Assalamualaikum...
Bercakap tentang kebenaran... hakikat kebenaran memang pahit. Bercakaplah benar walaupun pahit untuk dikatakan. Kita mungkin akan dipandang hina, dipulaukan atau kena marah, maki hamun. Zaman sekarang dapat dilihat, banyak yang sudah terbalik, selain lelaki menjadi perempuan atau perempuan menjadi lelaki, perkara benar dianggap salah dan perkara yang jelas salah itu pula yang dianggap benar. Malah sesiapa yang cuba bercakap benar... tidak dipedulikan. Dunia akhir zaman...
Amboi... mukadimah, sajer jer tulis macam tu, tapi betul apa.
Malam tadi saya dan suami berbincang tentang cuti raya. Apa? Cuti raya? Betullll.... macam tak logik jer cakap tentang cuti raya, lambat lagi tapi hakikat sebenarnya tiket cepat habis untuk hari-hari kegemaran - dua tiga hari atau seminggu sebelum raya. Kita sering mendengar di kaca tv... tiket balik kampung ke Kelantan dan Terengganu selalunya habis dijual tiga bulan sebelum raya!
Begitu juga tiket balik Sabah, tiket ada tapi harganya mahal melonjak tinggi dan cepat habis untuk 'hari-hari kegemaran' seperti yang saya sebutkan di perenggan atas. Balik kampung halaman bermakna kita akan berjumpa dengan ahli keluarga kita yang macam-macam perangainya itu, ada yang menyakitkan hati dan tidak kurang ada yang 'cool' saja. Adatlah tu... lumrah kehidupan kan.
Bercakap tentang hari raya... InsyaAllah tahun ini kami akan ke Kota Kinabalu dahulu kemudian barulah menuju Sandakan. Sebelum ini kami biasanya menuju Sandakan dahulu disebabkan beberapa tahun kebelakangan ini adik-adik saya berderet kahwin hampir setiap tahun ditambah lagi ketika itu arwah bapa saya sedang sakit tenat. Jadi tumpuan lebih di Sandakan kemudian di Kota Kinabalu. Kedua orang tua suami saya sudah lama meninggal dunia sejak suami saya remaja lagi... jadi itu juga salah satu penyebab kenapa kami ke Sandakan terlebih dahulu berbanding Kota Kinabalu.
Tahun ini, setakat ini tidak ada lagi kedengaran suara dari kampung halaman saya - maksud saya suara tentang adik saya yang masih bujang itu manalah tahu hendak berumahtangga dan ini bermakna ada kerja-kerja kahwin, jadi rancangan kami nanti, suami isteri berhari raya di Kota Kinabalu kemudian barulah menuju Sandakan. Untuk lebih adil dan selama inipun suami cukup memahami keadaan keluarga saya yang diuji dengan penyakit arwah bapa serta sentiasa sibuk dengan kerja-kerja kahwin beberapa tahun kebelakangan ini. Oh ya, keluarga kami mengadakan majlis kahwin pada waktu Hari Raya kerana inilah saja masa yang paling sesuai untuk menghimpunkan semua keluarga terdekat.
Kami berfikir seperti ini, biarlah tahun ini cuti Hari Raya nanti seperti ini - dari KLIA menuju KKIA berpuasa dan beraya di sana dan bakinya di Sandakan. Saya tak kisah sebenarnya beraya sama ada di Sandakan atau Kota Kinabalu, ok jer... Cuma saya ingatkan suami sekiranya kami beraya di KK, apa-apa hal penting kena berbincang suami isteri, jangan sembunyikan apa-apa dari saya kerana suami yang anak bongsu itu sebenarnya selalu serba salah antara pendapat ahli keluarga di KK dan saya sendiri.
Apabila kita sudah berkahwin, ahli keluarga kita bebas memberi pendapat mereka, tetapi keputusan akhir di tangan kita suami isteri. Contoh - xyz mengatakan kita tidak patut tinggal di Semenanjung Malaysia dan bekerja di sini kerana jauh dari keluarga. Tak apalah dia hendak berkata sebegitu... itu cuma pendapatnya. Tapi kita yang dikomen itu perlu berfikir - kita bukannya bujang lagi, sudah suami isteri pun... balik Sabah hendak kerja di mana dan tinggal di mana? xyz yang beri pendapat itu adakah dia yang menanggung hidup kita? xyz kah yang memberi gaji setiap bulan untuk makan minum kita? Hakikat kebenaran kita yang bekerja walau tidak sekaya manapun... tapi tidak meminta-minta dengan keluarga sendiri.
Saya anak sulung dan tentunya perwatakan saya berbeza dengan anak bongsu bukan. Anak bongsu selalunya tidak banyak karenah, lebih cepat bersetuju berbanding anak sulung adakalanya degil, cerewet dalam sesetengah perkara. Bukankah perkahwinan saling melengkapkan? Kalau isteri tegas tentu suaminya jenis lembut atau kalau si isteri pendiam tentu si suami jenis rajin bercakap.
Berkatalah benar walaupun pahit. Persoalan tentang anak sering diajukan kepada kami, hakikat sebenarnya Allah yang menentukan bilakah masa sesuai untuk mengurniakan zuriat kepada kami. Kita merancang dan berusaha, Allah menentukan, Allah perancang terbaik. Dia tahu apa yang terbaik untuk hamba-hambaNya.
Saya tidak menolak tentang kaedah mengurut, salah satu cara tradisional mendapatkan anak, dengan izinNya. Tapi saya belum berjumpa lagi dengan tukang urut yang mengamalkan sepenuhnya kaedah Islam yang tidak bercampur dengan perkara-perkara mistik yang meragukan. Contoh perkara mistik yang meragukan saya ialah, kita dikehendaki menyediakan garam, telur ayam atau hidangan tertentu untuk santapan 'tertentu'. Perlu mandi selepas beberapa hari dengan bacaan tertentu yang hanya tukang mandi itu sahaja yang tahu apa yang dibacanya. Menyeramkan! Dan semoga saya dijauhkan daripada perkara khurafat ini.
Allah Maha Berkuasa. Hanya kepadaNya kita meminta, berdoa di samping berusaha dan bertawakal. Semoga kita sentiasa dijauhkan daripada perkara-perkara kejahatan sama ada yang tersembunyi atau yang terang nyata.
love,
monalizahrais
No comments:
Post a Comment