Wednesday, June 20, 2012

MULUT

Kredit gambar : Google
 
Kerana mulut badan binasa... betul betul betul (ajuk sekejap cakap upin ipin). Tahun lepas saya berhari raya di rumah si polan. Dia ni jenis berterus terang memang cakap tak de lapik langsung. Bukan niat saya hendak mengumpatnya tapi setelah bermalam di rumahnya beberapa hari dan mendengar ceritanya... bukannya saya tidak percaya ceritanya itu tapi saya berpendapat segala masalah yang diceritakannya itu bermula dari dirinya sendiri.
 
Sebabnya, saya sendiri tersinggung dengan kata-katanya, rasa lucu pun ya. Dia komplen kami suami isteri kononnya tidak berpenampilan menarik, selekeh. Berkali-kali dia menyuruh suami saya grooming rambut di salon, menyuruh saya makan itu ini untuk jaga badan seolah-olah saya ni badak sangat. Padahal anaknya lagi badak dari saya. Mulanya saya rasa marah tapi akhirnya saya hendak tergelak mendengar dia komplen kami suami isteri. Syukur Alhamdulillah saya mampu melihat dari sisi berlainan dan mengambil iktibar untuk diri saya sendiri. Hati kecil saya berbisik sendiri, padanlah dia kena santit/santau ... kalau jenis tak sayang mulut...
 
Sebaik sahaja dia mula membebel komplen macam-macam, mata saya melihat kondisi suaminya lebih teruk berbanding suami saya... suaminya seorang yang sangat sedih, sentiasa letih mudah tertidur di mana-mana sahaja walaupun setakat di bangku awam. Baju yang dipakai suaminya lusuh kotor seperti tidak berbasuh, rambut serabai. Anak lelakinya sekali pandang macam gangster dengan rambut kembang, bertindik di telinga, jeans koyak, berbau rokok dan arak. Anak perempuannya pula sentiasa tak cukup 'kain'.
 
Maaflah agak kasar sedikit, bayangkan kalau seseorang komplen kita tapi keadaannya lebih teruk dari kita... mestilah kita rasa lain macam kan, apahal dia cakap macam tu tapi dia sendiri pun tidak meyakinkan. 
 
Bercakaplah yang baik-baik sahaja atau lebih baik diam. Bagi kita mungkin ianya tidak apa-apa, sekadar pendapat tapi penerimaan dan pemahaman orang lain yang mendengar setiap patah kata kita itu tidak semestinya selaras dengan apa yang kita fikirkan. Ada yang tersinggung dan terus berdendam membalas secara halus. Ada juga yang bersifat sabar walaupun tersinggung. Manusia banyak ragamnya walaupun ahli keluarga kita sendiri. 
 
Salah faham sering terjadi. Kita fikir macam tu, dia fikir macam ni. Sebaiknya jangan cepat berprasangka buruk dan terus percaya dengan prarasa yang tidak pasti itu. Apapun bentuk perasaan yang berlegar dalam diri kita pada masa itu, tidak semestinya itu juga yang ada dalam fikiran orang lain walaupun mimik muka lebih kurang sama. (macam mana tu?)

Ada sekali saya berjumpa dengan seorang kawan. Dia hendak mempromosi barangan jualannya. Saya dan suami pun pergilah jumpa dia di restoran berdekatan rumah kami. Mula-mula bertanya khabar meleret kepada hal ehwal kampung halaman. Kami berdekatan kampung. Bual punya bual entah macam mana terbuka cerita tentang masjid baru yang didirikan di satu simpang. Rancak bercerita lagi sahut menyahut tetapi akhirnya kami tergelak sesama sendiri, sebabnya kami bercerita masjid yang berlainan tempat. Gambaran visual masjid dalam kepala kami berlainan walaupun topiknya sama iaitu masjid baru. Akhirnya kerana berlainan cerita ini, rupa-rupanya ada beberapa masjid baru didirikan di kawasan kami...  ingatkan satu sahaja.
 
Ada sekali hujung minggu, saya, suami dan adik hendak ke Mid Valley. Jadi kami pun pergilah ke sana menaiki kereta adik saya. Masa tu adik saya baru transfer KL tak tahu banyak jalan, jadi dia pun ambillah jalan yang dia tahu untuk ke Mid Valley. Rupa-rupanya kami parkir di The Garden yang bersebelahan dengan Mid Valley. Saya sendiri tidak perasan kami parkir di The Garden sehinggalah keluar dari kereta dan memasuki bangunan The Garden. Susah juga hendak dapat parkir sebabnya faham-faham sajalah hujung minggu, bukan hari bekerja dan kebanyakan pengunjung pasaraya mengambil kesempatan ini untuk berbelanja bersama keluarga.
 
