Thursday, August 18, 2011

ENTAH...

Adalah satu hari tu, saya nak pergi ke satu tempat. Dekat saja dengan rumah, jadi saya naik bas sajalah. Tunggu bas lebih dari sepuluh minit. Bukan basnya tiada, tapi bas tidak singgah walaupun sudah dilambai dari jauh. Pemandu tu bagi signal suruh tunggu bas yang seterusnya.

Dalam proses menunggu tu, ada seorang pakcik lingkungan 40-an di seberang jalan hendak melintas. Biasalah, apabila jalan sudah lengang sedikit dia pun melintas dan kami sama-sama menunggu bas.
 Kemudian bas sampai dan saya biarkan dulu pakcik tu naik.

Tiba giliran saya hendak membayar tambang, pemandu mengatakan tambang saya sudah dibayar. Diringkaskan cerita, pakcik yang tidak dikenali itu yang membayar tambang saya.

Saya ucapkan terima kasih jugalah pada pakcik tu. Entah kenapa dia bermurah hati membayar tambang untuk saya. Kami tidak kenal satu sama lain.

Pada masa itu saya cuba untuk tidak melayan fikiran yang macam-macam kerana yang penting saya selamat sampai ke destinasi yang hendak saya tujui.
Mungkin pakcik tu ada sebab tersendiri berbuat demikian. Tiba-tiba saya teringat kisah bapa saya semasa graduation dulu.

Saya tumpangkan bapa di rumah kawan di Pantai Dalam. Masa tu saya tinggal di Vista Angkasa. Ada satu malam tu, lebih kurang dalam jam 11 malam, saya dan bapa menaiki teksi dari UM. Saya turun di Vista dan saya arahkan pemandu teksi itu hantarkan bapa ke PD. Keesokan harinya bapa memberitahu saya yang tambang teksinya free.

Aku : Buli pula percuma kan pak. Selalunya pemandu teksi di KL ni banyak yang tipu, biarpun bukan semua begitu. Mangkali tiada duit kecilmu pak. Itu yang dia bilang enda payah bayar.

Bapa : Banyak juga duit pecahku. Aku tengok juga harga di meter teksi tu. Tapi dia bilang, enda payahlah. Percuma saja untuk kita dua orang.

Aku : Ohhh...syiok juga tambang percuma.

Sekali lagi, mungkin dia ada sebab berbuat begitu.

Tuesday, August 16, 2011

SUNGKAI

Waa....hari ni lapar sangat, berbanding hari-hari sebelumnya. Mungkin banyak tenaga digunakan untuk membuat kerja. Sungkai apa ya? Sekarang semasa tulisan ini ditaip, jam menunjukkan 6:18 pm, berbaki sejam lebih lagi masa untuk berbuka puasa.

Terbayang dalam fikiran hendak membeli sungkai di restoran Ahmad Tomyam yang tidak jauh dari rumah kami. Mungkin setelah siap menulis post untuk hari ini...tukar baju dan pakai tudung, jalan kaki sikit menuju ke restoran tersebut. Bungkus saja...


Lokasi : Alam fikiran...
Nescafe o ais + goreng-goreng @ teh o ais limau + goreng-goreng juga @...

Monday, August 15, 2011

RESEPI RAYA

Sudah tentu resepi yang berkaitan dengan ayam dan daging. Rendang, ketupat, kuah kacang, aneka biskut dan kek antara juadah yang terdapat di kebanyakan rumah kita. Tidak terkecuali duit raya yang sinonim dengan kanak-kanak.

Berada di usia dewasa ini, masa untuk kita lebih banyak memberi berbanding menerima. Mengikut kemampuan masing-masing. Situasi yang saya suka, berkaitan dengan penyediaan hidangan untuk hari raya. Kuih makmur dan kuih siput...mesti ada dan dibuat setiap kali menjelang raya, untuk digandingkan bersama dengan kuih-kuih yang lain.

