Saturday, January 5, 2013

2013 - EDISI TERSASUL DI ZAMAN SEKOLAH

Assalamualaikum, petang Sabtu masih lagi mendung tapi tidak gelap sangat, cuma matahari tengah 'berehat' agaknya, tidak kelihatan di dada langit.
Sebentar tadi kucing di luar rumah terjerit-jerit, agaknya sedang bergaduh 'berebut kekasih', hihi, gurau sikit.

Cuti panjang persekolahan tentunya bulan istimewa bukan sahaja pelajar sekolah menengah dan rendah tetapi juga tenaga pengajar dan ibu bapa. Waktu ini juga walaupun sering hujan sehingga ada tempat tertentu dinaiki air... banyak juga yang memanfaatkan waktu bercuti dengan melancong ke tempat-tempat menarik atau balik kampung ke rumah nenek datuk.
Seronok, memang seronok, dikenang kembali ianya membuatkan kita tersenyum sendirian. Jangan berangan di tempat awam, hairan orang lain melihat gelagat kita! Dalam bilik kira ok lagi.

Setiap kali sesi persekolahan bermula di tahun baru, saya dahulunya seringkali mengeluh, kenapalah cuti singkat sangat, padahal cuti bukan main lama lagi. Minggu pertama dan kedua, saya selalu tersasul menulis tarikh di buku latihan. Contoh - sepatutnya 05 Januari 1997 tetapi tertulis 05 Januari 1996, salah dekat tahun kan. Yang melucukan kadang tarikh di papan tulis juga turut salah disebabkan masih baru di tahun baru, betulkan?

Yang paling ditunggu-tunggu sejak zaman remaja sehinggalah usia sekarang mencecah 30-an, KALENDAR, sepanjang bulan 12 saya selalu mengintai, memilih jenis kalendar yang macam mana menjadi pilihan. Saya suka kalendar yang sederhana besar, lebih kurang sebesar kertas lukisan jenis medium saiz. Dapat dilekat di dinding, dapat dilihat dari jarak +- sepuluh langkah. Pada setiap petak tarikh, disertakan sekali kalendar mengikut kaum Cina, India dan Islam. Kalendar yang sudah diwarnakan /ditonjolkan cuti sekolah (warna kuning biasanya) dan merah untuk cuti umum. Dapat juga saya menulis/menconteng due date untuk urusan penting/istimewa pada bulan tersebut.

Zaman remaja saya dahulu, saya lebih menggemari kalendar meja, mudah merujuk tarikh ketika belajar di meja terutama sekali mengira hari untuk balik bercuti di kampung. Tetapi persekitaran dan latar kehidupan terkini, kami suami isteri lebih berminat jenis kalendar yang saya nyatakan di perenggan atas. Kalendar dan jam - dua benda yang paling banyak tergantung di rumah orang tua saya, mengalahkan gambar sekeluarga.  Mereka sangatsangatsangat menghargai masa, menepati masa. Berjenis kalendar digantung bermula dari ruang tamu  sehingga ke dapur rumah.  Ada yang perlu 'dipetik' setiap hari dan ada yang hanya 'dipetik' sebulan sekali.

Yang tidak dapat saya lupakan, kalendar solat. Arwah bapa saya sentiasa memastikan kalendar solat untuk satu tahun perkiraan tahun Islam tergantung kemas di luar pintu bilik orang tua kami.
Di Sandakan, sewaktu zaman remaja saya, kalendar mudah didapati, kebanyakannya percuma setiap kali kita membeli barang. Yang paling banyak menghiasi rumah kami, kalendar dari Gentingmas. Gentingmas ini lebih kurang konsepnya macam Mydin kat sini, berniaga borong dan runcit sekaligus. Lebih kurang sebesar saiz kertas lukisan atau sebesar poster,  selain petak tarikh, di bahagian atas dada kertas itu disertakan bermacam model wanita, ada yang seksi dan ada juga yang bertudung.
 Yang paling saya rindui - kalendar yang perlu dipetik setiap hari. Kadang-kadang terlebih petik sehingga dua helai jadinya, terus risau dimarahi orang tua. Itulah, kelam kabut sangat! haha...

Kalendar kecil yang muat disimpan dalam dompet/purse tetap menjadi pilihan, walaupun sekarang berjenis smartphone ada aplikasi kalendar untuk reminder, note... namun yang bersifat tradisional ini tetap tidak luput ditelan arus zaman moden kan. 

Diari? Saya kurang suka walaupun perincian tarikh dan peristiwa dapat kita luahkan mengikut acuan rasa masing-masing. Sebabnya saya rasa sukar sedikit merujuk berbanding kalendar yang sedia tergantung di dinding.  Di rumah kami sekarang, kalendar kegemaran tergantung pada sudut yang strategik, antara ruang tamu dan dapur, sentiasa di limpas-limpas. Jam dinding tiada, tapi satu jam meja warna kuning dekat TV, satu lagi jam meja sebesar buah kelapa di bilik tidur (pink kaler) dan jam tangan berhias mutiara digantung di dapur, dekat dengan dapur gas dan singki. Pengaruh jam dan kalendar di rumah orang tua saya sedikit sebanyak mempengaruhi personaliti diri ini. 

Kalendar, jam, persis alat perakam waktu yang sentiasa bergerak sepanjang masa, tiada rehat dan hentinya. Nampaknya petang semakin beranjak menghampiri Maghrib, mendung masih berarak di luar sana kurang sejam lagi malam akan berlabuh.  Wassalam dan jumpa lagi di lain lembaran.



 
 
 
 

 

No comments:

Post a Comment