Thursday, January 12, 2012

X FILE

Mood : gembira+tenang,suspen
Skala mood (low,medium,high) : medium

Tajuk X File pula tu. Lain macam saja bunyinya. Sebetulnya saya sedang menyiapkan sesuatu... 'sesuatu' yang sangat saya gemari. Sepatutnya saya mulakan sejak tujuh tahun yang lalu tapi sayangnya belum ada kesedaran+dorongan+rangsangan, belum serius lagi.
Ternyata tidak mudah menyiapkan X File ini.
Apapun ianya perlu diteruskan juga. Harapan tu biasalah, semoga dimudahkan semua urusan...aminn....
kadang2 tu terfikir, bilalah mau siap ni tau..isk..isk..apa boleh buat..buat sajalah..
yg ptg jgn jadi betul2 X -FAIL, tidak ada kesudahannya, penuh misteri lagi!

Siang dan malam tidak pernah jemu silih berganti, walaupun cuaca sering berubah. Seharusnya saya pun perlu tegar menyiapkan aktiviti kesukaan saya itu.

Saturday, December 31, 2011

JALAN-JALAN


Cerita tentang anak perantau…
Lebih dari sepuluh tahun saya menjadi perantau di luar negeri Sabah. Tetapi itu bukanlah bermakna saya tahu semua perkara. Ada banyak lagi orang di luar sana yang punya pengalaman lebih berbanding diri saya sendiri. Apabila kita merasakan diri sendiri hebat, sebenarnya ada banyak lagi orang lain yang lebih hebat yang tidak kita ketahui.
Bayangkan kita sedang memandang sebuah bangunan yang masih dalam proses pembinaan. Bangunan itu waktu siapnya dinamakan ‘shopping complex’. Pastinya apa yang berlegar di fikiran saya tidak sama dengan orang lain, berdasarkan kepada latar belakang dan situasi individu pada masa itu.
Seorang tua yang selalu sakit dan memikirkan dia akan menemui ajalnya tidak lama lagi barangkali berkata seperti ini : “sempatkah aku melihat bangunan ini siap sepenuhnya?.”
Peniaga yang premisnya berhampiran dengan bangunan : “hmm…siap sahaja bangunan ini, sudah tentu duit aku juga bertambah, dan sudah tentu itu sesuatu yang bagus untuk bisnes aku, kalaulah aku dapat buka cawangan di bangunan itu nanti,” dan bla bla bla…imaginasinyanya semakin panjang di awang-awangan.
“hujung minggu bolehlah lepak sama kawan-kawan duduk di tepi tangga 'cuci mata',” fikir seorang remaja, agaknya lah.
Kaki shopping yang ‘fashionable’ tidak sabar untuk ‘menghulurkan derma’ sambil mengharap akan ada jenama yang terbaru dan terkini di pasaran.
Mungkin kalau Jackie Chan pula akan terfikir untuk membuat aksi stunt di bangunan tersebut. (amboi! Sampai ke situ pula kau fikir ya Mona)
Seorang yang menganggur dan sedang mencari pekerjaan ataupun seorang pekerja yang bercadang untuk tukar kerja akan ligat berfikir jenis kerja bakal diiklankan nanti.
Seorang pencuri ?, apa saja sama ada lampu, wayar, besi, emas selagi menghasilkan duit, duit, duit…
Mereka yang berada di pihak Majikan? Agamawan? Intelektual? Penguatkuasa?
Dan bermacam fikiran lagi kan. Setiap kali balik ke kampung halaman, telinga saya tidak sunyi dengan isu merantau ini. Biasalah tu ada yang negatif dan positifnya. Pendapat yang sedap didengar pastinya saya balas dengan senyuman tetapi kalaupun saya mendengar yang negatif, kena senyum jugalah. Takkan hendak berbalas kata berdebat yang tidak ada kesudahannya. Yang penting hasil yang dibuahkan, tidak kira apa jua jenis pekerjaan yang dilakukan. Dan…tidak gagal untuk menjadi seorang manusia.
Ingatan untuk diri saya sendiri, jangan cepat menghukum sesuatu tanpa tahu letak perkara yang sebenarnya. Apa yang dilihat oleh mata kepala kita tidak seratus peratus menggambarkan situasi sebenar. Spontan memang akan tercetus bermacam andaian di fikiran, tetapi selagi masih menari-nari di ruang fikir selagi belum disuarakan dan didengar oleh telinga orang lain yang akan menyampaikannya kepada yang lainnya pula…apa yang ada di otak kita itu tidak dapat dicuri dan didengar oleh orang lain, fail yang lebih selamat berbanding buah fikiran yang ada di laptop/notebook/pen drive/handset/blog/laman sosial dan yang sama jenis dengannya.
Ada yang bekerja, belajar, berkahwin dan mengikut pasangannya berhijrah ke tempat lain. Takkan selamanya kita kekal di satu tempat sahaja. Walau tegar sekalipun tidak mahu keluar dari lingkungan persekitaran yang sudah sebati, mendarahdaging dalam diri, sampai masanya akan berpindah juga ke alam lain. Itulah lumrah kehidupan.
Sememangnya rujukan tepat adalah Al-Quran dan himpunan hadis (yang sahih tentunya).
Dialah yang telah menjadikan bumi yang mudah kamu jalani (manfaatkan), maka berjalanlah ke segenap penjurunya dan makanlah rezekinya. Dan kepadaNyalah kamu akan kembali. (Surah Al-Mulk, ayat 15).
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah satu kaum mengejek kaum yang lain, kerana boleh jadi yang diejek itu lebih baik dari yang mengejek dan tidak pula wanita-wanita mengejek wanita-wanita lain, kerana boleh jadi wanita-wanita yang diejek itu lebih baik dari wanita-wanita yang mengejek. Dan janganlah kamu mencela diri kamu sendiri. Dan jangan panggil memanggil dengan gelaran yang buruk. Sebutan yang paling buruk selepas iman ialah fasik. Barangsiapa yang tidak bertaubat (sesudah ejek-mengejek itu), maka merekalah orang yang zalim. (Surah Al-Hujurat, ayat 11).
Wahai orang-orang yang beriman! Jauhi kebanyakan prasangka. Sesungguhnya sebahagian prasangka itu dosa. Dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain. Dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Apakah salah seorang kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? Tentu kamu tidak menyukainya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Mengasihani. (Surah Al-Hujurat, ayat 12).
Wahai manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang wanita. Dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu kenal-mengenal (hidup rukun damai). Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah ialah yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenali. (Surah Al-Hujurat, ayat 13).





