Friday, November 15, 2013

UPSR - NOSTALGIA VS MOTIVASI

Assalamualaikum... hari ini Jumaat, penghulu segala hari. Selamat menunaikan solat Jumaat kepada mereka yang wajb mengerjakannya dan tahniah untuk itu. Anggaplah ucapan tahniah itu sebagai ganjaran untuk diri sendiri. Bukan senang nak mengatur masa malah sering terkejar-kejar waktu antara kerja dan waktu solat Jumaat. Bagi kaum wanita, selalunya waktu rehat tengah hari di hari ini lebih panjang sedikit berbanding hari lain. 
 
Ok, masih lagi mood keputusan UPSR. Alangkah bertuahnya anak-anak sekarang, kemudahan belajar semakin baik dan guru-guru yang diserap untuk mengajar mereka adalah guru-guru yang terpilih, sekarang hendak menjadi seorang guru sahaja perlu keputusan yang 'kaw-kaw' punya, setakat dua tiga A dalam beberapa subjek baik tak payah pohon jadi guru, baik minta bidang yang lain. Saya katakan begitu kerana adik saya sewaktu mengisi borang UPU yang lepas.... ada bercerita tentang syarat ketat memasuki bidang perguruan.
 
Saya setuju sangat tentang syarat ketat memasuki bidang perguruan kerana tidak mudah untuk mengajar anak murid sekiranya ilmu di dada tidak cukup power. Sebagai seorang yang pernah menjadi pelajar satu ketika dahulu... kita sendiri sedia maklum untuk mencapai keputusan terbaik dalam peperiksaan perlu banyak usaha dan pengorbanan, misalnya tengok tv hanya pada waktu tertentu dan terhad masanya atau tak payah tengok terus, kena bangun awal lebih awal daripada biasa untuk ulangkaji sebelum masuk waktu Subuh, tak termasuk mengurus tekanan belajar dan bermacam-macam faktor persekitaran yang lain.
 
Ada ramai juga rakan-rakan saya yang menjadi pendidik. Ada di antaranya yang memang punya rekod pelajar terbaik/cemerlang bermula dari sekolah rendah/menengah dan berterusan sehingga memasuki universiti. Terserlah juga komitmen mereka terhadap pelajar-pelajar mereka melalui cerita-cerita bergambar yang dikongsikan di dinding fb. Sejuk hati dan perasaan kita melihatnya kan? Dan kita tumpang gembira juga sambil berkata-kata alangkah seronoknya kalau anak aku dia yang ajar... kerana kita kenal mereka dan tahu reputasi kejayaannya.
 
Berikut antara subjek yang saya perolehi melalui fb, slip keputusan UPSR yang ditayang di fb :
 
Bahasa Melayu (pemahaman)
Bahasa Melayu (penulisan)
Mathematics
Science
Pentaksiran Kerja Amali
 
Dan di bawah sekali tertulis :
 
Perkara asa fardhu 'ain - lulus atau gagal
 
 
NOSTALGIA VS MOTIVASI
 
 Zaman kita belajar tahun 80-an dengan anak-anak sekarang berbeza, itu sudah pasti. Begitu juga zaman mak bapak kita kan. Malah bentuk motivasi belajar itu juga berbeza disebabkan keadaan persekitaran.

Emak saya sering bercerita tentang pengalamannya di sekolah rendah ketika saya masih budak sekolah dahulu sebagai motivasi supaya saya terus belajar rajin-rajin. Kehidupan kami amat susah, ketika itu hanya belajar dan terus belajar untuk mengubah nasib keluarga sering diungkapkan oleh mak bapa kami dan orang tua rakan-rakan kami, malah guru-guru juga. Rata-rata orang tua kami di kampung halaman ketika itu ada yang tidak pernah jejak kaki ke sekolah dan ada juga yang hanya sekerat jalan disebabkan kesusahan hidup. Jadi, maknanya kesedaran pentingnya pelajaran itu masih di tahap minimum. Sekolah menengah pula hanya terletak di bandar, ditambah lagi masalah pengangkutan... bentuk motivasi pada ketika itu mengarah kepada kesusahan hidup yang dijadikan pembakar semangat untuk mengubah nasib diri sendiri serta keluarga.
 
