Monday, October 29, 2018

'IMPIAN JADI NYATA'

Assalamualaikum…

Cuaca di luar rumah cerah sejak pagi sehingga jam ini, cuaca di hati pun cerah, Alhamdulillah. Tajuk hari ini ‘impian jadi nyata’. Tapi kenapa ‘impian jadi nyata’ bukan impian jadi nyata? Kadang-kadang ada benda yang kita nak capai menjadi realiti, tapi bukan 100% seperti yang kita harapkan, menjadi realiti dalam bentuk lain yang paling hampir atau tercapainya impian itu setelah kita lupa dengan sendirinya…tiba-tiba kita terrr…ingat eh kita pernah nak jadi seperti itu sebelum ini.

Semua orang mengalaminya…beza pada kisah kita yang berlainan warna. Ini kisah saya. mungkin hanya cerita biasa-biasa saja tapi pada diri saya sendiri, ada makna yang tersendiri (amboi, mood sentimental dah masuk dah).

@mangga@
Semalam semasa saya sidai baju di belakang rumah, pandangan saya terlihat pokok mangga jiran sedang berbuah lebat, sambil sidai baju gerak fikir saya menjadi lebih berwarna seakan kanvas lukisan membayangkan alangkah sedapnya mangga ini dimakan bersama pencicah sambil santai tengok tv. Kemudian saya teringat kampung halaman sendiri, terbayang-bayang pokok buah-buahan yang ditanam arwah bapa di belakang rumah, sehingga hari ini kami masih dapat menikmati hasil buah-buahan tanamannya.

Selesai sidai baju saya teruskan kerja-kerja rumah yang lain, masak, makan, solat. Beberapa jam kemudian, tiba-tiba kedengaran salam di pintu rumah, rupa-rupanya jiran hantar buah mangga. Apa lagi, rezeki jangan ditolak, seperti pucuk dicita, ulam mendatang.

@tembikai@
Plan asal saya dan suami hendak ke pasaraya beli sedikit barang keperluan. Sebelum itu saya dah rancang nak beli tembikai, tiba-tiba teringin sangat nak makan tembikai. Entah sebab apa, saya sudah lupa, plan kami tak jadi kerana kami perlu bergegas ke tempat lain, kemudian kami singgah di rumah sepupu suami sekadar bertanya khabar, tambahan pula sudah lama tak jumpa. Nak tahu apa jadi lepas tu? Tuan rumah hidangkan kami buah tembikai, banyak pula tu dan manis buahnya. Alhamdulillah kenyang dibuatnya. Tak jadi beli di pasaraya rupanya rezeki makan tembikai sebagai tetamu.

@Gunung Kinabalu@
Cuti Raya Puasa tahun ini… kami suami isteri beraya di Sandakan, kemudian beraya di Kota Kinabalu, setelah itu ambik flight Kota Kinabalu – Kuala Lumpur. Saya berharap supaya dapat ‘selfie’ dengan Gunung Kinabalu, dalam bas pun jadilah. Sewaktu beli tiket bas Sandakan – Kota Kinabalu… awal-awal lagi saya dah ‘cop’ tempat duduk tepi tingkap. 
Kan tingkap bas ekspress tu luas, sampai tempat perjalanan menghampiri Gunung Kinabalu, benda biasa kita dapat melihat Gunung Kinabalu dari jarak dekat. Senang nak ‘selfie’. Dahulu bas akan berhenti rehat dekat restoran di Ranau, senang bergambar berlatarbelakangkan Gunung Kinabalu, tapi bas yang kami naik ini perhentian rehatnya di tempat lain yang tiada latar pemandangan Gunung Kinabalu.

Semakin menghampiri daerah Ranau Kundasang, hujan turun dengan lebat. Aduh, saya dah sedih dah. Huhuhu…Gunung Kinabalu agak kabur di penglihatan, asbab cuaca kurang baik, bas juga bergerak perlahan dan berhati-hati kerana jalan licin. Ditakdirkan bas rosak di pertengahan jalan. Kami terpaksa berhenti menunggu bas ganti. Kami berhenti di mana? Di Kundasang tempat yang ada jual aneka sayur, buah-buahan, bunga serta hasil tempatan yang lain seperti beras kampung, souvenier, makanan ringan.  ‘Berhadapan’ Gunung Kinabalu. Hujan lebat tadi beransur reda, cuaca mendung  berubah semakin baik, semakin cerah. Hampir 3 jam kami berhenti di sini.

