Assalamualaikum, kurang sejam lagi kita akan memasuki fasa awal malam. Hari ini sepanjang hari laptop saya online, sebabnya saya mengikuti perkembangan terkini perhimpunan kebangkitan rakyat, anjuran pembangkang di stadium merdeka. Tidak terjadi sebarang peristiwa yang tidak diingini, semuanya berjalan lancar, berdasarkan maklumat di facebook rasmi PDRM. Adik saya turut terlibat mengawal kelancaran traffik dan keselamatan - berada di pihak polis. Semalam dia call saya, ketika itu adik saya bersiap sedia di PULAPOL, Jalan Semarak untuk membuat persiapan bertugas hari ini.
Bersedekah memurahkan rezeki - rezeki bukan hanya dalam bentuk wang ringgit, tetapi dalam pelbagai cara antaranya nikmat kesihatan, kebahagiaan ataupun dipermudahkan kesusahan kita.
Jika hari ini kita menolong meringankan beban orang lain atau keluarga kita sendiri, lain hari kita tidak tahu akan ada yang menolong kita ketika kita dalam kesusahan. Ceritanya begini, seperti biasa kami suami isteri akan berbelanja barang dapur dan keperluan rumah setiap dua minggu sekali. Tetapi hari itu kami berbelanja keluar dari kebiasaan. Setelah berpindah kerja ke tempat baru, suami saya menerima gajinya hanya sebulan sekali, berbanding tempat kerja lama, dua kali dalam sebulan.
Ok, barang yang hendak dibeli pun disenaraikan. Dan kami pun shoppinglah, sampai waktu hendak balik rumah, melihat plastik barang yang lebih banyak berbanding biasa kerana itu kali pertama kami berbelanja untuk sebulan sekali, kami sama-sama ketawa, macamlah kami datang ke sana guna kereta, padahal setakat naik motor sahaja. Dan ligatlah fikiran kami memikir macam mana hendak membawa timbunan barang tersebut. Saya katakan kepada suami, jangan bawa motor laju-laju, perlahan-lahan sahaja, lagipun bukannya jauh dengan rumah, berjarak hanya +- 15 minit perjalanan dan bukannnya jalan sesak pun.
Sedang kami mengatur barang untuk disimpan di bakul dan dipegang oleh saya sendiri di belakang, kami disapa oleh seseorang yang tidak dikenali. Dia menawarkan untuk membantu kami membawakan barang-barang, dia ketika itu juga berbelanja di kedai yang sama bersama isteri dan seorang anaknya lingkungan usia 3 tahun.
Dia bertanya kami tinggal di mana dan kami memberitahunya. Sambungnya lagi, dia juga melalui jalan yang sama, apa salahnya sebahagian barang kami ditumpangkan di keretanya untuk meringankan beban. Kami menolak secara baik, dengan beralasan tidak ingin menyusahkannya. Akhirnya dia terpaksa mengalah, itupun sebaik sahaja kami menaiki motosikal, dia masih belum bergerak lagi, masih lagi memandang kami kalau-kalau kami berubah fikiran. Ketika motor kami mula mengarah ke jalan raya, barulah dia menghidupkan enjin keretanya, bergerak tidak jauh dari kami. Hanya setelah beberapa ketika, barulah orang yang baik hati itu menghala menuju haluannya sendiri.
Kenal tidak, tak pernah jumpa pun, tanpa dipinta bermurah hati menghulurkan bantuan kepada kami. Di bandar besar yang kebanyakkannya hanya memikirkan diri sendiri dan keluarga sahaja, jarang sekali kita terjumpa orang seperti itu. Entah-entah tanpa kita sedari, mungkin kita juga termasuk kategori yang mementingkan diri sendiri. Mohon dijauhkan daripada perilaku yang tidak baik.
Sebelum kami berbelanja hari itu, sebenarnya kami ada mengirim sedikit wang kepada emak, dan tidak lama selepas itu, peristiwa inilah yang terjadi. Kami suami isteri terfikir, sejak kami mengirim wang kepada emak ( ibu dan bapa mertua saya sudah lama meninggal dunia, sejak kami suami isteri belum berjumpa dan berkahwin lagi, sekarang tinggal emak saya, arwah bapa pergi Oktober 2011 ), banyak urusan kami yang dipermudahkan, berulangkali kami mengatakan mungkin ianya berkat bersedekah wang ringgit selain saya sendiri secara peribadi tersembunyi menghantarkan doa berterusan kepada orang tua kami setiap kali selesai solat fardhu.
Kita tidak tahu perbuatan mana yang menghasilkan timbangan pahala yang berat, yang pasti perbuatan baik mendapat balasan baik dan begitulah sebaliknya. Bulan lepas, motosikal suami 'buat hal' sehingga terpaksa ditolak ke bengkel motor yang berdekatan. Dekat tak dekat, menolak motor rosak payah juga tu kan memerlukan banyak tenaga, berjarak +- setengah jam berjalan kaki. Risaunya saya ketika itu, memikirkan keselamatan suami.
Di luar jangkaan, ada seorang anak muda tiba-tiba mendekati suami, menghulurkan bantuan menolak motor kami sehingga sampai ke bengkel. Sudah tentu suami menolak tetapi anak muda itu bersungguh-sungguh hendak membantu. Ringan sedikit bebankan. Menurut cerita suami saya lagi, melihat anak muda yang menolongnya itu serta merta mengimbas kenangan bahawa suami saya pernah menolong orang yang tidak dikenali juga, motornya sedang rosak di tepi jalan, dan dia menolong orang tersebut.
Sekarang azan Maghrib sedang berkumandang, stop kat sini dulu, saya nak mandi dan solat...
No comments:
Post a Comment