Monday, August 27, 2018

'IMPIAN' JADI NYATA

Assalamualaikum…


Hai semua pembaca blog saya! Alhamdulillah petang ini saya menyambung siar di blog ini. Seperti biasa kena mulakan dengan cuaca – cuaca di luar rumah cerah, panas lit-lit, mencengkam jiwa dan perasaan kita, cuaca di dalam hati pun cerah tapi agak damai sebab ada angin sepoi-sepoi bahasa menyejukkan jiwa. Amboi ayat… sejak akhir-akhir ini cuaca di Klang agak panas di siang hari namun begitu ada masanya terselit ribut seketika, angin kencang dan hujan lebat. Apatah lagi emosi kita.

Oklah, terus kepada tajuk ‘impian’ jadi nyata. Saya tulis ‘impian’ bukan impian. Ada beza tu, apa sebab? Itu tandanya kena baca cerita-cerita di bawah.

Saya percaya kita semua pernah terfikir sesuatu seakan ada lintasan di ruang fikir…tidak lama kemudian apa yang terlintas di fikiran itu menjelma di hadapan/menjadi kenyataan. Rasa terkejut pun ya. Kita bagi contoh, sedang saya duduk santai menonton tv, tiba-tiba saya terfikir suami saya di tempat kerja, sudah makan belum, dia tengah rehat atau sedang sibuk dengan kerjanya. Beberapa saat kemudian smartphone saya berbunyi, di skrin tertera nama suami, saya sambut telefon dan dia bertanya saya sedang buat apa, dah makan belum dan yang sewaktu dengannya.

Next, saya teruskan dengan cerita yang lainnya.

BURUNG/KAPAL TERBANG


Zaman kanak-kanak dulu saya suka tengok burung terbang. Ada waktunya kita dapat melihat sekawan atau sekelompok burung terbang di langit. Saya sering tertanya-tanya burung ini dari mana ke mana? Bestnya kalau aku jadi burung bebas terbang ke mana-mana. Kemudian saya terfikir lagi, alangkah seronoknya dapat terbang bersama burung-burung itu…pengaruh cerita The Neverending Story ada babak kanak-kanak duduk di atas badan binatang besar, turut mempengaruhi fikiran saya ketika itu. Ditambah lagi saya suka tengok slot dokumentari National Geographic bertambah tinggi imaginasi saya. Saya percaya dunia di ‘luar sana’ sangat luas dan besar tapi saya terlalu kecil untuk tahu apakah bentuk sebenar dunia  di ‘luar sana’ itu.


Akhirnya ‘impian’ terbang bersama burung tercapai pada penghujung usia 19 tahun seminggu sebelum birthday saya yang ke 20 tahun, saya menaiki kapal terbang sambung belajar di KL.


ALAT KAWALAN JAUH/REMOTE CONTROL


Zon cerita masih di ruang zaman kanak-kanak. TV kami jenis hitam putih. Lesen TV perlu direnew setiap tahun kalau saya tak silap ingat. Bekalan elektrik guna generator. Atau guna bateri besar tu. Adik saya selalu berangan-angan sedang memegang remote control untuk pindah siaran TV. Memindah siaran TV tidak semudah memicit butang remote control… kita kena pulas semacam tombol di tepi TV. Sekarang? TV warna, nipis pula tu, remote control di tangan bukan setakat berfungsi mencari siaran TV mana yang kita suka, malah berfungsi merakam, edit siaran dan banyak lagi yang kita sama-sama tahu fungsinya remote control itu.


GRAB CAR

Grab car - ini bahagian kegemaran. Saya sejenis manusia yang tersangat penakut memandu, memegang stereng. Lebih sanggup tunggu bas atau panggil teksi. Takut saya tu…sampai ke tahap dah pergi ambik lesen kereta pun…terbengkalai tengah jalan tak habis ambik lesen, nampak sangat penakut kan…kalau ada sesiapa yang mampu menghilangkan ketakutan memandu saya ini…silakan berbagi tips hehehe…


Sebelum saya menjadi pengguna tegar app Grab Car… saya menyimpan beberapa nombor pemandu teksi yang  dipercayai. Apa-apa keperluan segera yang memerlukan saya bergerak pantas, cepat sampai ke destinasi… saya hanya call pemandu teksi, sanggup bayar lebih. Sering juga saya terfikir kalaulah saya ini orang kaya…alangkah seronoknya ada pemandu peribadi, kita duduk santai di belakang biar driver tu penat memandu melayan traffic jem dan sebagainya. Tak perlu susah-susah panggil teksi atau berpeluh tunggu bas…berhimpit bersesak dalam bas, huhuhu…


Sekarang saya nak pergi mana-mana, saya booking Grab Car dulu..hanya perlu menapak beberapa langkah dari pintu rumah tunggu Grab Car sampai. Senang sangat-sangat dan memudahkan banyak urusan.


Pernah seorang pemandu Grab Car bercerita…dia kalau nak keluar makan dengan isteri atau membeli barang keperluan atau sekadar berjalan-jalan di mall…dia sendiri panggil Grab Car saja, malas mau driving lagi mau fikir minyak, tol dan parkir. Raya puasa baru-baru ini saya dan suami jalan-jalan di Kota Kinabalu guna Grab Car saja walaupun adik saya suruh pakai keretanya. Suami saya cakap, walaupun Kota Kinabalu itu kampung halamannya sebelum merantau ke Semenanjung Malaysia… dia sudah tidak familiar dengan jalan-jalan di KK, ada banyak perubahan, pembangunan pesat bandar-bandar baru.