Leceh membuatnya tetapi seronok makannya. Saya tidak suka terlibat dengan proses membuat kuih muih dan biskut kerana saya lebih berminat dengan hidangan lauk-pauk. Sekarang saya ligat mencari resepi, mencarinya memang mudah sama ada membeli buku mahupun online saja di internet.

Cabaran utama -  bertambahnya kilogram daging dan ayam yang lebih banyak daripada hari-hari biasa. Hendak seimbangkan rasanya, agar tidak terlebih masin, manis ataupun terlalu pedas. Maklumlah kan, keluarga saya ni besar dari pangkat datuk nenek ke cucu cicit akan berkumpul, tak pun bertandang sekejap ke rumah.

Jadi cabaran juga tu untuk memastikan rasa makanan dapat diterima oleh tekak tetamu yang berbeza generasi ini. Begitu juga dengan air minuman, perlu variasi. Yang kanak-kanak dan remaja lebih menggemari minuman sejuk. Tetapi pangkat orang tua dan datuk nenek ni lain sikit, selalunya kena tanya dulu mau minum apa, perlu letak gula atau tidak, panas sepenuhnya atau suam-suam kuku.

(Amboi! Baru 15 Ramadhan, sudah sibuk-sibuk rancang menu ya)

Tak salah merancang awal, supaya tidak kelam kabut nanti. Kalau pun tidak sama 100% dengan perancangan asal, setidak-tidaknya tidaklah lari jauh sangat dari plan.
Ada juga terlintas di fikiran saya juadah berasaskan makanan laut...fikir, fikir dan terus fikir...


Sunday, August 14, 2011

Saturday, August 13, 2011

HUJAN

Sekarang tengah hujan lebat, kemudian beransur reda. Tapi masih gelap lagi ni sekeliling. Rasa sejuk...ya, tapi tidak pula teringin untuk berlingkar di katil. Kalau jam lima nanti cuaca cerah semula, tak pun hujan sudah berhenti sepenuhnya...cadang nak keluar ke bazaar Ramadhan membeli juadah berbuka puasa sekaligus membeli lauk untuk makan malam nanti.

Barangkali membeli sedikit ole-ole lagi untuk family di Sabah? (Hai...tak habis lagi ke agenda shopping + ole-ole?)

Malas tengok tv, tiada rancangan yang menarik. Jadi online fb sekejap (bukannya ada tulis apa-apa pun di status fb) dan jalan-jalan di alam maya...macam-macam ada, macam memilih barang di kedai pula...alahaihaihai...

Friday, August 12, 2011

SAHUR

Pagi ini cerita tanpa gambar. Line internet kurang memuaskan. Malas nak fikir sebabnya, kadang-kadang memang macam tu. Beberapa hari yang sudah, berlalu tanpa menyentuh langsung laptop. Letih bah. Gambar banyak, tapi masih dalam kamera yang tidak mahal dan tidak murah tu (bolehlah...asalkan terang, dapat zoom in out dan edit sikit-sikit).

Pagi ini buat pertama kalinya untuk puasa tahun ini saya dapat makan semasa bersahur, itupun kek pisang yang dibeli di pasaraya Mydin berharga RM 3.20 dan minum air biasa. Dapatlah makan beberapa potong. Bukan sebab tidak terbangun semasa bersahur, tetapi tekak ini sudah terdidik sejak umur 13 tahun lagi...memang susah untuk menelan makanan semasa bersahur.

Budak asrama selama hampir tujuh tahun. Setiap kali bulan puasa, walaupun laungan bangun bersahur sama ada dari makcik dewan ataupun pelajar asrama supaya bangun sahur...selalunya minum air saja lepas tu duduk-duduk di katil, tak pun tidur balik sampai waktu subuh, he he he...

