Friday, May 31, 2013

AKU DAN SEBUAH CERITA

Assalamualaikum...


Gaji banyak tapi tak pernah cukup dan hati selalu runsing tapi gaji sikit sentiasa cukup malah berlebihan + hati tetap senang bahagia... kenapa jadi macam tu? Ianya ada kaitan dengan berkat tak berkat rezeki tersebut. (berdasarkan pembacaan saya bersumber dari internet dan buku-buku)

Sebelum melanjutkan cerita, jom tengok gambar kat bawah. Pun inspirasi dari laman sosial.




Komeng anak lelaki yang baik dan taat perintah, hormat kedua ibu bapanya. Kebetulan hanya dia seorang yang punya pekerjaan terbaik dan terjamin masa hadapannya berbanding adik beradik yang lain. Genap sebulan setiap kali terima gaji, Komeng akan hantar sejumlah wang untuk keperluan orang tuanya di kampung, setelah itu barulah dia berbelanja untuk dirinya.

Mak bapa tentunya senang hati mendapat anak seperti ini, tentunya doa yang baik-baik sentiasa mengiringi perjalanan hidupnya. Ditakdirkan satu hari, Komeng dipindahkan kerja ke tempat baharu oleh majikannya atas sebab prestasi cemerlang. Dalam masa yang sama, panggilan jodoh semakin menghampiri. Terus kepada isi utama... Komeng pun bernikah dengan pilihan hatinya. Keluarga akhirnya bersetuju walaupun sebelum itu ibu Komeng ada pilihan jodoh untuk anaknya. Mungkin juga sudah jodoh dengan orang lain.

Sedih.... sesudah berkahwin, Komeng berubah hati, ditambah pula isterinya jenis orang bandar yang membesar, terdidik dalam suasana materialistik, duit perlu diutamakan daripada perkara-perkara yang lain. Senang cerita... ada duit dipandanglah kita dan kalau tiada harta benda... tak payahlah kita nak berbaik-baik dengan isterinya, confirm dilayan sebelah mata atau buat-buat tak nampak.

Sebelum nikah, Komeng berulang kali menegaskan dia hanya akan berkahwin dengan gadis berkerjaya, supaya mudah baginya mengirim duit kepada orang tua. Yalah, suami isteri bekerja tentunya berbeza dengan hanya suami yang menanggung isteri yang tidak bekerja. Banyak mana duit yang dapat dikirim kepada mak bapa kan...

Oh ya, Komeng jenis takut bini. Setelah berkahwin, hanya RM100 sahaja yang dapat dikirim untuk ibu di kampung. Janjinya tinggal janji, takut bini punya pasal...

Ironinya, adik beradiknya yang lain yang punya gaji jauh lebih rendah dari Komeng, ada yang punya anak dan isteri pula sekadar suri rumah... dapat menghulurkan bantuan wang ringgit melebihi nilai RM100 yang dikirim oleh Komeng. 

Kenapa jadi macam tu? Cara hidup Komeng berubah 100% setelah nikah dengan pilihan hatinya. Hidup dengan cara bandar besar, nampak kaya tapi sebenarnya miskin, duit tak pernah cukup, pening memikir hutang keliling pinggang yang digali sendiri. 

Ibu di kampung pun sudah hairan... laki bini kerja tapi cuma kirim RM100 sahaja? Anak-anak yang lain gaji rendah tapi dalam keadaan terdesak nak pakai duit cepat, ringan sahaja tangan menghulur seratus dua tapi Komeng? Penuh dengan alasan yang macam-macam...

Komeng oh Komeng... kamu tu suami, isteri untuk dididik bukan semata-mata ikut kehendaknya. Kamu nakhoda kapal yang sedang dilayari bersama isteri kesayangan. Ibu tetap tanggungjawab kamu walaupun sudah nikah, tambah-tambah lagi ayah sudah tiada. Terus terang dan bincanglah dengan isteri, apa salahnya kirim wang kepada ibu lebih sedikit berbanding adik beradik yang lain? Tak malukah kamu pada ipar yang juga menantu kepada ibu tetapi prihatin kepada ibu melebihi anak sendiri? Fikir-fikirkanlah Komeng...


Kenapa saya tiba-tiba menulis sebegini? Siapa yang saya maksudkan? Kerana kasih sayang kepada Komeng saya berharap dia tidak menjadi anak derhaka kepada ibunya. Komeng adalah nama samaran dan ada kaitan keluarga dengan saya, untuk menjaga air muka Komeng, sebab itulah saya tidak menyebut nama sebenarnya. Mudah-mudahan Komeng tidak melupakan ibunya...


Dalam masa yang sama ianya peringatan dan pengajaran kepada saya sendiri *-* (nak kata kat orang, nak komplen memang mudah, tapi jangan lupa diri sendiri yang teramatlah penting untuk dinasihatkan).

love,
monalizahrais





 

MISKIN TEGAR SUNGGUH!

Assalamualaikum...

Jom cerita tentang miskin tegar. Spontan, apa yang bermain di kotak fikir sebaik sahaja perkataan miskin tegar disebut? Sendiri jawab sendiri tahu.
Di ruang fikir saya, selain dapur kayu, tiada kemudahan asas lengkap - rumah kampung atap bocor di sana sini, mandi air perigi, pakai lampu minyak tanah, pakai baju koyak rabak, makan minum ala kadar dan 1001 gambaran menerjah. Apa pun jom layan gambar di bawah...


