Assalamualaikum...
Hari ini Khamis, matahari bersinar cemerlang seawal pagi, sehingga sekarang ayam masih berkokok tidak henti dan burung-burung pun masih 'bersembang' sesama mereka. Saat tulisan ini ditaip, bagaikan ada satu latar suara di belakang saya - nyanyian alam semulajadi.
Sekarang di tempat tinggal kami suami isteri, nyaman memang nyaman, sunyi daripada kebisingan yang selalu sendat di ruangan bandar/kotaraya. Tersorok sedikit daripada kesibukan jalan raya, sesekali sahaja terdengar bunyi motosikal membingit di jalan raya. Waktu malam memang sunyi, mendamaikan sehingga bunyi tapak kaki pun kedengaran jelas. Tuan rumah di kawasan ini memang mengkhususkan rumah-rumah di sekitar kawasan perumahan sekecil ini hanya untuk disewa kepada mereka yang sudah berumahtangga. Bayangkan kalau anak-anak muda... faham-faham sajalah kan, bukannya ada rutin tetap untuk tidur malam awal atau bangun awal pagi. Walaupun anak-anak muda, bujang ini bekerja, tiba hujung minggu atau cuti umum tentunya mata cerah sentiasa, ada yang berjaga sepanjang malam atau membuta sepanjang waktu siang. Kena pula tu berkumpul bersama rakan-rakan, paling kurang bunyi bercakap gelak ketawa tentunya menganggu jiran sekeliling.
Sebenarnya saya hendak bercerita tentang budi bahasa orang kampung dengan orang bandar. Mereka yang dilahirkan di kampung, membesar dengan suasana kampung jika dibandingkan mereka yang lahir dan membesar di bandar, sangat berbeza dari segi perwatakannya - kecuali tidak kisahlah lahir di kampung atau bandar tapi diasuh ketat dengan ajaran agama Islam oleh orang tuanya / penjaga.
Ambil satu contoh, adat menerima tetamu dan menjadi tetamu. Di kampung, sebelum kita masuk ke rumah walaupun rumah tersebut sanak saudara kita, salam mesti diberi dan setelah dijemput masuk kita akan dilayan tuan rumah sebaik-baiknya. Duduk berhadapan, diberi minum, bercakap yang baik-baik. Hendak menjawab telefon yang berbunyi pun kadang-kadang kita maklumkan dulu kepada tuan rumah, misalnya kita cakap macam ni - "maaf, saya kena jawab call ini" atau kita sekadar senyum kepada tuan rumah sebelum menjawab panggilan telefon.
Apabila perlu bertamu untuk beberapa hari, makan minum kita terjaga bermula dari sarapan pagi, tengah hari, minum petang dan makan malam. Kadang-kadang sebagai tetamu kita hendak menolong kerja-kerja di dapur misalnya membasuh pinggan mangkuk setelah siap makan, tetapi ditegah oleh tuan rumah kerana mereka berniat hendak memuliakan tetamu. Turut disediakan keperluan tidur seperti tilam selimut bantal dan bilik selesa untuk tetamu, sampaikan tuan rumah ada yang sanggup tidur di ruang tamu kerana menghormati tetamu. Malah ada yang mendahulukan tetamunya makan terlebih dahulu barulah tuan rumah makan atau tuan rumah dan tetamu makan bersama. Selesai bertamu, kita dihantar dengan senyuman sehingga ke pintu rumah malah sehingga kita hilang dari pandangan barulah tuan rumah masuk ke dalam rumah. Siap suruh datang lagi lain kali, dan katanya jangan segan-segan, jangan malu.
Di bandar? Kadang-kadang kita kena tekan loceng dulu untuk memaklumkan kedatangan kita itupun kalau dilayan sebaik-baiknya. Beri salam belum tentu berjawab. Pengalaman saya... saya pernah memberi salam sebelum masuk rumah dan walaupun berhadapan dengan tuan rumah, salam tidak berjawab. Tuan rumah pula Islam. Aneh memang aneh, takkan jawab dalam hati kot!. Masuk dalam rumah pula makan minum kita disediakan oleh pembantu rumah, boleh tahan lagi tapi yang tak seronoknya ada tuan rumah yang tidak menghiraukan tetamu. Bercakap dengan kita tapi muka tengok tempat lain atau sibuk dengan smartphone. Lebih menyedihkan makan minum tetamu pun kadang-kadang 'layan diri'. Sibuk macam mana sekalipun, sekurang-kurangnya untuk kunjungan kali pertama tetamu kita itu layanlah seadanya. Sekurang-kurangnya berterus terang sekiranya kita sememangnya sibuk dengan tugas, nyatakan sebaik-baiknya kepada tetamu supaya tidak segan-segan untuk 'buat macam rumah sendiri'.