Dan kalau dipaksa pun tekak ini untuk menelan makanan, kena tunggu seminggu dua barulah dapat makan seperti biasa. Permulaannya memang susah, rasa nak muntah pun ada. Selain nasi, selalunya senang sikit limpas di tekak tu.

Waduh-waduh pagi ini sahaja sudah membebel-bebel. Terangnya mata. Laju saja menaipnya aduidui. Sekarang saya masih di semenanjung, sekejap lagi imsak. Sambil minum-minum ni.

Monday, August 8, 2011

BUNGA API



Lalalalalalalala...gambar-gambar di atas, bunga dan api. Mulanya saya ingin tangkap gambar mercun di bazaar Ramadhan. Tapi setelah difikir-fikir, bimbang pula disangka saya ni orang-orang yang berkepentingan. Walaupun niat saya hanyalah suka-suka saja (sebab suka tengok mercun tu, 'terliur' rasanya hendak main bunga api) tetapi lain orang kan lain cara fikirnya.

Terutama sekali peniaga mercun tu, dia sendiri pun mesti tahu peraturan boleh ke tidak jual mercun ni. Masing-masing ada ceritanya sendiri, sama ada di pihak penjual mahupun di pihak yang membeli.

Lalalala...bestnya teringat zaman kecik-kecik dulu. Mesti tersenyum sendirian dan kalau diimbas bersama kawan-kawan, gegak gempita dibuatnya. Selalunya kita akan berkata seperti ini (lebih kuranglah): "kalaulah masa boleh diputar kembali", "bestnya jadi budak-budak","kau ingat tak...bla bla bla", dan...sambung sendirilah.

Fungsi mercun bagi kami adik-beradik bukan sekadar hiburan semata-mata, tetapi ianya lebih dari itu. Diringkaskan cerita, mercun dan monyet...


Sunday, August 7, 2011

ANAK BUAH


Baju hijau dan mata lalat (pakai spek mata hitam) itu anak kepada salah seorang kakak ipar saya yang menetap di Filipina. Kali terakhir berjumpa dengan pakciknya yang pakai baju biru tu (suami saya) sewaktu kanak-kanak, dan sekarang berumur dalam lingkungan 20-an. Kami memanggilnya Eugine. Lahir, membesar dan mendapat pendidikan  di Filipina, sekarang bekerja di Arab Saudi sebagai jururawat. Begitulah yang dia cerita dengan kami.

Dia tengah cuti sebulan tu. Singgah sekejap di Malaysia jumpa kami, sebelum berangkat ke Labuan, Sabah, seterusnya ke Filipina. Setiap tahun dia diberi cuti sebulan oleh majikannya, ditanggung tambang pulang balik ke kampung halaman. Ok lah tu.

Melalui telefon, kami berjanji berjumpa di Pavillion, Bukit Bintang, KL. Amboi...seronoknya mereka berborak. Maklumlah lama tidak jumpa. Dia tidak tahu berbahasa Melayu, sudahnya saya dan dia apalagi kalau bukan berbahasa Inggeris. Itupun dia selalu tersasul cakap Tagalog + English.

Saya dan suami berseloroh, lain kali kalau dia bercuti lagi...kami minta belikan ole-ole jubah. Haa...

Saturday, August 6, 2011

PERIBAHASA


Ada beras taruh dalam padi, ada ingat taruh dalam hati. Maksud peribahasa ini - Jika kita mempunyai sesuatu cita-cita yang baik, usahlah kita heboh-hebohkan dahulu sama ada kepada teman mahupun kepada orang ramai sebelum dilaksanakan.

Dapat puncanya sahaja, sampailah ke hujungnya.
Maksud peribahasa ini - Orang yang berakal itu, apabila mengetahui sedikit sahaja ehwal sesuatu perkara itu, maka dapat mengetahui semuanya.