 Kredit gambar dari fb, sesungguhnya banyak idea di laman fb yang dapat digarap menjadi cerita di blog.

Di zaman remaja saya dahulu, sekitar awal tahun 90-an sehingga abad baru tahun 2000... kehidupan kami anak beranak memang tergolong dalam kategori miskin tegar. Gambar di atas bukanlah sesuatu yang asing pada pandangan saya. Saya sendiri 'pakar' menyalakan api dari kayu api sehingga memasak nasi dan lauk pauk menggunakan kayu api. Kami menggunakan biji sawit yang separuh kering atau kering sepenuhnya untuk menyalakan api kemudian barulah longgokan kayu api disusun untuk dinyalakan. Jimat banyak kos minyak tanah.

Kayu yang sering kami gunakan sama ada kayu jenis belian dan dahan-dahan kering pokok rambutan, mangga yang terdapat di belakang rumah. Jenis terbaik kayu belian sebabnya sesuatu masakan itu sempurna masaknya, tak perlu pakai banyak kayu api, kepanasannya sempurna dan walaupun sudah tinggal bara api, cukup untuk untuk memasak satu cerek air bersaiz sederhana besarnya. Bab hitam legam periuk belanga tak usah ceritalah, memang hitam legam sungguh, kena sental kuat-kuat ketika membasuhnya.

Alhamdulillah kami adik beradik sebagai anak kampung yang lasak, ladang kelapa sawit dan sesekali turun ke laut - itulah padang permainan kami. Nak cari lauk pauk, kenalah turun menjala/memukat ikan di tepian pantai dandulit, kadang berjalan kaki kadang naik motor. Nak makan sayur redah sahaja ladang kelapa sawit dan carilah kulat sawit, paku pakis atau semak tepi jalan memetik pucuk ubi kayu. 
Ayam daging sesuatu yang sangat istimewa, hanya dinikmati pada hari perayaan. Ikan masin dan ikan laut segar itulah makanan harian, Alhamdulillah ada juga rezeki, lebih baik daripada tiada langsung bukan...

Sambal belacan, selalu kami membeli belacan yang ada gambar orang berjabat tangan itu... berharga 30 sen pada ketika itu, perencah yang paling sedap dijadikan bahan cicah makanan laut kami...

 Atau memasang umpan di kolam besar atau memancing di 'kalbut' merujuk kepada anak-anak sungai kecil yang terbentuk di tepian jalan raya atau jalan kampung.

Yang paling menarik tentunya lampu minyak tanah. Malam kita pasang lampu, esok pagi jangan lupa bersihkan hidung... sebabnya jelaga lampu minyak tanah itu menyebabkan lubang hidung kita hitam, jolok dengan jari kat lubang hidung confirm jari tu hitam. Permainan yang paling menarik tentunya bermain bayang menggunakan jari kita bukan... kita duduk dekat pelita minyak tanah... dan kita pun bentuk macam-macam bayang yang terhasil dekat dinding rumah.

Nyanyian yang paling indah yang sentiasa membuatkan tidur kita lena... apalagi kalau bukan suara cengkerik dan unggas malam...  sesekali berselang dengan lolongan anjing liar atau suara kucing bergaduh sesama sendiri - berebut kekasih hati agaknya.

Pabila hujan turun waktu malam dan reda kemudiannya, suara katak bergema tak sudah, menambah enaknya tidur malam sehingga ke Subuh. Namun hati tetap senang, bahagia walau hidup miskin tegar....

Saya masih ingat lagi, satu ketika dahulu, klinik kesihatan yang paling hampir dengan kampung kami... ada menyediakan kelambu yang sudah direndam khas dengan ubat tertentu. Percuma sahaja dan sesiapapun boleh mendapatkan kelambu tersebut. Ironinya, yang sering kita dengar penyakit demam denggi atau malaria sering berkait rapat dengan mereka yang tinggal di kawasan membangun tetapi bermasalah dari segi aliran longkang yang tersumbat, bukannya kawasan kampung yang dikelilingi hutan yang memang sah banyak nyamuk. Nyamuk kampung vs nyamuk bandar, banyak bezanya.

 
Itu kisah kami berbelas tahun sudah, Alhamdulillah melalui pendidikan, kehidupan kini sudah bertambah baik berbanding dahulu. Hanya melalui pendidikan atau berhijrah ke tempat lain mampu mengubah nasib kita. Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu sekiranya kaum itu sendiri yang tidak berusaha mengubahnya.

Pun begitu, miskin tegar masih ada lagi di zaman ini, tidak perlu pergi jauh, tengok di tempat sendiri. Walaupun kehidupan kita sudah senang, lengkap semuanya keperluan asas, itu bermakna kita perlu lebih prihatin nasib mereka yang lebih memerlukan pertolongan kita kerana kita pernah berada di tahap itu suatu ketika dahulu. Kesenangan hidup juga satu ujian, bukan untuk bermegah, bila-bila masa sahaja ianya boleh ditarik semula olehNya sekiranya kita tidak mensyukuri nikmat yang diberi. 


