Sunday, May 12, 2013

ANAK BUAH

Assalamualaikum...
 
Hari ini genap seminggu anak buah cilik yang berusia 12 tahun itu tinggal bersama kami, seperti yang saya katakan sebelum ini, esok bermulalah peperiksaannya. Saya dan suami pening kepala juga memikirkan budak ini, bukannya apa... keluarganya memesan supaya anak ini tidak perlulah ke sekolah sehingga orang tuanya pulang, tapi dah dekat waktu periksa takkan kami buat tak tahu saja. Saya katakan kepada suami hantar saja anak ini ke sekolah untuk peperiksaan esok sehingga Jumaat nanti - hantar dan ambil dari sekolah. Lulus gagal belakang cerita, itu lebih baik daripada tak datang langsung.
 
Saya tanya anak kecil ini, 'cikgu dia tak marah ke dia 'cuti' sehingga tiga minggu lamanya' rentetan ibu bapanya pulang kampung. Jawabnya 'cikgu tak marah, yang penting hantar surat kepada cikgu' dan sudah tentu kami disuruhnya tulis surat. Malam tadi suami menyuruh saya siapkan surat tersebut. Tetapi saya tolak untuk menulis surat kerana saya fikir seperti ini - 2 minggu pertama anak ini berada di KL kemudian dihantar pulang semula ke Pandamaran, kami tidak tahu tentang ini, kemudian hari Isnin lepas (6 Mei 2013)... tiba-tiba emak saudara anak ini (dari KK) menelefon kami memaklumkan anak buah ini sedang demam,menangis, bersendirian di rumah manakala seorang lagi abangnya yang berusia 15 tahun keluar merayau bersama rakan-rakannya.
 
Punya kelam kabut kami suami isteri bergegas menuju Pandamaran melihat keadaan anak kecil ini. Kelaparan dan sendirian di rumah. Takkan kita sanggup biarkan dia sendirian di rumah? Risiko keselamatan, kelaparan dan bermacam lagi terbayang di ruang fikir. 

Berbalik isu surat tadi, dari sudut pandangan saya - biarlah mak bapa budak ini yang menyelesaikan surat @ berjumpa dengan guru anak mereka, memberikan penjelasan. Lagipun saya nak taip apa, guna nama apa dan alasan apa?Kami pun tidak jelas sangat hal yang sebenarnya, sekadar tahu ibu bapanya balik kampung kerana emak budak ini sakit, entah adakah orang tuanya sudah memaklumkan kepada cikgu mereka misalnya face to face atau sekadar berpesan melalui anak mereka?
 
Bukan lepas tangan tapi yang dapat kami lakukan hanyalah menjaga kebajikan anak ini semampu kami sementara menunggu orang tuanya pulang ke sini. Tak mau komen lebih-lebih, anak orang tetaplah anak orang, kita hanya menolong seadanya. Oh ya, abang kepada adik ini sudah biasa ditinggalkan sendirian di rumah, itu kami sedia maklum cuma keselamatan adiknya ini membimbangkan kami, maklum anak perempuan kan. Si abang pula jenis tak lekat di rumah dan sering membawa rakan-rakannya lepak di rumah, tentunya tidak manis dipandang orang, dahlah seorang sahaja perempuan tiba-tiba pula ramai anak remaja lelaki berkumpul di rumah, di luar pengawasan orang dewasa.
 
Sekali lagi tak mau komen lebih-lebih, yang penting kami terus menjaga anak ini sehingga orang tuanya pulang ke sini dan sesekali kami menjenguk abangnya. 
 
 
love,
monalizahrais 


 
 

No comments:

Post a Comment