Mengikut cerita emak, masa dia sekolah rendah dahulu, awal-awal pagi lagi sebelum matahari terbit perlu gerak dari rumah meredah hutan dan sungai untuk ke sekolah. Selain membawa bekal makanan, emak perlu standby parang untuk persediaan terserempak dengan binatang liar. Kadang-kadang tu kata emak, parang itu diguna untuk meluaskan jalan, menebas tumbuh-tumbuhan liar setelah lama bercuti sekolah. Yang seronoknya, balik dari sekolah, parang itulah yang banyak menyumbang untuk memotong dahan dan ranting buah-buah hutan, untuk mengalas perut yang sedang lapar.
 
Kata emak saya lagi, dia seorang yang aktif dan antara yang terbaik di sekolah dalam pelajarannya. Sehingga darjah enam, prestasinya kekal terbaik.
 TETAPI, hasrat emak untuk menyambung pelajaran ke sekolah menengah seterusnya menjadi guru (cita-cita emak) terhalang. Kesusahan hidup serta tanggapan kebanyakan orang tua ketika itu bahawa anak perempuan tidak perlu belajar tinggi-tinggi cukuplah setakat darjah enam sahaja. 
 
Emak cukup kecewa dan marah tapi tiada apa yang dapat dilakukannya selain menangis mengenang nasib diri. Luahan kemarahan dan kecewanya itu ditunjukkan melalui baju-baju sekolahnya yang digunting kemudian dibakar. Tidak lama selepas itu, emak saya bertemu jodoh dengan bapa kami (arwah) dan lahirlah kami 11 orang adik beradik. Orang tua kami sangat mementingkan pelajaran dan Alhamdulillah... kami semua tamat belajar sekurang-kurang tingkatan lima, ada seorang adik saya setakat tingkatan tiga, saya sampai ke universiti dan seorang adik saya sedang belajar di Adtec Shah Alam. Yang sekolah menengah sekarang di Sekolah Agama Tun Juhar, Sandakan Sabah, tahun hadapan tingkatan lima dan tingkatan dua.
 
 
Nilai motivasi yang lain - saya teringat cerita seorang rakan. Katanya dia gagal UPSR kerana faktor yang tidak dapat dielakkan. Dia ketika itu bersekolah di kawasan pedalaman, hanya menggunakan bot sebagai pengangkutan ke sekolah. Itu sahaja cara yang ada ketika itu. Bot yang dinaiki tiba-tiba bocor dan dia tidak dapat menduduki peperiksaan UPSR. Menangis dia melihat slip keputusannya. Tapi slip itu jugalah membakar semangatnya untuk berusaha lebih gigih  berbanding pelajar lain, sehingga akhirnya dia berjaya menyambung pelajaran sampai ke Jepun. 
Dulu-dulu kan gagal UPSR pun tetap dapat masuk sekolah menengah kan, kan...
 
 
Jadi, kepada adik-adik di zaman sekarang ini, sekali lagi alangkah bertuahnya kamu dapat belajar dengan selesa. Gunakan peluang belajar ini dengan sebaik mungkin, sekurang-kurangnya untuk diri sendiri kalaupun ibu bapamu orang kaya atau hidupmu sudah sedia senang lenang. Kerana orang yang berilmu itu akan ditingkatkan darjatnya di sisi Allah.
 
Ilmu sangat luas, terpulang kepada diri sendiri hendak pilih ilmu yang macam mana.Yang pasti ilmu yang baik-baik bukannya ilmu yang menyesatkan. Bukan tentang hendakkan kehidupan yang baik, kerja gaji besar, rumah besar semata-mata, tetapi dengan adanya ilmu, ilmu tidak pernah habis sekalipun kita terus menggalinya sehingga akhir nyawa, tapi harta akan habis tanpa ilmu. Apabila berilmu, kita dijaga oleh ilmu, sebaliknya apabila berharta, kita yang menjaga harta. Alangkah seronoknya berilmu dan berharta bukan?
 
love,
monalizahrais
Jalan Kapar, Klang
Selangor
15/11/2013 (Jumaat) 
 
 



 
 

Thursday, November 14, 2013

PIALA DAN SIJIL

Assalamualaikum... dan salam hari Khamis. Laa.. Khamis dah rupanya hari ni, esok Jumaat dan seterusnya...blablabla tanpa sedar semakin hampir tarikh 20/11/2013 tu apalagi kalau bukan tentang kedatangan emak dan adik Not dan adik Didang. Apapun sabar hati ini menunggu hari 'gumbira' tersebut, hehehe....
 
