran ini. Beberapa hari sebelum ternampak hashtag 10 years challenge, kebetulan saya terjumpa gambar lama kami sekeluarga dan tahun lepas kebetulan juga kami semua adik beradik ipar sekali pakej anak-anak dapat berkumpul masa raya pertama. Apalagi, tangkap gambarlah kami.


10 tahun ~ dalam cerita ini saya ambik timeline bermula 2008 – 2018. 10 tahun usia perkahwinan saya. Dan cerita yang lainnya. Senang cerita, biarlah gambar bercerita.




 Oktober 2008


Gambar ini diambil setelah selesai majlis perkahwinan saya. Semua adik beradik lengkap, ada di rumah. So kita ambil kesempatan bergambar ramai-ramai. Cerita di sebalik gambar ini, pelamin emak jahit sendiri, design sendiri sebaik saja saya telefon dari KL memaklumkan raya kali ini (2008) saya nak tunang dan kahwin sekali jalan. Sampai di kampung halaman, emak sudah beli kain dan siap jahit, tinggal saja digayakan di pelamin. Tapak pelamin arwah bapa yang buat, benda senang nak buat sebab dia kerjanya tukang kayu. Kerusi kahwin kami sewa RM50 dari jiran sebelah rumah. Pelamin, sebulan lamanya di rumah dibiarkan begitu saja bermula dari tarikh nikah kami sampailah kami sudah pulang semula di KL… baru emak buka dan simpan dalam almari. Tapi kerusi antik tu selesai saja kami bergambar… kami pulangkan semula ke rumah jiran. Masa ini arwah bapa belum sakit lagi, masih sihat walafiat. Setakat sakit demam adatlah sakit gitu.



Kemudian masa berlalu bergerak ke hadapan…


2010 selepas majlis kawin adik perempuan saya selesai, beberapa minggu kemudian arwah bapa mula sakit, keluar masuk hospital dan disahkan menghidap kanser paru-paru/lung canser tahap 4. Diringkaskan cerita, pada tarih 10/10/2011 akhirnya arwah bapa kami kembali ke rahmatullah. Iaitu +- 2 minggu setelah majlis kahwin adik lelaki saya. Raya 2011 itu juga kami semua adik beradik dapat berkumpul dan itulah hari raya terakhir kami semua bersama arwah bapa.




10 tahun kemudian iaitu 2018
Pinjam gambar anak buah nak bagitau 10 tahun kemudian, sebab cara anak buah bergambar dengan tunjuk jari telunjuk sebelah kanan mewakili nombor 1 digabungkan dengan bola corak tembikai sebelah kiri mewakili nombor 0. Jadilah angka 10 secara simboliknya ya! Kau jangan fikir lain pula, 😍😍😍😍😍


 RAYA 2018 


 Saya tak nak cerita panjang-panjang sebab dah tulis kat atas tu biarlah gambar yang bercerita. Yang utama untuk masa hadapan tak kira 10 tahun atau 20 tahun seterusnya semoga kami sekeluarga terus sihat walafiat, berbahagia, murah rezeki panjang umur diberkati Allah S.W. T. termasuklah anda yang membaca cerita ini, aamiin...

Tata..stop kat sini dulu, lain cerita kita jumpa lagi 💝💝💝💝💝

love,
monalizahrais
Klang,Selangor
20 Januari 2019
Ahad