Dan… syukur Alhamdulillah impian saya bergambar berlatarbelakangkan Gunung Kinabalu tercapai! Siapa sangka di sebalik kejadian bas rosak akhirnya kita dapat bergambar sepuas-puasnya, impian jadi  nyata beb! Siap rakam video lagi untuk kenangan. Alangkan kita bergerak sendiri berkereta dari Sandakan menuju Kota Kinabalu pun, tidak semestinya kita dapat bergambar berlatarkan Gunung Kinabalu…kadang tu cuaca cerah tapi Gunung Kinabalu ‘malu-malu’ sedang elok ditutup awan. Saya melihat bas persiaran yang banyak parkir di situ sambil berfikir, mereka tourist yang pastinya membayar lebih banyak berbanding saya yang sekadar menaiki bas ekspress ini mengejar flight di KK sambil beraya di sana. Kemudian terkandas di sini kerana bas rosak. Siapalah kita untuk menduga masa hadapan.

@universiti, anak dan cucu@
Semasa saya remaja sekitar tahun 90-an menghampiri tahun 2000, oleh kerana keluarga saya miskin, adik-beradik ramai…impian saya tak banyak, ketika itu acuan pemikiran saya terbentuk oleh persekitaran kecil, bukannya ada media social seperti sekarang. Habis sekolah, jadi guru, berkahwin – ini pemikiran keluarga saya yang diterap dalam pemikiran anak-anak ketika itu. Cita-cita selepas sekolah yang sering kedengaran selain guru, polis, jururawat atau doktor. Tengok TV setakat TV 1, TV 2 dan TV 3. Sedikit maklumat dari cikgu sekolah yang berasal dari Semenanjung Malaysia dan buku-buku di perpustakaan sekolah dan awam.

Cita-cita saya yang paling tinggi ingin menjadi optometris sekiranya saya berjaya memasuki matrikulasi (sekarang biasa disebut asasi), tapi saya tak mengharap sangat ketika itu sebab sedar diri datang dari keluarga miskin.

Memang tak tercapai pun, tak dapat masuk matrikulasi, saya sambung belajar di tingkatan enam selama dua tahun. Selesai STPM, ketika rakan lain sibuk-sibuk mengurus borang masuk UPU dan pinjaman PTPTN, saya buat dek, buat tak tahu jer… sebabnya saya masih berpendapat saya ini miskin. Tak ada duit susah nak sambung belajar. Maka saya memasang impian supaya saya dapat kahwin awal seawal umur 20 tahun. Agak lucu dikenang kembali. Impian kahwin awal? Sambil berharap ada yang akan naik meminang, supaya saya dapat anak awal, anak itu pula cepat besar dan cepat kahwin… saya target sebelum umur 40 tahun atau awal 40-an saya dah ada cucu. Tu dia…impian zaman remaja dulu. Padahal calon suami pun tiada, atau senang sebut boyfriend/pak we pun tak dak.

Borang masuk U atau kita sebut borang UPU ‘datang sendiri’ ke rumah. Bapa kepada seorang rakan sekampung saya dengan rela hati membeli borang untuk semua anak-anak kampung yang baru lepas ambik result STPM. Saya ikut-ikutan saja. Isi borang UPU, hantar borang dan urus PTPTN. Rezeki saya dapat masuk Universiti Malaya (UM). Semua urusan menjadi mudah, Alhamdulillah. Malah tambang flight dan belanja saya ke UM juga menggunakan wang PTPTN. Selain sedikit sumbangan dari politician.

Anak kepada bapa yang membelikan kami borang UPU itu tidak dapat memasuki universiti. Beberapa tahun juga rakan saya itu mencuba permohonan masuk universiti tapi bukan rezekinya di situ. Dan dia kahwin awal berbanding kami yang meneruskan pengajian di universiti.