Saya dengan spontan mengatakan kami perlu ke bangunan sebelah ke Mid Valley - tujuan asal kami ke sana. 'Kita dah salah masuk ni.' Selesai berkata seperti itu, adik saya terus berdiam diri dan riak mukanya tension, siap mengeluh lagi. Hairan juga melihat perubahannya itu, tadi ok je sekarang lain macam. 'Kau kenapa macam muka tension je?' Tanya saya.
 'Jadi kita kena balik semula ke kereta lepas tu keluar cari jalan lain pula menuju Mid Valley?' Oh, rupa-rupanya adik saya menyangka sebegitu sedangkan maksud saya lain. Tergelak juga saya... 'Tak payah, jalan kaki sajalah, kita cari saja 'jambatan' atau pintu keluar yang terus ke Mid Valley.' Barulah dia tersenyum-senyum.
 
Ok, kasi satu contoh lagi... masa di Sabah hari tu, saya berniat hendak memasak makanan untuk diberi kepada jemaah yang bersembahyang Jumaat. So... saya pun membelilah bahan-bahan mentah yang diperlukan - mee satu bundle, kicap, telur satu papan, bekas polistren, plastik, sayur... Al kisah sampailah hari yang ditunggu-tunggu. Pagi Jumaat itu awal lagi saya bangun mau masak mee. Tapi tiba-tiba mak saya mengatakan dia hendak ke bandar ada sedikit urusan... dan nampak gayanya dia jalan dengan adik saya sajalah. Hasrat hatinya hendak jalan sekali dengan saya tapi tak jadi sebabnya saya perlu masak mee goreng untuk jemaah di masjid.
 
Dan saya pun bergeraklah ke dapur hendak memulakan projek  mee goreng tu... tapi kemudiannya tak jadi masak, sebabnya? Bawang sudah habis dan minyak juga tinggal sedikit. macam mana hendak masak? Takkan kita bersedekah hentam keromo sahaja? Kalau ya pun agak-agak lah kan...Macam manalah aku tak perasan benda-benda penting ni? Rungut saya sendiri. Jadi... terpaksalah tangguh ke Jumaat minggu hadapannya.
 
Saya, mak dan seorang lagi adik pun berangkatlah ke bandar. Adik saya yang memandu kereta sepanjang perjalanan masam sahaja mukanya, mungkin bergaduh dengan isterinya, fikir kami. Saya dan mak tanya juga kenapa dia macam tu, gaduh dengan bini ke? Tapi adik saya jawab acuh tak acuh saja, dan riak mukanya kelat sepanjang  hari. Teruk juga diorang ni gaduh kot, fikir kami...
 
Menjelang tengah hari, urusan mak dah siap dan barang-barang yang saya perlukan pun sudah dibeli... dalam perjalanan pulang ke rumah telefon saya tiba-tiba berbunyi. Adik bongsu saya bertanya... 'Jadi ke buat mee goreng tu hari ini? Kakak XYZ tanya dia tak mau buat mee goreng untuk sedekah masjid tu, dia tak pandai masak banyak tu.'

'Oh, lupa pula aku bagitau kamu... mee goreng tu pospon minggu depan, enda jadi dibuat hari ni, enda cukup bahan-bahannya,' jelas saya. Barulah kelat muka adik saya yang tengah memandu itu hilang. Rupa-rupanya dia dan isterinya menyangka saya menyuruh adik ipar saya itu memasak mee goreng bagi pihak saya. Sampai di rumah saya menjelaskan hal sebenarnya, pagi itu saya tidak sempat maklumkan diorang di rumah sebabnya kelam kabut bersiap turun sekali dengan mak ke bandar.
 
Tanpa sedar kita telah membuatkan pihak lain terasa walaupun tidak ada sekelumit pun tujuan berbuat sedemikian... kerana jarang sekali fikiran kita sama aras dalam satu-satu masa. Apatah lagi tidak semua orang memiliki/kurang rasa empati -  berupaya menyelami apa yang sedang dirasai oleh orang lain. 


 
 
 
 
 
 
 


 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 


No comments:

Post a Comment