Saturday, January 5, 2013

2013

Assalamualaikum, petang Sabtu yang mendung. Tadinya hujan turun bernada sederhana, sekejap sahaja tetapi terasa nyaman, sejuk rasanya hendak berlingkar atas katil saja. Tak boleh diturutkan rasa malas tu, berlingkar sekejap boleh tahan lagi, tapi kalau dah sampai tahap apa pun tak mau buat, susah juga tu kan? 
 
Siaran tertunda sebenarnya, cerita hari ini, menghampiri seminggu dalam muka surat tahun baru (mengikut perkiraan Barat) - 2013. Malam ambang tahun 2013 saya dan suami gerak ke I City, Shah Alam. Sekadar merakam pengalaman pada malam yang terasa singkat, cepat masa berlalu dek sesaknya dengan lautan manusia. Dilihat dari tingkat atas bangunan atau kawasan yang lebih tinggi, semacam himpunan kepala semut pun ada. Kami menaiki motosikal ( baby Black gelarannya) pun lautan motosikal juga memenuhi ruang parkir. Ada yang parkir di kawasan rumah kedai berhampiran  Seksyen 7, Shah Alam. Saya dan suami berlegar sekejap di kawasan ini, mencelah, cilok antara bangunan. Restoran semuanya padat belaka, yang menarik perhatian saya Restoran Nasi Lemak Cinta Sayang... 'kasih sayangnya' harum semerbak dengan bermacam wangian masakan.
 
Akhirnya kami parkir di kawasan I City, setelah berlegar beberapa ketika. Oh ya, sebelum itu, saya dan suami singgah sekejap di Carrefour cari ATM nak keluarkan sedikit duit tapi ATM problem, berdekatan pasaraya ini turut diadakan sambutan tahun baru. Kemudian kami gerak memasuki bandar Klang mencari ATM, singgah dekat CIMB. Sempat juga kami meninjau... ada sambutan tahun baru (anjuran sebuah stesen swasta, dimonopoli oleh kaum Cina) berdekatan Masjid Diraja Klang yang cantik itu. Rasa sedih pun ada, apa boleh buat, ianya di luar kawalan kita. Haluan kenderaan berubah sedikit, nasib baik kami naik motor boleh cilok mencari jalan alternatif. Singgah sekejap di 99 Speedmart beli sedikit jajan dan minuman kotak teh bunga, air mineral.

Di i City, dekat deretan penjaja yang menjual makan minum, RM 1.50 harga untuk minuman asalnya RM 1, diringkaskan cerita lebih sedikit harganya berbanding harga standard pasar malam. Saya tidak melepaskan peluang mencuba pelbagai minuman dan makanan promosi percuma daripada penjual yang mengambil bahagian.

Biasalah tu, bermacam gelagat pengunjung yang dapat diperhatikan. Barangkali tanpa sedar, gelagat kami suami isteri juga turut diperhatikan oleh pemerhati yang lain yang juga memerhati orang lain (aik, berbelit pula dia ni bercakap).Kenyang kami makan asap, usai bunga api meletup di udara menayang megah kecantikannya... pengunjung berpusu-pusu keluar, padat, sendat dan sungguh sesak. Nasib baik kami sudah biasa dengan selok belok dekat I City, mudah sahaja kami suami isteri mencari jalan keluar yang lain daripada timbunan manusia itu. Jalan raya dimonopoli bukan sahaja kereta dan motor, malah basikal dan pejalan kaki. Ada yang menolak bayi menggunakan troller bersaing berdekatan bersebelahan dengan buntut kereta, tayar motosikal. Kanak-kanak ada yang sudah seksi, tinggal seluar sahaja bahana bahang kepanasan. Kenyang kami makan asap, dengan bergurau saya mengatakan kepada suami, asap motor kami itu dengan mudah dikalahkan oleh motor lain yang lebih ummph, hahaha...
 
Kempen berjalan rancak, melalui skrin besar di atas pentas di bawah bumbung putih. Saya melihat kedatangan pengunjung ke sana... lebih sibuk melayan karenah rakan dan famili masing-masing berbanding mendengar kempen, kecuali yang duduk di bawah bumbung tu, agaknya. Termasuk saya dan suami yang tujuan utama datang ke sana semata-mata hendak melihat bunga api. Bagi saya yang special berseri melalui aura penyanyi Nash dan bunga api, itu saja. Waktu-waktu begini jugalah kita dapat melihat ragam fesyen rambut dan pakaian muda mudi. Ada yang manis dipandang tidak kurang juga yang menyengat di pandangan. 

Sekadar menyampaikan pandangan, pendapat melalui apa yang dilihat secara 'live' di sana. Walaupun pengaruh parti politik begitu terserlah di sana, melalui bendera yang dipasang dan kempen yang lantang disuarakan... masing-masing datang dengan niat tersendiri. I City, Shah Alam di ambang hujung 2012 bagaikan magnet kuat menarik pengunjung melekat sama dengannya menyaksikan kehadiran 2013 atau seperti gula manis yang mengundang semut-semut menikmatinya.
 
Satu lagi perhimpunan yang tidak kurang hebatnya disebabkan pengaruh personaliti yang terlibat... berlangsung di Dataran Shah Alam. Tidak pula kami ke sana memandangkan I City lebih dekat dengan rumah, berjarak kurang setengah jam sahaja. Melalui facebook, perhimpunan di Dataran Shah Alam dikatakan pengisiannya dipenuhi dengan ceramah agama dan hanya laungan Allah hu Akbar, tidak ada laungan selamat tahun baru. Pun padat dan sendat dengan pengunjung pelbagai peringkat umur.
  
Masing-masing punya pilihan. Mengikut kebiasaan Barat, tahun baru bermula selepas 31 Disember setiap tahun, mengikut kalendar Islam - 1 Muharam. Di facebook ada yang mengatakan... kebanyakannya orang Islam yang lebih memeriahkan sambutan tahun baru mengikut acuan Barat berbanding tahun baru Islam itu sendiri, memang ada betul kata-katanya itu.
 
Ok, titik dahulu ceritanya kemudian sambung dengan cerita yang lainnya di lain waktu, tata...

 
 
 

No comments:

Post a Comment