Friday, August 5, 2011

PERANGKAP

Macam biasalah kalau ada tetamu datang ke rumah, mesti dihidangkan makanan dan minuman, sambil bersembang. Tetamu X tinggal semalam dua di rumah kami. Dia bekerja di luar Malaysia. Macam-macam cerita yang diperdengarkan. Semuanya menarik sampaikan saya pun terfikir, baguslah kalau macam tu. Merantau jauh cari rezeki, berbaloi dengan gaji yang diterima.

Dari satu cerita beralih kepada cerita yang lain, sambil minum-minum depan tv.

Tetamu:Aku ni selalu juga pi pejabat pos hantar barang sama mak bapa aku.
Saya:Samalah kita, ada-ada saja yang mau dihantarkan?
Tetamu:Selalunya berapa kos delivery?
Saya:Setakat ni kurang dari RM50. Alah, barang biasa-biasa ja.
Tetamu:Ada sekali tu aku tertinggal dompet di rumah, masa tu aku dari pejabat pos naik teksi balik rumah, baru buka beg rupa-rupanya dompet tinggal. Akupun cakap sama pakcik teksi tunggu sekejap, ambik duit dulu. Nasib baik aku selalu simpan duit di rumah, dalam beberapa ratus jugalah. Malas pi bank.

Mendengar dia bercakap sedemikian, spontan saya terfikir corak perbualan kami. Saya rasa tidak sedap hati. Setiap yang dikatakannya seolah-olah jawapan saya pun lebih kurang sama. Secara kebetulan duit ada beberapa ratus dalam dompet saya.

Saya:Oh, ya...kami pula simpan cukup-cukup saja di rumah. Sebab jiran sebelah rumah selalu cerita, jangan simpan duit banyak-banyak, sini banyak pencuri.

Kemudian dia bercerita tentang isu yang lain. Sudahnya dia ingin meminjam wang daripada kami. Bukan bersifat kedekut tetapi saya terdengar dia berbohong dengan seseorang di telefon. Tingkah lakunya juga mencurigakan sepanjang berada di rumah kami.

Thursday, August 4, 2011

TONG SAMPAH




Lokasi:Sekitar kawasan Pasar Seni,Kuala Lumpur.

Saya suka tengok tong sampah ni, unik. Tiba-tiba rasa macam mau buat satu di rumah, hehe...siap ada bumbung lagi, colour purple. Salah satu warna kesukaan saya.
Yang putih-putih di bumbung dan lantai tu, 'taik' burung.

Tong sampah punyalah cantik, itupun masih ada juga yang membuang sampah merata-rata. Jom kita buang sampah di tong sampah...

Waduh-waduh, macam berkempen pula saya hari ini. Ingatan untuk diri sendiri.


Wednesday, August 3, 2011

MIMPI


Semua orang pernah bermimpi. Pelbagai cerita berkaitan dengan mimpi. Ada yang menakutkan tidak kurang juga melucukan dan ada yang menjadi kenyataan di alam nyata. Saya pernah terbaca dalam sebuah buku, mimpi berwarna dan mimpi hitam putih. Rupa-rupanya dengan membaca kita akan melangkaui banyak sempadan fikiran.

Saya pernah mengalami kedua jenis mimpi tersebut; hitam putih dan berwarna. Apabila bermimpi yang colour itu, memang warna warni, seperti menonton tv berwarna.

Beberapa minggu lepas saya bermimpi seorang rakan yang saya kenali mengajak saya keluar rumah berjalan-jalan. Dalam mimpi tersebut dia membawa saya bersiar-siar di tempat yang indah, menghidangkan makanan yang sedap-sedap. Air mukanya sentiasa manis, senyuman tidak lekang di bibirnya.

Dia menjemput saya di rumah dan menghantar pulang semula ke rumah setelah keluar bersamanya. Katanya lagi, dia seronok keluar bersama dengan saya. Dia berharap supaya satu hari nanti dia akan dapat keluar bersama-sama lagi dengan saya.

