Assalamualaikum, hari ini Ahad, hujung minggu. Cuaca cerah, panas terik. Kami lewat sedikit pergi ke pasar borong yang merupakan rutin mingguan kami. Sekitar jam 10 pagi kami gerak dari rumah menuju ke sana. Selalunya jam 7 atau paling lewat pun pukul 8 pagi. Lewat disebabkan terlajak tidur, sebenarnya dah bangun pun awal pagi tadi, tapi tidur sekejap konon, itu yang terlajak tu.
Ok, terus kepada cerita utama - bas sekolah atau tinggal di asrama. Hari Khamis yang lepas, saya call rumah di kampung, bertanya khabar famili di sana, bercakap dengan emak. Dan cerita meleret dari satu isu ke isu yang lainnya. Salah satunya cerita adik bongsu kami yang mesra dipanggil Didang. Sudahpun menjejak langkah memasuki tingkatan satu di SMK. Libaran, berjarak kurang sejam dari rumah kami di Peringkat Enam.
Sekolah bermula 02 Januari 2013, tetapi Jumaat 05012013 adik bongsu saya tidak ke sekolah. Sebabnya? Pada mulanya dia beralasan kasutnya basah walaupun dia ada sepasang kasut lagi yang boleh digunakan, kemudian alasan kedua kononnya kawannya tidak ke sekolah, jadi dia tidak berteman sewaktu menunggu bas sekolah yang beryuran RM 45 sebulan itu.
Alasan yang sengaja dicipta, realitinya malas dan pengaruh rakan sebaya. Inilah yang membimbangkan emak. Nampak macam remeh bukan? Tetapi dalih yang pertama apabila dibiarkan berlalu begitu sahaja akan membuka alasan yang lainnya yang lebih menarik, seakan-akan betul ceritanya di lain hari.
Jarang sekali kita melihat hujan tiba-tiba turun di waktu matahari sedang panas terik memancar, biasanya sebelum hujan turun kita akan nampak kepulan awan mendung di atas sana dan udara sekeliling pun tiba-tiba menjadi dingin.
Begitu juga dengan masalah rumit, kusut selalunya bermula daripada masalah yang kecil-kecil yang kita anggap remeh. Kami tidak mahu adik bongsu ini terus terpengaruh dengan rakan sebaya dan rentetan masalah yang biasa dialami pelajar remaja khususnya sekolah menengah. Zaman remaja ini seperti kepompong untuk rama-rama cantik, sebelum terbang megah menayang kecantikannya yang sempurna... perlu tinggal sekejap di rumah kepompong yang tertutup untuk menguatkan diri sendiri.
Emak mengatakan dia baru balik dari sekolah agama untuk rayuan kemasukan adik bongsu kami ke sana, result akan keluar pada tarikh 14 Januari 2013 nanti. Sekiranya berjaya, Didang akan tinggal di asrama dan itulah yang terbaik untuknya. Melihat kepada abang kakaknya yang tinggal di asrama, walaupun kami bukan pelajar cemerlang, atau terbaik secara keseluruhan, tidak ada masalah ponteng tanpa sebab dan malas sekalipun hendak belajar, disebabkan peraturan asrama menegaskan sekian jam tertentu untuk belajar, Alhamdulillah kami berjaya menamatkan persekolahan tanpa rekod disiplin yang tidak baik, malah ditawarkan tempat ke IPT.
Semasa remaja dahulu, saya tinggal di asrama bermula usia 13 tahun sehingga 19 tahun (tingkatan satu ke tingkatan enam atas). Saya termasuk juga kategori nakal, cuma bukan nakal yang 'berat' seperti bercinta atau mencuri. Nakal saya cuma sesekali keluar tanpa kebenaran dari asrama itupun balik ke rumah di kampung atau sekadar berjalan-jalan di bandar Sandakan melihat Tamu hujung minggu. Bukan main terror lagi keluar tanpa kebenaran, tidak pernah sekali pun saya kedapatan warden asrama, sebenarnya saya tak takut pun kalau ketahuan warden, kerana mengikut peraturan asrama, seseorang pelajar hanya akan 'dihalau' dari asrama sekiranya melakukan kesalahan sebanyak tiga kali, selepas diberi amaran dan denda dan setelah dipanggil orang tua untuk sesi kaunseling (Opps! Jangan tiru ini perangai ya, hehe).
