Tuesday, October 1, 2013

SEBELUM ADANYA FACEBOOK

Assalamualaikum.... 


Salam hari Selasa, hari ini cerah tapi badan rasa 'mendung', selsemalah pula, rasa kepala ni berat semacam. Saya jenis tak suka makan ubat moden kecuali ubat tradisional. Sambil menaip sambil bersin dan lap hidung, asyik meleleh saja isk isk isk macam budak kecil pun ya, hahaha... tak pe tak pe sakit menghapuskan dosa-dosa kita kan.


Ok, sambung balik, baru siap bancuh air halia dan isi air untuk bilasan pakaian di mesin basuh. Minum seteguk dua air halia, rasa lega sikit. Semenjak tukar gajet baru Acer Z120 dekat-dekat raya puasa yang lepas, lebih mudah daripada biasa untuk berkongsi apa sahaja cerita/gambar/status terkini di laman sosial. Sangat-sangat mudah kan, hanya perlu usung handset kita ke mana-mana, kurang seminit dah pun terpapar di 'news feed' fb, kena pula tu kalau bersambung sekali dengan tweeter dan instagram... sekali klik sahaja. Untuk bisnes online... sangat-sangat membantu terutama dari segi kos. Tapi untuk tujuan bersosial, gossip misalnya banyak yang perlu difikirkan. Kadang-kadang niat kita tu sekadar berkongsi tapi tanpa sedar ada pihak yang tersinggung. Ianya di luar jangkaan. Kita berbeza cap jari apatah lagi pemikiran.

Ala... semua orang pun tahu, beberapa tahun lepas kita melihat masih ramai lagi yang mengusung laptop dan guna wifi yang banyak disediakan di restoran terutamanya. Sekarang kita sudah melihat lebih ramai yang menatap gajet yang lebih kecil saiznya berbanding laptop - Samsung, I phone 5, I pad sekadar beberapa contoh. Di kebanyakan restoran, seakan menjadi kebiasaan sesuatu yang biasa dilihat, sebelum makan... kena gambar makanan dulu kemudian baru 'ngap'. Dan sambil makan juga tidak terlepas diselang selikan dengan menatap skrin gajet.

Boleh dikatakan, paling koman pun satu meja satu gajet, tak kira bujang, budak sekolah mahupun orang dewasa. Bayi yang tidak tahu apa-apa itupun sudah dibiasakan memegang tablet. Realiti kan... Ada sekali tu saya limpas di satu restoran... pelayan restoran tu mengira bil pelanggan menggunakan tablet, bukan lagi pen dan kertas! Wah semakin lama kehidupan kita diiringi teknologi yang semakin berkembang. Sudah tentu ada baik buruknya... pun tak mau ulas lebih-lebih kerana isu ini semua orang pun tahu.

Mengimbas... sebelum adanya facebook dan laman sosial yang lainnya, kita begitu akrab dengan surat-surat, jaringan komunikasi secara langsung/bertemu berhadapan atau face to face, rasa prihatin yang tinggi sesama kita. Semasa saya kanak-kanak dahulu, seseorang yang punya telefon tangan dan ada kereta walaupun kereta itu jenis 'second hand', sudah dipandang tinggi dan dikatakan golongan berada, orang yang senang kehidupannya. 

Yang punya tv besar, rumah besar apatah lagi, kayalah sangat. Begitulah pada pandangan saya sebagai seorang kanak-kanak yang membesar dalam suasana kampung. Ditambah lagi dengan suasana kampung adat resam dan kepercayaan yang menebal rata-rata semuanya mengatakan asal orang kampung dan tinggal kampung CONFIRM bukan orang senang. Yang tinggal bandar memanglah orang senang.


Yang naik kapal terbang? Lagilah dikatakan orang kaya raya. Bukan main jakun lagi mendengar cerita si polan tu si polan ini naik kapal terbang. Sekarang? Nak naik kapal terbang cuma rancang perjalanan beberapa bulan lebih awal atau di luar mood perayaan kebangsaan, CONFIRM  dapat tiket murah. Tak boleh nak berlagak atau menunjuk-nunjuk sudah, malah yang melucukan sewaktu mood perayaan memuncak... sampaikan terjadi kesesakan penerbangan di landasan, saya pernah duduk dalam flight +- setengah jam menunggu giliran untuk terbang, atas landasan tu!
 