Melihat sejenak di masa silam untuk pengajaran dan ingatan kepada diri sendiri  *-*


love,
monalizahrais 

 

JOM MAKAN SATE

Assalamualaikum... salam Jumaat penghulu segala hari. Hari ini cerah yang amat cerah. Harap-harap hati kita pun cerah terang, cergas dengan petunjuk hidayahNya.

Semoga hari ini lebih baik daripada semalam. 
Ok, jom makan sate!
Dan jom layan gambar sate di bawah, gambar ini diambil ketika kami suami isteri 'jalan-jalan cari makan' di Rantau Panjang Klang. Dekat jer dengan rumah pun, kami duduk Batu Tiga, selang sebatu perjalanan sampailah kat sini. RM 0.60/pc. Sedap secukup rasa (mengikut tekak kami ler) penuh isi dan lebih kenyang daripada biasa. Boleh pilih nasi atau nasi impit.


 Pinggan pun cantik, satenya apatah lagi... mengenyangkan, penuh isi berbaloi dengan harga jualan 60 sen per pc.




Kuah kacang.


Sate daging, nasi ayam dan sup ayam juga ada dijual di sini. Di sekitar gerai ini, memang berderet gerai/premis menjual makan minum dari goreng-goreng, sup, bakar, burger, pilih saja yang mana berkenan di hati. 

InsyaAllah lain kali nak shoot gambar sekeliling, senang nak promote dalam blog. Sekarang sekurang-kurangnya sesiapa yang tengah baca cerita ini mungkin terdetik nak makan/cari sate lepas ni... kan.


love,
monalizahrais 

Thursday, May 30, 2013

TETAMU - SIMPAN SEDIKIT RASA CURIGA

Assalamualaikum...
 
 
 Gambar koleksi sendiri - sekadar hiasan.
 
 
Oh, hari ini sudah hari Khamis, betapa cepatnya masa berlalu, seminggu seperti beberapa hari sahaja sedar tak sedar lusa tiba bulan Jun menjengah kalendar kita.
 
Sebelum ini saya pernah bercerita tentang anak buah yang tinggal sekejap di rumah kami disebabkan mak bapanya balik kampung untuk berubat. Lebih kurang dalam dua minggu juga dia tinggal dengan kami. Alhamdulillah sehingga orang tuanya balik, anak itu sihat walaupun perangainya membuatkan kami suami isteri pening. Hampir setiap hari menangis minta hantarkan balik rumah katanya bosan duduk di rumah kami ini. Jenis jiwa kacau, nak buat macam mana kan, kami sekadar menjaga keselamatan dan kebajikannya semasa orang tuanya masih berada di kampung.
 
Apabila diimbas kembali antara tetamu yang datang ke rumah kami ini... bermacam ragam dapat disaksikan, ada yang mencurigakan dan tentunya ada yang baik-baik sahaja. Sedikit ingatan untuk diri saya sendiri dan mungkin ianya juga ada manfaat kepada anda yang membaca tulisan ini - simpan sedikit rasa curiga terhadap tetamu kita, janganlah tunjuk sangat syak wasangka tu, buat macam biasa saja cuma pastikan kita lebih peka daripada biasa.
 
Berdasarkan pengalaman saya sebelum ini, tetamu yang jenis pencuri/ada ciri-ciri pencuri biasanya matanya liar sahaja melihat barang-barang dalam rumah kita. Kalau dasar pencuri, bukan tentang emas berlian sahaja tapi apa-apa barang pun asal menjadi duit kan. Kita tentunya pernah mendengar pantun dua kerat ini :
 
siakap senohong gelama ikan duri
bercakap bohong lama-lama mencuri
 
Melalui perbualan dengan tetamu kita, semakin kerap kita bersembang... tetamu yang suka bercakap putar belit atau tadi cakap lain sekarang cakap lain, itu tandanya tetamu itu jenis serabut, penuh muslihat apatah lagi ketika bercakap dia seperti segan/takut-takut memandang kita atau dalam bahasa yang mudah difaham, tak berani bertentang mata dengan kita. Memanglah tidak semestinya sepanjang masa kita perlu bertentang mata ketika berbual, tapi semua orang pun tahu... kalau asyik gelisah sahaja tentunya ada yang tidak kenalah tu. Tapi yang terlalu yakin pun kadang-kadang mencurigakan juga (jenis profesional kot).
 
Kita sebagai tuan rumah selalunya akan berkata kepada tetamu jangan segan buatlah macam rumah sendiri. Di sini kita dapat melihat adab tetamu yang menghormati tuan rumah atau sebaliknya. Kita pun pernah menjadi tetamu juga kan... kalau kita sesuka hati keluar masuk bilik selain dari bilik yang dikhaskan untuk kita, selongkar almari buat macam hak sendiri, guna barang tuan rumah tanpa kebenaran misalnya komputer, pasang tv kuat-kuat ikut citarasa telinga kita... faham-faham sendirilah kan.
 
Walaupun rumah yang dikunjungi itu sanak saudara kita... tetap ada batas yang perlu diikuti, itu bukan rumah kita, tinggalkan kebiasaan yang selalu kita buat di rumah - bermalas-malas, makan ikut masa sendiri, menyepahkan barang dan sebagainya.
 