Sampai masa balik kampung halaman, saya hanya akan packing pakaian, sebarang kerja yang diberi oleh guru saya tinggalkan di asrama, saya lebih rela balik awal ke asrama (biasanya awal sehari atau seawal pagi) untuk pulun, balun menyiapkan rangkaian kerja rumah. Belajar di rumah? Jangan harap nak belajar, baru beberapa minit tengok buku, sudah rebah di kerusi/tilam, membuai mimpi sampai keluar air liur basi, hehehe...
Melihat pengalaman lepas ini membuatkan emak saya berharap semoga adik bongsu kami ini akan dapat memasuki sekolah agama sekaligus duduk di asrama. Di sana proses pembelajaran lebih teratur, andai kata dia malas atau buat hal, sudah tentu warden akan memaklumkan kepada keluarga. Ditambah lagi, masih ada seorang abangnya bersekolah di sana di tingkatan 4, adik Notet kami, paling kurang ada yang menjenguk khabar adik Didang dan sebenarnya sekali seminggu akan ada yang menjenguk mereka di asrama - emak dan adik-adik saya yang lainnya.
Yuran RM 45 itu dapat dialihkan kepada belanja buku dan keperluan lain di asrama. Corak pemakanan lebih teratur dan berkhasiat, walaupun ada ketikanya tidak memenuhi selera. Pendapat saya secara peribadi kerana saya budak asrama juga dahulu... tinggal di asrama sedikit sebanyak akan membentuk peribadi kita, sama ada menjadi seorang yang peramah, prihatin, saling bertolak ansur malah bersikap sabar. Yang paling utama, berdikari menguruskan diri sendiri - membasuh pakaian, kemas baju, sapu bilik, bergotong royong. Di rumah, belum tentu lagi kita membasuh baju sendiri kerana ada yang tolong basuhkan. Mengemas rumah? kadang-kadang kena bersoal jawab dulu, barulah dibuat kerja itu.
Mula-mula memang akan sedih, sedih meninggalkan katil empuk dan privacy yang dinikmati di rumah, sedih kerana tidak dapat bermanja dengan emak dan anak buah yang lincah itu, lama-lama nanti biasalah tu.
Ikut pengalaman saya dahulu, budak-budak asrama akan dapat berita terkini - apa saja berkaitan hal ehwal sekolah berbanding mereka yang berulang alik dari rumah ke sekolah (itu di zaman saya, zaman tiada facebook dan smartphone, sekarang tentunya berbeza).
Cabaran berulang alik dari rumah ke sekolah dengan tinggal di asrama tentunya berbeza, ramai juga yang cemerlang walaupun tinggal bersama keluarga. Tetapi keadaan rumah kami yang sentiasa meriah dengan cucu-cucu emak, kerja rumah yang tiada berpenghujung (maklum, keluarga besar) serta bekalan elektrik yang selalu terputus di waktu hujan, corak pemakanan yang kadang-kadang seimbang kadang-kadang tidak, kurang sesuai untuk pembelajaran yang kondusif.