Beza memang berbeza, bukan menyindir golongan tertentu, tapi realitinya begitulah. Yang dibimbangkan adalah generasi akan datang, sekiranya kita sebagai orang tua mereka tidak mendidik anak-anak kita tentang cara melayani tetamu atau cara bertamu, akan berlaku banyak konflik antara pihak yang memuliakan tetamu dan sebaliknya.
Menjadi tetamu atau tuan rumah - yang paling tepat rujukannya bukanlah melalui adat resam kerana adat itu berbeza antara bangsa yang berlainan, tapi merujuk kepada Al-Quran dan Hadis. Sedikit rujukan di internet melalui pelbagai sumber menyatakan... hak tetamu selama tiga hari, setelah itu layanlah mereka seperti melayani ahli keluarga seperti biasa.
Tetamu pula sebaiknya jangan main serbu rumah yang hendak didatangi sekiranya tiada keperluan mendesak. Sebaiknya maklumkan kedatangan terlebih dahulu supaya tuan rumah lebih bersedia. Faham-faham sajalah kita kan, ada masanya rumah berselerak lintang pukang macam kapal pecah, sekurang-kurangnya kita ada masa mengemas rumah untuk menerima tetamu. Keperluan tetamu selain makan minumnya, sediakan juga ruang dan keperluan untuk bersolat. Tetamu kita itu solat atau tidak, itu antara dia dengan Tuhan, yang penting kita sebagai tuan rumah menyediakan hak tetamu sebaiknya.
Menjadi tetamu bermakna kita perlu menjaga tutur kata dan budi bahasa kita. Jangan membandingkan kekurangan tuan rumah dengan kelebihan yang kita ada. Misalnya, tv tuan rumah biasa-biasa sahaja dan hanya ada siaran tv percuma, tapi kita dengan bangganya mengatakan tv kita jenis yang terkini, dapat harga promosi lagi dan ada siaran Astro. Bukan main bangga lagi bercerita. Mungkin niat kita sekadar berkongsi maklumat, tapi di pihak tuan rumah belum tentu lagi dia menyangka sedemikian. Boleh jadi dia rasa tersinggung dengan cerita kita itu. Begitu juga dengan hiasan rumah atau rasa makanan yang dihidangkan. Jangan terlalu cerewet kecuali menyatakan terus terang sekiranya kita memang tidak makan makanan tertentu, supaya tidak menyusahkan tuan rumah. Tuan rumah jemput makan, terimalah jemputannya itu walaupun kita hanya makan sedikit. Hargai usaha tuan rumah yang bersusah payah menyediakan makan minum kita. Siapa tahu kita sudah mengambil banyak masa darinya yang sepatutnya digunakannya untuk kerja lain yang lebih mustahak.
Ada beberapa tetamu di rumah saya apabila saya jemput makan siap berhidang lauk dan nasi lagi, tapi bolehnya tetamu buat dek sahaja, seolah-olah saya tidak wujud di hadapannya, kerana tetamu itu asyik dengan telefonnya. Seolah-olah saya bercakap dengan dinding, sabar sajalah kan. Selalunya sekiranya ada tetamu bertandang ke rumah kami, sarapan pagi saya sediakan seawal selepas Subuh, makan tengah hari sebelum waktu Zohor dan makan malam sebelum melepasi waktu Isyak. Saya tidak mengikut jadual makan tetamu, terpulang kepada tetamu hendak ikut jadual saya atau ikut jadualnya sendiri. Saya TEGAS tentang ini, saya sediakan makanan seperti yang saya nyatakan sebelum ini dan menjemput tetamu makan.
Ikut pengalaman saya sebelum ini, selalunya tetamu yang latar belakangnya lahir/membesar dalam suasana bandar yang tidak solat, yang tidak ada jadual makan teratur itulah yang biadap. Maaf, agak kasar sedikit tetapi itu realiti. Tetamu saya yang berasal dari kampung tidak ada masalah melayan mereka, kerana mereka bercakap sebaiknya, ringan tulang menolong kita di dapur walaupun sudah dilarang berbuat demikian kerana rasa empati mereka begitu kuat.
Bukan tentang bandar atau moden cara hidup kita, tapi saya percaya rujukan terbaik tentunya Al-Quran dan Hadis tentang apa sahaja panduan kehidupan kita.
(Renungan untuk diri sendiri)
love,
monalizahrais
No comments:
Post a Comment