Tuesday, December 25, 2012

PEMBANTU RUMAH II

XYZ mengatakan begini - "Duduk rumah saja, tiada kerja juga yang hendak dibuat". Pendapat saya secara peribadi, hanya orang malas atau memandang rendah mereka yang menjadi surirumah sahaja mengatakan sedemikian.
 
Kalau tiada langsung kerja di rumah yang hendak dikerjakan... kenapa pula ada yang pening kepala disebabkan bajet duit sampai mencecah ribuan ringgit semata-mata hendak mendapatkan pembantu rumah dari seberang? Itu menunjukkan sejelasnya, betapa rumah kita yang tidak pandai bersuara seperti kita itu perlu diselenggara - kemas, basuh, makanan dan sebagainya. Malas atau rajin atau sibuk bekerja yang menjadi alasan. 
 
Sekiranya kita bekerjaya, janganlah pandang rendah mereka yang hanya bergelar surirumah. Jangan sesekali menyindir atau membandingkan. Pengorbanan yang mereka lakukan, sangatsangatsangat besar dan lebih tinggi nilainya jika dibandingkan dengan RM yang terpaksa dilabur kepada pembantu rumah yang selalunya tidak ada kaitan keluarga itu. Malah tidak jelas pun latar belakang mereka.
 
Hargai isteri, ibu atau saudara terdekat kita yang sanggup menjaga anak kita, sanggup melakukan kerja-kerja rumah yang tidak pernah berpenghujung itu tanpa meminta sebarang upah daripada kita. Mereka ikhlas melakukannya kerana kita saudara terdekat mereka. Orang lain ada yang sanggup buat macam tu? Ada, tetapi dengan syarat dibayar upah mereka.
 
Malah pengemis yang meminta merayu dengan kita walau apapun tujuan mereka mengemis, sama ada terdesak/sindiket atau lakonan semata-mata, pun kita dilarang menghina mereka apatah lagi keluarga kita sendiri yang tinggal serumah dan membantu meringankan kerja-kerja rumah.
 
Duit memang penting, tetapi tidak semua perkara dapat diatasi dengan duit. Sesetengah perkara hanya memerlukan kasih sayang sahaja. Sudah namanya manusia, bermacam ragam yang dapat diperhatikan. Ada yang memilih kawan berdasarkan duit dan beruntunglah mereka yang memilih kawan/sahabat berdasarkan agama Islam.
 
Pagi ini saya menulis tentang pembantu rumah II kerana seseorang yang saya kenali, saya perasan dia memandang rendah mereka yang menjadi surirumah yang hanya ditanggung suami. Kononnya duduk rumah sahaja tidak buat apa-apa kerja. Berbanding dia yang bekerja dan dapat duit gaji setiap bulan, sentiasa berpeleseran di pusat membeli belah. Dia menilai seseorang berdasarkan kaya atau miskin. Yang miskin dicemuh dan yang kaya dipuji-puji. 
 
Biarlah si Luncai hanyut dengan labu-labunya. Pepatah ada mengatakan, roda kehidupan sentiasa berputar, ada masanya kita di atas, siapa tahu di lain waktu mungkin kita di bawah roda.  Kalau kaya menjadi ukuran bahagia, renungkan pula kisah Qarun yang kaya raya sehinggakan kunci gudang-gudangnya dipikul oleh berpuluh-puluh unta akhirnya tenggelam ditelan bumi disebabkan kesombongannya itu? Dan kalau cantik menjadi ukuran kebahagian rumahtangga, kenapa artis yang dilabel jelita, cantik, menawan itu banyak yang kecundang rumahtangga mereka?
 
Nikmat rezeki yang diberi tetapi digunakan untuk menghina orang lain, kita tidak tahu Allah berhak menariknya bila-bila masa sahaja. Janganlah sombong sangat, kerana sombong itu memandang rendah kepada orang lain dan menolak kebenaran.  
 
 
  
 
 

Saturday, December 15, 2012

KERJA II

Assalamualaikum dan salam hujung minggu.

Sambungan kisah adik kami yang baru habis SPM itu, sambungan cerita KERJA  sebelum ini. Emak dan ahli keluarga di kampung telah sepakat, supaya biarlah adik kami itu meluangkan masa bercuti di kampung sahaja, mereka kurang berkenan dia datang ke sini untuk bekerja sementara menunggu keputusan SPM keluar. 

