Thursday, November 14, 2013

PIALA DAN SIJIL

Assalamualaikum... dan salam hari Khamis. Laa.. Khamis dah rupanya hari ni, esok Jumaat dan seterusnya...blablabla tanpa sedar semakin hampir tarikh 20/11/2013 tu apalagi kalau bukan tentang kedatangan emak dan adik Not dan adik Didang. Apapun sabar hati ini menunggu hari 'gumbira' tersebut, hehehe....
 
 Minggu-minggu terakhir persekolahan sebelum cuti panjang menyaksikan banyak majlis di sekolah melibatkan guru-guru, ibu bapa dan pelajar. Sekarang semua cerita itu mudah didapati di fb kita. Rakan-rakan fb yang pelbagai peringkat umur, tidak lokek berkongsi cerita gembira tentang anak, anak saudara, anak murid mereka di dinding fb. 
 
 Nama majlis pula, ada yang dinamakan majlis hari kecemerlangan pelajar, mini konvokesyen prasekolah...anak-anak sekarang seawal tadika atau prasekolah sudah konvokesyen malah ada juga saya terlihat tamat tingkatan lima dan enam pun ada majlis konvokesyen. 
 
Saya hanya mengalami majlis konvokesyen sekali iaitu sewaktu bergraduasi di UM tahun 2004 yang lepas, tentulah manis dan sangat indah untuk dikenang. Saya tidak berkesempatan memasuki tadika atau prasekolah kerana ketika itu kampung kami masih jauh dari sebarang kemajuan - tidak ada bekalan air dan elektrik malah sekolah yang ada sangat-sangat sederhana, sekolah rendah kami pada ketika itu menjalankan dua sesi iaitu pagi dan petang, bilik darjah terhad, hanya sebuah bangunan sekolah sahaja. Bilik guru pun kecil dan perpustakaan lagilah kecil sebesar bilik seperti bilik biasa di perumahan jenis flat.
 
Berbalik kepada mood 'konvokesyen mini' di fb, meriah memanglah meriah. Melalui gambar, gelagat anak-anak sekolah rendah mengingatkan kita zaman kanak-kanak dahulu. Banyak perbezaannya. Sekarang, melihat keputusan straight A bukanlah sesuatu yang asing berbanding masa dulu, sudah terlalu biasa dilihat, anak-anak sekarang lebih cepat pandai dan menguasai pembelajaran. Yang menarik perhatian dan mengundang ucapan berderet tahniah di fb apabila slip keputusan UPSR anak-anak ditayang di fb, siapa yang tak bangga dengan anak masing-masing kan?

Kami yang belum ada anak ni jadi tukang tengok jer la.. hehehe...


Piala dan sijil sering dikaitkan dengan kejayaan dan pencapaian seseorang pelajar. Bukan tentang keputusan yang diperolehi semata-mata, kadang tu sekadar melibatkan diri dalam bidang kokurikulum pun senang-senang dapat sijil dan piala. Tidak perlu pergi jauh, cuba lihat almari lama di rumah kampung halaman kita, bukankah penuh dengan bermacam jenis piala, medal dan sijil?

Bola baling, pertandingan bercerita, bola sepak, menjadi pengawas sekolah, ketua kelas dan sebagainya banyak menyumbang perhargaan dalam bentuk piala dan sijil.

Dalam masa yang sama, terasa diri dewasalah sangat, melihat rakan-rakan sekolah atau sekampung yang punya anak sekurang-kurangnya sekolah rendah malah ada yang sudah memasuki awal remaja. Bayangkan 10 tahun ke hadapan... waduh kita semakin meningkat usia atau dalam bahasa mudahnya, semakin tua gitu... walaupun tetap awet muda (hahaha... yalah tu).


Seperti tahun-tahun sudah, ketika cuti sekolah ini saya akan melihat banyak cerita yang di post di dinding fb dari rakan-rakan yang bekerja sebagai guru. Selalunya tentang percutian keluarga atau bersama rakan-rakan bagi mereka yang bujang. Di luar waktu cuti sekolah, jarang sekali melihat berita mereka. Terlalu sibuk agaknya. 
 
Sekarang, kebanyakan rakan-rakan kita banyak yang sudah bergelar ibu bapa sedang melalui fasa yang pernah dialami oleh ibu bapa kita dahulu - rasa bimbang, harapan masa hadapan anak-anak, yang pasti sentiasa mendoakan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Perjalanan masih jauh - anggaplah seperti itu walaupun masa terus berlalu tanpa sedar, berusaha yang terbaik untuk generasi seterusnya.
 
love,
monalizahrais
Jalan Kapar Klang,
Selangor
14/11/2013 (Khamis) 




 
 

No comments:

Post a Comment