Wednesday, June 13, 2012

NAIK HAJI

Jom cerita tentang naik haji pula, lambat lagi waktunya sekarang baru bulan Jun cuma teringat perbualan dengan suami suatu ketika dahulu berkaitan dengan ibadat haji ini. Kami berceritalah membayangkan macam mana agaknya reaksi kami suami isteri sekiranya kami diberi kesempatan menunaikan haji.
 
Adik beradik suami banyak yang bermastautin di Filipina. Hanya suami dan dua orang kakaknya sahaja menetap di Sabah, dan suami akhirnya bekerja dan menetap di sini bersama sayalah tu. Al kisahnya dulu-dulu arwah bapa mertua saya ni berdagang ada kapal sendiri membeli bekalan dari Sabah menjualnya semula di Filipina.  Tetapi tidak ada seorang pun anaknya yang mengikuti jejak langkahnya sehingga ke hari ini. Nasib baik ada seorang menantu lelakinya yang meneruskan legasi perniagaannya itu, tapi itupun modal ahli keluarga menantu lelakinya sendiri... berulang-alik dari Zamboanga - Sandakan.
 
Arwah bapa mertua seorang yang berpandangan jauh... kesemua anaknya dibuatkannya kad pengenalan dan diberi pilihan sama ada hendak menetap di Sabah ataupun di negara asal. Tahun 70-an dulu bukan macam sekarang proses membuat kad pengenalan tidak sesukar mana. Sekarang pun tidaklah sesukar mana kecuali dokumen mak bapa si pemohon meragukan/tiada, ada yang memerlukan  proses angkat sumpah di mahkamah ataupun kena tunggu lama, banyak yang perlu diteliti.
 
Mereka adik beradik masing-masing menjalani kehidupan berbeza, ada yang menetap di sana dan yang lain bermastautin di sini dipengaruhi juga oleh jodoh masing-masing. Itu yang jadi macam tu. Memandangkan suami saya anak bongsu dari lapan beradik, sudah tentu pemikiran dan pendapat malah jati dirinya masih kuat lagi pengaruh elemen orang sana sekalipun lahir, membesar, mendapat pendidikan dan bekerja di Malaysia.
 
Tentang ibadat haji itu pula, saya dan suami ada sedikit perbezaan pendapat. Dia mengatakan ada baiknya kami berdua menunaikan haji dari Filipina, di sana tidak terikat dengan isu kouta, giliran tahun. Ditambah lagi ada antara ahli keluarga yang selalu berulang alik ke negara Arab atas urusan perniagaan juga.
 
Saya tidak setuju... sebabnya saya dilahir dan membesar di bumi Malaysia, belajar sehingga ke peringkat ijazah di sini, jati diri saya begitu sebati dengan negara ini. Perkhidmatan haji dari Malaysia antara yang terbaik di dunia.  Isu kouta dan giliran itu hanyalah satu ketetapan kerajaan Malaysia, rezeki menunaikan haji kalau memang kita sudah menjadi insan terpilih...Insya Allah akan berpihak kepada kita.

Hujah kuat saya , kita sama-sama pemegang kad pengenalan Malaysia... kenapa perlu susah payah melalui jalan yang tidak kita biasa. Apa guna semua kemudahan yang disediakan oleh Tabung Haji, bukankah untuk memudahkan urusan di tanah suci Mekah dan Madinah?

Berapa ramai malah tidak terkira jumlahnya, warga Filipina yang sanggup bergadai nyawa merentas Laut Sulu bahkan menjadi pendatang asing memperjudikan nasib di bumi Sandakan? Itu contoh terdekat. Bukan memandang rendah, tapi segala kesenangan, hak menjadi rakyat lebih baik berkali ganda berbanding rakyat negara Filipina. Kenapa arwah bapa mertua saya sanggup merentas laut berulang alik dari Pulau Banggi pada ketika itu menuju Zamboanga? 
 
Kerana sekalipun taruhannya lautan luas yang selalu tidak terjangka cuacanya, tapi hasil berniaga cukup lumayan dan menyedari/ memikirkan masa hadapan anak-anaknya setelah dia tiada nanti... atas sebab inilah arwah bapa mertua saya berusaha mendapatkan kad pengenalan untuk anak-anaknya (dengan cara yang sahih tentunya sebab ada kaitan keluarga dengan Almarhum Tun Datu Mustapha)
 
Bersyukur sebenarnya kerana lahir di bumi bertuah ini, negara kita dikelilingi negara lain yang tidak stabil politik dan ekonominya ( kecuali Brunei dan Singapore) malah kemudahan menunaikan ibadat haji terbuka luas, semua maklumat berkaitan haji mudah diperolehi. 

Senario politik di negara ini walaupun penuh warna warni... tetapi tidaklah seteruk di negara luar. Kita masih selesa bergerak di tempat awam, berbanding di Filipina ada tempat tertentu penduduknya membawa senapang, M-16...  seperti kita membawa I phone 4s, DSLR, galaxy tab, setiap kali keluar rumah. Hiasan di rumah kita lukisan pemandangan, bermacam bunga digubah letak di pasu... tapi hiasan dinding rumah di sana senjata api, senang untuk dicapai untuk mempertahankan diri.

Kita di sini mengadakan majlis kahwin dan mendengar suara paluan kompang... tapi di sana ada pasangan pengantin diiringi dengan pasukan bersenjata yang diupah khas untuk menjaga ketenteraman majlis.
 
Atas sebab-sebab inilah saya mengatakan kepada suami kalau hendak menunaikan haji... gunakan saja kemudahan di sini, kita bukan memegang passport Filipina tapi kita rakyat negara ini yang sah, dilahir dan membesar, mendapat pendidikan  dan bekerja di sini. Inilah kehidupan kita... kisah orang tua nenek moyang kita terdahulu biarlah kekal dijadikan iktibar... itu perjuangan mereka supaya generasi seterusnya mendapat kehidupan lebih baik berbanding mereka.
 
Sesekali menjenguk keluarga di sana, bercuti meluangkan masa sambil berjalan-jalan menikmati keindahan alam, meratah makanan laut segar... ok lah tu.



No comments:

Post a Comment