Wednesday, March 28, 2018

SEBELUM DAN SELEPAS - EDISI MAKAN MINUM TIDUR

Assalamualaikum…
(Ini siaran tertunda, baru petang ini dapat di upload di blog)


Hujan gerimis di luar rumah sudah berhenti, berganti cuaca cerah sekarang. Pagi tadi bangun, sejuk amat, rasa malas menguasai diri ikutkan hati hendak berlingkar saja sepanjang hari, tapi kalau diikut sangat perasaan tu… hmmm apa kerja pun tak siap jadinya, rasa lapar sekejap sekejap lapar, lepas makan beberapa jam kemudian lapar lagi, penangan hujan agaknya. Hujan dan lapar berpisah tiada – ayat kegemaran saya. Ditambah lagi menghadap baca group makan-makan di fb tu sah-sah lapar sepanjang masa.


M*******p sentiasa memanggil-manggil minta dibelek disiapkan cepat, ternyata melayan mood taipsudahkannya tidak mudah, ada cabaran yang tersendiri. Sentiasa berlegar di ruang fikir, siang dan malam. Seperti serangga kecil terperangkap dalam balang kecil, sentiasa mencari jalan keluar. Iringan doa saya sepanjang masa – semoga semua urusan saya dipermudahkan, diberikan ilham, ilmu pengetahuan, kesihatan fizikal dan mental yang cemerlang. Seterusnya ‘tutup’ balang kecil itu akan terbuka sedikit demi sedikit… dan serangga kecil itu akan  dapat terbang bebas. Ok, ok sudah… singgah blog sekejap untuk lapor diri di bulan May 2017.


Sebelum dan selepas (edisi makan-minum-tidur). Membawa maksud cara makan-minum-tidur saya bermula di Sabah dan setelah saya bermastautin di sini – Klang, Selangor. Beza memang berbeza. 19 tahun di Sandakan, Sabah dan sekarang memasuki tahun ke 17 di Selangor/KL.
Untuk memudahkan perjalanan/pemahaman cerita, saya pick up beberapa main poin. Guna bahasa mudah, ringan ala-ala karangan budak sekolah rendah.


@cili, kicap, sos, belacan@


Sandakan – My family hanya makan cili padi yang ditumbuk sendiri, letak air atau cuka. Tidak ada cili kering, cili merah atau cili hijau dalam campuran masakan. Tak pernah beli pun. Banyak guna kicap, sos membawa maksud sos tomato. Resepi sambal belacan kami – belacan, cili padi, garam, ajinomoto dan jus asam jawa ditumis sehingga pekat. Tidak ada masakan bertajuk ‘masak merah’ atau asam pedas atau apa sahaja masakan yang berkaitan dengan cili kering, cili merah atau cili hijau. Malah cili padi itu kami sebut lada padi atau lada. No sebutan cili, hihihi… apa-apa makanan yang ‘bersifat’ berwarna kicap/gelap adalah sedap dan warna merah adalah sesuatu yang sangat ganjil. Dan… kami suka makan kari. Kari ayam/kari daging dan cicah kicap sangat sedap!


Malaya (sebutan kebiasaan kami tentang Semenanjung Malaysia) – berbelas tahun duduk di sini,  tentunya ada banyak pengaruh terhadap selera makan minum saya. Ianya jadi terbalik, pada kebanyakan waktu. Saya sering dan agak gemar mengguna cili kering, cili merah dan cili hijau dalam masakan yang saya masak.


Sambal belacan saya lebih bervariasi dan lebih luas – saya guna beberapa resepi hanya untuk sambal belacan. Basic belacan, bawang merah, bawang putih, garam gula – kemudian dipelbagaikan sama ada campuran tomato dan cili merah/cili biasa atau gabungan cili dan jus limau atau ikan bilis. Selalu masak merah, sambal cili, asam pedas, masakan berasaskan warna merah. Kurang guna kicap.

@telur dan sayur@


Sandakan - Yang paling saya ingat, makan telur tidak boleh perah limau, ini peraturan makan arwah bapa kami. Telur tidak boleh seiring dengan limau. Entah apa sebabnya. Zaman itu jenis didikan orang tua kita hanya boleh menurut tanpa banyak soal. Tidak boleh bertanya. Hanya perlu mengiyakan.