HOLOGRAM, AKSES INTERNET


Sebagai peminat dan penonton filem-filem aksi, sudah tentu saya terbiasa melihat bermacam teknologi pelik yang digunapakai dalam filem. Pelik dan tak masuk akal, namanya pun wayang…sekarang melihat kembali filem-filem aksi yang lama-lama seringkali saya menyebut – rupa-rupanya benda aneh ini sudah menjadi realiti pada masa sekarang.


Beberapa tahun sudah… adik saya datang rumah bercerita tentang pensyarahnya yang memakai semacam jam tangan…kemudian pensyarahnya itu menekan butang hologram di hadapan mereka. Kata pensyarah adik saya jam tangan special itu dibelinya di Singapura. Bukan sekadar jam tangan…lebih kepada smartphone cuma dalam bentuk jam tangan.


Masa zaman kanak-kanak dulu menikmati animasi Power Rangers di kaca tv, imaginasi saya ketika itu merasakan alangkah seronoknya ada jam macam Power Rangers …tapi sekarang setelah dewasa melihat sendiri lambakan gajet pelbagai jenama di pasaran tidak pula saya berminat membelinya…mungkin sebab skrin kecik sangat tak puas tengok. Suami saya pernah beli smartphone jenis jam tangan, akhirnya dia jual balik, tak seronok pakai katanya…skrin kecil, button susah mau picit lebih senang guna swipe di skrin smartphone jenis biasa.


Ketika belajar di UM, saya selalu stress setiap kali ada assignment… saya perlu ke library dan cyber café. Buku rujukan yang diperlukan untuk tugasan sentiasa tiada, atau apabila cek rekod buku, masih dalam pinjaman pelajar lain. Cyber café pula sentiasa penuh siang malam. Kalaupun ada kosong..kurang selesa sebabnya sentiasa sesak dalam tu. Almaklum…kawasan padat student UM, perkara biasa CC sentiasa sesak. Walaupun CC bawah blok rumah sewa saja pun.  


Saya ada komputer sendiri…berharga RM5000, (sekarang sudah masuk stor di rumah di kampung halaman) tapi tiada capaian internet. Telefon pula bukan jenis skrin macam sekarang ini, telefon tangan ketika itu zaman glamour Nokia 3310. Saya selalu terfikir alangkah seronoknya kalau ada satu gajet yang semuanya apa saja info yang saya hendak tahu…semuanya di hujung jari..nah sekarang akhirnya…sampai tahap tak cukup satu smartphone, info tanpa sempadan kewujudan laman social sampai tahap tak larat nak melayannya…padan muka aku! Hahaha…saya sekarang guna 2 gajet smartphone setiap satunya berisi RM38 pakej internet sebulan, maknanya total RM76 hanya untuk pakej internet tidak termasuk kos panggilan biasa. Dan 1 laptop untuk menulis.


Saya pernah mendengar satu ceramah agama di TV, ustaz tu cakap mengikut kajian di Malaysia ini smartphone lebih banyak berbanding bilangan penduduk Malaysia. Purata seorang memiliki sekurang-kurangnya 3 gajet. Tu dia…


Gajet sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan kita. Kalau tiba-tiba kita terjumpa seorang anak muda remaja tapi tak guna gajet…ini sangat ganjil. Macam mustahil pun ya. sampaikan ada satu pesanan dari ustaz jugalah ~ zaman sekarang ibu bapa jangan risau sangat tentang apa kerja anak-anak kita di masa hadapan…tapi kita kena risaukan dulu macam mana kita hendak mendidik anak-anak kita di zaman milenia ini, kita selalu terlepas pandang apa yang anak-anak kita lihat di skrin smartphone mereka.


SURAT DAN TELEFON

Baru-baru ini saya melihat satu-satunya telefon awam dekat surau di satu shopping mall ini telah tiada. Tinggal wayar terjojol keluar di dinding. Kali terakhir saya mengguna telefon awam pun saya sudah lupa tahun bila tapi rasanya sebelum  tahun 2010 ketika saya belum ada akaun fb, sebelum daftar masuk ‘planet alam maya’.


Pernah satu ketika saya kehabisan kredit telefon, hendak call suami saya…telefon awam ada depan mata ni, syiling pun ada dalam handbag, tapi saya lebih sanggup beli top up kredit berbanding guna telefon awam. Kenapa jadi begitu? Sebab sudah  biasa dengan kemudahan yang ada, ada pilihan yang lebih baik berbanding telefon awam.


Walaupun saya dari generasi 80-an yang merasai zaman surat menyurat, e-mail, telefon awam…ternyata mengguna kemudahan terkini jauh lebih baik. Cepat dan mudah.
Semuanya tinggal kenangan. Zaman saya belajar dulu, alangkah susahnya berhubung secara terus dengan keluarga di kampung…selain berbalas surat dengan emak, saya perlu kumpul syiling, ‘hack’ telefon awam untuk call jiran sebelah rumah kami…saya kena tunggu beberapa minit untuk bercakap dengan orang tua saya sebab jiran perlu ke rumah bagitau saya call…barulah dapat bercakap dengan mereka.


Sewaktu melihat sidang video di tv pada tahun-tahun sebelum ledakan gajet ini…saya sering terfikir kalau satu hari di masa hadapan saya dapat bersidang video dengan family saya di kampung…sekarang kita sama-sama tahu salah satunya app Whatsapp membolehkan kita ‘bersidang video’ bila-bila masa, dan di mana-mana jua asalkan ada capaian internet.


Penutup cerita – banyak sangat cerita ‘impian’ jadi nyata. Posting kali ini saya tulis bab gajet sajalah. Nak tulis semuanya tak larat, hari pun dah petang ada benda lain yang perlu dibuat. Ok lah, kita jumpa di lain hari…tata...

love,
monalizahrais
Selangor
27 Ogos 2018
Isnin