Monday, May 7, 2012

ALHAMDULILLAH

Assalamualaikum dan selamat petang ke hadapan sahabatku Nong yang sudah lama tidak berjumpa ya, tanpaku sangka rupa-rupanya kita berjumpa akhirnya di laman sesawang. Oh ya, kau ada bertanya dengan saya tentang reaksi mama saya sepanjang dia berada di KL to Klang. Katamu lagi Nong, kau juga akan membawa mamamu datang ke tempatmu untuk pertama kalinya, sama seperti kami.

Biarlah saya ceritakan seadanya. Mama selamat sampai di LCCT  sebaik sahaja 'Encik Hari' memasuki fasa Maghrib. Tarikhnya 22 April 2012 bersamaan hari Ahad. Saya dan Angelo sudah tercegat gembira menunggu di pintu ketibaan domestik memanjang-manjangkan leher mengintai mama. Adik saya dan bakal tunangnya pada masa itu sedang asyik control gelisah, maklumlah kan Nong... mama dijemput khas datang ke sini untuk tujuan meminang si buah hati adik saya. Cuba kau bayangkan perasaan mereka berdua berhadapan dengan mama kami. Puas saya dan Angelo mengusik mereka.

Sudah tentu mama mengalami kejutan budaya - makanan dan cuaca terutamanya. Kami seboleh mungkin cuba memberikan yang terbaik untuk mama, terpenting sekali mama gembira dan selesa. Berikut adalah antara reaksi mama sepanjang berada di sini, sekadar berkongsi cerita sekurang-kurangnya nanti Nong sebaik sahaja mamamu sampai di KL nanti... Nong akan lebih bersedia berhadapan dengan reaksi mamamu nanti.

Mama mengatakan dia tidak tahan/jemu makan ayam setiap hari, dia juga hairan kenapa semua masakan sama ada lauk atau sayur mesti ada ladanya/ cili/pedas. Dengan berseloroh saya menjawab, memang macam tu mak, kalau boleh dalam minuman ditaruh lada mangkali sudah lama dibuat begitu... hehe. Mama cakap kenapalah di KL ini panas sangat, panasnya berlainan dengan panas di Sandakan. Mama sentiasa dahaga dan dahaga. Kami dulupun macam tu juga mak, masa mula-mula sampai di sini, balas saya. Sudah tentu suhu berlainan maklumlahkan Nong, KL ini hutan batunya melebihi hutan sebenar. Kalau di tempat kita, puas sudah tengok hutan betul dan selalu terbayangkan hutan batu. 

Malam pertama mama di Kuala Lumpur, kami mengingatkannya waktu Subuh sekian jam... waktu solat di sini lewat sejam berbanding di kampung kita. Kata mama saya lagi, kalaulah bukan rezeki anak... belum tentu lagi dia dapat jejak kaki ke sini. Semuanya di luar perancangan, tetapi Nong, kita juga tahu bahawa Allah jua sebaik-baik perancang kan.  

Tambah mama lagi... datang untuk jalan-jalan tengok anak-anak di sini, dia sanggup jugalah untuk beberapa minggu barangkali paling lama pun sebulan... tapi kalau datang memang untuk menetap di sini bersama anak-anak, dia tak sanggup sebabnya tidak ada tanah untuk bercucuk tanam dan tidak ada kawan sebayanya untuk bersembang. Sukar untuk dia memahami apa yang diperkatakan oleh orang-orang di sini, maksudnya cakap semenanjung.

Dua tiga hari berada di sini kan Nong, awal-awal lagi selepas solat Subuh mama sudah call rumah di pkt 6 Sandakan bertanyakan khabar anak, menantu dan cucu. Cucu pertama Mohd Hanif pun pandai bersembang dengan neneknya dalam telefon... tapi yang lucunya anak kecil itu tidaklah kami fahami apa yang diperkatakannya, dia masih pelat lagi percakapannya. Baru setahun lebih bah Nong.Sehinggalah menghampiri dua minggu mama berada di sini, anak kecil itu tidak henti-henti memanggil nenek, nenek, nenek dan nenek berulangkali... sehingga menangis, mungkin kerana anak kecil itu merindui mama.