Setelah jejak kaki di UM… sesekali saya teringat impian zaman kanak-kanak saya yang sering melihat burung terbang di langit itu. Pemikiran kanak-kanak saya pada masa itu sering bertanya ke mana burung-burung ini terbang? Dunia ini sangat luas tapi saya tidak tahu seluas manakah ‘dunia’ itu dan apa isinya, apa yang ada di luar sana.

Tentang anak dan cucu, saya berkahwin agak lewat (mengikut pandangan orang tua di kampung, kan kalau orang kampung biasanya kahwin awal) ketika umur 28 tahun. Setelah 8 tahun duduk di Kuala Lumpur.

Sehingga saat ini ketika saya menulis cerita ini… saya dan suami yang dah berkahwin selama 10 tahun, kami belum ada rezeki anak lagi. Anak dan cucu yang saya impikan semasa zaman remaja tu… menjadi ‘nyata’ cuma dalam bentuk yang lain. Suami saya anak bungsu dari 8 beradik. Beza usia saya dan suami, suami tua 8 tahun berbanding saya. Suami saya generasi 70-an. Dan saya generasi 80-an.

Kakak dan abang suami saya, semuanya kahwin awal seawal umur belasan tahun. Dan dapat anak awal. Umur saya belum sampai 40 tapi saya dan suami punya anak buah dan cucu saudara yang sentiasa bertambah tahun demi tahun. Nampak tak? Faham tak maksud saya tu? Keluarga sebelah saya pun begitu juga. Kami sama-sama berasal dari keluarga besar/big family.

Macam yang saya cakap di perenggan awal-awal tadi, masing-masing kita mengalami situasi ‘impian jadi nyata’, cuma dalam bentuk berlainan cerita.

Katakan kita nak beli handbag jenama MONIA tapi duit tak berapa nak ada. Pilihan lain beli handbag MONIA yang tiruan, beli dekat pasar malam atau online, ‘impian jadi nyata’ lah tu. Tercapai juga hasrat menayang jenama MONIA  walaupun bukan yang original. Ibaratnya gitulah.

Apa lagi ya? Impian di masa hadapan. Ada dan sentiasa refresh. Sebab ianya melibatkan masa hadapan, biarlah kekal terbuku di fikiran buat masa sekarang, nanti anytime kalau ada yang dah tercapai menjadi nyata atau ‘nyata’ kita sambung tulis lagi (senyum). Semoga semua urusan kita dipermudahkan, Aamiin…


love,
monalizahrais
Klang, Selangor
29 Oktober 2018
Isnin

Saturday, October 27, 2018

CERITA-CERITA FACEBOOK EDISI SYAKWASANGKA

Assalamualaikum…


Awal Oktober, 1 Oktober 2018 kita di Klang dikejutkan dengan kejadian ribut, hujan lebat. Berlaku pada waktu petang, ada banyak pokok besar tumbang, saya melihat sendiri pasca ribut keadaan pokok besar yang tumbang itu ibaratnya seperti pokok itu dicabut sekali dengan akarnya, jika setakat dahan pokok yang patah itu biasa dilihat tapi tercabut sekali dengan akar…pokok besar pula tu, ianya semacam seram juga dilihat ya. Kebetulan saya berada di rumah ketika ribut melanda, air longkang di belakang rumah saya naik, hampir-hampir memasuki ruang dapur. Pernah terjadi banjir paras paha di rumah kami ini pada awal-awal tahun kami berpindah masuk ke sini. Yang penting cuaca di hati kita tetap cerah, ceria (senyum).

Ok next, kita fokus ke tajuk – Cerita-cerita dari facebook (Edisi syak wasangka). Setelah kita menjadi warganegara Facebook, sudah tentu kita akan membaca bermacam-macam cerita yang limpas di ruangan news feed. Masing-masing ada pendapat sendiri. Warna-warni perasaan. Silih berganti emosi marah, lucu, sedih, dendam, sentap dan semua jenis emosi yang kita sama-sama tahu.