Alhamdulillah dan saya rasa itulah keputusan terbaik. Menurut emak saya melalui telefon saya kepadanya - dia bersetuju jika adik kami itu datang belajar (InsyaAllah rezekinya belajar di sini) ke sini selepas SPM. Pada masa itu sekiranya dia belajar dan bekerja part time sewaktu cuti semester, emak tidak membantah. Tetapi emak kurang senang, risau jika dia bekerja sebelum result keluar... bimbang adik terpengaruh dan pudar keinginan untuk sambung  belajar.

Apabila difikirkan semula... adik Jejeng belum pun berusia 18 tahun, sangatlah 'budak' walau umur remaja. Apalah sangat pengalaman hidup yang dia ada, maksud saya pengalaman berhadapan dengan kehidupan sebenar, kehidupan orang dewasa yang sentiasa dihambat dengan pelbagai tanggungjawab.
 Lingkungan hidupnya berkisar di asrama di sekolah agama, rumah di kampung dan sesekali turun ke bandar Sandakan. Selebihnya sentiasa ditemani oleh ahli keluarga dan waktu cuti sekolah pun banyak terperuk di rumah, sesekali keluar berjumpa rakan satu sekolah, tentunya dengan pengawasan ahli keluarga. Kawan yang mencurigakan, akan diperhatikan dan disuruh dijauhi agar tidak terjebak ke dalam perkara-perkara yang tidak baik.

Umur 18 tahun sehingga umur +- 25 tahun adalah masa-masa terbaik menuntut ilmu mendapatkan sekurang-kurangnya diploma atau ijazah, kebiasaannya bermula dari peringkat matrikulasi atau tingkatan enam. Peringkat seterusnya adalah pilihan dan minat seseorang - ijazah sarjana ke PHD, pada ketika ini selalunya pelajar sudah bekerja sambil belajar, sudah berkahwin dan kehidupan yang dilalui sedang menuju ke aras hidup yang semakin stabil. 

Orang tua kami mementingkan ilmu, disebabkan masa silam mereka tidak ada peluang belajar bagus-bagus di sekolah rentetan nenek moyang kami dibelenggu kemiskinan hidup dan tidak ada kesedaran tentang kepentingan ilmu.
Sebab itulah sekiranya kami adik-beradik jika ada ruang dan peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi ditambah dengan minat memang mahu belajar... mereka sentiasa memberi sokongan.

 Sekarang giliran adik kami Jejeng menghampiri fasa baru menjadi remaja purba dan bakal memasuki alam dewasa. Umur 18 tahun sehingga 25 tahun (+-) saya andaikan seperti menternak mutiara, ada yang graduasi berijazah seawal usia 23 tahun atau selewat-lewatnya 25 tahun, selalunya diploma sekitar 21  atau 22 tahun - itu mengikut perkiraan biasa. Suasana luar biasa pula, ada yang bekerja dan berkeluarga dahulu sehingga beranak pinak kemudian menyambung pelajaran sehingga peringkat tertinggi, melibatkan mereka yang berusaha keras dalam kehidupan atau punya kewangan yang mantap.

Menternak mutiara, memerlukan kesabaran tinggi, air laut (suhu air) dan persekitarannya memainkan peranan penting untuk menghasilkan mutiara yang tinggi kualitinya dan dikagumi kecantikannya. Siapa yang tidak suka mutiara? Mencecah harga ribuan malah ratusan ringgit pun tetap ada pembelinya. Tamsilan kepada mutiara dan proses penternakannya yang memerlukan kesabaran tinggi  saya ibaratkan seperti menuntut ilmu seperti yang saya sebutkan di atas.

Bayangkan ditakdirkan umur si polan hanyalah berhujung pada usia 60-an sahaja, sekadar belajar sekurang-kurangnya 5 ke 6 tahun dan ada ijazah atau diploma hanya beberapa waktu sahaja jika dibandingkan dengan usia keseluruhan. Bermakna kesusahan dan cabaran semasa belajar itu samalah seperti suhu air laut, persekitaran bersih atau tidak, serta pengaruh bencana alam yang perlu dihadapi dalam menghasilkan mutiara berkualiti.

