Wednesday, January 9, 2013

MENGIRA HARI - TAMBAH TOLAK DARAB BAHAGI

Assalamualaikum... hari ini Rabu, bermula dengan suasana mendung sekejap sebelum beransur cerah perlahan-lahan.
 
Semasa kita di sekolah zaman remaja dahulu, akan ada guru yang glamour dan sentiasa ditunggu-tunggu kehadirannya masuk ke kelas kita kan. Daya tarikan sesetengah guru ini begitu kuat, seakan artis  yang selalu dipuja peminatnya. Kadang-kadang tu kehadirannya sekejap sahaja di sekolah kerana berpindah atas sebab sambung belajar atau naik pangkat. Yalah, sudah tentu guru yang berperibadi sedemikian jarang kekal lama di satu tempat. Saya bercerita berdasarkan pengalaman semasa di sekolah menengah dahulu.
 
Katakan waktu mengajarnya dalam seminggu singkat sahaja, mengajar pula tu subjek yang kurang glamour, tetapi disebabkan auranya yang luar biasa itu membuatkan kita tertunggu-tunggu. Setengah jam dirasakan seperti beberapa minit sahaja dan sering kita mengeluh, kenapalah cepat sangat masa berlalu.
 
Tentunya berbeza dengan guru yang kurang diminati disebabkan sifat tegas atau garang atau cepat marah, kena pula tu mengajar subjek utama yang banyak memerlukan waktu bersama guru jenis ini. Alangkah seksanya menanti waktu kelas berakhir, hahaha... bukan saya seorang yang mengalami situasi sebegini, kebanyakan kita pernah melaluinya.
 
Lain pula kesnya dengan guru yang seakan-akan memilih pelajar yang mana hendak disayanginya. Walaupun semua guru mengatakan dia mengajar dan memberi 'kasih sayangnya' sama rata kepada anak didiknya, hakikatnya pelajarnya sendiri dapat menilai sama ada 'kasih sayangnya' itu adil atau berat sebelah. Maksud saya ada yang melebihkan perhatian kepada pelajar lelaki berbanding pelajar perempuan, selalunya melibatkan guru perempuan bujang yang sudah berusia lanjut. 
 
Bukan komplen atau rasa tidak puas hati, saya sekadar mengingat kisah lalu tentang zaman sekolah saya di sekolah menengah. Guru juga manusia biasa, sama seperti orang lain yang berbeza bidang kerjayanya. 
 
Selalu saya dan rakan-rakan mengira hari, entah apa-apa punya perangailah disebabkan tidak sabar-sabar hendak 'merdeka' daripada ujian bulanan, peperiksaan besar yang menyeksakan. 
 
Contoh, katakan ada tiga bulan lagi menganjak ke bulan penting melibatkan peperiksaan besar SPM. Kami akan mengira sebegini - selepas tolak masa untuk tidur, bercuti, makan minum, itu ini... rupa-rupanya kita hanya ada masa sebulan! Kononnya itu sahaja masa yang ada, spontan kami mula berasa bimbang persiapan belum cukup mantap lagi.
 
Semakin menghampiri tarikh peperiksaan, bukan sekadar ujian juga bertambah tetapi program bercorak kerohanian - solat hajat beramai-ramai, motivasi, lawatan sambil belajar, ceramah itu ini melalui personaliti yang dijemput untuk menguatkan semangat pelajar. Saya sendiri, apabila melibatkan program 'bercakap' berunsur motivasi - lebih gemar duduk di bahagian belakang dan apalagi kalau bukan tidurrr....saya sering merindui waktu tidur kerana duduk di asrama terlalu padat dengan bermacam aktiviti bermula sebelum Subuh sehingga selepas Isyak. Malah hujung minggu yang ditunggu-tunggu untuk berehat sepenuhnya itu kadang kala 'dirosakkan' dengan arahan dari warden asrama supaya bergotong royong membersihkan kawasan asrama seawal jam 7 pagi!
 
Kecuali sesetengah program yang membuatkan kita tiada pilihan untuk tidur. Misalnya program tertutup yang diadakan beberapa peringkat, terhad kepada jumlah tertentu, kemudian dibahagikan kepada beberapa kelompok kecil, diawasi seorang ketua. Mahu tak mahu kena cergaskan juga mata tu hehe... kenangan dulu-dulu yang bermacam ragamnya. Ada sahaja helah yang difikirkan.
 
Diringkaskan cerita, mengira hari sentiasa saya dan rakan-rakan lakukan, semacam jadi satu kemestian. Maklumlah kan, fikiran masih keanak-anakkan lagi. Sekarang, entah kalau masih ada lagi budak-budak sekolah yang mengira hari macam saya dan rakan terdekat lakukan. Ada, mesti ada jenis macam tu, saya percaya  tak banyak, sedikit mesti ada. 
 
Bukan hanya pelajar sekolah, pasangan yang hendak berkahwin, ibu yang bakal melahirkan bayinya, melakukan aktiviti kegemaran misalnya melancong atau pergi bercuti ke tempat-tempat menarik, balik kampung, malah bermacam tujuan lagi.
 
Oklah, untuk pagi ini sampai setakat ini dahulu, InsyaAllah akan disambung di lain waktu dengan cerita yang lainnya.
 
        

No comments:

Post a Comment