A (bukan nama sebenar) tiba-tiba menulis status berbaur marah, limpas di news feed. Katanya baru sekali dia upload gambar beruniform, tiba-tiba ada rakan menegur dia jangan menyamar pekerjaan orang lain. Dah dia memang kerja itu, tiba-tiba ada rakan fb yang syak wasangka dia menyamar. Padanlah marah. Alahai ini macam pun ada kah? Kalau ya pun tak tahu kawan tu kerja apa sebenarnya, lebih baik tanya dulu jangan terus jatuh hukum kawan tu menyamar. Kemudian di ruangan komen ada yang mencadangkan supaya dia yang kena tuduh menyamar itu mendedahkan pekerjaannya di fb supaya orang lain tak salah faham, balas orang kena tuduh tu… dia sebenarnya ‘low profile’ dia tidak suka mendedahkan pekerjaannya di fb.

Selama ini pun saya sendiri menyangka dia seorang peniaga atau bekerja sendiri sebab gambar yang sering diupload di fbnya berkaitan hobi bermotor besar dan sedikit cerita isteri dan anak. Itu saja. Selama saya join fb bermula tahun 2010, saya tidak pernah kisah pun apa pekerjaan rakan-rakan fb saya, mungkin sebab saya kalau dah online… sibuk dengan hal sendiri. Membaca ruangan news feed pun… sekadar membaca seumpama angin lalu lalang di sekitar kita.

Next, pada satu hari yang berbahagia, saya upload gambar sotong masak kari, pertama kali saya masak sotong sebegitu, ilham saya dapat setelah makan sotong masak kari dekat kedai mamak. Tiba-tiba ada seorang rakan fb menulis di ruangan komen, inti komen menyuruh saya upload gambar masakan yang saya masak sendiri, bukan gambar makanan yang dibeli di kedai! Saya tergamam seketika. Rakan saya itu tidak percaya saya mampu/boleh memasak sebegitu. Mujurlah sebelum itu saya dah upload gambar tu dekat Instagram sekali dengan resepinya. Saya menyuruh rakan saya tu pergi ke Instagram saya untuk melihat sendiri proses dan resepi penyediaan masakan sotong masak kari yang didakwanya saya beli dari kedai itu. Tak tahu saya nak rasa apa masa tu, nak marah atau nak gelak pun ya. Terkejut, sudah tentu terkejut! Kemudian dia terus senyap setelah saya menyuruh dia melihat sendiri Instagram saya.

Bertahun-tahun sudah berlalu… sekitar tahun 2010-2011 ketika arwah bapa saya sedang sakit kanser keluar masuk hospital, saya berulang alik KL – Sandakan - KL melihat dan menjaga arwah bapa saya. Ada ketikanya sampai 3 bulan saya di Sabah, berjauhan dengan suami. Pada masa itu juga…telefon saya kurang pintar belum ada aplikasi facebook, saya hanya ON fb di cyber cafĂ© dalam sejam dua…dalam sebulan sekali atau dua kali saja saya online. Kesempatan online itu, saya ON fb dan sebab saya berjauhan dengan suami, setiap kali online saya akan share lagu-lagu leleh lentok, jiwang, lagu-lagu cinta. Kemudian setiap kali suami call saya, saya akan maklumkan dia bila-bila masa dia online, lagu jiwang lentok leleh itu saya sengaja post khusus untuk suami.  Lagipun kami baru melalui fasa awal perkahwinan lebih kurang baru 3 tahun berkahwin.

Rupa-rupanya ada seorang rakan fb tersalah faham post saya. Dia menyangka saya ada kekasih gelap disebabkan post lagu-lagu cinta tu. Dimesejnya saya kalau ada apa-apa masalah boleh kongsi dengan dia (rakan wanita), jangan malu-malu, dia sedia membantu katanya. Saya jadi hairan, saya tanya kenapa dia cakap macam tu? Dia menjelaskan tentang post lagu-lagu cinta tu, dia syak saya ada masalah rumah tangga. Membaca penjelasan dia, giliran saya menerangkan cerita sebenar. Selepas itu saya stop share lagu-lagu cinta di fb. Kita tidak tahu apa sebenarnya ada dalam fikiran orang lain, yang jenis bertanya mohon penjelasan kalau rasa ragu-ragu… ok lagi, tapi kalau jenis mengadu domba suka sangat menyebar cerita ikut sedap mulut dia, yang ini jenis bahaya, mohon dijauhkan.