 Minggu-minggu terakhir persekolahan sebelum cuti panjang menyaksikan banyak majlis di sekolah melibatkan guru-guru, ibu bapa dan pelajar. Sekarang semua cerita itu mudah didapati di fb kita. Rakan-rakan fb yang pelbagai peringkat umur, tidak lokek berkongsi cerita gembira tentang anak, anak saudara, anak murid mereka di dinding fb. 
 
 Nama majlis pula, ada yang dinamakan majlis hari kecemerlangan pelajar, mini konvokesyen prasekolah...anak-anak sekarang seawal tadika atau prasekolah sudah konvokesyen malah ada juga saya terlihat tamat tingkatan lima dan enam pun ada majlis konvokesyen. 
 
Saya hanya mengalami majlis konvokesyen sekali iaitu sewaktu bergraduasi di UM tahun 2004 yang lepas, tentulah manis dan sangat indah untuk dikenang. Saya tidak berkesempatan memasuki tadika atau prasekolah kerana ketika itu kampung kami masih jauh dari sebarang kemajuan - tidak ada bekalan air dan elektrik malah sekolah yang ada sangat-sangat sederhana, sekolah rendah kami pada ketika itu menjalankan dua sesi iaitu pagi dan petang, bilik darjah terhad, hanya sebuah bangunan sekolah sahaja. Bilik guru pun kecil dan perpustakaan lagilah kecil sebesar bilik seperti bilik biasa di perumahan jenis flat.
 
Berbalik kepada mood 'konvokesyen mini' di fb, meriah memanglah meriah. Melalui gambar, gelagat anak-anak sekolah rendah mengingatkan kita zaman kanak-kanak dahulu. Banyak perbezaannya. Sekarang, melihat keputusan straight A bukanlah sesuatu yang asing berbanding masa dulu, sudah terlalu biasa dilihat, anak-anak sekarang lebih cepat pandai dan menguasai pembelajaran. Yang menarik perhatian dan mengundang ucapan berderet tahniah di fb apabila slip keputusan UPSR anak-anak ditayang di fb, siapa yang tak bangga dengan anak masing-masing kan?

Kami yang belum ada anak ni jadi tukang tengok jer la.. hehehe...


Piala dan sijil sering dikaitkan dengan kejayaan dan pencapaian seseorang pelajar. Bukan tentang keputusan yang diperolehi semata-mata, kadang tu sekadar melibatkan diri dalam bidang kokurikulum pun senang-senang dapat sijil dan piala. Tidak perlu pergi jauh, cuba lihat almari lama di rumah kampung halaman kita, bukankah penuh dengan bermacam jenis piala, medal dan sijil?

Bola baling, pertandingan bercerita, bola sepak, menjadi pengawas sekolah, ketua kelas dan sebagainya banyak menyumbang perhargaan dalam bentuk piala dan sijil.

Dalam masa yang sama, terasa diri dewasalah sangat, melihat rakan-rakan sekolah atau sekampung yang punya anak sekurang-kurangnya sekolah rendah malah ada yang sudah memasuki awal remaja. Bayangkan 10 tahun ke hadapan... waduh kita semakin meningkat usia atau dalam bahasa mudahnya, semakin tua gitu... walaupun tetap awet muda (hahaha... yalah tu).


Seperti tahun-tahun sudah, ketika cuti sekolah ini saya akan melihat banyak cerita yang di post di dinding fb dari rakan-rakan yang bekerja sebagai guru. Selalunya tentang percutian keluarga atau bersama rakan-rakan bagi mereka yang bujang. Di luar waktu cuti sekolah, jarang sekali melihat berita mereka. Terlalu sibuk agaknya. 
 
