Assalamualaikum...
Gambar koleksi sendiri - sekadar hiasan.
Oh, hari ini sudah hari Khamis, betapa cepatnya masa berlalu, seminggu seperti beberapa hari sahaja sedar tak sedar lusa tiba bulan Jun menjengah kalendar kita.
Sebelum ini saya pernah bercerita tentang anak buah yang tinggal sekejap di rumah kami disebabkan mak bapanya balik kampung untuk berubat. Lebih kurang dalam dua minggu juga dia tinggal dengan kami. Alhamdulillah sehingga orang tuanya balik, anak itu sihat walaupun perangainya membuatkan kami suami isteri pening. Hampir setiap hari menangis minta hantarkan balik rumah katanya bosan duduk di rumah kami ini. Jenis jiwa kacau, nak buat macam mana kan, kami sekadar menjaga keselamatan dan kebajikannya semasa orang tuanya masih berada di kampung.
Apabila diimbas kembali antara tetamu yang datang ke rumah kami ini... bermacam ragam dapat disaksikan, ada yang mencurigakan dan tentunya ada yang baik-baik sahaja. Sedikit ingatan untuk diri saya sendiri dan mungkin ianya juga ada manfaat kepada anda yang membaca tulisan ini - simpan sedikit rasa curiga terhadap tetamu kita, janganlah tunjuk sangat syak wasangka tu, buat macam biasa saja cuma pastikan kita lebih peka daripada biasa.
Berdasarkan pengalaman saya sebelum ini, tetamu yang jenis pencuri/ada ciri-ciri pencuri biasanya matanya liar sahaja melihat barang-barang dalam rumah kita. Kalau dasar pencuri, bukan tentang emas berlian sahaja tapi apa-apa barang pun asal menjadi duit kan. Kita tentunya pernah mendengar pantun dua kerat ini :
siakap senohong gelama ikan duri
bercakap bohong lama-lama mencuri
Melalui perbualan dengan tetamu kita, semakin kerap kita bersembang... tetamu yang suka bercakap putar belit atau tadi cakap lain sekarang cakap lain, itu tandanya tetamu itu jenis serabut, penuh muslihat apatah lagi ketika bercakap dia seperti segan/takut-takut memandang kita atau dalam bahasa yang mudah difaham, tak berani bertentang mata dengan kita. Memanglah tidak semestinya sepanjang masa kita perlu bertentang mata ketika berbual, tapi semua orang pun tahu... kalau asyik gelisah sahaja tentunya ada yang tidak kenalah tu. Tapi yang terlalu yakin pun kadang-kadang mencurigakan juga (jenis profesional kot).
Kita sebagai tuan rumah selalunya akan berkata kepada tetamu jangan segan buatlah macam rumah sendiri. Di sini kita dapat melihat adab tetamu yang menghormati tuan rumah atau sebaliknya. Kita pun pernah menjadi tetamu juga kan... kalau kita sesuka hati keluar masuk bilik selain dari bilik yang dikhaskan untuk kita, selongkar almari buat macam hak sendiri, guna barang tuan rumah tanpa kebenaran misalnya komputer, pasang tv kuat-kuat ikut citarasa telinga kita... faham-faham sendirilah kan.
Walaupun rumah yang dikunjungi itu sanak saudara kita... tetap ada batas yang perlu diikuti, itu bukan rumah kita, tinggalkan kebiasaan yang selalu kita buat di rumah - bermalas-malas, makan ikut masa sendiri, menyepahkan barang dan sebagainya.
Setakat ini tetamu saya yang beradab mereka yang berasal dan membesar di kampung, sebaliknya yang membesar dalam suasana bandar kurang sedikit adabnya malah ada yang kurang ajar, maaflah sedikit kasar tapi itulah realitinya.
Menjadi tuan rumah juga tidak mudah kerana kita tidak kenal sepenuhnya perangai tetamu kita, walaupun dari kalangan keluarga kita sendiri. Yang dapat dilakukan melayan seadanya, selayak hak tetamu. Meraikan tetamu itu bagus, misalnya menghidangkan masakan istimewa yang kita sendiri pun jarang-jarang membuatnya, cuma pada pendapat saya jangan sampai tetamu yang jadi tuan rumah dan kita yang sepatutnya tuan rumah ini jadi macam khadamnya pula, itu dah tak betul tu, *-*
Sekadar pendapat peribadi, berdasarkan pengalaman yang sudah, lebih kepada ingatan kepada diri sendiri...tapi kalau ada manfaatnya kepada yang membaca itupun sudah cukup baik. @-@
love,
monalizahrais
No comments:
Post a Comment