Monday, June 4, 2012

CUACA

Tidak senang tidur dibuatnya. Panas membahang, hendak buka tingkap bimbang pula masuk binatang yang tidak diingini. Sudahnya saya dan suami tidur di ruang tamu, atas tikar dan bantal sahaja tanpa selimut. Sekarang pun tengah hari panasnya bukan alang-alang. Tempat kami tinggal ni kalau sudah musim panas, kita sering ternampak biawak berkeliaran, tidaklah selalu tapi agaknya mungkin sebab tempat tinggalnya sudah semakin botak dan kering, jadi memang tak berani sesuka hati buka pintu dapur walaupun untuk menjemur baju. Katak? pun begitu juga.
 
Pengalaman lepas seekor biawak, anak biawak sebenarnya sepanjang +- hujung jari tengah ke siku termasuk di lubang tandas kami. Entah dari mana sebenarnya dia termasuk sama ada melalui pintu dapur ataupun melalui sebuah lagi lubang berhampiran tandas. Rentetan insiden biawak itu membuatkan tuan rumah memagar/menjaring lubang berdekatan tandas dan saya pun hanya buka pintu dapur hanya untuk tujuan membersihkan halaman belakang dan menjemur baju.
Dahulunya saya sering biarkan pintu dapur terbuka begitu sahaja. Kini, langsir hijau menggantikan langsir terdahulu yang berwarna kuning diraja itu banyak membantu meredupkan/ menyejukkan rumah kami.
 
Di kampung halaman saya di Sabah kalau sudah musim kemarau selalunya ular lidi yang kecik-kecik itu akan melompat di rumah dapur malah sering juga ternampak di tandas dan bilik mandi. Faham-faham sajalah kan rumah kampung biasanya dikelilingi pokok-pokok buah-buahan. Nasib baiklah juga kucing-kucing di rumah sana tu 'sangat prihatin'... sebabnya kehadiran ular lidi ini akan 'diusir' oleh kucing-kucing kampung ini.
 
Semalam saya call mak di kampung bertanyakan khabar dan rumah dapur yang sedang melalui proses renovation termasuklah tandas dan bilik mandi. Sebelum ini cuma ada satu bilik mandi dan dua tandas. Menurut mak renovation kali ini akan ditambah lagi satu bilik mandi dan dua tandas dikekalkan, bilik mandi dan tandas akan diupgrade, dicantikkan, ditambah batu bata, disimen lantainya, dirapatkan dinding ditambah jaring untuk laluan peredaran udara malah dapat mengelakkan ular lidi dan binatang yang lainnya tersesat di tandas dan bilik air.
 
Batang paip besar kecik sudah siap dipasang di kampung kami, memanglah berkait rapat dengan politik tapi lantaklah diorang berpolitik macam mana pun, terpenting sekali kemudahan air yang sudah lama ditunggu-tunggu ini akan cepat siap sepenuhnya. Sebelum ini selain alternatif air hujan... kolam yang digali dan dinaikkan airnya menggunakan enjin untuk keperluan domestik - mandi, basuh pakaian, basuh kereta, tandas.
 
Pada bahagian pelantaran dapur pula, mama cakap akan dikuatkan tiang dan rangka yang menyokong papan lantai menggunakan kayu belian. Di sinilah akan ditempatkan rak-rak pinggan mangkuk dan mesin basuh. Rumah kami kalau bab basuh pinggan macam ala-ala restoran gitu terutama sekali sewaktu Hari Raya sebabnya bermacam jenis 'rakyat jelata' akan berkumpul... malah di pelantaran ini jugalah saya selalu buat aktiviti BBQ - sayap ayam dan ikan bakar, bukan hanya saya malah adik beradik yang lain pun kemaruk juga bab BBQ ini. 
 
Malah aktiviti masak memasak jenis kawah besar seperti rendang, kari dan bubur lambuk juga di pelantaran ini. Oh ya, sedikit petua yang mungkin berguna untuk acara BBQ. Arang kami nyalakan menggunakan biji sawit. Ketuk biji sawit yang separuh kering/kering kemudian cucuh kat api dan letak/selit di susunan arang. Asli dan kos untuk minyak tanah itu dapat dilepaskan, malah tidak berbau.

Itulah seronoknya menjadi anak kampung kan... walaupun bekerja/belajar di bandar besar peluang sesekali balik ke kampung halaman sentiasa dinantikan.
 
 
 
 

No comments:

Post a Comment