Assalamualaikum...
Saya bukan peminat kek, tapi kalau ada depan mata terhidang...ngap jugalah, suami pula peminat coklat sangat-sangat bertentangan dengan selera saya. Kalau kami membeli coklat...saya cuma makan 1/10 daripada petak-petak coklat tersebut. Bayangkan! Betapa saya bukan peminat coklat, tapi tidak pula membencinya.
Bulan Oktober lepas harijadi suami... tiba-tiba saya terfikir hendak masak sesuatu yang berlainan yang penting kesukaan suami. Entah macammana boleh terfikir hendak membuat kek coklat kukus...setelah google dan merayau-rayau di laman maya...bermacam jenis kek coklat kukus...sebab saya tiada oven tu yang cari resepi kek kukus.
Saya pilih yang paling senang dibuat mengikut kemampuan saya memasaknya, hehehe...
Alhamdulillah menjadi juga kek coklat ini, kek PERTAMA yang saya buat seumur hidup ini tau! Siap bawa ke tempat kerja lagi.
Mengimbas zaman kanak-kanak...ketika saya berumur +- 4 tahun ke sekolah rendah...emak selalu buat berbelas-belas jenis biskut raya...saya yang tak tahu apa-apa ketika itu turut membantu emak menyiapkan biskut-biskut rayanya seperti pam biskut, menggentel kuih siput, menjaga oven yang sedang membakar biskut makmur di dalamnya (kami guna oven yang letak atas dapur gas jenama Butterfly) dan menyusun biskut dalam balang.
Tetapi akhirnya saya tidak berminat membuat biskut raya...semakin dewasa saya cenderung kepada masakan lauk-pauk dan nasi, padahal emak saya jarang sekali mengajar saya aneka lauk pauk dan nasi. Orang dulu-dulu dia takkan panggil kita dan ajar satu, satu tentang sesuatu resepi...kebanyakannya kita belajar melalui pemerhatian dan pengamatan sahaja, atau ketika aktiviti rewang. Malah setelah saya berkahwin barulah saya menyiang ikan lebih kerap berbanding zaman remaja/bujang saya, arwah bapa yang akan menyiang ikan atau memotong ayam dan daging di rumah.
Sepanjang sekolah menengah/ketika remaja lagilah saya tak tahu bab-bab dapur, saya tahu makan sahaja, semua emak yang sediakan tambahan pula saya duduk asrama lagilah tak tahu apa-apa, goreng ikan pun terkial-kial, itu kisah dahulu...setelah menyewa rumah ketika belajar di UM... saya belajar selok belok dapur, belajar memasak nasi dan bermacam lauk-pauk dengan housemate yang kebetulan asal Kelantan, Terengganu, Kedah, Pahang...ditambah lagi mereka ini orang yang pakar tentang masakan negeri masing-masing dan gemar memasak! So..kitapun terkena tempiasnya.
Ok, masa untuk U-turn kepada cerita kek coklat kukus...hehehe panjang pula saya merapu merepek ya? Jom layan gambar...
Pertama sekali siapkan periuk kukus dan didihkan airnya. Sementara itu kita gaul bahan-bahan untuk membuat kek coklat kukus ini. Saya kukus guna periuk nasi. Mengikut dapatan di internet...guna minyak jagung lagi best tapi saya guna bahan apa yang ada dulu. Mungkin di lain kali try guna minyak jagung. Wah...minyak jagung jenama Daisy tu boleh tahan juga harganya kan... patutlah orang jual kek coklat lembap kukus mahal harganya.
Saya merujuk kepada banyak blog tidak ada yang khusus...setelah difikir-fikir yang mana senang dibuat...jadilah entri ini...so susah nak letak rujukan dari blog mana saya ambil resepi ini, semuanya saya lihat dan pilih secara rawak saja.
Bahan A (Campurkan semuanya kemudian kacau sehingga sebati di atas api yang sederhana atau double boiler sehingga hampir-hampir mendidih dan angkat)
2 cawan serbuk koko
1 cawan gula pasir
2 cawan susu sejat
1 cawan minyak masak
1 cawan susu pekat
Bahan B (dipukul)
Telur 4 biji (saiz medium) atau 3 biji (saiz besar)
sedikit vanila
Bahan C
Tepung 'self raising flour' (2 cawan)
Seterusnya Bahan A + Bahan B + Bahan C = kukus selama +- sejam kalau guna loyang atau 15 minit kalau guna acuan cup cake. Tutup tudung periuk dengan aluminium foil atau tuala lembap supaya wap air tak jatuh atas permukaan kek jadinya cantik jer permukaannya tidak merekah. Tapi saya tak buat, untuk makan sendiri bukannya dijual, hahaa...
Ganache/topping (double boiler atau atas api pun ok janji kawal api)
Coklat masakan patah-patahkan
Susu cair
Butter
Sedikit minyak supaya kek nampak shining (ikut suka)
Selepas tuang topping, hias guna coklat rice/gula-gula atau apa-apa hiasan yang digemari.
Ok, siap!
love,
mr
kapar klang
24/11/2014
No comments:
Post a Comment