Friday, November 15, 2013

UPSR - NOSTALGIA VS MOTIVASI

Assalamualaikum... hari ini Jumaat, penghulu segala hari. Selamat menunaikan solat Jumaat kepada mereka yang wajb mengerjakannya dan tahniah untuk itu. Anggaplah ucapan tahniah itu sebagai ganjaran untuk diri sendiri. Bukan senang nak mengatur masa malah sering terkejar-kejar waktu antara kerja dan waktu solat Jumaat. Bagi kaum wanita, selalunya waktu rehat tengah hari di hari ini lebih panjang sedikit berbanding hari lain. 
 
Ok, masih lagi mood keputusan UPSR. Alangkah bertuahnya anak-anak sekarang, kemudahan belajar semakin baik dan guru-guru yang diserap untuk mengajar mereka adalah guru-guru yang terpilih, sekarang hendak menjadi seorang guru sahaja perlu keputusan yang 'kaw-kaw' punya, setakat dua tiga A dalam beberapa subjek baik tak payah pohon jadi guru, baik minta bidang yang lain. Saya katakan begitu kerana adik saya sewaktu mengisi borang UPU yang lepas.... ada bercerita tentang syarat ketat memasuki bidang perguruan.
 
Saya setuju sangat tentang syarat ketat memasuki bidang perguruan kerana tidak mudah untuk mengajar anak murid sekiranya ilmu di dada tidak cukup power. Sebagai seorang yang pernah menjadi pelajar satu ketika dahulu... kita sendiri sedia maklum untuk mencapai keputusan terbaik dalam peperiksaan perlu banyak usaha dan pengorbanan, misalnya tengok tv hanya pada waktu tertentu dan terhad masanya atau tak payah tengok terus, kena bangun awal lebih awal daripada biasa untuk ulangkaji sebelum masuk waktu Subuh, tak termasuk mengurus tekanan belajar dan bermacam-macam faktor persekitaran yang lain.
 
Ada ramai juga rakan-rakan saya yang menjadi pendidik. Ada di antaranya yang memang punya rekod pelajar terbaik/cemerlang bermula dari sekolah rendah/menengah dan berterusan sehingga memasuki universiti. Terserlah juga komitmen mereka terhadap pelajar-pelajar mereka melalui cerita-cerita bergambar yang dikongsikan di dinding fb. Sejuk hati dan perasaan kita melihatnya kan? Dan kita tumpang gembira juga sambil berkata-kata alangkah seronoknya kalau anak aku dia yang ajar... kerana kita kenal mereka dan tahu reputasi kejayaannya.
 
Berikut antara subjek yang saya perolehi melalui fb, slip keputusan UPSR yang ditayang di fb :
 
Bahasa Melayu (pemahaman)
Bahasa Melayu (penulisan)
Mathematics
Science
Pentaksiran Kerja Amali
 
Dan di bawah sekali tertulis :
 
Perkara asa fardhu 'ain - lulus atau gagal
 
 
NOSTALGIA VS MOTIVASI
 
 Zaman kita belajar tahun 80-an dengan anak-anak sekarang berbeza, itu sudah pasti. Begitu juga zaman mak bapak kita kan. Malah bentuk motivasi belajar itu juga berbeza disebabkan keadaan persekitaran.

Emak saya sering bercerita tentang pengalamannya di sekolah rendah ketika saya masih budak sekolah dahulu sebagai motivasi supaya saya terus belajar rajin-rajin. Kehidupan kami amat susah, ketika itu hanya belajar dan terus belajar untuk mengubah nasib keluarga sering diungkapkan oleh mak bapa kami dan orang tua rakan-rakan kami, malah guru-guru juga. Rata-rata orang tua kami di kampung halaman ketika itu ada yang tidak pernah jejak kaki ke sekolah dan ada juga yang hanya sekerat jalan disebabkan kesusahan hidup. Jadi, maknanya kesedaran pentingnya pelajaran itu masih di tahap minimum. Sekolah menengah pula hanya terletak di bandar, ditambah lagi masalah pengangkutan... bentuk motivasi pada ketika itu mengarah kepada kesusahan hidup yang dijadikan pembakar semangat untuk mengubah nasib diri sendiri serta keluarga.
 