PERMAINAN
 Kita belajar dan bermain dengan alam sekitar, yang betul-betul punya, merasa dengan kaki dan tangan kita apakah tanah yang dipijak itu berlumpur atau berdebu. Merasa gigitan penyengat, semut api, basah oleh air hujan, bergaduh dan berbaik semula dengan rakan-rakan sekampung yang juga rakan satu sekolah. 

'Berkawan baik' dengan kucing, tahu cara memancing ikan atau mengumpan anjing di jalanan ataupun mengenal buah-buahan tempatan, sangat-sangat kenal sehinggakan turun naik pokok itu kemahirannya ada kepada mereka yang bergelar dan membesar sebagai anak kampung. Itu tidak termasuk menjadi atlet segera - terjun dan berenang di sungai atau kolam, berjalan keluar masuk hutan atau ladang. Itu zaman sebelum adanya laman sosial, sekarang? Sekarang masih ada cuma sudah di online kan... betul tak... tuuu FARMVILLE, CANDY CRUSH, BUBBLE, FRUIT NINJA, dan... yang sewaktu dengannya hehehe...


GAMBAR
Kita kalau nak bergambar, zaman dulu-dulu kena posing bagus-bagus maklumlah kan filem kena beli ada yang 12, 24 atau 36, ada extra beberapa keping filem. Kamera pula manual, habis filem digunakan, gulung dan kena hantar kedai gambar cuci barulah nampak muka kita elok tak elok. 
 Hilang filem, hilanglah momen, kecewa dan sedih pula tu... Sekarang? Lepas gambar siap edit terusss masuk fb kawan-kawan nak like.comment.share pun cepat saja.

Saya terfikir kerja-kerja menggambar, mengedit bagai itu yang dahulunya dilakukan oleh kedai gambar akhirnya banyak yang boleh kita buat sendiri. Lihat sahaja mesin pencetak, bukan semata-mata 'print' dokumen malah kertas khas untuk kita 'print' gambar pun ada dijual. Printer yang ada dengan saya sekarang ni seperti minuman segera iaitu 3 in 1 - imbas, cetak, fotokopi. 

Album gambar juga memainkan peranan penting, semakin banyak gambar, semakin banyak juga album kita malah berjenis fesyennya. Kawan kalau nak tengok koleksi gambar kita, kena buat 'janjitemu' dulu, set masa bila nak datang rumah sekaligus berbual-bual dan ada acara makan-makan. 

Seingat saya waktu perayaan hari raya misalnya, semasa bertandang ke rumah keluarga atau sahabat handai, ada banyak  koleksi album di letak berhampiran meja dan sofa tetamu. Sambil menjamu selera, mata juga dijamu dengan koleksi gambar tuan rumah. Dan koleksi kad hari raya yang digantung kreatif di dinding rumah. Sekarang? Rasanya mata kita dijamu dengan set televisyen terkini yang nipis tu sambil tangan tak lepas dengan gajet terkini. Hantar kad raya juga online maa... banyak sangat pilihan sampai rambang mata dibuatnya.

Masa sekolah rendah dahulu, saya sempat menggunakan mesin fotostat jenis manual, kita kena hati-hati supaya dakwat tak terkena baju malah perlu mahir membancuh dakwat dan meratakan dakwat tersebut di mesin. Kalau tidak, kertas yang difotostat itu banyak bintik-bintik hitam bertabur seperti terkena tahi burung. 


STATUS
Sudah berapa tahun kita menjadi warga fb atau laman sosial yang lainnya? Pertanyaan untuk diri saya sendiri. Ada ribuan gambar atau rakan fb yang ada di fb kita. Apa yang telah saya lakukan di laman sosial saya? Adakah saya lebih banyak menyinggung rakan-rakan fb dengan status sindiran atau yang bernada ke arah kebaikan?

Saya mula berfb mula tahun 2010, Januari cuma hanya aktif sekitar bulan Jun 2010. Selepas itu turun naik, kadang-kadang macam chipsmore, sekejap ada sekejap hilang. Dalam tempoh itu sehinggalah sekarang Oktober 2013 - banyak perubahan dan peralihan yang dapat kita perhatikan berkaitan dengan rakan-rakan fb kita. Kita menjadi saksi tanpa sedar - ada rakan-rakan yang beralih dari bujang ke kahwin ke beranak pinak malah ada yang kahwin ke bujang semula. 

