Saturday, December 31, 2011

JALAN-JALAN


Cerita tentang anak perantau…
Lebih dari sepuluh tahun saya menjadi perantau di luar negeri Sabah. Tetapi itu bukanlah bermakna saya tahu semua perkara. Ada banyak lagi orang di luar sana yang punya pengalaman lebih berbanding diri saya sendiri. Apabila kita merasakan diri sendiri hebat, sebenarnya ada banyak lagi orang lain yang lebih hebat yang tidak kita ketahui.
Bayangkan kita sedang memandang sebuah bangunan yang masih dalam proses pembinaan. Bangunan itu waktu siapnya dinamakan ‘shopping complex’. Pastinya apa yang berlegar di fikiran saya tidak sama dengan orang lain, berdasarkan kepada latar belakang dan situasi individu pada masa itu.
Seorang tua yang selalu sakit dan memikirkan dia akan menemui ajalnya tidak lama lagi barangkali berkata seperti ini : “sempatkah aku melihat bangunan ini siap sepenuhnya?.”
Peniaga yang premisnya berhampiran dengan bangunan : “hmm…siap sahaja bangunan ini, sudah tentu duit aku juga bertambah, dan sudah tentu itu sesuatu yang bagus untuk bisnes aku, kalaulah aku dapat buka cawangan di bangunan itu nanti,” dan bla bla bla…imaginasinyanya semakin panjang di awang-awangan.
“hujung minggu bolehlah lepak sama kawan-kawan duduk di tepi tangga 'cuci mata',” fikir seorang remaja, agaknya lah.
Kaki shopping yang ‘fashionable’ tidak sabar untuk ‘menghulurkan derma’ sambil mengharap akan ada jenama yang terbaru dan terkini di pasaran.
Mungkin kalau Jackie Chan pula akan terfikir untuk membuat aksi stunt di bangunan tersebut. (amboi! Sampai ke situ pula kau fikir ya Mona)
Seorang yang menganggur dan sedang mencari pekerjaan ataupun seorang pekerja yang bercadang untuk tukar kerja akan ligat berfikir jenis kerja bakal diiklankan nanti.
Seorang pencuri ?, apa saja sama ada lampu, wayar, besi, emas selagi menghasilkan duit, duit, duit…
Mereka yang berada di pihak Majikan? Agamawan? Intelektual? Penguatkuasa?
Dan bermacam fikiran lagi kan. Setiap kali balik ke kampung halaman, telinga saya tidak sunyi dengan isu merantau ini. Biasalah tu ada yang negatif dan positifnya. Pendapat yang sedap didengar pastinya saya balas dengan senyuman tetapi kalaupun saya mendengar yang negatif, kena senyum jugalah. Takkan hendak berbalas kata berdebat yang tidak ada kesudahannya. Yang penting hasil yang dibuahkan, tidak kira apa jua jenis pekerjaan yang dilakukan. Dan…tidak gagal untuk menjadi seorang manusia.
Ingatan untuk diri saya sendiri, jangan cepat menghukum sesuatu tanpa tahu letak perkara yang sebenarnya. Apa yang dilihat oleh mata kepala kita tidak seratus peratus menggambarkan situasi sebenar. Spontan memang akan tercetus bermacam andaian di fikiran, tetapi selagi masih menari-nari di ruang fikir selagi belum disuarakan dan didengar oleh telinga orang lain yang akan menyampaikannya kepada yang lainnya pula…apa yang ada di otak kita itu tidak dapat dicuri dan didengar oleh orang lain, fail yang lebih selamat berbanding buah fikiran yang ada di laptop/notebook/pen drive/handset/blog/laman sosial dan yang sama jenis dengannya.
Ada yang bekerja, belajar, berkahwin dan mengikut pasangannya berhijrah ke tempat lain. Takkan selamanya kita kekal di satu tempat sahaja. Walau tegar sekalipun tidak mahu keluar dari lingkungan persekitaran yang sudah sebati, mendarahdaging dalam diri, sampai masanya akan berpindah juga ke alam lain. Itulah lumrah kehidupan.
Sememangnya rujukan tepat adalah Al-Quran dan himpunan hadis (yang sahih tentunya).
Dialah yang telah menjadikan bumi yang mudah kamu jalani (manfaatkan), maka berjalanlah ke segenap penjurunya dan makanlah rezekinya. Dan kepadaNyalah kamu akan kembali. (Surah Al-Mulk, ayat 15).
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah satu kaum mengejek kaum yang lain, kerana boleh jadi yang diejek itu lebih baik dari yang mengejek dan tidak pula wanita-wanita mengejek wanita-wanita lain, kerana boleh jadi wanita-wanita yang diejek itu lebih baik dari wanita-wanita yang mengejek. Dan janganlah kamu mencela diri kamu sendiri. Dan jangan panggil memanggil dengan gelaran yang buruk. Sebutan yang paling buruk selepas iman ialah fasik. Barangsiapa yang tidak bertaubat (sesudah ejek-mengejek itu), maka merekalah orang yang zalim. (Surah Al-Hujurat, ayat 11).
Wahai orang-orang yang beriman! Jauhi kebanyakan prasangka. Sesungguhnya sebahagian prasangka itu dosa. Dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain. Dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Apakah salah seorang kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? Tentu kamu tidak menyukainya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Mengasihani. (Surah Al-Hujurat, ayat 12).
Wahai manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang wanita. Dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu kenal-mengenal (hidup rukun damai). Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah ialah yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenali. (Surah Al-Hujurat, ayat 13).





No comments:

Post a Comment