Setakat ini tetamu saya yang beradab mereka yang berasal dan membesar di kampung, sebaliknya yang membesar dalam suasana bandar kurang sedikit adabnya malah ada yang kurang ajar, maaflah sedikit kasar tapi itulah realitinya.
 
Menjadi tuan rumah juga tidak mudah kerana kita tidak kenal sepenuhnya perangai tetamu kita, walaupun dari kalangan keluarga kita sendiri.  Yang dapat dilakukan melayan seadanya, selayak hak tetamu. Meraikan tetamu itu bagus, misalnya menghidangkan masakan istimewa yang kita sendiri pun jarang-jarang membuatnya, cuma pada pendapat saya jangan sampai tetamu yang jadi tuan rumah dan kita yang sepatutnya tuan rumah ini jadi macam khadamnya pula, itu dah tak betul tu, *-*
 
Sekadar pendapat peribadi, berdasarkan pengalaman yang sudah, lebih kepada ingatan kepada diri sendiri...tapi kalau ada manfaatnya kepada yang membaca itupun sudah cukup baik. @-@


love,
monalizahrais
 
 
 
 
 

Wednesday, May 29, 2013

IKAN BATU - DOUBLE MEANING

Assalamualaikum...



 Ikan batu - sumber dari Google (sekadar hiasan kepada cerita).


Hari ini Alhamdulillah, cuaca cerah bermula seawal pagi, panas terik di tengah hari berterusan sehingga ke saat ini memasuki petang.
Ok, terus kepada cerita hari ini, ikan batu - double meaning. Untuk memudahkan pemahaman cerita, kita buat tamsilan begini :

Mangga - mereka yang suka makan jeruk mangga sebaik sahaja dengar perkataan mangga, rasa macam nak kecur liur dibuatnya. Betulkan? Yang tengah menaip inipun sama juga, tiba-tiba rasa nak makan mangga muda cicah dengan sambal nyam nyam sedapnya...

Mangga - kunci rumah atau kunci basikal, motor.

Sebenarnya saya nak berkongsi cerita baru-baru ini ketika adik saya dan isterinya datang ke rumah... maklum kita ni bangsa berlainan so tentunya cara fikir, cara bercakap itu berbeza. Adik saya ni pula setiap kali datang rumah kebetulan ketika mereka masih poket penuh (maknanya baru lepas gaji ler), yang kami pula gajinya awal bulan... so faham-faham sajalah peti sejuk pun banyak ruang kosongnya. Lagi satu diorang datang hari Sabtu, di mana esoknya Ahad merupakan jadual kami suami isteri memborong lauk-pauk seminggu. Kalau dah Sabtu tu maknanya stok lauk pun dah habis atau paling pun beberapa 'ketul' jer lagi yang tinggal.


Suami saya pula balik lewat sedikit, dan tetamu kami ini pula datangnya awal, jadi tak ada apa yang nak dihidangkan. Adik saya tanya ada lauk tak, saya cakap jer terus terang, tinggal sikit cuma ikan dua ekor, itupun 'ikan batu'.

Rupa-rupanya adik ipar saya ini menyangka 'ikan batu' yang saya sebut itu sebenar-benarnya ikan batu. Padahal maksud sebenar 'ikan batu' itu merujuk kepada ikan yang sudah beku keras dalam peti sejuk. Kalau jatuh kat lantai mahunya bunyi macam batu jatuh kan, saya dan adik memahami istilah 'ikan batu', kami di rumah di kampung halaman sering merujuk ikan yang disejukbekukan itu sebagai 'ikan batu'.

Lain orang lain cara bercakap dan lain juga cara mereka memahaminya. 

Ada orang yang mudah malah cekap memahami sesuatu istilah di luar yang biasa disebut, jenis yang berfikiran 'double meaning'. Ada juga yang jenis lurus bendul atau skema kata budak-budak sekolah, jenis tak faham maksud yang tersirat/tersembunyi, hanya faham yang tersurat sahaja. 

Kami di rumah di kampung halaman... stail kami bercakap sesama adik beradik dan orang tua lebih banyak berkias/bertamsil. Selalunya orang luar yang bertandang ke rumah kami adakalanya tersalah tafsir juga mendengar perbualan kami. 

Contoh lain, pada satu ketika di musim kemarau, kami terpaksa berulang alik mengangkut air dari kolam besar ke rumah. Kereta yang kami gunakan jenis Toyota Avanza. Sehingga akhirnya kereta keluarga kami itu comot oleh lumpur dan 'basah kuyup' dek lebihan air yang terkeluar dari 'jarkin' dan gelen yang digunakan untuk simpan air.

Mak saya memandang sayu kereta sambil berkata : " kesian si Banja, penat sudah dia mengangkat air, kalaulah si Banja ni manusia mangkali bengkak-bengkak sudah kakinya" ( Si Banja adalah panggilan kami merujuk kepada kereta Avanza ini, dan 'kaki bengkak' yang disebut oleh emak merujuk kepada tayar kereta. Dalam masa yang sama, adik saya sedang memeriksa tekanan tayar kereta kerana membawa beban yang berat berulangkali, turun naik bukit dari kolam besar sehingga ke rumah kami.