Biarlah saya bercerita momen yang agak sentimental sedikit. Mama mengatakan dia terharu dan tidak menyangka dapat menunaikan solat fardhu di Masjid Putra, Putrajaya dan Masjid As-Syakirin, KLCC. Kenapa jadi macam tu? Sebabnya Nong sekali lagi dia tidak menyangka akan dapat menjejakkan kaki di bumi Semenanjung ini. Bertambah sentimental lagi, sebenarnya tahun 2004 sewaktu saya konvokesyen di UM dahulu... saya pun baru teringat saya pernah membawa arwah ayah saya bersolat di masjid As-Syakirin, KLCC dan siapa sangka kali kedua saya memasuki Masjid As-Syakirin, KLCC ini dengan mak saya. Mama juga tidak menyangka akhirnya dia melihat dengan mata kepalanya sendiri tempat saya tinggal dahulu di Vista Angkasa dan Flat PKNS 17 tingkat. Dahulunya mama cuma menulis alamat Vista Angkasa itu... kini di hadapannya tertera alamat itu di pintu masuk ke Vista.

Sesuatu yang saya harap-harapkan akhirnya dengan izinNya di lafazkan juga oleh mama saya. Tanpa ditanya mama mengatakan selepas ini dia tidak akan menghalang malah menyokong penuh ketiga-tiga adik kami yang masih bersekolah itu untuk menyambung pelajaran di peringkat tertinggi di Semenanjung Malaysia ini. Dahulunya Nong... mama sentiasa mengatakan biarlah tiga semperiding besar itu belajar dan bekerja di Sabah sahaja. 

Oh ya,lagi satu saya, adik saya dan tunangnya dapat membawa mama saya berjalan-jalan di PWTC apalagi kalau bukan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Mama membeli juga beberapa buku agama dan ada beberapa buku juga untuk adik Didangdut. Acara bergambar tidak ketinggalan. Gambar mama sempat kami abadikan di stesen-stesen LRT, sekitar KL Sentral , TM, I-City, KLCC, Putrajaya, Petaling Street, Mid Valley, Sogo (adik saya dan tunangnya membawa mak terus ke Sogo selepas dari PWTC dan saya tidak ikut dengan diorang sebabnya masih belum puas bercanda dengan buku) dan Mydin Mall.

Mama gembira sepanjang berada di sini, dia seronok shopping tudung, jubah malah buah tangan untuk anak menantu cucu di Sabah, sampai overload begnya sewaktu check -in di airport time balik semula ke Sandakan.

Bukannya apa Nong... kau tahu juga kan orang tua kita ni lahir dan membesar dalam lingkungan adat resam, sukar untuk menerima sesuatu yang berbeza di luar acuan kehidupan mereka. Pengalaman dua minggu berada di sini sedikit sebanyak mungkin menggambarkan sesuatu yang berbeza, gambaran kebaikan hasil dari proses 'hijrah' yang saya dan adik saya alami sama ada melalui kerjaya, pendidikan dan perkahwinan.

Sewaktu saya telefon mama bertanyakan perihalnya setelah dia balik semula ke Sandakan... kata mama sebaik sahaja dia melepasi pemeriksaan imigresen dan sampai di P6, tiba-tiba mama macam mau keluar semula melihat kami, dia rasa sedih dan terharu meninggalkan kami. Saya tidak terkejut mendengar itu kerana Nong pun tahu kan, kita sudah mengalami perasaan itu berulangkali setiap kali kita menaiki kapal terbang. Yang lucunya Nong, anak kecil Mohd Hanif itu tidak mempedulikan mama saya sehari semalam kemudian barulah dia bermanja semula dengan neneknya, hahaha... merajuk dia sekejap ditinggalkan neneknya.

Begitulah cerita saya Nong... diharap perkongsian ini mendatangkan manfaat buatmu. Bah saya noktahkan dulu di sini ya, mau masak untuk makan malam dulu ni. Lain kali sambung lagi, bagus-bagus saja Nong di sana.

salam sayang,
monalizahrais



****catatan original dan terpelihara by monalizahrais...
















































































































No comments:

Post a Comment