Sunday, July 15, 2012

PENYENGAT

Assalamualaikum, malam ini hujung minggu dan esok Isnin permulaan hari bekerja untuk minggu yang baharu, InsyaAllah hujung minggu akan datang bermulalah bulan yang ditunggu-tunggu apalagi kalau bukan bulan mulia - Ramadhan. Akan munculnya bermacam jenis juadah berbuka puasa bermula dari manisan ke pelbagai jenis nasi dan lauk pauk. Tanya diri sendiri hendak berpuasa dan berbuka puasa melalui cara yang bagaimana menjadi pilihan. Tidak termasuk pilihan bermacam pakaian raya bermula dari yang sekecil-kecil aksesori sehingga yang menyaluti tubuh badan menjadikan kaum wanita terutamanya, rambang mata dibuatnya. Terpenting sekali... asalkan tidak terkeluar daripada lingkungan kemampuan belanjawan kita. Ikut nafsu memang hendak beli semuanya walaupun tidak semua bersesuaian dengan diri sendiri. Ingatan untuk diri saya terlebih dahulu, pastinya.
Tajuk cerita penyengat tapi pendahuluan cerita langsung tidak berkaitan dengan tajuk, hehehe...tersengih-sengih sekejap. Sebetulnya macam ini ceritanya... beberapa minggu lepas saya berhasrat hendak membersihkan tingkap dan pintu rumah. Pintu rumah masuk senarai juga sama seperti tingkap, sebabnya pintu rumah dicat dengan warna seperti ulas buah durian, sudah tentu terang nyata habuk yang terkumpul di pintu, apatah lagi tingkap kaca yang sudah kurang serinya itu. Kita kadang-kadang sibuk mendandan diri sendiri sehingga terlupa mendandan rumah yang kita diami. Kipas siling, sawang, mop lantai, cuci tandas dan bilik air, sapu longkang... suami saya selalu bersihkan ini. Menyapu, masak dan basuh pinggan, kipas meja, basuh baju, lap tingkap dan pintu rumah... saya yang selalu buat ini. Tapi itu bukanlah muktamad sepanjang masa, tapi kecenderungan kami masing-masing membuat kerja-kerja pembersihan itu.
Disebabkan sibuk dan penat, tertangguh lagi kerja lap tingkap dan pintu rumah itu. Hinggalah pada satu malam saya bermimpi... sekumpulan penyengat dalam kumpulan besar terbang menuju ke rumah kami, tapi tersekat di luar rumah tak dapat masuk ke dalam. Bangun dari tidur saya melihat tingkap dan pintu rumah... betapa banyaknya habuk terkumpul terperap di situ. Malu dengan diri sendiri, saya tangguhkan kerja yang lain dan terus belasah bersihkan tingkap dan pintu rumah. Saya tidak mahu terlalu berfikir tentang mimpi penyengat itu, yang penting rumah kami bersih luar dalam dan doa saya semoga kami suami isteri terhindar dari sebarang perkara yang tidak baik.
Kali kedua sebenarnya saya bermimpi tentang penyengat yang berduyun-duyun terbang itu. Kali pertama beberapa bulan yang sudah sekitar hujung bulan April sewaktu mak berkunjung ke KL. Saya menemani mak di KL di rumah adik, saya dan mak tidur di bilik adik, adik saya tidur di ruang tamu. Namanya pun bilik bujang, tiba-tiba saya dan mak mengambil alih sekejap bilik adik untuk dua minggu, berlambak dengan pakaian kami bermacam barang yang dibeli untuk dibawa balik Sabah. Pastinya bilik adik saya itu lebih sesak daripada biasa. 
Ok, terus kepada cerita mimpi penyengat semasa di KL tempoh hari. Saya bermimpi berduyun-duyun penyengat terbang mengejar saya sehingga saya terjun ke dalam kolam yang jernih airnya dan kumpulan penyengat itu tidak dapat menghampiri saya. Bangun pagi saya cerita dekat mak, responnya biasa sahaja... mungkin kita kurang bersihkan bilik ini, tu yang mimpi macam-macam. Dan... kami pun membersihkan bilik tersebut sebersih yang mungkin, siap jemur tilam lagi.  


Rupa-rupanya mak pun ada mimpi ganjil juga, menurut mak malam pertama dia di rumah adik saya dia bermimpi ada ramai orang melihatnya dengan riak wajah hairan tanpa berkata apa-apa.  Emak tidak mengenali wajah-wajah itu, dan mak pun tak ambik kisah sangat. Setelah diselidik, rupa-rupanya tilam yang kami baring itu pernah terbiar beberapa bulan, tidak digunakan di rumah sewa adik sebelum ini. Proses menjemur tilam itu membuka kepada rahsia tersembunyi, rupa-rupanya ada 'bangking', a.k.a kutu tilam bersarang di tilam itu. Tu yang mimpi macam-macam tu... nampak macam remeh kan tapi tempat tidur kita itu juga antara penyumbang kepada lena tak lena atau mimpi-mimpi buruk kita.



Orang kalau nak kenakan suami isteri atau orang gaji yang busuk hatinya, tempat tidurlah yang sangatsangatsangat sesuai untuk meletak/menyembunyikan benda-benda terlarang itu. Kalau mimpi yang pelik, jangan cepat menuduh si polan itu ini yang kemungkinan besar ingin mengenakan kita, pada saya kita perlu/wajib membersihkan rumah kita terlebih dahulu, bukan sekadar menyapu begitu sahaja. Ambil sedikit waktu/ atur jadual berkala untuk make-up rumah terutama sekali part yang tidak digemari seperti - belakang kusyen/perabot, tepi atau bawah katil/tilam, belakang almari pakaian, belakang TV LCD kita tu, sawang, kipas siling malah stor barang juga sebaiknya jangan dibiarkan berbau hapak. Kebersihan separuh daripada iman.



Tapi kalau dah bersih masih mimpi yang pelik-pelik juga dan ianya memang menganggu, kita juga rasa ada yang tidak kena... buatlah tindakan sepatutnya jumpa dengan orang alim yang sesuai...


Kesibukan kita dengan tugasan harian memang membataskan kerja-kerja rumah, sekiranya kitalah tuan rumah dan kita juga 'pembantu rumah' kita. Memang begitu lumrahnya, tapi bagi saya terpenting sekali sama-sama kita jadikan rumah kita tak kira rumah sewa/rumah sendiri - rumahku syurgaku...








No comments:

Post a Comment