Sayur perlu dimasak sehingga lembut. Saya kurang senang dengan ini, saya tak suka sangat sayur lembik. Tapi kita diam-diam sajalah. Semasa duduk di asrama, isu sayur ini menjadi debat antara warden dan sebilangan ibu bapa pelajar, sampaikan warden terpaksa ‘berceramah’ menjelaskan kenapa sayur di dewan makan perlu dimasak sekejap saja.
Malaya – banyak ulam, sayur tertentu dimakan mentah. Zaman study dulu, housemate saya peminat ulam cicah budu. Setakat timun dan taugeh saya larat lagi nak menelannya, tapi yang lain ambik masa untuk tekak saya terima.


Tapi campuran kerabu dalam nasi kerabu yang selalu saya beli… saya boleh terima. Mungkin formasi lauk pauk bergabung dengan kerabu itu yang membuatkan saya mudah menerimanya. Formasi kegemaran saya – nasi biru + solok lada + daging bakar + telur masin + kerabu sayur + sedikit budu dan kuah sambal yang lemak-pedas-manis + sambal ikan/serunding.


@gunting vs pisau@


Sandakan – tidak ada gunting dapur di dapur emak saya, segala-galanya menggunakan pisau/parang.

Saya balik kampung, beli gunting dapur siang ikan dan gunting cili kering. Pandangan my mom, maksud saya cara pandang dia tu melihat ulah saya siang ikan dan gunting cili kering, adalah sesuatu yang… agak ganjil dan sedikit ‘menakutkan’ hahaha…beberapa hari selepas itu gunting dapur yang saya beli itu sudah hilang. Entah dihilangkan secara sengaja atau terrrhilang… no komen hihihi…(saya rasa saya tahu apa sebabnya *jom senyum*).

Di dapur saya di Klang ini, sewaktu saya menggunting sayur kangkung (bahagian batang kangkung yang semacam straw minuman itu), saya tersenyum sendiri teringat reaksi my mom.


@ayam vs ikan@


Sandakan  - Alhamdulillah dan syukur sangat-sangat… my parents mengajar kami makan minum sihat, eat clean. Momen terbaik dan kekal dikenang sepanjang hayat. Mereka contoh terbaik. Makanan tiruan, segala macam datuk nenek moyang jajan hanya kami kenali ketika bersama-sama rakan sebaya di sekolah, tapi my parents tidak pernah menggalakkan kami makan benda-benda begitu.


Kami makan ikan, ketam udang sotong kerang-kerangan lebih banyak berbanding ayam. Seafood yang dipukat dijala sendiri oleh arwah bapa, terjamin kesegaran dari laut terus ke kuali, tanpa ais, tanpa bahan pengawet. Dan percuma. Cara masak yang sangat sihat dan mudah – bakar, rebus kosong/serai begitu saja. Diregukan dengan sambal belacan atau air asam. Makan dengan nasi panas pergh! menyengat kau sedap amat. Kami adik-beradik jarang sakit, kalaupun sakit cepat sangat baiknya. Mungkin asbab makan minum yang terjaga dan air tangan kasih sayang seorang ibu.


Menu ayam sesuatu yang sangat istimewa, hanya muncul di Hari Raya dan majlis perkahwinan. Menu utama dan sedap – masak kicap dan masak kari. Kepak ayam panggang, sekali sebulan arwah bapa akan beli ini setiap kali gaji. Dapatlah seorang 1 kepak. Berharga 50sen/pc ketika itu.


Pertama kali saya makan KFC ketika umur 16 tahun. Ketika saya dan kawan-kawan ‘merasmikan’ biasiswa yang baru masuk. Masa tu saya rasa KFC tak lah sedap sangat, biasa-biasa saja pun. Mungkin sebab tunas rasa saya sudah sebati dengan sumber protein dari seafood.


Waktu remaja, saya duduk asrama, dalam seminggu ada beberapa kali menu ayam – ayam kicap, nasi ayam, kari ayam. Berselang seli menu ikan. Tapi tetap tidak dapat mengubah kebiasaan saya terhadap ikan. Harga ikan/seafood lebih murah berbanding harga ayam.
Ketika itu saya dan family ada satu kepercayaan, menu ikan termasuklah ikan kering, udang kering adalah makanan orang miskin seperti kami, sebab itu kami kurus sentiasa, dan menu ayam khusus untuk orang-orang kaya yang gemuk.


Kadang-kadang arwah bapa beli ikan di pasar, biasanya dia akan beli ikan saiz besar, kemudian sampai rumah dia yang akan menyiang ikan itu. Amat jarang dia membeli ikan kecil-kecil. Zaman remaja saya, jarang sekali saya menyiang ikan, sebab arwah bapa selalu/suka buat benda ni. Saya just masak saja. Setiap kali saya balik kampung dan kebetulan ada ikan besar… saya akan suruh adik lelaki yang siang ikan.(setelah ketiadaan arwah bapa)


Malaya – ikan lebih mahal berbanding ayam, tapi sekarang harga ikan dan ayam lebih kurang sama  harganya, sejak bermulanya zaman GST, penghapusan subsidi gula minyak dan yang segarisnya.