Sedikit cerita tentang 'double meaning', kalau dah jenis yang selalu fikir bukan-bukan tu lagilah cekap skil 'double meaning'nya. Misalnya disebut sahaja pisang terbayang..... atau disebut ulas limau terbayang.....  (sendiri fahamlah kan).

Semasa pilihanraya PRU 13 yang lalu, yang paling menarik perhatian tentunya bermacam idea kreatif - pantun, syair, nyanyian, 'madah berhelah' dilontarkan oleh politician kita untuk meraih undi. Bermacam rencah rasa yang terlontar, geram, marah, lucu, sindiran. Ketika ini banyak bakat-bakat terpendam terlihat di pentas politik malah tidak kurang hebatnya di pentas FACEBOOK.

Lihat saja isu tentang dakwat kekal, antara yang menarik ayat 'kena goncang supaya kekal lama'. Adakah semua orang yang membaca ayat ini hanya berfikir kepada satu jenis fikiran sahaja? Tentunya macam-macam yang akan difikirkan. Pun tak payah nak sebut di sini, sendiri tahu kan... dan jangan lupa senyum....

Agaknya bukan lagi double meaning, mungkin triple atau trouble meaning jadinya kan...
 hehe, sekadar gurauan di petang Rabu ini, rilek aaa... jangan serius sangat nanti cepat berkedut muka tu...

love,
monalizahrais 

Monday, May 27, 2013

HAPPY BIRTHDAY TO ME - 26 MEI 2013 (AHAD)

Assalamualaikum...
 
Hari ini nak berkongsi cerita semalam, tentunya cerita yang menggembirakan apalagi kalau bukan harijadi saya, ulang tahun kelahiran yang ke 33 tahun. Ya Allah, syukur kepadaMu kerana masih lagi diberi kesempatan usia sehingga ke hari ini. Harapan untuk diri sendiri - semoga hari-hari mendatang lebih baik dari hari ini, amin...
 
Cuaca semalam, cerah malah teramat cerah... hehe...
 
Ulang tahun sering dikaitkan dengan kek, makan minum istimewa, pesta kecil-kecilan, apapun terpulang kepada citarasa dan kesenangan hati masing-masing. Bagi diri saya sendiri, saya tak kisah semua tu yang penting sihat zahir dan batin, senang hati dan sentiasa berbahagia, dimurahkan rezeki dan panjang umur dalam keberkatan dan limpah rahmatNya. Semalam, kiranya rezeki sayalah tu... dapat kek sponsor, oklah tak mau cerita lebih-lebih jom layan gambar-gambar di bawah ni. Biarlah gambar bercerita.
 
 
 
 ni gambar kelam kabut sekejap lagi nak naik bot besar kat Tasik Shah Alam, tu yg blurr tapi nasib baiklah juga sempat senyum... kami pi sini selepas adik saya dan isterinya pulang semula ke KL, selepas sambutan ulang tahun kelahiran saya yang sederhana - hanya kami 4 orang sahaja menyambutnya...

Saya dan husband memang ada plan untuk hari special 26 Mei tapi ada tetamu nak datang, kami layan tetamu dulu, kena pula tu tetamu yang bermurah hati beli makan minum untuk majlis kecil ni. Kononnya diorang nak buat suspen tapi tak menjadi sepenuhnya, eleh... macamlah aku tak tahu hehehe...

Kami nak naik kayak atau naik sampan tapi limit jam 7 petang sahaja, hanya bot besar dibenarkan yang kami pula datang lambat dah petang sangat. Tak apa, lain kali datang lagi boleh berkayak atau berdayung sampan sepuas-puasnya...




Kek, pizza, sup cendawan...



Nama panjang Monalizah, kek pula kecik so pakai nama Mona jer... umur dah 33 tahun, Alhamdulillah...semoga panjang umur murah rezeki, amin... adik dan ipar beli kek ini dekat kedai Bee's kat Klang. Dalam kek ini ada pisang masak ranum...simple sajakan dekorasinya but orang belanja maa... semuanya cantik dipandang.



Husband saya berseloroh, eh mana 'getah' pizza ni? almaklumlah kan, dekat tv bab yang 'bergetah' bila kita tarik pizza tu yang ditonjolkan, siap ada asap nipis lagi ala-ala asap rokok gitu yer... alahai namanya pun iklan kan, biasalah tu.



Mushroom soup dan roti untuk dicicah pun ok juga.



Nampak pisang tu? Mesti nampak, jangan tak nampak tau.




Selepas makan beberapa ketika... inilah yang tinggal, perut pun dah penuh kenyang sungguh, nampak gayanya kena masuk peti sejuk kan... ketika cerita ini sedang ditulis buat masa ini, ada lagi kek dalam icebox tu, mungkin sekejap lagi nak ngap kek tu.



Red velvet cup cake saya beli dekat PKNS, Shah Alam pada 24 Mei 2013 yang lepas selepas tengok-tengok buku dekat SACC sempena Pesta Buku Selangor 2013. RM3 per pc, sedap juga...saja-saja beli...


Tak dapat naik kayak atau sampan, tapi naik bot besar dapat pemandangan istimewa ini, masjid dan pelangi petang menghampiri waktu Maghrib.
 
 
love,
monalizahrais 

Monday, May 13, 2013

CERITA ANAK BUAH LAGI DAN LAGI DAN LAGI...

Assalamualaikum...

