Friday, March 30, 2012

MAAF

Maaf ya kawan-kawan, lama saya di Sabah bermula hari pertama arwah bapa saya meninggal dunia tapi saya tidak bertemu dengan anda semua seperti sebelum ini setiap kali saya balik Sandakan. Sebabnya saya tidak mahu mendengar kata-kata ini : kita bercerita tentang arwah bapa saya, saya bersedih dan kawan-kawan saya ini memberikan kata-kata semangat. Itu semua yang selalu terjadi kepada kebanyakan orang dan saya tidak mahu terlibat dalam suasana itu.

Biarlah saya diam seketika mungkin selepas beberapa lama masa berlalu. Bukan bermakna saya melayan perasaan sedih saya itu tapi seperti selalu saya dapat menduga apa yang hendak dikatakan orang kepada saya...jadi, biarlah itu semua berlalu. Saya sudah lama bersedia dengan jangkaan tersebut beberapa bulan sebelum arwah bapa kami meninggal dunia. Saya sudah memujuk diri sendiri berdoa bertawakal kepada Yang Maha Esa.

Saya selalu bermimpi arwah bapa kami akan meninggal dunia beberapa bulan sebelum pemergiannya. Tapi saya tidak menceritakan kepada sesiapa, setiap kali bermimpi tentang itu...hanya doa dan berserah/ redha dengan ketentuan-Nya. Setiap yang bernyawa ada titik akhirnya. Itu pasti dan itu juga lumrah kehidupan.

Emak saya selalu terlibat dengan proses memandikan jenazah. Walaupun dalam skala kecil hanya di kawasan kampung halaman kami sahaja. Selalunya beberapa hari sebelum berlaku kematian, emak saya akan dapat merasakan tanda-tanda seperti belakang lehernya kebas, tidurnya seperti ada orang yang memanggil, tangannya gatal.

Saya pernah terbaca di sebuah akhbar tempatan kisah seorang pegawai penjara yang tugasnya menggantung pesalah di tali gantung juga mengalami tanda-tanda seperti mak saya itu. Ilmu bersifat sangat luas kan. Setiap yang bergelar manusia ada kekurangan dan kelebihannya.

Tulisan ini ditujukan kepada rakan-rakan rapat saya seperti Haryati dan Jun. InsyaAllah lain kali balik Sabah saya akan jumpa kamu...Tidak lupa juga Cikgu Ali Rahman...ada masa saya akan datang jumpa cikgu..seperti biasa kita bercerita dan saling bertukar pendapat.

No comments:

Post a Comment