Friday, May 31, 2013

MISKIN TEGAR SUNGGUH!

Assalamualaikum...

Jom cerita tentang miskin tegar. Spontan, apa yang bermain di kotak fikir sebaik sahaja perkataan miskin tegar disebut? Sendiri jawab sendiri tahu.
Di ruang fikir saya, selain dapur kayu, tiada kemudahan asas lengkap - rumah kampung atap bocor di sana sini, mandi air perigi, pakai lampu minyak tanah, pakai baju koyak rabak, makan minum ala kadar dan 1001 gambaran menerjah. Apa pun jom layan gambar di bawah...


 Kredit gambar dari fb, sesungguhnya banyak idea di laman fb yang dapat digarap menjadi cerita di blog.

Di zaman remaja saya dahulu, sekitar awal tahun 90-an sehingga abad baru tahun 2000... kehidupan kami anak beranak memang tergolong dalam kategori miskin tegar. Gambar di atas bukanlah sesuatu yang asing pada pandangan saya. Saya sendiri 'pakar' menyalakan api dari kayu api sehingga memasak nasi dan lauk pauk menggunakan kayu api. Kami menggunakan biji sawit yang separuh kering atau kering sepenuhnya untuk menyalakan api kemudian barulah longgokan kayu api disusun untuk dinyalakan. Jimat banyak kos minyak tanah.

Kayu yang sering kami gunakan sama ada kayu jenis belian dan dahan-dahan kering pokok rambutan, mangga yang terdapat di belakang rumah. Jenis terbaik kayu belian sebabnya sesuatu masakan itu sempurna masaknya, tak perlu pakai banyak kayu api, kepanasannya sempurna dan walaupun sudah tinggal bara api, cukup untuk untuk memasak satu cerek air bersaiz sederhana besarnya. Bab hitam legam periuk belanga tak usah ceritalah, memang hitam legam sungguh, kena sental kuat-kuat ketika membasuhnya.

Alhamdulillah kami adik beradik sebagai anak kampung yang lasak, ladang kelapa sawit dan sesekali turun ke laut - itulah padang permainan kami. Nak cari lauk pauk, kenalah turun menjala/memukat ikan di tepian pantai dandulit, kadang berjalan kaki kadang naik motor. Nak makan sayur redah sahaja ladang kelapa sawit dan carilah kulat sawit, paku pakis atau semak tepi jalan memetik pucuk ubi kayu. 
Ayam daging sesuatu yang sangat istimewa, hanya dinikmati pada hari perayaan. Ikan masin dan ikan laut segar itulah makanan harian, Alhamdulillah ada juga rezeki, lebih baik daripada tiada langsung bukan...

Sambal belacan, selalu kami membeli belacan yang ada gambar orang berjabat tangan itu... berharga 30 sen pada ketika itu, perencah yang paling sedap dijadikan bahan cicah makanan laut kami...

 Atau memasang umpan di kolam besar atau memancing di 'kalbut' merujuk kepada anak-anak sungai kecil yang terbentuk di tepian jalan raya atau jalan kampung.

Yang paling menarik tentunya lampu minyak tanah. Malam kita pasang lampu, esok pagi jangan lupa bersihkan hidung... sebabnya jelaga lampu minyak tanah itu menyebabkan lubang hidung kita hitam, jolok dengan jari kat lubang hidung confirm jari tu hitam. Permainan yang paling menarik tentunya bermain bayang menggunakan jari kita bukan... kita duduk dekat pelita minyak tanah... dan kita pun bentuk macam-macam bayang yang terhasil dekat dinding rumah.

Nyanyian yang paling indah yang sentiasa membuatkan tidur kita lena... apalagi kalau bukan suara cengkerik dan unggas malam...  sesekali berselang dengan lolongan anjing liar atau suara kucing bergaduh sesama sendiri - berebut kekasih hati agaknya.

Pabila hujan turun waktu malam dan reda kemudiannya, suara katak bergema tak sudah, menambah enaknya tidur malam sehingga ke Subuh. Namun hati tetap senang, bahagia walau hidup miskin tegar....

Saya masih ingat lagi, satu ketika dahulu, klinik kesihatan yang paling hampir dengan kampung kami... ada menyediakan kelambu yang sudah direndam khas dengan ubat tertentu. Percuma sahaja dan sesiapapun boleh mendapatkan kelambu tersebut. Ironinya, yang sering kita dengar penyakit demam denggi atau malaria sering berkait rapat dengan mereka yang tinggal di kawasan membangun tetapi bermasalah dari segi aliran longkang yang tersumbat, bukannya kawasan kampung yang dikelilingi hutan yang memang sah banyak nyamuk. Nyamuk kampung vs nyamuk bandar, banyak bezanya.

 
Itu kisah kami berbelas tahun sudah, Alhamdulillah melalui pendidikan, kehidupan kini sudah bertambah baik berbanding dahulu. Hanya melalui pendidikan atau berhijrah ke tempat lain mampu mengubah nasib kita. Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu sekiranya kaum itu sendiri yang tidak berusaha mengubahnya.

Pun begitu, miskin tegar masih ada lagi di zaman ini, tidak perlu pergi jauh, tengok di tempat sendiri. Walaupun kehidupan kita sudah senang, lengkap semuanya keperluan asas, itu bermakna kita perlu lebih prihatin nasib mereka yang lebih memerlukan pertolongan kita kerana kita pernah berada di tahap itu suatu ketika dahulu. Kesenangan hidup juga satu ujian, bukan untuk bermegah, bila-bila masa sahaja ianya boleh ditarik semula olehNya sekiranya kita tidak mensyukuri nikmat yang diberi. 


Melihat sejenak di masa silam untuk pengajaran dan ingatan kepada diri sendiri  *-*


love,
monalizahrais 

 

No comments:

Post a Comment