Tuesday, December 24, 2013

TANGGUNGJAWAB BERSAMA

Assalamualaikum....

Hari ini Selasa,esok Krismas bakal menjelma. Selamat menyambut Hari Natal kepada mereka yang merayakannya.

Tajuk di atas berkaitan tanggungjawab bersama. Kenapa saya berkata demikian. Kita sedia maklum, antara anak remaja dengan orang dewasa terutama sekali yang sudah mendirikan rumahtangga... apa yang ada di fb/tweeter/whatsaap mereka? Dan sebagainya itu?

 Bukan sesuatu yang menghairankan apabila kita melihat wall fb seseorang yang sudah berumahtangga, dia berkongsi tentang peranan ibu bapa atau apa sahaja status yang berkaitan kekeluargaan dan rumahtangga. Kerana dia sudah berkahwin. Zaman sekarang orang berkahwin rata-rata umur 20 tahun ke atas, sangat jarang berkahwin pada usia belasan tahun, ianya berbeza di zaman orang tua kita dahulu.

Tapi kita ada adik beradik atau anak sendiri yang sedang meningkat remaja. Suka tak suka, kita yang di fasa dewasa ini perlu memantau facebook adik beradik atau anak sendiri, supaya tidak terlalu hanyut dengan 'penyakit' cinta monyet. Sekarang banyak anak remaja atau 'remaja purba' yang sedang asyik dibuai perasaan muluk-muluk tidak segan menyatakan 'cinta suci' mereka di wall fb. Dicanang disebarkan kisah cinta mereka di fb dengan tujuan si polan si polin miliknya ketika itu. Hakikatnya itu bukan jaminan jodoh mereka kelak.

Jika tidak dipantau oleh keluarga terdekat, nak harapkan rakan-rakan mereka? Pun 2x5 juga, pimai pimai tang tu juga kan. Ini antara cabaran anak remaja masa kini. Sangat mudah bersosial/bercinta di laman-laman sosial, tidak segan dengan tanggapan keluarga sendiri. Orang lain apatah lagi. Bukannya keluarga tidak menasihati mereka, tapi itulah... zaman ini sangat mencabar, di hadapan kita mungkin nampak baik dan sopan, di belakang? Tu yang kena pantau lebih, kena ambil tahu siapa kawan mereka, dengan siapa mereka bergaul. Antara kerja yang sangat membosankan - memantau tapi tidak dapat dielakkan kerana ianya tanggungjawab bersama.

Beberapa minggu sudah, adik saya yang sekolah menengah yang dua orang tu dan emak datang ke sini. Hampir sebulan jugalah mereka berada di Lembah Klang ini. Walaupun adik saya sendiri, awal-awal lagi saya sudah sembunyi laptop dalam almari. Wi fi saya tutup. Nampak macam kedekut kan? Sebabnya saya sudah maklum cuti-cuti sekolah begini, apabila laptop ada depan mata, tentunya bermacam game akan dilayan siang dan malam, tidur lewat dan bangun lewat, mengabaikan banyak perkara yang sepatutnya mereka lakukan - seperti menolong membuat kerja-kerja rumah, membaca buku. TV? Tak payah cakaplah, confirm kalau sehari ada 50 jam pun, 50 jam itulah TV sentiasa ON, siang dan malam.

Jadi, tanggungjawab bersama untuk memantau mereka, bukan hanya peranan orang tua sahaja. Adik beradik yang lebih tua seperti saya ini, kakak sulung mereka suka tak suka perlu sentiasa menegur, menasihati mereka sama ada di laman fb atau di luar laman sosial. Kita menegur tidak bermakna kita sangatlah sempurna, hakikatnya tidak ada manusia yang sempurna, tetapi kekurangan dan kelebihan masing-masing itu saling melengkapi iaitu dengan cara berpesan-pesan dan nasihat menasihati perkara berkaitan kebenaran. Tidak perlu pergi jauh nak sibuk hal anak remaja anak orang lain, ianya boleh dimulakan dengan keluarga sendiri. Pelajaran pertama itu bermula di rumah sendiri.

Sesiapa yang lahir dan membesar dalam suasana kampung... tentu sedia maklum betapa 'prihatinnya' jiran-jiran sekeliling mengambil tahu hal-hal kita. Dan begitu juga dengan penyebaran cerita atau fitnah seakan-akan secepat angin bertiup. Tiba-tiba kita ditanya tentang sesuatu isu yang dikaitkan dengan kita walhal kita sendiri tidak mengetahuinya. Contoh, tiba-tiba si polan bertanya kepada kita, betulkah kereta kita ditarik sebabnya sudah sebulan tak nampak 'batang hidung' kereta di halaman rumah, padahal cerita sebenarnya kereta itu rosak dan masuk bengkel. Tahulah kita ada orang yang membuat cerita, terlebih fiksyen fikiran orang yang membuat cerita tersebut. (sekadar contoh ya...). 


Tanggungjawab bersama itu adalah yang berkaitan dengan kebenaran. Bukannya yang berkait dengan fitnah atau cakap-cakap kosong sahaja. Dahulu, 'laman sosial' untuk berhubung adalah melalui surat-surat rahsia, sekarang terus sahaja kepada laman sosial yang berlambak itu. Apa boleh buat kan, yang sudah tua-tua pun kena berfb juga paling kurang untuk memantau aktiviti adik beradik atau anak sendiri, kalau tidak begitu, kita tidak tahu apa yang mereka lakukan di belakang kita. 

 Kalau bukan keluarga sendiri yang prihatin, siapa lagi yang hendak diharapkan? Tak gitu?


love,
monalizahrais
jalan kapar, klang
selangor
24/12/2013 (Selasa)



 

 

No comments:

Post a Comment