Sunday, January 20, 2013

HENDAK KURUS? DAN CANTIK MENAWAN?

Assalamualaikum...
 
Malam minggu muncul lagi. Beberapa jam lepas, saya dan suami menjenguk pasar malam di bandar Klang, tidak jauh dari masjid Klang Diraja yang cantik itu. Kemudian kami lepak sekejap di 'lori' minum, masuk ke premis menjual smartphone sekadar cuci mata dan akhirnya sebelum pulang ke rumah, kami makan minum malam di restoran Alif Maju.
 
Amboi tajuk di atas lain macam saja bunyinya, macam nak buat iklan produk kuruskan badan pula, hehe, saja letak tajuk lain sikit malam ni, mirip ayat-ayat iklan gitu ( jangan marah, nanti kena jual, haha ).
 
Sebenarnya saya ingin bercerita tentang sesuatu yang saya rindui dan ingin melakukannya semula. Ianya ada kaitan dengan cara kita menguruskan diet seharian. Sebelum ini, ada beberapa kali saya bercerita saya tinggal di asrama selama 7 tahun sewaktu sekolah menengah. Selama tempoh itu... mereka yang tidak pernah tinggal asrama pun mesti tahu, jadual makanan di asrama telah ditetapkan, begitu juga dengan menunya. Kesimpulannya, selama tempoh 7 tahun saya menjadi budak asrama, corak pemakanan saya sudah terbiasa/terdidik tanpa sedar bermula umur 13 tahun sehingga 19 tahun, maknanya sepanjang usia remaja saya.
 
Berat badan saya ketika itu sentiasa maintain, bukan dalam kategori obesiti walaupun sesekali saya makan juga benda lain di luar jadual makan yang telah ditetapkan. Rasa ringan dan sentiasa bertenaga. Tetapi menjelang cuti sekolah terutama sekali cuti yang melibatkan masa seminggu atau lebih, baru beberapa hari saya di rumah... badan cepat naik walaupun tidak mendadak tetapi seluar mula sempit dan baju terasa ketat di sana sini, pipi rasa kembung semacam saja. Ditambah lagi dengan komen dari orang tua dan adik beradik yang menegur gemuk, montel dan sewaktu dengannya... membuatkan saya tidak selesa. Di rumah, tidak jauh bezanya jadual makan seperti di asrama, sarapan pagi, lunch dan dinner. Tapi... disebabkan kita bebas menambah kuantiti makanan + senang hati + makan malam selepas Isyak itulah antara faktor badan saya cepat naik.
 
Di asrama... sarapan pagi bermula selepas Subuh sehingga sebelum 7.30 a.m. Lunch biasanya bermula 11.00 am sehingga sebelum Zohor atau selewatnya pukul satu petang. Dinner sebelum waktu Maghrib atau selewatnya 6.30 pm. 
 Mana tidak maintain badan kalau jadual makan macam tu, sentiasa teratur dan sudah tentu menunya juga seimbang, bukannya suka-suka ditetapkan tukang masak, siap ada senarai menu dari Kementerian Pelajaran yang dipantau oleh penyelia asrama. 

Seperti yang saya katakan sebelum ini, yang saya rindu dan ingin melakukannya semula - saya maksudkan makan malam kami suami isteri. Saya cuba merancang untuk memasak menu seimbang dan siap dimakan sebelum waktu Maghrib, mengikut masa di Malaya ini + - sebelum 7.30 pm. Ada beberapa kali dapat saya lakukan dan kesannya bangun pagi sahaja badan rasa lebih ringan berbanding makan malam yang agak lewat malah kami suami isteri bangun lebih cepat daripada alarm jam.
 
Sebenarnya saya tidak juga terlalu bergantung kepada alarm jam, kalau terlupa pasang pun biasanya saya akan tersedar oleh laungan Azan ( InsyaAllah ), cuma faham-faham sajalah kita ini kadang-kadang ada masanya dibalut rasa malas, sudah tersedar pun masih lagi fikir macam ni, sambil tengok jam - 'awal lagi, sekejap lagilah lima minit' dan kita pun kononnya tidur-tidur ayam sekejap padahal terus ternyenyak dan terlajak tidur sehingga matahari meninggi! Lepas itu apalagi kalau bukan kelam kabut turun dari katil terus tergesa-gesa bersiap ke tempat kerja! Betul kan? Subuh terlepas, malah sarapan, mandi pagi entah ke mana. Kebanyakan orang mengalaminya.
 
Ada sekali tu adik saya bercerita tentang rakan sekerjanya. Sebenarnya secara kebetulan sahaja saya mendengarnya, adik saya dan seorang lagi rakan satu syifnya perlu bergilir berehat untuk makan. Ada sekali tu waktu syif malam, adik saya menyuruh rakannya ini pergi rehat dulu balik rumah untuk makan malam, tapi kawannya itu mengatakan sebaliknya. Rakan sekerjanya itu mengatakan dia sudah makan malam petang tadi ( bersamaan dengan waktu minum petang sekitar jam lima petang ), katanya lagi paling lewat mereka sekeluarga makan malam sebelum waktu Maghrib. Inilah yang menarik perhatian saya, mengingatkan saya kepada kisah di asrama dahulu. 
 