Kami suami isteri sanggup bangun awal sebelum jam 5 pagi pergi ke pasar besar Meru, Klang beli stok lauk ikan, udang, sotong dan ketam. Stok lauk seminggu. Tak menahan makan ayam hari-hari, sedangkan pasaraya terdekat dengan rumah lebih dekat berbanding pasar besar, tapi sanggup ke pasar besar. Pilihan makanan laut lebih berbaloi-baloi dari segi kesegaran  dan harga yang ditawarkan.


Sentiasa ada rindu di hati teringat-ingat kesegaran seafood yang arwah bapa saya bawa balik dari laut. Kesegaran seafood dan cara masak yang saya nikmati sewaktu zaman kanak-kanak dan remaja saya itu sekiranya ‘di forward’ pada zaman ini… di atas meja restoran, bukankah itu kelas makanan mewah?


@manisnya gula@


Sandakan – kami terbiasa makan nasi berlauk kemudian sekadar minum air kosong. Tidak ada air manis. Kecuali hadir di majlis kahwin kenduri kendara di kampung itu lain ceritalah.
Mula-mula datang Malaya saya mengambil masa bertahun-tahun menerima makan nasi berlauk kemudian minum air manis. Peringkat permulaan saya biasakan diri dengan minuman ais lemon teh. Dan saya selalu hairan macam mana orang lain boleh makan nasi berlauk lawan dengan minuman nescafe tarik/milo/susu…


Saya pernah makan nasi panas dan tomyam campur. Kemudian saya terminum minuman yang bercampur susu. Maaf cakap, beberapa minit kemudian saya termuntah.
Sehingga sekarang, selepas makan nasi berlauk, saya hanya serasi dengan minuman sitrus – limau/lemon/air kosong atau air kelapa. Selain itu saya akan rasa mual. Selepas ‘tergelintir’ seketika – maksud saya, saya pernah melalui zaman ketagihan gula/minuman makanan manis untuk beberapa waktu sehingga akhirnya paras gula
dalam darah saya mencecah 11 mmol, kemudian saya reversed diet makan minum puasa bekam sehingga gula dalam darah mencecah paras selamat.


Alhamdulillah sekarang, ketagihan gula/ benda-benda manis itu sudah dapat diatasi. Bukannya saya tak sentuh langsung makan minum yang manis-manis, cuma bahagian ketagihan itu sudah hilang.


@garam gula vs garam ajinomoto@


Saya balik kampung tahun lepas kebetulan dapat berhari raya haji di sana. Masak rendang saya just letak garam gula. Langsung tak letak ajinomoto. Tiba-tiba salah seorang adik saya bertanya tentang ini. Dia perasan saya tak letak ajinomoto. Sebab kami sudah terbiasa masakan garam ajinomoto.
Tapi di sini, kadang-kadang saya masak letak garam ajinomoto atau garam gula, mana-mana pun boleh.


@kunyit vs asam jawa@


Asam jawa adalah nadi utama masakan ikan, ayam dan daging versi emak saya. Saya tak suka sangat asam jawa dan perasaan itu terzahir selama saya duduk di Selangor/KL ini. Saya goreng/bakar ikan lumur kunyit dan garam, langgar peraturan memasak emak saya – tidak semua masakan ikan ayam daging saya letak asam jawa, paling ringan pun saya letak cuma sedikit atau sekeping asam keping.


Adik saya hairan melihat saya goreng ikan lumur kunyit dan garam, dia bertanya kenapa saya tak buat macam emak biasa buat? Saya jawab, minyak cepat kotor/hitam dan tak sedap. Tapi masak asam pedas boleh pula tekak saya terima, mungkin sebab bergabung dengan kepedasan cili tu.


@sarapan pagi@


Mee goreng kicap, pisang goreng, kuih kering (seakan roti puri) dan lempeng (kami panggil tumpi-tumpi). Ini sarapan kebiasaan kami di rumah bergabung aroma kopi pekat emak. Sejak duduk KL/Selangor saya jumpa ‘sepupu jauh’ nasi kuning, iaitu nasi lemak. Dan sekarang saya dan suami peminat nasi lemak berlauk. Dalam seminggu sekurang-kurangnya sekali saya akan masak nasi lemak berlauk lengkap aksesori ikan bilis, kacang tanah, telur, sambal, timun atau sayur dan lauk pauk pilihan.



