Tuesday, May 15, 2012

HARGA KASIH SAYANG

Hargai ibu selagi mereka masih ada. Ucapan yang banyak ditulis di wall fb terutama sekali rakan-rakan yang telah kehilangan ibu mereka. Ada betulnya kata-kata ini kerana ibu kandung kita yang melahirkan kita hanya satu dan itu pasti, sampai saat seseorang itu ditalkinkan... si mati di bin/dibintikan dengan nama ibunya. (betulkan saya kalau saya tersilap). Bahkan seringkali juga kita diingatkan syurga itu di bawah telapak kaki ibu.

Oh, saya bukan hendak komen sesiapa cuma peringatan untuk diri saya sendiri. Menulis/menyatakan pendapat di personal blog berbeza dengan menulis pendapat di wall fb. Bagi saya tidak semua yang memiliki akaun fb akan sabar/sanggup membaca cerita/gambar di blog orang lain. Pemikiran mereka yang suka blogwalking sama ada menyapa atau tidak itu bagi saya berbeza dengan mereka yang berfb sahaja.

Hargai ibu bapa selagi mereka masih ada, setelah mereka tiada, tiada apa yang dapat kita lakukan lagi. Ada juga yang berkata seperti itu. Saya tidak setuju dengan kata-kata ini terutama sekali 'setelah mereka tiada, tiada apa yang dapat kita lakukan lagi'. Kita sering mendengar banyak mana pun harta kita, ianya tetap tidak dapat dikuburkan bersama setelah menghembuskan nafas terakhir. Hanya amalan menjadi teman di sana.

Kita disaran berbuat kebaikan terhadap kedua ibu bapa kita, bukan hanya semasa mereka hidup tetapi sepanjang hayat kita walaupun mereka mendahului kita. Maksud saya, kalau kita benar-benar menyayangi mereka, doa untuk kesejahteraan mereka di sana berterusan dihantarkan sama ada doa selepas kita bersolat di samping mengadakan kenduri doa dan tahlil. Dan... tidak termasuk mengusahakan harta peninggalan mereka ke arah yang sepatutnya. Di samping, upah haji misalnya sekiranya kita berkemampuan.

Di wall fb saya tahun lepas, saya nyatakan sajak berkaitan dengan kasih sayang ibu. Rupa-rupanya sajak itu membuatkan salah seorang rakan fb saya tersentuh dan di luar jangkaan dia meluahkan rasa rindunya terhadap arwah ibunya yang telah pergi. Rasa bersalah pula saya masa tu, menyesal pun ada, sekadar suka-suka saja tu publish sajak tersebut sebenarnya. Walaupun sukar, saya balas komennya dengan menyatakan teruskan berdoa untuk arwah ibunya kerana kekuatan doa itu mampu merentas alam dan masa. Dia membalas dengan menyatakan dia baru sahaja mengadakan majlis tahlil untuk arwah ibunya pada malam Khamis sebelum itu. Menitis air mata saya membaca komennya.

Tahun ini saya tidak menulis apa-apa di wall fb berkaitan Hari Ibu, saya cuma menukar profile picture, gambar berdua dengan mama yang terkini, diambil sewaktu mama berkunjung ke sini baru-baru ini. Tambahan pula saya terbaca asal-usul perayaan Hari Ibu. Bagi saya terpulang kepada niat masing-masing menzahirkan kasih sayang mereka terhadap ibu masing-masing, mustahil kita hendak menyatakan rasa kasih sayang kita kepada perkara yang tidak berkaitan. Kalau sepuluh orang memakai cermin mata berlainan warna tetapi memandang bangunan yang sama, sudah tentu pandangan mereka berbeza. Hanya setelah sepuluh orang itu membuka kaca mata masing-masing... barulah warna sebenar bangunan itu diketahui. (sekadar tamsilan)

Saya petik kata-kata dari sebuah page dari Indonesia - Hargai kedua ibu bapamu semasa mereka masih ada, kerana setelah mereka pergi barulah kau tahu betapa kerasnya hidup ini - betul dan saya setuju kerana saya telah mengalaminya. Maksud saya pemergian arwah bapa kami Oktober tahun lepas, membuka mata dan minda saya menjadi lebih dewasa dan berfikir matang bahawa realiti kehidupan ini praktikalnya lebih besar berbanding teori.

Rasa syukur juga impian saya melihat kedua ibu bapa saya menjejakkan kaki ke sini tercapai, cuma masa sahaja yang berlainan... semuanya berlaku di dalam kawalanNya, kita hanya merancang Allah menentukan. Harga kasih sayang terlalu mahal, tidak dapat diukur dengan wang dan emas. Lebih mahal dan penuh makna sekiranya didasari dengan nilai-nilai agama. Buat peringatan untuk diri saya sendiri.

salam sayang,
monalizahrais






 

No comments:

Post a Comment