Monday, October 24, 2011

DI SEBALIK TABIR

Hari ini, tengah hari ini saya masih ingin menceritakan...atau lebih tepat lagi meluahkan perasaan. Biasalah perempuan kan, sinonim dengan luahan perasaan. Tetapi seboleh mungkin saya cuba tapis dan saring setiap kata-kata yang bakal ditaip, kerana adanya banyak pihak yang perlu difikirkan perasaannya.

Pemergian bapa kami sebenarnya menyedarkan saya banyak perkara. Maksud saya perkara yang berkaitan dengan kehidupan, adat orang tua-tua, pandangan orang kampung, kisah sedih dan menyakitkan hati. Banyak peristiwa tersingkap yang membuatkan saya selaku anak sulung lapan beradik itu perlu berfikir dari setiap sisi sesuatu perkara tersebut.

Oh ya, ini bukan cerita tentang berebut harta dan sewaktu dengannya. Alhamdulillah kami adik-beradik dan ibu kami, ikatan kasih sayang dan persefahaman begitu teguh padu, tersimpul kukuh erat, sama seperti sewaktu arwah bapa kami masih hidup.

Dan namanya pun di sebalik tabir...apa sahaja yang berada di balik tabir itu biarlah dirungkaikan di tempat yang sepatutnya, hanya sesekali angin bertiup menyelak tabir rahsia...

Allah Maha Adil dan Maha Berkuasa. Mudah-mudahan keluarga kami sentiasa berada di dalam lindunganNya...Amin...



Wednesday, October 19, 2011

BELIAU

Isnin, 10 Oktober 2011 lebih kurang jam 1245, ayahanda kami Rais Bin Taki telah meninggal dunia disebabkan barah paru-paru.

"Janganlah kamu mencari BELIAU BARU, tapi kamulah yang berfikir macam beliau." Salah seorang rakan bapa kami bercakap seperti itu. Dengar macam biasa-biasa saja nasihat tu, tapi ada betulnya juga kan.

Alhamdulillah semua urusan dipermudahkanNya. Kami semua adik-beradik serta keluarga terdekat dapat berkumpul dan menatap wajah ayahanda tercinta kami untuk kali terakhir sebelum dikebumikan. Setiap yang hidup akan mati. DaripadaNya kita datang dan kepadaNya juga kita akan dikembalikan.

Bersedih itu normal cuma jangan keterlaluan, sebagai penanda aras kasih sayang. Kata-kata yang ditujukan lebih kepada diri sendiri. Memanjatkan doa dan memohon untuk kesejahteraan orang yang sudah meninggal dunia itu yang lebih utama.

Mudah-mudahan roh ayahanda kami dicucuri rahmat...amin...