Dan... sampai masa konvokesyen itu dapat diibaratkan seperti mutiara yang sudah siap dikeluarkan dari cangkerangnya sedia untuk dipasarkan berdasarkan kualitinya. Tetapi itu tidak bermakna mereka yang tidak punya kelulusan tinggi dianggap gagal kehidupannya. Itu juga satu tanggapan salah. Kadang kala cabaran kehidupan dalam dunia sebenar menjadikan seseorang itu berjaya dalam bidang yang dipilihnya berbanding mereka yang menjadi pelajar tadi. Contoh, selesai SPM si polan memilih untuk berniaga kerana dia memang minat berniaga. Dan... dia berusaha tanpa jemu sehingga akhirnya menjadi ahli perniagaan yang sangat berjaya.

Dalam proses menternak mutiara, akan ada yang tidak berjaya. Begitu juga dalam proses belajar, ada yang kecundang di tengah jalan. Jadi, kehidupan yang bakal dicorakkan untuk dinikmati sepanjang hayat bergantung kepada usaha tanpa jemu selain doa kepada Maha Pencipta.

   

Thursday, December 13, 2012

KERJA

Menjadi pendengar yang baik, tidak semestinya penyokong yang baik juga. Begini ceritanya, pagi tadi adik saya yang tinggal di KL tu call saya, memberitahu cadangannya tentang seorang lagi adik kami yang baru siap peperiksaan SPM supaya datang ke KL dan bekerja sementara menunggu keputusan keluar, dijangkakan hujung bulan Mac tahun hadapan. Cadangan itu bagus, sekurang-kurangnya adik kami dapat mengisi masa lapangnya yang panjang, dapat juga mencari duit poket sebagai tambahan, siapa tahu dapat juga menampung perbelanjaan, tidak banyak... sedikit mesti ada untuk keperluannya sambung belajar nanti, InsyaAllah.
 
Melalui telefon, saya pastikan kalau emak bersetuju dengan cadangannya itu. Katanya lagi, emak setuju. Saya tanya lagi, siapa yang akan membayar tambang kapal terbang adik kami datang ke sini?Jawapan yang kurang selesa didengar... emak yang perlu menanggung tambang adik datang ke sini. Sedangkan keperluan belanja di kampung pun cukup-cukup makan, inikan pula hendak membeli tiket flight. Kemudian saya call rumah dan bercakap dengan adik saya dan emak. Ternyata adik saya itu bersetuju tetapi sekadar mengikut sahaja kerana perkataan Kuala Lumpur itu agak istimewa baginya yang sebelum ini hidupnya hanya berkisar sekitar daerah Sandakan yang tidak seberapa luas dan moden berbanding KL yang tidak pernah tidur. 
 
Perkara yang paling merisaukan saya - culture shock, pengaruh di sini bukan alang-alang, tepuk dada tanya iman. Dan lagi satu, kalau sudah seronok memegang duit walaupun duit yang diperolehi adalah pendapatan sendiri, takut nanti pudar keinginan untuk sambung belajar. Mudah-mudahan tidak begitu jadinya.
 
Manakala emak apabila saya tanya... dia bersetuju sekiranya memang ada kerja yang dapat dilakukan di KL untuk mengisi masa senggang adik saya itu, dengan syarat selamat dan berbaloi kedatangannya ke sini. Apabila saya bertanya tentang tiket flight... emak menyatakan sukar untuk dia menyumbangkan wang kerana duit belanja hasil kelapa sawit fokus kepada belanja dan bil rumah. Dan pada pendapat saya, sekali lagi siapa yang mencadangkan, dialah yang patut menyumbang duit untuk tiket flight malah bertanggungjawab menjaga kebajikan adik saya itu sepanjang dia berada di sini. Titik!
 
Diulangi, pendapat saya sangat mudah, siapa yang mencadangkan... dialah yang menyediakan tambang flight. Tempat tinggal di rumah mereka dan bekerja di sekitar kawasan rumah mereka. Dia menyebut beberapa nama, antaranya 7 - Eleven, pasaraya xxx dan rangkaian restoran segera yang lainnya. Saya berterus terang sahaja, hendak bekerja silakan, tapi sebaik-baiknya tempat bekerja itu PASTIKAN TIDAK ADA KAITAN DENGAN ARAK.
Sungguhpun kita tidak meminumnya kerana tahu ianya haram di sisi agama Islam, tetapi secara tidak langsung 'kita membantu' rangkaian arak tersebut bergerak di pasaran untuk sampai kepada penggunanya. 
 
