Thursday, May 17, 2012

ASSALAMUALAIKUM DAN SELAMAT PAGI CIKGU !

Sebaik sahaja cikgu masuk ke kelas... itulah antara ucapan beramai-ramai yang kedengaran. Dan sesudah kelas berakhir, sekali lagi kami akan berdiri dan mengucapkan TERIMA KASIH CIKGU !, diketuai oleh ketua kelas atau dalam bahasa Arabnya Ra e sul Fasli. Yang seronoknya di fb akan ada waktu meriahnya kan, dengan bermacam jenis ucapan yang ditulis paparkan di wall masing-masing. Yalah, sendiri punya fb sendiri punya suka hatilah hendak tulis apapun.

Tidak terkecuali Hari Guru 16 Mei. Banyak juga rakan sekelas saya menjadi warga pendidik. Semoga rakan-rakan dan guru-guru saya yang terdahulu tabah, sabar dan sentiasa bersemangat menjalankan amanah mendidik anak bangsa. Malah sekiranya mereka ikhlas menunaikan tanggungjawab ini, 'saham akhirat' mereka merupakan satu bonus yang tidak ada pada kebanyakan orang lain. Pun begitu, apapun kerja yang kita lakukan ianya tuntutan ibadah sebagai nilai dan tiket menambah pahala serta amal jariah.

Tafsir guru tidak terhad kepada mereka yang bekerja secara rasmi di jabatan pendidikan. Apabila seseorang mengajar orang lain sesuatu ilmu yang bermanfaat dan ianya diajarkan kepada orang lain pula, bagi saya itupun dipanggil guru. Cuma ianya mungkin tidak famous seperti kebanyakan tanggapan kita terhadap guru-guru di sekolah.

Sering kita mendengar perkataan 'sifu' kalau kita selalu tengok wayang/ drama Cina terutama sekali yang ada aksi kungfu. Bahkan dalam sesetengah program masakan Cina... kadang-kadang pengacara akan memanggil chef yang terlibat dengan gelaran sifu.
Sekarang di TV3 sedang ditayangkan drama adaptasi dari novel Seindah Sakura. Melihat gelagat Fahrin yang sentiasa mencari kesalahan Fasha (Shakira) membuatkan saya tersenyum sendiri dan teringat kisah saya semasa remaja dulu. 

Ada seorang cikgu biarlah saya namakan dia cikgu XYZ. Saya tinggal di asrama sepanjang saya berada di sekolah menengah. Ada sekali tu saya sakit mata, jadi dapatlah excuse tidak datang kelas dan duduk dalam bilik sahaja. Cikgu XYZ tidak ada kena mengena dengan hal ehwal asrama tetapi kadang-kadang dia terlebih prihatin, mengikut pandangan sayalah. Saya menjadi perhatiannya selama beberapa tahun dan saya sungguh rimas dengan situasi ini, saya benar-benar tidak selesa, tidak suka setiap kali berhadapan dengan cikgu XYZ.

Cikgu XYZ datang ke asrama meronda sekeliling asrama perempuan melihat kalau-kalau ada pelajar ponteng, secara kebetulan dia terserempak dengan saya yang baru keluar dari bilik mandi. Sudah tentulah saya 'disoalsiasat' kenapa tidak datang sekolah sedangkan terang bersuluh mata saya merah bengkak siap bertahi mata lagi. Sebelum itu pengetua sudah meronda asrama dan tahu perihal tentang saya, begitu juga dengan warden asrama. Menjadi kesalahan sekiranya berada di kawasan asrama sewaktu sesi persekolahan berlangsung, kecuali atas sebab-sebab tertentu.

Saya seringkali menjadi perhatiannya, sering dicari juga oleh cikgu XYZ ini padahal dia tidak pernah mengajar di kelas saya. Itulah yang menghairankan saya, dan saya tidak ada jawapan kepada kemusykilan ini, saya sering tertanya apa kesalahan saya dan apa sebenarnya yang saya telah lakukan sehingga mengundang perhatian cikgu XYZ terhadap saya, pada masa itu.

Kemuncak perasaan saya itu sewaktu saya dan rakan-rakan mengisi borang memasuki universiti. Kebanyakan pelajar akan meminta nasihat dengan cikgu XYZ kerana dia berada di kawasan sekolah di luar waktu persekolahan. Termasuklah saya sendiri, walaupun risau apa reaksinya sebaik sahaja berjumpa cikgu XYZ, tayang keputusan STPM sekali dengan pilihan kursus yang relevan di mata saya. 

Diringkaskan cerita... cikgu XYZ mengatakan bermacam perkara menyakitkan yang tidak sepatutnya diucapkan oleh seorang guru. Dia mengatakan saya tidak akan berjaya dalam hidup dengan keputusan yang saya ada, pilihan universiti yang saya pilih itu katanya akan menolak bulat-bulat permohonan saya, katanya saya tidak layak untuk masuk UM, malah tidak layak untuk masuk mana-mana universiti pun! Terkejut, kecewa dan rasa hendak menangis dilayan seperti itu. Dalam hati saya, bukan cikgu XYZ yang menentukan saya hendak masuk ke mana-mana universiti. Sudahnya saya berjumpa secara personal dengan seorang lagi cikgu yang tidak ada kaitan dengan urusan permohonan masuk ke IPT, malah dari aliran berbeza. Saya suka peribadi cikgu yang lagi satu ini. Dia memberikan nasihat yang saya masih ingat sehingga ke hari ini. Terima kasih cikgu SN di atas nasihat itu.

Saya diterima masuk UM dan berjaya menamatkan pengajian. Semuanya sudah berlalu, dendam tu tidaklah terhadap cikgu XYZ, jumpa di mana-mana pun saya tetap layan seadanya cikgu XYZ tu cuma tidak semesra orang lain. Lucunya saya ada add cikgu XYZ di fb, tetapi tidak diaccept, akhirnya saya cancel saja friend request tu. Tidak mahu memikirkan yang bukan-bukan, sekarang saya dan cikgu XYZ sama-sama berada di alam realiti kehidupan, dia terus berbakti di institusi pendidikan dan saya bekerja sendiri. Di usia ini, kenangan lalu itu sesekali akan terjelma juga di ingatan kan. Macam parut jugalah, setiap kali kita memandang parut itu, kita kan teringat kesakitan yang pernah kita alami dahulunya dan kadang-kadang ianya membuat kita tersenyum sendirian.

 



 





 

No comments:

Post a Comment