Anak orang tetaplah anak orang takkan sama dengan anak sendiri, seringkali saya mengingatkan diri sendiri setiap kali 'ter'... marah dengan anak buah ini, biarlah kita namakan dia Adik, senang sikit nak sebut tidaklah terhegeh-hegeh asyik menaip 'anak buah' jer...
Terus terang, sukar untuk saya buat 'do know' setiap kali saya terkesan sesuatu yang tidak kena dengan Adik ini. Kita faham sangat budak-budak, memanglah sifat nakal itu masih dominan di usia 12 tahun tetapi tentunya kita risau atau marah jika dia buat sesuatu yang tidak patut dilakukan, misalnya menipu...

Semalam, petang Ahad saya dan suami berbincang untuk menghantar Adik ke sekolah pada sebelah pagi dan akan menjemput semula Adik selepas waktu persekolahan selewatnya petang atau seawal malam. Hari ini sudah bermula peperiksaan sehingga Jumaat (17 Mei 2013). Tetapi, sesuatu di luar jangkaan kami terjadi... Adik ini berkeras hendak pulang ke rumah terus TAK NAK bermalam di rumah kami. Dengan penuh yakin dia menyatakan pendiriannya dia boleh jaga dan urus diri sendiri. Tentunya ini merisaukan kami, mustahil kami membiarkannya di rumah tanpa pengawasan orang tuanya.

Disebabkan kami tidak bersetuju dengan pendiriannya itu, budak-budak faham sajalah kan... apalagi Adik ini pun menangis sakan meraung menjerit seakan histeria pun ya, sampaikan jiran sebelah rumah datang (kat luar rumah saja sekadar bertanya). Dah suara Adik bukan main power lagi!. Berjam-jam juga dia berkelakuan begitu. Melihat situasi ini, kami segera memaklumkan keluarga terdekatnya di KK, Sabah dan kesimpulannya Adik ini disuruh 'cuti sekolah' sehinggalah orang tuanya balik ke sini semula. Apalah yang dapat kami lakukan selain menjaga anak ini sehingga menunggu kepulangan orang tuanya. 

Ibu anak malang ini sakit teruk, menurut suaminya yang juga ayah kepada Adik... isterinya sakit disebabkan gangguan saka. Sudah berbulan sakit dan semakin teruk dari sehari ke sehari, sekejap ok sekejap 'ribut' dibuatnya. Sampaikan suaminya akibat tekanan memikir kerja, isteri dan anak-anak... pun terkena strok, nasib baik suaminya sudah pulih dari strok. Mereka suami isteri pulang ke kampung halaman berubat cara kampung. Berat juga dugaan keluarga Adik ini. 

Hari ini, menghampiri tengah hari, guru kelas Adik ini menelefonnya bertanyakan sebab kenapa tidak ke sekolah. Terasa tak sedap hati, saya bercakap sekejap dengan guru kelasnya. Makluman gurunya mengesahkan kebimbangan saya sebelum ini bahawa tidak ada perbincangan antara pihak orang tua Adik ini dan pihak sekolah. Pun tak mau ulas lebih-lebih, biarlah orang tuanya yang berhadapan dengan guru kelasnya nanti. Minggu ini masuk minggu keempat dia tidak hadir ke sekolah, tentunya surat amaran untuk gantung sekolah/pindah sekolah menyusul! Begitulah kata-kata akhir guru kelasnya sebelum memutuskan talian dengan nada suara tegas.

Kami sendiri tidak jelas hal sebenar, sebab itulah saya katakan biarlah orang tua Adik ini yang menyelesaikannya, mereka lebih berhak dan itu tanggungjawab mereka sebagai ibubapa. Kami sekadar membantu menjaga kebajikan dan keselamatan anak ini. Malas kita hendak masuk campur urusan yang kita sendiri tidak jelas perkaranya, saya tidak mahu di masa hadapan nanti kita 'dicop' lebih sudu dari kuah, parah juga tu...anak orang tetaplah anak orang bukan anak sendiri.
Oh ya, semalam berjam-jam juga dia menangis sakan tu, kami hanya membiarkannya melayan perasaan sambil sesekali menasihatinya dengan suara lembut berselang seli suara keras. Agaknya setelah penat menangis, anak ini berhenti juga dan malamnya setelah dinner, kami keluar berjalan-jalan makan ABC (ais batu campur) dan dibelikan sedikit pakaian. Bukan main gembira lagi Adik ini, siap menyanyi-nyanyi lagi.

Dan... menjelang tengah hari tadi, Adik ini buat hal lagi sesuatu yang di luar jangkaan juga, dan sudah tentu saya menjadi seperti 'nenek-nenek' membebel panjang, hahaha... marah kerana sayang, tujuan mendidik bukan berdendam atau benci.

Begini kisahnya - anak ini hendak membeli nasi lemak di warung berdekatan kejiranan ini. Kebetulan kunci tidak tergantung di tempat biasa. Saya katakan kepada dia, nanti kita cari kunci, mungkin pakciknya (suami saya) letak tempat lain. Kebetulan saya sedang sibuk di dapur, panaskan air dan masukkan baju di mesin basuh. Tengah-tengah sibuk tu tiba-tiba terdengar bunyi pintu utama dibuka, rupa-rupanya anak ini yang membukanya. Dengan hairan saya bertanya kepadanya "dari mana kau dapat kunci, auntie sendiri pun tak jumpa" dan jawabnya "jumpa dalam bilik auntie". Ketika itu pintu sudah dibuka dan saya benarkan dia keluar untuk beli nasi lemak.