Sekarang, kebanyakan rakan-rakan kita banyak yang sudah bergelar ibu bapa sedang melalui fasa yang pernah dialami oleh ibu bapa kita dahulu - rasa bimbang, harapan masa hadapan anak-anak, yang pasti sentiasa mendoakan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Perjalanan masih jauh - anggaplah seperti itu walaupun masa terus berlalu tanpa sedar, berusaha yang terbaik untuk generasi seterusnya.
 
love,
monalizahrais
Jalan Kapar Klang,
Selangor
14/11/2013 (Khamis) 




 
 

Monday, November 11, 2013

KATA ORANG....ORANG KATA..

Assalamualaikum...

Kadang-kadang kita dengar ada yang bercakap seperti ini, 'kata orang/orang kata... anak dara tak elok menyanyi di dapur, nanti dapat jodoh orang tua' atau 'kata orang/orang kata... budak-budak tak elok berkeliaran waktu Maghrib, nanti terserempak hantu' dan bermacam-macam lagi kata-kata yang bermula dengan 'kata orang' atau 'orang kata'.

Selalunya merujuk kepada amaran/ingatan/petua terhadap seseorang. Mengikut kefahaman saya, 'kata orang' atau 'orang kata' ini merujuk kepada sumber yang dinamakan 'anonymous' tidak ada 'dalil' asli bermula dari mana dan siapa. Lebih kepada kepercayaan semata-mata, kebetulan ada yang benar-benar terjadi tapi selalunya sekadar 'penyedap rasa' dalam sesuatu perbualan. Ini pendapat sayalah, lain orang lain pandangannya.

Contoh lain yang selalu saya dengar sejak berkahwin ini, 'kata orang kalau mengandung anak sulung selalunya payah sikit nak bersalin lagi-lagi kalau umur dah lanjut' dan sekiranya kata-kata ini meresap di telinga wanita yang sedang mengandung anak sulung ditambah lagi dengan umurnya yang lanjut, tentunya meresahkan. Padahal ada banyak contoh juga wanita lain yang bersalin mudah, tak kira umur mereka lanjut atau masih muda, beranak sulung atau bukan. Ianya berkaitan dengan tahap kesihatan dan amalan wanita itu, bukan semata-mata umur atau anak yang ke berapa. Lagi satu contoh, 'orang kata berumur 40 tahun ke atas dan mengandung akan menyebabkan anak yang bakal dilahirkan tidak sihat atau cacat. Bukan sepenuhnya betul, dan tidak sesuai dijadikan rujukan lengkap, sudah namanya pun 'kata orang' atau 'orang kata'.

Seperti anak dara dilarang menyanyi di dapur supaya tidak berjodoh dengan orang tua. Padahal itu salah satu cara melarang dan mendidik anak dara tadi supaya berkelakuan elok. Jodoh dengan orang tua atau muda, bukan ketentuan kita. Begitu juga kahwin atau bujang sehingga akhir hayat... atau kahwin cerai, pun ianya di luar kawalan kita.

Sebab itulah sekiranya hendak menguatkan hujah, tentunya berbeza dan lebih berkesan apabila kita merujuk kepada Al-Quran dan Hadis. Ada dalil yang sah dan kita tahu sumbernya. Malah dapat dibuktikan dengan kajian sains.

Seperti larangan sewaktu Maghrib agar tidak berkeliaran yang selalunya ditujukan kepada golongan kanak-kanak, bukan sebab utama dibimbangi terserempak dengan hantu atau disembunyikan hantu tertentu, tapi ketika itu penghujung siang akan menghampiri waktu solat Maghrib, jadi kenalah balik rumah mandi dan bersiap untuk bersolat.

Sudah tentu ganjil dilihat sewaktu azan Maghrib berkumandang, kita masih asyik bermain futsal misalnya, nampak sangat tidak menghormati waktu. Itu yang jadinya 'orang kata' atau 'kata orang' seperti yang saya katakan di awal-awal tadi. Itu cuma kaedah supaya cepat-cepat balik rumah, hari sudah  malam dan waktu solat juga semakin hampir.

