Assalamualaikum...
Sekarang melepasi waktu 3 pagi dan saya masih belum tidur lagi. Beberapa jam ke hadapan kami perlu bergerak menuju pasar borong melakukan rutin mingguan membeli stok lauk pauk untuk tempoh seminggu. Bertalu-talu pula idea yang ingin dicurahkan di ruangan blog ini. Tidak termasuk idea yang lainnya di medium yang lain pula. Tak apa, buat secara teratur, semuanya akan berjalan lancar. InsyaAllah.
List barang atau senarai barang yang perlu dibeli. Orang tua saya jenis berjimat cermat, hemat dalam berbelanja keperluan rumah. Bukan kedekut tetapi mereka tidak suka membazir. Semasa saya zaman kanak-kanak sehingga remaja, saya selalu hairan kenapa setiap kali arwah bapa saya hendak keluar berbelanja di bandar, emak mesti menulis senarai barang di kertas, tidak kisahlah kertas apapun, janji ada ruangan untuk menulis senarai barang. Kadang-kadang tu emak mengoyak cebisan kertas bekas buku latihan yang sudah tidak digunakan atau kertas resit, kertas kalendar. Emak akan menulis barang yang diperlukan menggunakan tulisan berhuruf besar semuanya dan mudah dibaca dari jarak jauh. Jauh mengikut ukuran mereka yang rabun dekat.
Kemudian emak akan membacakan senarai barang itu di hadapan arwah bapa. Kebiasaannya arwah bapa akan mengulang dan menghafal senarai barangan tersebut. Arwah bapa hanya tahu membaca tulisan jawi, manakala tulisan rumi yang dikenalinya hanyalah tulisan besar emak sahaja. Memandangkan saya selalu mengikut arwah bapa saya ke mana-mana sahaja - bandar, turun ke laut walaupun sekadar menjaga motor dan bekalan makanan atau ikan pari, membuat rumah, saya selalu menjadi tukang baca tulisan rumi, tukang jawab, tukang tanya, atau tukang isi borang terutama sekali borang di bank.
Tapi bab mengira arwah bapa memang cekap, begitu juga dengan ingatannya, sangat cerdas. Ketika si penjual sibuk membuat kira-kira melalui mesin wang atau kalkulator, arwah bapa sudah menjumlahkan RMnya di dalam kepalanya dan menyebutnya terlebih dahulu. Kelebihan orang 'dulu-dulu', mereka menggunakan sepenuhnya potensi otak berbanding kita yang terlalu bergantung kepada teknologi. Tertinggal smartphone sahaja walaupun sekejap... kita sudah tidak keruan jadinya, mengalahkan orang putus cinta, hehe... seolah-olah hari yang dilalui telah berakhir sebelum waktunya.
Kami pula adik beradik sekiranya ada barang keperluan sekolah yang hendak dibeli, juga diwajibkan membuat senarai barang walaupun setakat dua tiga barang sahaja. Setelah saya berkahwin dan memegang peranan 'menteri kewangan' barulah saya faham kepentingan menulis barang yang wajib dibeli. Mula-mula saya bosan menulis benda yang hampir sama setiap bulan, tapi setelah beberapa kali 'terkena', fahamlah saya betapa banyak hikmahnya menulis senarai barang wajib beli ini.
Katakan senarai wajib beli barang kita pada bulan ini - beras, gula ,milo, kopi, syampu sunsilk hijau dan bla bla bla sehingga kepada barang sekecil garam berharga 70 sen, kita bawa senarai itu masuk kedai dan kononnya kita sudah hafal sebab membeli benda yang sama setiap bulan sebelumnya, setelah barang penuh di troli berdasarkan ingatan kita itu, kemudian kita rujuk semua list barang tersebut... tiba-tiba kita berkata seperti ini, "Oh, ada satu barang lagi hampir terlupa beli, rupa-rupanya garam! Nah kan... sikit lagi terlupa."
Saya pernah 'sombong' sekejap dengan list barang ini, mogok tak mau tulis sebab sudah bosan menulis barang yang hampir sama, berbelanja dengan berhati-hati dan tenang kononnya semua sudah ada di kepala. Sampai di rumah, tiba saat memasak, sewaktu tengah memasak dan ingin memasukkan garam... rupa-rupanya garam sudah habis dan itulah yang terlupa beli! Padan muka! Sudahlah sebelum itu jumlah RM lebih banyak daripada biasa, terlupa lagi membeli barang penting. Mahu tak mahu, terpaksa tutup api sekejap dan suruh suami pecut ke kedai berhampiran beli garam.
Di kampung saya kehabisan garam pada waktu malam merupakan satu kesusahan yang sangatsangatsangat menyusahkan. Walaupun kedai masih buka, kebanyakan penjual tidak akan menjual garam pada waktu malam, kononnya akan menyebabkan perkara tidak baik akan berlaku, sekalipun kita merayu membeli dengan harga berkali ganda. Pelik, tapi itulah realitinya.
Apabila kita mendidik diri sendiri berbelanja barang wajib beli mengikut senarai barang yang kita tulis... tidak akan timbul masalah terlupa sebaik sahaja sampai di rumah. Alangkah lecehnya setakat terlupa garam, gula. Kita mendahulukan barang wajib beli kemudian barulah barang lain yang mengikut kehendak kita yang sentiasa berubah-rubah. Jika tidak ada senarai barang, main ingat macam tu saja, masuk dalam kedai, ditambah lagi kedai/pasaraya tersebut sedang hangat mempromosikan barang atau mengadakan jualan 'clearance stok', list barang yang sudah 'diatur' siap-siap di kepala kita itu akan tersimpang siur disebabkan promosi yang lebih menarik perhatian kita. Fokus kita berbelah bagi, antara barang promosi dan barang wajib beli.
Jangan pandang rendah kepada senarai barang yang kita tulis, selain itu dapat juga kita mengelak daripada membazir wang begitu sahaja. Tentu kita pernah melalui situasi ini, beli barang sikit saja, tapi RMnya sukar diterima akal, dan ketika itu barulah teringat ada banyak lagi barang penting yang hendak dibeli. Sekadar berkongsi pengalamn sendiri, manalah tahu ada juga manfaatnya kepada yang membaca tulisan ini, tak banyak pun, sedikit mesti ada...
love,
monalizahrais
No comments:
Post a Comment