Friday, February 24, 2012

AZAN

Alhamdulillah, di kawasan perumahan ini azan sentiasa berkumandang pada setiap waktu. Memang itu antara faktor yang saya pentingkan semasa mula-mula menduduki rumah ini. Walaupun masih banyak kekurangan yang perlu saya pelajari untuk membaiki diri terutama sekali hal ehwal agama...sekurang-kurangnya seruan azan sentiasa bergema di halwa telinga sebaik sahaja masuk waktu solat.

Ada satu laungan azan yang tidak dapat saya lupakan sehingga ke hari ini. Masa tu saya sedang bekerja 'part time' di kilang elektronik sewaktu cuti semester. Setiap subuh suara yang yang sama akan melaungkan azan. Kadang-kadang saya terlewat bangun...suara azan yang merdu itu yang membuatkan saya terbangun. Tidak jauh dari asrama pekerja sebenarnya terbina sebuah kuil yang sangat besar, sering sahaja suara loceng dan acara keagamaan mereka bertembung dengan suara azan.

Bukan semata-mata laungan azan itu sahaja. Tetapi mendengarnya membuatkan perasaan saya sayu, tenang dan saya begitu tersentuh mendengarnya kadang-kadang tanpa sedar air mata menitis.
Pada masa tu saya selalu terfikir, siapa dan bagaimanakah rupa individu yang selalu azan subuh itu? Sudah tentulah saya tiada jawapannya. Bertuahnya dia memiliki suara yang lunak dan suara itu digunakan untuk melaungkan azan.

Sampai ke hari ini kalau saya melalui jalan yang berhampiran dengan masjid itu, saya mesti teringat tentang azan subuh tu....

Di kampung halaman kami di Sabah pula, ada satu suara yang kami panggil 'wak-wak'. Apa sebenarnya 'wak-wak' itu tidaklah kami pasti sebenarnya, tetapi ianya sering dikaitkan dengan mereka yang terlibat dengan ilmu hitam. Bunyinya seperti itik menyudu air di lopak, kadang-kadang boleh menjadi kuat malah menjadi perlahan seolah-olah berbisik di telinga.

Ada sekali tu bunyi 'wak-wak' kedengaran sewaktu menghampiri maghrib, tetapi sebaik sahaja azan maghrib berkumandang... terdengar seperti suara orang berlari ke arah belakang rumah dan suara itu pun tidak kedengaran lagi. Kami cakap 'wak-wak' itu takut dengar bunyi azan.

Pengalaman adik saya yang bekerja sebagai 'security' pula, masa tu lebih kurang jam 6 :30 petang... sewaktu azan maghrib kedengaran, tidak semena-mena adik saya itu ternampak ada banyak orang kecil berpusu-pusu keluar dari dalam tanah yang membentuk busut. Ada seorang yang membelakang sedang duduk mencangkung, bogel sebenarnya sibuk mengarahkan orang-orang kecil itu keluar dari busut. Selesai sahaja azan, orang-orang kecil itu masuk semula ke 'rumah' mereka dan yang sedang mencangkung itu pun tidak kelihatan lagi.

Mendengar cerita adik saya itu kami bergurau walaupun ada rasa takut, mungkin itu penjaga busut tersebut. Mungkin orang-orang kecil itu kepanasan mendengar suara azan. Kata kami adik-beradik yang mendengar ceritanya itu. Asalkan jangan dikacau busut itu. Buat kerjamu saja, terus menjaga kawasan sekolah. Sememangnya kalau menjadi pengawal keselamatan...selalunya akan nampak dan diuji dengan bermacam-macam perkara. 


monalizahrais


No comments:

Post a Comment