Maksud saya macam ini - di premis xyz ada jual arak, dan si polan bekerja sebagai juruwang/pembantu kedai runcit. Sudah namanya pekerja, pembantu kedai runcit perlu menyusun barang jualan di rak. Kalau ada jual arak sudah tentu pekerja ini akan menyentuh arak tersebut untuk disusun di rak, tak gitu? Pekerja ini beragama Islam dan tidak minum arak, ironi sungguh kan? Bagaimana pula dengan juruwangnya yang mana setiap pembeli arak akan melalui juruwang? Dan kerana tanggungjawab kerjanya, perlu pegang minuman keras ini untuk scan barang dan memasukkannya ke dalam beg plastik?
  
Dan... berkatkah duit gaji yang kita perolehi
 
Saya teringat zaman saya bergelar pelajar dahulu, menjadi kebiasaaan kami mencari kerja part time setiap hujung minggu dan cuti semester. Selain restoran makanan segera... jurujual dan juruwang di pasaraya besar, kilang malah hotel, cinema, pasar malam, atau bekerja dengan orang perseorangan. Tak payah nak tipu, putar belit saya kalau bab kerja part time ini, faham sangatlah. Majikan suka mengambil pekerja freelance dari kalangan muda mudi kerana sebagai student, tentunya memerlukan wang segera dan tidak terlalu berkira dengan gaji yang diterima, malah faktor tenaga muda mudi yang cergas dapat membantu menaikkan sales mereka. Servis cepat dan duit pun cepat masuk. Tenaga muda mudi yang berumur lingkungan 18 tahun sehingga 25 tahun  amat cergas dan cepat memahami arahan. 
 
Contoh - restoran makanan segera KFC dan Mc Donald's, lunch time bermula jam 12 pm ke 3 pm dan dinner threat bermula jam 6pm ke 9pm... dalam tempoh masa singkat ini customer ramai disebabkan tawaran menu lunch dan dinner pada harga istimewa, murah 30% sehingga 50%. Mereka yang duduk di frontline sudah tentu bukan seorang yang lembap dan terkial-kial membuat kerja, mahunya dimarah pelanggan yang mengejar masa istimewa ini.
 
Semua orang kenal rangkaian KFC misalnya, malah bayi yang tidak tahu apa-apa, sekadar terkebil-kebil matanya itu, dibawa oleh orang tuanya memasuki KFC pun sudah dibiasakan sejak kecil lagi supaya mengenali apa itu KFC. Cuba tengok cashier dan pekerja di restoran segera ini? Pernahkah kita melihat pekerjanya makcik-makcik atau pakcik-pakcik? Yang agak veteren sedikit, lingkungan 30-an dan 40-an, itupun di posisi supervisor dan pengurus cawangan. Memberi arahan, memarahi pekerja atau menegur sana sini yang mana silap. Sesekali mencelah melihat menu di skrin dan membantu menyediakan menu yang dipesan tetapi ternyata tidak secergas langkahnya berbanding muda mudi yang tengah 
'darah panas' itu.
 
Sebagai kakak sulung daripada lapan orang adik-beradik, terasa juga beban di bahu, apatah lagi setelah arwah bapa kami pergi untuk selama-lamanya. Dari segi kehidupan saya dan suami, bolehlah dikelaskan sederhana tetapi maksud beban yang saya sebutkan menjurus kepada sokongan moral dan nasihat. Ditambah lagi, hanya saya seorang di kalangan adik beradik setakat ini yang punya pendidikan tinggi berpeluang memasuki universiti dan berpengalaman menjadi anak rantau di sini sudah mencecah 12 tahun (sewaktu tulisan ini ditulis).
 Bermacam pekerjaan telah saya lalui (tentunya yang halal) sehingga sampai ke satu tahap saya telah tekad memilih pekerjaan yang serasi dengan jiwa saya, yang sedang saya lakukan sekarang (mudah-mudahan dipermudahkan olehNya).
 
Atas sebab ini jugalah saya tegas menyatakan perihal adik saya yang dicadangkan datang bekerja di sini - pilihlah kerja yang halal yang tidak memerlukannya menyentuh arak. Supaya gaji itu berkat.
 
Apabila kita memilih pekerjaan yang berada di landasanNya, InsyaAllah akan dipermudahkan urusan yang lainnya.