Seminit... dua minit... lima minit dan minit-minit seterusnya berlalu tapi Adik belum balik lagi, dah lebih 15 minit ni, takkan begitu lama membeli nasi lemak. Mahu tak mahu, geram bercampur bimbang... saya bergegas menuju warung, kerja-kerja rumah ditinggalkan begitu sahaja. Sampai sana rupa-rupanya Adik makan nasi lemak di sana bukannya bungkus seperti yang selalu dibuatnya sebelum ini. Saya pun terpaksa duduk sekali menunggu dia siap makan, sambil baca suratkhabar. Pada masa yang sama... rasa musykil tentang kunci masih bermain-main di ruang fikir saya, seperti ada sesuatu yang tidak kena. Seingat saya, selain tempat biasa kami gantung kunci... saya hanya meletak kunci di penggantung pakaian dekat bilik tidur kami dan... beg tangan. 

Saya tanya lagi dengan suara tegas - "dari mana kamu dapat kunci, auntie tak nampak kunci pun?", balasnya "DARI DALAM BEG AUNTIE".

 Tuan-tuan dan puan-puan... apa perasaan anda mendengar kata-kata tersebut? Bukankah itu bermakna anak kecil ini dengan beraninya tanpa kebenaran... masuk begitu sahaja ke dalam bilik tidur kami seterusnya membuka beg tangan saya dan mengambil kunci rumah yang kebetulan ada di dalam beg itu yang saya sendiri pun tidak periksa lagi? 
 Bermacam-macam menjengah di fikiran saya, usia baru 12 tahun.. inikah sifat/sikap anak yang membesar di bandar? 

Saya beri dia amaran keras, jangan masuk dalam bilik tidur kami dan jangan ulang perkara sebegini! Sungguh, anak-anak sekarang sudah pandai tipu muslihat, pandai berlakon. Risau saya, inikah generasi pelapis kita pada masa hadapan?

Pukul tidak, maki hamun pun tidak tapi dengan nada tegas saya katakan terus terang kepadanya apa yang patut dan tidak patut dilakukannya. biar bertegas berkeras di usianya 12 tahun ini... belum terlambat lagi, bayangkan usianya di awal 20-an dan berjauhan dengan keluarga disebabkan belajar atau bekerja... agaknya macam mana tu? Alahai, tak larat nak memikirnya, ngeri pun ada...

Sudah pasti dia tinggal di rumah ini hanya sementara, tapi ketika berada di bawah jagaan kami, takkan kita hendak membiarkannya terus 'hanyut'... tak banyak, sedikit pun jadilah sumbangan yang termampu kami hulurkan selain keperluan makan pakai nasihat dan didikan. 

love,
monalizahrais



Sunday, May 12, 2013

ANAK BUAH

Assalamualaikum...
 
Hari ini genap seminggu anak buah cilik yang berusia 12 tahun itu tinggal bersama kami, seperti yang saya katakan sebelum ini, esok bermulalah peperiksaannya. Saya dan suami pening kepala juga memikirkan budak ini, bukannya apa... keluarganya memesan supaya anak ini tidak perlulah ke sekolah sehingga orang tuanya pulang, tapi dah dekat waktu periksa takkan kami buat tak tahu saja. Saya katakan kepada suami hantar saja anak ini ke sekolah untuk peperiksaan esok sehingga Jumaat nanti - hantar dan ambil dari sekolah. Lulus gagal belakang cerita, itu lebih baik daripada tak datang langsung.
 
Saya tanya anak kecil ini, 'cikgu dia tak marah ke dia 'cuti' sehingga tiga minggu lamanya' rentetan ibu bapanya pulang kampung. Jawabnya 'cikgu tak marah, yang penting hantar surat kepada cikgu' dan sudah tentu kami disuruhnya tulis surat. Malam tadi suami menyuruh saya siapkan surat tersebut. Tetapi saya tolak untuk menulis surat kerana saya fikir seperti ini - 2 minggu pertama anak ini berada di KL kemudian dihantar pulang semula ke Pandamaran, kami tidak tahu tentang ini, kemudian hari Isnin lepas (6 Mei 2013)... tiba-tiba emak saudara anak ini (dari KK) menelefon kami memaklumkan anak buah ini sedang demam,menangis, bersendirian di rumah manakala seorang lagi abangnya yang berusia 15 tahun keluar merayau bersama rakan-rakannya.
 
Punya kelam kabut kami suami isteri bergegas menuju Pandamaran melihat keadaan anak kecil ini. Kelaparan dan sendirian di rumah. Takkan kita sanggup biarkan dia sendirian di rumah? Risiko keselamatan, kelaparan dan bermacam lagi terbayang di ruang fikir. 