Sesekali 'Kampung Facebook' kita meriah dek issue terkini dan terhangat misalnya harga minyak naik, kisah artis itu ini, mood perayaan, mood pilihanraya, kisah-kisah pelik, aneh dan bermacam-macam lagi. Ada yang berulang setiap tahun tentunya harijadi rakan-rakan, ulang tahun perkahwinan.
Bermacam emosi juga dapat dilihat dan dirasa - kelahiran dan peralihan. Ada yang baru lahir dan ada yang telah pergi selama-lamanya. Ada yang di paras 'pagi', 'tengah hari', 'petang' mahupun 'malam'.

Secara peribadi saya berpendapat 'Kampung Facebook' tidak banyak bezanya dengan kampung atau satu-satu kawasan taman perumahan yang kita duduki di alam realiti ini. Yang membezakan cuma mediumnya sahaja. Dan jajaran keluasan yang bersifat global, merentas sempadan. Cerita-cerita kehidupan... sentiasa berulang dan terusss  berulang entah berapa ratusan jutaan kali, hanya masa dan zaman sahaja yang menjadi pembezanya.


Contoh, katakan saya duduk di Taman Perumahan Indah (sekadar contoh ya, diulang), mesti ada yang berniaga, ada yang menjadi surirumah, ada tok imam dan bilal, ada budak sekolah, anak bujang anak dara, anak kecil, ada klinik hospital, ada guru, polis, orang tempatan vs pendatang asing.... tak larat sebut daa... sendiri tahu juga.

Dalam friend list kita itu? Melalui status atau gambar-gambar mereka menunjukkan siapa mereka di alam realiti. Ya, bukanlah 100% tapi seorang yang asas agamanya kuat dalam diri tentunya akan selalu post gambar atau update status yang menampakkan personaliti, kecenderungan, minat mereka. Seorang surirumah yang berfb akan cenderung update status masakan, perkahwinan misalnya. Dan... begitulah yang lainnya.

Pakai topeng atau menyembunyikan identiti sebenar? Pun terjadi di alam realiti. Bermacam cara digunakan untuk menutup perihal diri sendiri. Laman sosial sememangnya memaparkan alam fikir seseorang, merakam gerak fikirnya. 


Yang pasti, sebelum adanya facebook corak kehidupan kita berbeza, hendak jumpa seseorang kita perlu call atau tulis surat dulu, setelah adanya facebook, cerita kehidupan itu bergerak lebih pantas daripada dahulu, nak sembang berjam-jam di ruang chatting pun ikut suka hati masing-masing atau... saling bervideo menatap face to face juga tu kan... 

 CIPTAAN MANUSIA
Sudah namanya manusia, sehebat manapun ciptaan teknologi manusia, terpandang terbilang gah di mata manusia yang lainnya, tetaplah tiada setanding Maha Pencipta yang menciptakan alam semesta ini dan segala isinya. Sedangkan manusia itu pun dicipta Allah, siapalah kita hendak berbangga dengan ciptaan teknologi yang tidak seberapa itu.

Teknologi yang diciptakan untuk tujuan kemajuan dan kebaikan manusia tetap sahaja ada kelemahannya, betul kan?


PERINGATAN
Untuk diri sendiri, saya ada blog ini dan yang terbaru Instagram (NALIZA265). WeChat dan Tweeter pun ada juga tapi rasanya akan terkubur begitu sahaja, sekarang saya hanya akan fokus kepada blog, instagram dan fb. Tak larat nak layan semua, CONFIRM banyak kerja terbengkalai, terbarai. Kena ingat jugalah... untuk diri saya sendiri. Berkampung di blog berbeza dengan berfb, begitu juga instagram. Selepas ini saya cuba kurangkan update status di fb (harap-harap dapatlah direalisasikan, hehehe...), lebih kepada blog dan instagram.