Sunday, October 9, 2011

HARI DAN BULAN


sembilan.sepuluh. sebelas
09.10.11
tarikh hari ini

akan datang
sebelas.sebelas.sebelas
11.11.11

tahun hadapan yang berurutan nombornya
sepuluh.sebelas.dua belas
10.11.12 
dan
12.12.12

banyak lagi keunikan nombor di dalam kehidupan kita, selain dijadikan waktu untuk merakam peristiwa istimewa terutamanya perkahwinan, rasanya kaki nombor juga tidak terkecuali mengaitkannya dengan nombor ekor...

PENCURI



Awal pagi Sabtu semalam, sekitar jam lima pagi, kereta jiran sebelah rumah saya hampir dilarikan . Jiran yang lagi satu tersedar dan dialah yang menyergah sang pencuri. Tempat parkir keretanya terletak di hadapan rumah, berjarak cuma beberapa langkah sahaja. Dan tidak kelihatan dari jalan utama.

Tapi kalau sudah namanya pencuri, dia pun buat 'homework' juga sebelum mencuri. Bonet kereta terbuka kemas dan pintu di bahagian pemandu juga terbuka luas. Pencuri membawa bateri untuk menghidupkan kereta jiran. Kereta jiran ini sebenarnya 'sakit', lebih banyak tersadai daripada digunakan.

Bayangkan kalau kereta elok...

Kawasan kejiranan saya ni memang cepat sunyi menjelang malam. Mungkin pencuri menyangka suasana ini peluang terbaik melakukan kegiatannya itu. Tetapi dia silap seperkara, penghuni di kawasan ini bangunnya awal. Seawal 4 pagi sudah terdengar suara air di bilik air.

Tidak terkecuali kaki internet - saya dan suami serta jiran yang menyergah pencuri itu, juga termasuk kategori lambat tidur. Mata masih terang walau embun sudah mula menitis.

Lagi satu faktor tarikan...rasanya berkaitan dengan aktiviti seharian jiran-jiran yang berniaga makanan dan hasilnya dapat dilihat melalui kecil besar rumah mereka yang layak dipanggil kediaman selesa. Sejak hari pertama saya dan suami menyewa di kawasan ini, jiran memang selalu mengingatkan tentang pencuri.

Setelah saya fikir-fikir...menjelang sesuatu perayaan memang akan terdengar cerita berkaitan pencuri. Desakan hidup @ suka-suka @pun entahlah. Pencuri saja yang tahu kenapa dia berbuat demikian.

Semangat kejiranan masih menebal di kawasan ini, mengingatkan saya kampung halaman mak bapa kita kan.

Oh ya, gambar di atas tu sekadar hiasan...



Thursday, October 6, 2011

LUAHAN RASA

Kalau diikutkan hati yang kadang-kadang nakal itu, (ya kah?) apa saja yang dirasa akan diluahkan di blog ini. Tetapi kita tidak boleh buat sesuka hati kan?. Hampir setiap hari saya akan menulis meluahkan apa yang terbuku di hati. Bermacam cerita, tetapi luahan rasa yang sejujurnya saya akan tulis di tempat lain.

Maknanya apa yang ditulis di blog ini hanya cerita yang tidak akan menyinggung perasaan sesiapa sahaja yang membacanya. Mungkin ianya bukan jaminan 100% tidak bersangkut paut dengan orang lain, tetapi seboleh mungkin saya cuba dan cuba untuk mengelakkan hal yang seperti itu.

Manusia, memang tidak terlepas dari kekurangan dan kelemahan. Walaupun begitu, kelebihan yang diberikan perlu dimanfaatkan untuk menampung kekurangan yang ada. Jaringan sosial terutamanya laman muka buku memungkinkan kita untuk meluahkan rasa dengan cara yang tercepat, di hujung jari dan ianya pantas tersebar di ruang maya tanpa sempadan.

Alam maya yang  nampak ghaib tetapi silap percaturan bahananya lebih besar berbanding realiti kita berhadapan dan bersua muka. Kebaikan dan keburukan laman sosial bagaikan bergerak seiring, hanya perlu memilih laluan mana yang disenangi. Pemikiran sesuatu yang sangat kompleks. Setiap orang memiliki corak berfikir yang tersendiri.

Tahap pendidikan dan pengalaman hidup akan membentuk corak berfikir tersebut. Melihat laman muka buku rakan-rakan kita...bermacam cerita dan aneka rasa bukan?. Pelajaran ada di mana-mana bagi mereka yang tahu menggunakan pandangan, sama ada pandangan mata kasar mahupun pandangan mata hati.

Mudah-mudahan kita sentiasa berada di jalan yang lurus yang diberkatiNya, terlepas dari segala bentuk apa jua kejahatan di muka bumi ini meliputi kejahatan yang nyata ataupun yang tersembunyi...