Berbalik isu surat tadi, dari sudut pandangan saya - biarlah mak bapa budak ini yang menyelesaikan surat @ berjumpa dengan guru anak mereka, memberikan penjelasan. Lagipun saya nak taip apa, guna nama apa dan alasan apa?Kami pun tidak jelas sangat hal yang sebenarnya, sekadar tahu ibu bapanya balik kampung kerana emak budak ini sakit, entah adakah orang tuanya sudah memaklumkan kepada cikgu mereka misalnya face to face atau sekadar berpesan melalui anak mereka?
 
Bukan lepas tangan tapi yang dapat kami lakukan hanyalah menjaga kebajikan anak ini semampu kami sementara menunggu orang tuanya pulang ke sini. Tak mau komen lebih-lebih, anak orang tetaplah anak orang, kita hanya menolong seadanya. Oh ya, abang kepada adik ini sudah biasa ditinggalkan sendirian di rumah, itu kami sedia maklum cuma keselamatan adiknya ini membimbangkan kami, maklum anak perempuan kan. Si abang pula jenis tak lekat di rumah dan sering membawa rakan-rakannya lepak di rumah, tentunya tidak manis dipandang orang, dahlah seorang sahaja perempuan tiba-tiba pula ramai anak remaja lelaki berkumpul di rumah, di luar pengawasan orang dewasa.
 
Sekali lagi tak mau komen lebih-lebih, yang penting kami terus menjaga anak ini sehingga orang tuanya pulang ke sini dan sesekali kami menjenguk abangnya. 
 
 
love,
monalizahrais 


 
 

Friday, May 10, 2013

INI KALILAH ... BIKIN PANAS!!!!!!

Assalamualaikum...

Akhirnya blog ini yang sudah mula bersawang diisi juga dengan cerita terkini cerita pertama di bulan Mei 2013 ini. Opps! Jangan salah sangka ya, tajuk di atas tidak ada kaitan dengan isu politik semasa, sekadar meminjam sahaja untuk dijadikan tajuk pada hari ini.

Sebentar tadi panas hati sekejap, disebabkan perangai anak buah ni. Sedar tak sedar, dah empat hari anak buah kami ini tinggal di tempat kami, mak bapanya balik kampung ada urusan keluarga. Diberi layanan istimewa - bilik sendiri, siap dibelikan kipas baru, makan sedap2 belaka termasuklah KFC dan McD, dibawa berjalan-jalan malah bebas menggunakan laptop melayari internet sepanjang masa... 

Yalah, kita ni meraikan tetamu walaupun tetamu kita itu hanyalah kanak-kanak berusia 12 tahun akan memasuki alam remaja tidak lama lagi. Lagipun zaman sekarang maklumat di hujung jari itu sukar dibendung, tiada laptop telefon genggam pun jadilah kan, apalagi kalau bukan berlaman sosial - fb, tweeter, wechat dan yang segaris dengannya... 

Saya tak kisah anak buah ni nak pakai laptop, TAPI  disebabkan sebentar tadi dia 'lawan tauke', mula saat ini dia hanya akan dilayan seadanya, dihadkan waktu berinternet dan tumpukan sahaja kepada pembelajaran, baca buku untuk peperiksaannya minggu hadapan. Katanya demam kurang sihat tapi menghadap laptop segar bugar sahaja, itu yang bikin confuse tu... pun begitu saya masih tak kisah lagi, sekadar berbaik sangka mungkin demamnya dah kurang TAPI sekali lagi tiba-tiba anak buah ni pasang lagu volume tahap maksimum, jam dah 12 am tengah malam, disuruh perlahan volume + pakai ear phone tapi dia buat 'do know' SO perangai saya yang lagi satu tu ala-ala mak tiri gitu pun terkeluarlah. Ini tak boleh jadi ini, tak boleh dibiarkan... bertambah manja dan lemaknya nanti...

Diringkaskan cerita, di depan anak buah ini juga saya perlahankan volume lagu dan 'merampas' laptop seterusnya saya bawa ke bilik tidur. Agaknya dia sedang menangis/bersedih, nampak sangat terzahir di wajahnya. Biarkanlah dia menangis atau bersedih sekalipun, sekurang-kurangnya selepas ini dia akan belajar menghormati orang yang lebih tua darinya. Kita marah sebab sayang, bukannya kena pukul maki hamun pun. Kalau dia mengadu dengan mak bapanya nanti, saya dah sedia berhadapan menceritakan hal sebenar.

Lebih baik bertekak sekarang sebelum ianya menjadi parah, bayangkan kalau saya dan suami membiarkan ulahnya itu berpanjangan... jiran-jiran komplen bukannya marah kat dia tapi kita yang terpaksa menadah telinga menahan rasa mendengar kata-kata jiran dengan alasan bising di tengah malam... panjang pula ceritanya.

Rumah ini kita tuan rumahnya, jadi ada hak untuk kita menegur tetamu yang datang. Teguran diberi dalam bentuk kata-kata yang baik tapi dibalas dengan perlakuan yang tidak sepatutnya. Atas sebab ini saya guna stail 'kampung' - kuatkan volume suara, tunjukkan ketegasan supaya dia faham dan tidak mengulanginya. Ala-ala diktator pun ya, hehe...

Oklah, nak tidur sekejap lagi, panas hati bukannya lamapun dan bukan untuk berdendam, dah sejuk dah hati ini... harap-harap lepas ini tetamu cilik kami ini faham dan tak 'lawan tauke' lagi.

love,
monalizahrais