@pasar@


Ini cerita zaman bujang berkisar tahun 2005. Kisah lama yang diceritakan semula disini. Dapur menjadi lebih dekat dengan saya setelah berpeluang bekerja hampir setahun di pasar besar. Buat kerja kerani membawa ke supervisor. Memulakan kerja seawal jam 3 pagi dan berakhir seawal tengah hari atau lewat petang. Timbang ayam seawal jam 3 pagi, kemudian kami bersegera menyiapkan tempahan pelanggan tetap dan tak tetap. Tidak ada istilah cuti. Hari-hari kerja beb, dan gaji tak banyak mana pun. Tak sampai pun seribu ringgit. Tiada epf socso.


Bermula 3 pagi membawa ke 7 pagi, kami seperti lipas kudung, banyak tempahan perlu disiapkan masa ini, pandai-pandailah adjust masa atau curi masa untuk solat Subuh. Sebab pelanggan kami terdiri daripada peniaga kantin sekolah, penjaja tepi jalan dan pasar malam, makcik jual kuih muih tradisional, catering, pemilik restoran. Puncak tempahan pada waktu cuti sekolah dan perayaan sebab waktu ini ada banyak majlis kahwin, akan ada caterer tempah ayam dan daging dalam skala besar.


Waktu itu sekilo ayam purata RM 4.50 ke RM 5 sekilogram (harga pasar). Paling tinggi pun di bawah RM 6. Peniaga yang beli/tempah ayam/daging dalam skala besar kebiasaannya dapat diskaun 10 sen ke 20 sen sekilogram. Untuk special request contohnya 100 pcs ayam bulat perlu dipotong potongan tertentu/daging 50kg potong dadu/nipis…peniaga perlu bayar deposit untuk elakkan kerugian di pihak kami sekiranya tempahan dibatalkan.  


Di sini saya menghadap segala macam bentuk dan bau rempah ratus masakan, akrab dengan wangian santan, beras, tepung, bawang atau berkenalan dengan bahagian daging yang tak pernah saya dengar sebelum ini – tenderloin (daging batang pinang), chuck tender… ayam potong 4, 8, 12, potong kecik-kecik dan segala macam bahan kering dan basah yang ada di dapur dan peti sejuk kita.


Bahagian menyeronokkan – melalui senarai bahan-bahan yang perlu disediakan untuk customer, kami suka meneka resepi yang mereka buat. Contoh, ada seorang pakcik yang akan datang beberapa kali seminggu, dia order ayam potong 4 beberapa beg (dalam satu beg ayam ada 10 pcs ayam bulat), laici tin, gula, sirap ros, daun pandan, lada hitam. Pakcik ini berniaga pasar malam. Menu nasi ayam bakar dan air sirap.


Santan beku, santan cair, kelapa parut untuk peniaga kuih muih dan nasi lemak. Mesti dihantar di rumah sebelum 7 pagi. Kalau lambat dia akan bising.
Ada seorang kakak ini order ayam potong 8, dia berniaga nasi lemak ayam berempah di tepi jalan. Yang paling saya ingat, dia bagi petua nak sedapkan tomyam katanya letak batang sup yang dipotong kecik-kecik. Dan sedikit taburan daun ketumbar katanya, yang lain saya tak ingat, sudah lupa.


Sebenarnya ada banyak resepi dan rahsia masakan yang peniaga kongsi dengan kami, tapi itulah masa itu saya masih bujang, single available, agak kebudak-budakkan dan tak kisah sangat banyak benda. Sekadar melayan karenah pelanggan kedai yang ramah, apa-apa yang diceritakan kepada saya masuk telinga sebelah kemudian keluar di telinga yang lagi satu, hahaha…facebook pun tiada masa tu. Agaknya kalau sudah ada fb masa tu, mungkin ada gambar selfie saya ketika timbang ayam. Disudahi dengan hashtag #timbang ayam 3 am, #kerja pasar kerja halal, agaknya aduilah terlebih sudah.


Di Sandakan saya sering ikut arwah bapa ke pasar. Fungsi utama saya ketika itu – menjadi ‘security guard’ di tepi pasar Sandakan. Menjaga barang-barang makanan yang sudah dibeli sementara arwah bapa mencari ikan di dalam pasar. Dilarang ke mana-mana. Tunggu sampai arwah bapa siap beli ikan. Zaman sekarang kita tak boleh dan tak dapat buat begitu dekat anak-anak kita, lain benar zaman sekarang berbanding tahun 80-an dulu. Faktor keselamatan.