A dan B yang gaduh tapi C yang tidak ada kena mengena yang terasa. Ibaratnya begini, aku yang masak, kau yang panas! Pernah dengar ayat itu kan. C tak ada kaitan, tak terlibat pun dengan gaduh-gaduh A dan B, dah kenapa memberatkan fikiran menyangka yang bukan-bukan? Kalau sekadar menjadi saksi gaduh A dan B di fb, terfikir macam-macam tapi kekal berlegar di ruang fikir tanpa ditulis di fb, ok lagi. Tapi kalau syak wasangka tu dah tertulis di fb… jadi lain kejadiannya. Sekarang percakapan kita menjadi lebih bernyawa sebab kita menulis perasaan di media social, dan kekal di situ selagi tidak di delete. Itupun kalau sempat delete… dibuatnya ada yang screenshot… alahai faham-faham sendiri. Zaman sekarang screenshot sejenis ‘senjata moden’ yang cukup bahaya, jika disalahgunakan boleh memudaratkan orang lain. Lebih tajam dari pisau dan lebih laju dari peluru.

Ada satu group saya pernah join tapi group ni dah bubar lama… sekadar teringat saja. Ingatan untuk diri saya sendiri bahawa pemikiran orang lain ada waktunya memang di luar jangkaan, kita tak ada apa-apa maksud tersirat, tapi siapa sangka ada yang terlebih sensitif, tersentap.

Ada satu ketika terjadi satu bencana alam di satu tempat. Bencana apa dan di mana tempat tu… tak perlulah saya sebutkan di mana, sensitif. Kalau tempat lain terjadi bencana dia bersetuju itu peringatan dari Allah tapi kalau tempat dia kena bencana dikatanya bencana alam, hmmm… Dalam group ini ada ahli yang share gambar bencana. Kemudian saya dan rakan-rakan respon, kami sepakat mendoakan yang terbaik untuk mereka dan semoga urusan mereka yang terlibat dalam bencana itu dipermudahkan. Dan saya pun respon, mungkin ini juga peringatan untuk kita semua atau sebagai pembersihan atas dosa-dosa yang kita lakukan sama ada dosa besar atau dosa kecil. Tiba-tiba Y (bukan nama sebenar) marah dengan saya. Katanya saya tak patut cakap begitu di saat orang ditimpa musibah. Stop judging katanya, berhenti menghukum orang lain yang sedang kesusahan. (Padahal dalam group siapa yang buka cerita terlebih dahulu? Nak gelak pun ya)



Bila masa pula saya menghukum…  sebelum itu di fb bertimbun-timbun video dari alim ulama, daei, ustaz ustazah, penceramah agama mengingatkan supaya bertaubat, bermuhasabah diri setiap kali terjadi bencana alam. Ada terlalu banyak peringatan dengan dalil dan bukti sah dari hadis dan ayat-ayat Al- Quran. Saya jelaskan dekat dia, saya tiada tujuan menghukum sekadar peringatan kita bersama, saya hanya mengulang inti pati peringatan yang disampaikan oleh alim ulama kita. Selepas itu disambungnya lagi di fb, dia naik status tentang jangan ‘menghukum orang lain ketika dalam kesusahan’. Biarkan sajalah. Biarkan si Luncai terjun tenggelam dengan labu-labunya. Kita teruskan kehidupan kita seperti biasa.