Sudah tentu adik saya yang tidak pernah tinggal asrama ini terkejut mendengar kata-kata rakan sekerjanya itu, mereka berdua sama-sama berbadan besar, termasuk kategori gemuk dan sukar sekali kita percaya apabila dia bercakap sebegitu. Jelas rakan sekerja adik saya itu lagi, dia sudah terbiasa begitu sejak mula berkahwin sehingga sekarang anak sudah berderet. Rupa-rupanya isterinya itu juga pernah tinggal asrama sewaktu zaman sekolahnya dan saya percaya, kakak itu pun mesti teringat atau sudah terdidik, serasi dengan corak pemakanan di asrama.
 
Saya sendiri, sehingga sekarang tidak berapa selesa makan malam sekiranya sudah melepasi waktu Maghrib, tapi itulah... banyak perkara di luar kawalan kita kan. Jadual kehidupan kita di usia dewasa ini apatah lagi sudah berkahwin dan ada yang sudah beranak pinak, tentunya mempengaruhi corak pemakanan kita. Kadangkala kita sibuk, terperangkap dalam sesak jalan raya sehingga memasuki waktu Maghrib atau ketika azan dilaungkan... ada kalanya kita masih di atas kenderaan atau baru sampai depan rumah. Jadi cuba bayangkan - solatnya lagi, mandi, masak, makan, paling cepat menghampiri Isyak atau melepasinya. Atau ketika kita sedang mendengar berita utama di kaca tv, bergantung kepada apa yang hendak dimasak dan cara memasaknya. Hendak skip makan malam, tapi perut lapar sangat, lagipun bukan perut kita seorang yang hendak difikirkan.

Cuba dan terus mencuba... Alhamdulillah, sejak saya dan suami sepakat membeli stok lauk pauk segar dari pasar borong yang hanya berjarak 15 minit sahaja dari rumah kami, untuk keperluan seminggu, serta merancang menu dalam tempoh seminggu itu... sedikit demi sedikit waktu makan malam kami semakin awal. Paling lambat pun tidak melepasi waktu Isyak atau selepas jam 9 malam. Paling awal tentunya setengah jam atau 45 minit sebelum waktu Maghrib. Yang paling penting, penyediaan awal untuk melancarkan kerja-kerja memasak serta pemilihan menu. Contoh, saya hendak masak udang, udang cepat masak apatah lagi untuk dua orang punya keperluan makan. Kemudian sayur, sayur jenis buah senang disediakan berbanding sayur daun kena cerewet sedikit. 

Blender siap-siap campuran bawang putih, bawang merah, kunyit hidup, halia dan simpan dalam peti sejuk. Blender juga stok cili kisar.  Dan saya selalu buat stok sambal kicap banyak-banyak dan simpan dalam peti sejuk. Boleh dicampur dengan seafood, makanan berebus malah ikan bakar. 

Untuk sayur seperti brokoli, kacang bendi misalnya, selalunya saya celur dalam air yang tengah mendidih yang dicampurkan sedikit minyak atau garam untuk mengelakkan sayur jenis ini lunyai. Kemudian dimakan begitu sahaja dengan lauk dan nasi. Jika saya hendak masak sayur bertumis, bawang merah besar itu saya kupas kulitnya dan belah dua, separuh simpan dalam peti sejuk untuk hari esok dan separuh lagi saya gunakan. Bawang putihnya pula just ketuk sekejap dalam lesung batu dan mudah dibuang kulitnya.

Jenis lauk ayam misalnya, saya pastikan potong kecik-kecik supaya cepat masak selalunya untuk masakan berkuah/bertumis kecuali untuk ayam goreng, ayam biasanya potong 8 atau potong 12. Yang penting perancangan, walaupun ada ketikanya terbabas sedikit daripada plan asal disebabkan hal yang tidak dapat dielakkan, tetapi itu jauh lebih baik daripada tidak berbuat apa-apa. 

Sekadar berkongsi yang mana baik mungkin dapat dijadikan teladan dan yang tidak baik tinggalkan. Sekali lagi, saya sesungguhnya rindu dengan waktu makan malam seperti di asrama dahulu, makan sebelum Maghrib. Oh ya, sebelum terlupa, kami cuba menghindari kekerapan minum ais, tidak minum langsung air bergas dan menghindari makanan yang berpotensi menyebabkan alahan serta minuman yang menyukarkan tidur malam. Sekurang-kurangnya saya cuba mengatur sebaik mungkin dari semasa ke semasa pola pemakanan kami, untuk manfaat kesihatan diri sendiri. Senaman? Solat dan puasa merupakan senaman terbaik. Kita ringankan badan juga dengan membuat kerja-kerja rumah seperti menyapu, mop lantai, bersihkan longkang, cuci motor kereta, cuci kipas siling, cuci tandas, cuci bilik mandi dan lainnya. Itupun senaman juga kan.
 
 
 
 
 


 
 
 

No comments:

Post a Comment