Tidak semua yang ada fb itu ada blog tapi yang ada blog kebanyakannya ada fb. Bayangkan 10 tahun ke hadapan... dengan fb nya setiap hari... yang lahir hari ini masa itu sudah sekolah rendah pun! Kawan kita yang ada anak remaja pula anaknya itu mungkin ada di universiti atau anaknya itu sudah berkahwin dan menyumbang cucu kepada rakan-rakan kita. Kita? 

Dalam sesetengah perkara, fb itu tiada fungsinya langsung, kecuali yang rajin mengambil iktibar dan pengajaran untuk diri sendiri. 

Beberapa tahun sudah, saya, suami, adik dan emak pulang ke kampung halaman emak. Kali terakhir emak balik kampung... berpuluh tahun sudah. Bukannya emak sengaja tidak mahu balik kampung, tapi di kampung pun rumah lama mereka sudah lama roboh, mereka adik beradik masing-masing sibuk dan terikat dengan tanggungjawab terhadap kerja dan keluarga masing-masing, tambahan pula datuk dan nenek kami iaitu ibu bapa emak saya sudah lama meninggal dunia. 

Terus kepada poin cerita, hanya orang tua sebaya arwah datuk nenek kami sahaja yang mengenali emak. Dan... panjanglah perbualan mereka, merentas masa dulu sehingga masa kini. Bayangkan kalau ada fb di zaman emak saya muda-muda dulu tahun 60-an/70-an dulu, macam mana ya? Berbeza memang berbeza bukan.

Kembali kepada diri saya sendiri. Sebelum saya ada akaun fb, sebagai seorang wanita majalah masakan seringkali menjadi rujukan untuk mencari resepi-resepi baru. Sesekali saya bertamu di cybec cafe untuk save resepi dari internet. Penuh sahaja pendrive saya itu. Dan berlambaklah juga buku-buku dan majalah berkaitan resepi di rumah ini. 

Kemudian, saya dan suami sepakat melanggan talian internet, guna broadband dan bayar RM68 setiap bulan selama hampir 2 tahun juga kami menggunapakai internet jenis ini. Kami guna Celcom masa tu.

Sudah namanya teknologi, semakin berkembang setiap hari ada sahaja produk baharu di pasaran. Akhirnya kami sepakat STOP Celcom dan terkini kami langgan internet melalui kad prabayar Digi serendah cuma RM48 sebulan. Jimat dan puas hati. Suami RM50 dan saya RM50, guna gajet Z120 masing-masing malah dapat buka wifi untuk laptop kami yang juga model Acer.

Saya nak kata... sejak ada talian internet ni, sudah jarang saya membeli buku dan majalah masakan kerana banyak resepi  mudah didapati di laman maya. Tapi saya masih membeli untuk dihadiahkan kepada keluarga di kampung halaman. Begitu juga dengan surat khabar, dulu sebelum saya terlibat dengan fb ni, surat khabar yang dibeli itu sudah setinggi kanak-kanak sekolah rendah, sekarang sekadar melihat di fb tajuk utama sudah diketahui dan ada masanya dibincang di fb. Dan kalau membeli pun, yang hujung minggu punya edisi.

Tak pandai masak pun tak perlu risau yang penting mahu memasak, bukan hanya nota resepi tetapi video cara-cara memasak pun berlambak di laman maya. Seingat saya semasa saya remaja dahulu, emak sering mengatakan kalau hendak belajar bermacam masakan dan kuih muih, hendaklah rajin-rajin bertandang ke dapur di tempat yang dianjurkan keramaian itu, kenduri kahwin misalnya. Sekali lagi, berbeza memang berbeza bukan.

GANJARAN KEBAIKAN
Sehinggakan ada buku berkisar tentang facebook di pasaran. Saya pernah melihat buku ini di kedai buku. Penulisnya menerangkan tentang 'MLM' dosa dan pahala di fb/laman sosial. Sedar tak sedar rangkaian dosa dan pahala itu sentiasa berpanjangan tanpa kita sedari. Ianya sesuatu yang tidak dinampak tetapi dapat dirasa dengan mata hati.

#Panjang pula bebelan saya hari ini, sambil buat kerja rumah sambil menaip. Lama sudah saya tidak menulis panjang-panjang di blog. Apapun yang penting harap-harap lebih banyak kebaikan dari keburukan setiap apa yang saya tulis di blog ini. 


love,
monalizahrais








 

 


 

 






 

No comments:

Post a Comment