Mengikut cerita emak, masa dia sekolah rendah dahulu, awal-awal pagi lagi sebelum matahari terbit perlu gerak dari rumah meredah hutan dan sungai untuk ke sekolah. Selain membawa bekal makanan, emak perlu standby parang untuk persediaan terserempak dengan binatang liar. Kadang-kadang tu kata emak, parang itu diguna untuk meluaskan jalan, menebas tumbuh-tumbuhan liar setelah lama bercuti sekolah. Yang seronoknya, balik dari sekolah, parang itulah yang banyak menyumbang untuk memotong dahan dan ranting buah-buah hutan, untuk mengalas perut yang sedang lapar.
 
Kata emak saya lagi, dia seorang yang aktif dan antara yang terbaik di sekolah dalam pelajarannya. Sehingga darjah enam, prestasinya kekal terbaik.
 TETAPI, hasrat emak untuk menyambung pelajaran ke sekolah menengah seterusnya menjadi guru (cita-cita emak) terhalang. Kesusahan hidup serta tanggapan kebanyakan orang tua ketika itu bahawa anak perempuan tidak perlu belajar tinggi-tinggi cukuplah setakat darjah enam sahaja. 
 
Emak cukup kecewa dan marah tapi tiada apa yang dapat dilakukannya selain menangis mengenang nasib diri. Luahan kemarahan dan kecewanya itu ditunjukkan melalui baju-baju sekolahnya yang digunting kemudian dibakar. Tidak lama selepas itu, emak saya bertemu jodoh dengan bapa kami (arwah) dan lahirlah kami 11 orang adik beradik. Orang tua kami sangat mementingkan pelajaran dan Alhamdulillah... kami semua tamat belajar sekurang-kurang tingkatan lima, ada seorang adik saya setakat tingkatan tiga, saya sampai ke universiti dan seorang adik saya sedang belajar di Adtec Shah Alam. Yang sekolah menengah sekarang di Sekolah Agama Tun Juhar, Sandakan Sabah, tahun hadapan tingkatan lima dan tingkatan dua.
 
 
Nilai motivasi yang lain - saya teringat cerita seorang rakan. Katanya dia gagal UPSR kerana faktor yang tidak dapat dielakkan. Dia ketika itu bersekolah di kawasan pedalaman, hanya menggunakan bot sebagai pengangkutan ke sekolah. Itu sahaja cara yang ada ketika itu. Bot yang dinaiki tiba-tiba bocor dan dia tidak dapat menduduki peperiksaan UPSR. Menangis dia melihat slip keputusannya. Tapi slip itu jugalah membakar semangatnya untuk berusaha lebih gigih  berbanding pelajar lain, sehingga akhirnya dia berjaya menyambung pelajaran sampai ke Jepun. 
Dulu-dulu kan gagal UPSR pun tetap dapat masuk sekolah menengah kan, kan...
 
 
Jadi, kepada adik-adik di zaman sekarang ini, sekali lagi alangkah bertuahnya kamu dapat belajar dengan selesa. Gunakan peluang belajar ini dengan sebaik mungkin, sekurang-kurangnya untuk diri sendiri kalaupun ibu bapamu orang kaya atau hidupmu sudah sedia senang lenang. Kerana orang yang berilmu itu akan ditingkatkan darjatnya di sisi Allah.
 
Ilmu sangat luas, terpulang kepada diri sendiri hendak pilih ilmu yang macam mana.Yang pasti ilmu yang baik-baik bukannya ilmu yang menyesatkan. Bukan tentang hendakkan kehidupan yang baik, kerja gaji besar, rumah besar semata-mata, tetapi dengan adanya ilmu, ilmu tidak pernah habis sekalipun kita terus menggalinya sehingga akhir nyawa, tapi harta akan habis tanpa ilmu. Apabila berilmu, kita dijaga oleh ilmu, sebaliknya apabila berharta, kita yang menjaga harta. Alangkah seronoknya berilmu dan berharta bukan?
 
love,
monalizahrais
Jalan Kapar, Klang
Selangor
15/11/2013 (Jumaat) 
 
 



 
 

No comments:

Post a Comment