Saya pernah melihat di fb ada seorang alim agama memuat naik ayat-ayat Al- Quran dan hadis sahih tentang peringatan supaya bertaubat, meninggalkan dosa, maksiat yang dilakukan selepas satu bencana alam terjadi di XYZ. Di ruangan komen saya membaca ada yang marah-marah dengan ustaz tersebut…memang marah sungguh. Pelik bukan? Ustaz tu bukan bercakap mengikut pendapat dia sendiri tapi beserta bukti yang sah dan kukuh. Sedangkan ustaz itu sendiri turun padang membantu mangsa-mangsa bencana alam.

Kisah lain, ada seorang personaliti T yang terkenal (bukan nama sebenar) muat naik gambar di fbnya, dia bergambar dengan seorang ahli politik yang juga terkenal. Personaliti ini tidak pernah menyatakan side mana dia sokong parti politik di fbnya, sebelum ini saya pernah ternampak di news feed dia pernah bergambar dengan politician yang berlainan parti. Di ruangan komen ada yang ‘menyerang’ T mengatakan atau lebih tepat menuduh T datang ke majlis tersebut bertujuan untuk mengampu politician. T membalas (saya percaya T menaip sambil tersenyum) dia datang ke situ sebab dijemput untuk membuat persembahan, dia sekadar memenuhi jemputan yang dihantar dari pihak politician tersebut, sama macam politician yang lain. Tiba-tiba saya teringat ada ada seorang baker di fb, dia buat kek bertemakan parti PAS, UMNO, PKR. Kemudian ada yang bertanya baker itu penyokong parti yang mana satu. Baker menjawab hal itu biarlah rahsia kerana undi juga rahsia, dia sekadar mengikut permintaan customer tak kira parti apa pun. Bijak tak baker tu? Sudah tentu dia kena jaga bisnesnya bukan? Jangan sampai tersalah cakap dan mengundang syak wasangka.

Next, ini kisah sambal belacan. Ini juga kisah yang melencong dari fb, maksudnya terjadi di alam nyata. Sebelum itu, perasan tak kadang-kadang di fb ada yang sesudah posting satu status, di hujung ayat itu diletakkan caption ayat-ayat back up/reversed bertujuan supaya tidak dikecam. Contoh U (bukan nama sebenar) upload gambar masakan kemudian letak caption, ‘masak biasa-biasa je, bukan pro’ dan disudahi dengan hashtag #jangankecamsaya. Atau begini – ‘tak suka abaikan je, scroll laju-laju, unfriend or blocked, it’s ok’. Kenapa jadi begitu? Mungkin sebab ‘persekitaran’ kita di fb yang terlalu toksik sikit-sikit kecam, sikit-sikit kecam.

Ok, berbalik kepada cerita sambal belacan. Saya pergi ke majlis X (bukan nama sebenar). Makan minum yang dihidangkan sedap-sedap belaka. Yang paling menarik perhatian saya… sambal belacan. Saya rasa sedap sangat sambal belacan dan saya teringin nak tahu siapa yang buat sambal belacan itu. Saya pun bertanya dengan salah seorang ahli keluarga X. Saya baru bertanya siapa yang buat, yang ditanya itu memandang saya dengan mimik muka yang… entahlah tapi dia semacam marah pun ya, sambil membalas dengan pertanyaan teruk sangatkah rasa sambal belacan tu, tak sedap kah dan ayat-ayat lain yang segelas dengannya. Menyedari salah faham itu saya cepat-cepat menjelaskan saya sebenarnya nak minta resepi belacan, bukan nak komplen. Spontan riak mukanya cerah kembali dan nada suaranya menjadi lembut. Saya tertanya-tanya sendiri, sambil mendengar resepi sambal belacan tu di sudut lain fikiran saya, ligat memikirkan adakah saya tersalah cakap? Atau tersalah nada bercakap? Entahlah.

Kebiasaannya status fb yang kita selalu update itu sejenis cerita yang bukan cerita penuh, sudah tentu mudah menerbitkan rasa prasangka di pihak pembaca. Terserah tujuan kita join media social, adakah mencari kebaikan lebih banyak berbanding melihat yang buruk-buruk saja. Tekan keyboard dan tanya hati kita sendiri.



love,
monalizahrais
Klang, Selangor
27 Oktober 2018
Sabtu