Bangun sahaja dari tidur, saya tersenyum-senyum sendirian. Boleh pula mimpi macam tu. Biasalah tu mimpi kan mainan tidur, seperti yang selalu kita dengar.

Saya kenal orang dalam mimpi itu, tapi setakat kenal sahaja. Kami tidak pernah bertegur sapa di alam realiti. Tiba-tiba mimpi macam tu, saya terasa lucu pula. Mimpi oh mimpi... 

PESTA BUKU SELANGOR


Saya kurang minat membaca buku yang tebal-tebal, terutamanya novel. Tetapi saya suka membaca buku bergambar. Saya suka membaca buku kanak-kanak. Tetapi akhirnya minat membaca itu beralih perlahan-lahan terhadap novel dewasa. Lagi tebal lagilah saya suka. Apa saja genre saya tidak kisah yang penting seronok membacanya.

Walaupun begitu, minat terhadap buku kanak-kanak tetap tidak dilupakan. Oh ya, saya hendak bercerita tentang dua buku yang begitu terkesan di hati saya, seterusnya membawa kepada pertemuan dengan penulisnya untuk mendapatkan tandatangannya.

Seorang ayah yang bekerja sebagai tukang kayu, tidak pernah menjejakkan kaki ke sekolah tetapi dia tidak jemu berusaha untuk menunaikan tanggungjawabnya terhadap anak-anaknya. Kadang-kadang dia tidak dibayar upah tetapi dia tidak pernah bermusuhan dengan orang tersebut. Sangat penyabar, sentiasa sarat dengan nasihat terhadap anak-anaknya, berpandangan jauh serta mementingkan nilai-nilai Islam. 

Kisah yang kedua pula ada kaitan dengan negara Jepun, konflik antara anak dengan ibu bapanya. Tetapi yang membuatkan ianya terkesan di hati saya, ada satu peristiwa yang sama dan berulang pada hari tertentu, tanpa sedar ianya berlanjutan sehingga beberapa bulan.

Apabila saya selesai membaca novel-novel tersebut, saya berazam akan menemui penulisnya untuk mengucapkan tahniah kerana watak tukang kayu itu 80% sama dengan watak bapa saya yang juga seorang tukang kayu.

Kisah yang kedua pula ada satu peristiwa yang saya alami,kisah yang berlainan dengan novel tersebut tetapi yang samanya cara ianya terjadi iaitu berulang pada hari tertentu dan berlanjutan beberapa bulan.

Tetapi apabila berhadapan dengan penulis tersebut, saya tidak dapat menyatakan seperti yang telah saya rancang. Tiba-tiba rasa sedih menerpa mengingatkan ayah saya yang sedang sakit. Sudahnya saya hanya mendapatkan tandatangannya dan membeli bukunya yang terbaru.

Tuesday, August 2, 2011

SENTIMENTAL VALUE

Muka hadapan buku


Muka belakang buku

Buku ini bertajuk The Meaning Of The Glorious Qur'an Part XXX. Hadiah daripada seorang ustaz kerana saya dapat menghafal surah-surah pendek yang terdapat di dalam Al-Quran.Nama ustaz tersebut Ustaz Mohd Ghazali Hj Shafiee. 01 Julai 1992, tarikh yang saya tulis pada bahagian dalam muka surat pertama buku ini. Tapi gambarnya tidak dapat di download, entahlah kenapa. Berulangkali saya cuba download... tetap tidak berjaya.Menurut ustaz tersebut, asalnya buku ini dari Lubnan, kawannya yang bagi. Kemudian dijadikan hadiah kepada saya. Terjemahan surah-surah pendek yang terdapat di buku ini, daripada Bahasa Arab ke Bahasa Inggeris. Pada masa itu saya rasa sangat pelik kenapa ustaz ni bagi buku macam ni, kenapa tidak bagi terjemahan dalam Bahasa Melayu? Berada di sekolah menengah, sesekali saya akan mencari kamus dan cuba memahami terjemahan yang terdapat di dalam buku ini. Tanpa saya sedar, rupa-rupanya buku ini sentiasa berada dengan saya dari zaman kanak-kanak sehinggalah dewasa.