Selama saya menunggu arwah bapa shopping ikan, saya akan baca berulang-ulang ayat terjemahan berkaitan menipu timbangan di satu sudut pasar. Peniaga ikan yang paling hampir dengan tempat saya berdiri tu…mata dia sentiasa ‘sakit’, tak sudah-sudah berkelip-kelip kenyit mata aduh, gatal! Sebaik saja arwah bapa sampai, sakit mata peniaga tu dah baik dah, tak adanya kelip kenyit, tiba-tiba normal.


@tradisional vs hipster@


Selera saya dan suami jenis tradisional, tak layan langsung menu-menu yang sudah dimoden hipsterkan – donut, roti canai segala macam kuih muih, makan minum yang diwarnakan, biarlah kami kekal tradisional. Zaman berbeza, selera juga berbeza dengan kebanyakan generasi millenium sekarang. Kami ini generasi sebelum ledakan IT info di hujung jari. Dan sekarang sedang menuju zon old school.


Bermula tahun 2000 saya datang ke KL/Selangor, dari zaman bujang sehingga berumahtangga… saya sudah puas merasa aneka makan minum di luar sana. Sekarang amat mudah mencuba buat resepi masakan kegemaran/eksperimen di dapur sendiri. Godek saja resepi di smartphone itu. Selesa memasak sendiri, berusaha untuk eat clean, back to basic. Sesekali kami makan di luar, cuma dari sudut teruja itu sudah agak kurang. Kita menjadi pemilih, hanya makan di tempat tertentu.  


Saya teringat pengalaman makan di p***a h*t beberapa tahun sudah. Kami suami isteri teruja untuk makan udang masak tempura sekali pakej sup cendawan, spageti, roti dan minuman bergas. Total kos menghampiri angka RM50. Sampai rumah rasa tak puas hati, menyesal pula ke sana. Tak patut sungguh, udang tempura tu indah nama dari rupa. Sudahlah 6 ketul udang saja, sebesar jari pula tu, entah di mana silapnya bancuhan tepung tempura konon…berminyak-minyak jadinya.


Sekarang ini yang paling western kami makan, cukuplah sekadar KFC dan chicken chop, diiringi nasi. Hahaha…nampak sangat kampungnya. Tak kisah kampung pun kampunglah, janji bahagia. Kitaran yang sentiasa berulang, kerja, makan minum, bayar bil-bil, pergi ke pasar beli stok lauk pauk, dan beberapa perancangan kehidupan untuk masa hadapan… alaaa… sama macam orang lain juga.


@tidur@


Semasa masih bermastautin di Sandakan… tidur saya jenis tidur awal bangun awal. Kitaran kehidupan yang sederhana.
Di sini KL/Selangor – kalaulah Batman itu memang benar-benar wujud, sebahagian daripada makhluk manusia, mungkin saya akan teruja berjumpa dengannya sambil bertanya… “Boleh kita bersaudara? Adik-beradik angkat, mungkin, kalau Mr. Batman tak kisah.”  Selalu sangat kita tidur lewat atau bergadang sepanjang malam.
Selain baju kelawar (baju tidur) adalah baju kegemaran kebanyakan daripada kita.


Anehnya, setiap kali saya balik ke kampung halaman, spontan saya akan tidur awal,mengantuk yang tak dapat ditahan-tahan, tapi di sini, melihat jam baru 10 malam pun mata rasa segar dan minda pun set begini – awal lagi ni, sambil menghadap tv.


@masa@


Duduk KL/Selangor masa terasa bergerak pantas, laju. Sehari seakan beberapa jam dan seminggu seperti hanya beberapa hari. Kadang-kadang tersilap tarikh dan hari, menyangka hari ini hari Selasa misalnya, rupa-rupanya dah Jumaat. Entah sibuk ala-ala menteri agaknya.


Beza memang berbeza di kampung halaman… sungguhpun matahari sejam awal terbit berbanding di sini, Alhamdulillah saya menikmati setiap saat, jam yang berlalu… ada masanya terasa masa bergerak sangat perlahan. Mungkin sebab sekarang kami bermastautin di KL/Selangor mencari rezeki di sini, balik ke kampung halaman sekali sekala memang tujuan bercuti ‘bonding time’ bersama family…tu yang rasa nyaman je, tak ada tekanan hendak kejar itu ini. Makan minum tidur sembang bersama family, berjalan-jalan di hujung kampung sebelah menikmati laut atau turun ke bandar Sandakan… pun nampak laut.
Menikmati ‘angin’ yang berbeza. 



love,
monalizahrais
Bt.3 Jln Kapar, Klang
Selangor
6 Mei 2017 Sabtu




No comments:

Post a Comment