Salah seorang adik saya menjadi seorang yang 'terlebih kreatif' dan adventure disebabkan berulang alik dari rumah ke sekolah. Keputusan SPMnya ketika itu 'cacat' disebabkan subjek Bahasa Melayu yang tidak kredit (dulu-dulu result guna pangkat satu, dua, tiga, SAP atau gagal kan). Sudahnya dia terpaksa mengambil paper Julai untuk mendapatkan kredit Bahasa Melayu. Dia sekolah petang, menaiki bas sekolah tapi disebabkan kadang-kadang jalan rosak atau bas sekolah rosak, adik saya dan rakan satu bas satu sekolahnya itu selalu 'melancong' ke dalam ladang kelapa sawit, mencari paku pakis, cendawan sawit sambil berbaju sekolah. Hendak pergi ke sekolah, sudah lewat, hendak pulang ke rumah akan dihujani soalan bertubi-tubi dari orang tua kami.
Teringat saya seorang rakan sekelas dari tingkatan satu sehingga tingkatan enam atas. Tujuh tahun lamanya kami satu sekelas, tetapi saya hanya mengenalinya sewaktu di tingkatan enam rendah dan enam atas, itupun setelah dia memasuki asrama. Pada masa itu keadaan jalan rosak teruk, memaksa dia tinggal di asrama. Itu juga antara sebab saya menghuni asrama selama 7 tahun. Malah berulang kali berjalan kaki dari Pasar Muhibbah (sekarang dipanggil Pekan Muhibbah dan berwajah lebih moden) ke rumah kerana masalah transport yang sangat teruk (+- berjalan kaki selama sejam melalui jalan raya yang dikelilingi kelapa sawit kiri dan kanan jalan).
Sebelum dia tinggal asrama, rakan saya ini seorang yang sangat pemalu, susah kita hendak mendengar suaranya, malah boleh dikira berapa kali sahaja dia bercakap. Dia lebih banyak tersenyum dan mendengar daripada bercakap. Setelah tinggal di asrama, kami menjadi rapat selepas beberapa bulan sehinggalah pada satu hari tanpa ditanya dia bercerita kenapa dia menjadi pelajar yang terlalu pemalu dan pendiam. Rupa-rupanya dia tidak tahu berbahasa Melayu, dia faham dan boleh menulis tapi tidak boleh bercakap Bahasa Melayu! Terperanjat kami mendengar ceritanya itu, kami tanya dia, kenapa jadi macam tu? Jawabnya di rumahnya tidak ada seorang pun yang berbahasa Melayu, mereka sekeluarga hanya bercakap bahasa ibunda.
Sambungnya lagi, setelah tinggal di asrama... mahu tidak mahu dia kena membiasakan diri bercakap Bahasa Melayu malah dia akhirnya menjadi seorang yang peramah dan berani membentangkan tugasan di dalam kelas kami.
Habis STPM, dia melanjutkan pelajaran di UUM dalam bidang pengurusan sehingga cakap semenanjungnya pekat, likat. Semuanya bermula sejak dia tinggal di asrama. Pengaruh tidak baik itu sentiasa ada di mana-mana, tetapi pengawasan berterusan daripada keluarga, misalnya menjenguk anak atau saudara kita seminggu sekali di asrama... sedikit sebanyak menyuntik rasa prihatin dan rasa disayangi.
Seperti yang arwah bapa saya lakukan - seminggu sekali dia akan menjenguk di asrama, malah surat-surat dari emak saya selalu dikirim melalui jiran terdekat. Yang menariknya surat-surat dari emak saya itu berterusan sepanjang saya empat tahun menuntut di universiti, setiap minggu akan ada surat dari emak saya mewakili seluruh keluarga sampaikan rakan serumah menyangka surat itu dari teman lelaki.
Pada masa itu sekitar 2000 - 2004, selalu kami berutus surat dan hanya sesekali saya menelefon disebabkan charge telefon dari Semenanjung Malaysia ke Sabah mahal.
Segalanya sudah berlalu, sekadar kenangan. Sekarang masanya untuk memerhati adan mengikuti perkembangan adik-adik yang masih bersekolah, mencadang, memberi pendapat yang mana difikirkan baik, untuk masa hadapan mereka yang cemerlang, InsyaAllah.
No comments:
Post a Comment