Pencil case ini dibeli pada tahun 1999, masa tu tingkatan enam atas di SMK Elopura Sandakan, Sabah. Sampai ke hari ini saya masih menggunakan pencil case ini. Masih dalam keadaan elok. Tapi harganya sudah lupa. Kalau tak silap saya, dibeli di Gentingmas, Sandakan menggunakan duit biasiswa.Boleh dicuci dan dikeringkan seperti kain baju juga. Kainnya jenis kain payung. Saya suka melihat bunga-bunga pada pencil case ini,sebab  itulah dibeli.




Monday, August 1, 2011

JOM NYANYI



senang nak hafal niat puasa melalui kaedah nyanyian
terutama sekali kanak-kanak yang
baru belajar tentang puasa
 orang dewasa pun selalu terlupa
 bulan puasa cuma setahun sekali
sedangkan puasa boleh sahaja sepanjang tahun
cuma tidak setiap hari
terpulang kepada diri sendiri
puasa sunat Isnin & Khamis
puasa nazar
qada puasa
apa pun yang paling penting
niat untuk berpuasa
serta
cara yang bagaimana
untuk
melalui proses berpuasa itu
ingatan untuk diri sendiri


SAKIT

Sudah hampir seminggu saya batuk. Sakit badan dibuatnya. Yalah, asyik batuk siang malam. Sebelum ini saya mengalami alahan, terpaksa menghadap doktor di POLYKLINIK KOO & Quay. Bab klinik dan hospital ni saya kurang suka, kecuali kalau betul-betul terpaksa. Bukannya apa, tidak suka sakit tetapi yalahkan...sebagai manusia takkan sihat sepanjang masa. Akan ada masa-masa tertentu kesihatan kita kurang memuaskan. Sejak akhir-akhir ini memang cuaca tidak menentu. Berselang seli hujan dan panas. Itu antara faktor batuk ini. Ditambah dengan udara di kawasan ini yang saya agak sedikit tercemar. Ini dapat dipastikan melalui tingkap yang cepat saja berhabuk walaupun selalu dibersihkan. Oh ya, selepas ini saya perlu menyediakan face mask untuk kegunaan semasa membersihkan rumah. Fikir saya sendiri. Kedengaran juga suara batuk dari rumah jiran saya. Nampaknya bukan saya seorang saja yang batuk.

Cepatlah sembuh!. Niat saya menelefon ke rumah mak bapa terbantut kerana batuk ini. Memang menjadi kebiasaan, saya akan menelefon ke rumah setiap kali menjelang bulan puasa. Tetapi yang lucunya kalau saya tidak dapat balik rumah semasa hari raya saya tidak akan call rumah. Sebabnya saya tak nak menangis dalam telefon. Waduh-waduh, ada pula macam tu. Begitu juga kalau kesihatan kurang memuaskan, saya tidak akan call rumah. Tidak mahu mereka bimbang sebenarnya. Maklumlah berjauhan dengan family dan kampung halaman. Saya teringat semasa masih bergelar pelajar di IPT dulu. Masa tu saya demam dan doktor suspek denggi. Perlu menunggu ujian darah untuk pengesahan sama ada perlu atau tidak masuk hospital. Seluruh kawasan perumahan yang didiami ketika itu memang telah dikenalpasti kawasan wabak denggi. Bunyi ambulans sentiasa kedengaran setiap hari. Keluarga saya di Sabah bimbang yang teramat. Nasib baik saya cuma suspek denggi dan tidak perlu masuk hospital.

Seperti orang lain juga, harapan saya semoga kesihatan diri bertambah baik bebas penyakit. Lagi satu, kena jaga makan, itu antara yang penting. Makan dan perut selalunya punca segala penyakit.

monalizah rais