Dan... banyak contoh kan, sudah terlalu biasa kita mendengar 'kata orang' atau 'orang kata'. Bagi saya, dengar pun boleh cuma 50-50 lah, tak boleh percaya bulat-bulat. 

Contoh, seorang makcik Tun (nama samaran) mencadangkan Kila (nama samaran) supaya mandi bunga untuk cepatkan jodohnya di samping menyerikan wajah. Kila terima dan percaya sepenuhnya cadangan makcik Tun, mandilah dia mandi bunga dengan segala syaratnya - bunga 7 jenis, tengah malam bulan purnama dengan bacaaan mantera yang tidak diketahui apa jenis bacaan itu dan segala syarat yang lain. Hanya kerana 'orang kata' atau 'kata orang'.

Padahal sebenarnya tak salah mandi bunga cuma caranya sahaja yang berlainan. Tolak segala bulan purnama mantera tok bomoh bagai... nak mandi bunga begitu saja pun ok juga. Hendak menyerikan wajah atau untuk kecantikan diri ada banyak doa-doa yang boleh diamalkan, antaranya doa tengok cermin, doa berpakaian tu... apalagi kalau bukan untuk manfaat diri sendiri. 

Kata orang atau orang kata... sekadar pendapat saya saja, bukannya apa kadang tu terdengar yang mengarutlah sangat, tak dapat diterima logik akal. 

Betul.. bukan tipu punya, hehehe...


#sekadar pandangan


love,
monalizahrais
Jalan Kapar, Klang
SELANGOR
11/11/2013 (Isnin) 






 

 



 






 

MOM NOT DANG DATANG KL.... yahooooo!!!!!

Assalamualaikum...


InsyaAllah semoga semuanya berjalan lancar, lebih kurang 9 hari lagi ibu kami, adik Not dan adik bongsu Didang datang KL & Klang. 

Atau lebih tepat lagi tarikhnya : 20 November 2013 - 15 Disember 2013. Hampir sebulan juga kan. 

Mereka datang menaiki Airasia begitu juga dengan balik semula ke Sandakan. Tambang untuk 3 orang berjumlah RM 1390. Saya yang uruskan tiket, melalui telefon kepada ejen yang sudah beberapa tahun kami membeli tiket darinya. 15 Disember 2013 nanti, mereka akan balik berempat sekali dengan adik Amin saya yang bermula cuti semesternya 15 Disember 2013 dan datang semula ke sini 12 Januari 2014.


Memang ada lagi yang lebih murah, tapi tiket ini dibeli beberapa minggu sebelum penerbangan, dalam bulan ini juga dan faham-faham sajalah kan... kena cuti sekolah memang harga tiket sudah melambung tinggi. Oh ya, tiket adik Amin saya dibeli awal sebelum itu. Untuk tiket mak, Not dan Dang, lambat sikit dibeli banyak yang perlu diuruskan emak sebelum datang ke sini.


Tak sabar rasanya melihat reaksi adik Not dan Didang kami, pengalaman pertama mereka menaiki flight begitu juga pertama kali datang ke sini. Dan tak sabar juga hendak mengusik mereka.

Kira rezeki lah tu... seingat saya mula-mula saya datang KL May 2000 yang lalu, ketika itu adik bongsu saya si Didang ini belum pun sampai umurnya sebulan, dia lahir 29 April 2000 dan saya berangkat ke KL pada 20 May 2000. Sekarang, sudah tingkatan satu di SMK Agama Sandakan, Sabah. Tanpa sedar, terasa derasnya masa berlalu pergi. Adik Not pula sekarang tingkatan 4 dan buka sekolah nanti dia kena berhadapan dengan SPM. Separuh dari cuti sekolah mereka dihabiskan di sini.

Tak sabar tak sabar tak sabar nyerr.... menghitung hari... akan sampai waktu yang ditunggu-tunggu. Doakan semuanya baik-baik saja.


love,
monalizahrais
Jalan Kapar, Klang
Selangor
11/11/2013 (Isnin)