Monday, April 20, 2015

KONGSI RESEPI KONGSI ILMU - JANGAN KEDEKUT

Assalamualaikum...

35`C, suhu hari ini, sekarang ini di Jalan  Kapar, Klang mengikut smartphone saya. Panas kan, baru 35`C tu.
Boleh rasa bahang panas matahari, jom minum lebih kerap untuk kesihatan kita yang lebih baik.
Terbayang-bayang pula air kelapa muda di seberang jalan tu, godaan...

Ok, terus kepada tajuk di atas. Di Facebook sahaja, bertimbun-timbun resepi, carilah apa sahaja resepi roti, nasi, kuih muih, kek, manisan dan yang segaris dengannya, semua ada. Suka hati kita nak pilih yang sesuai ikut citarasa masing-masing.

Malah ada rakan fb lelaki yang turut sama 'share' resepi di wall fbnya. Meriah memang meriah, sama naik meriahnya seperti isu semasa yang lain. Fb saya pun macam stor resepi sudah, 'share' saja lebih, buatnya entah bila hahaaa...
 Sebenarnya begini ceritanya... ada satu member group whatsapp dia kerja dengan orang perseorangan jual sayap ayam panggang.

Kami bertanya resepi, tapi katanya bos belum bagi resepi lagi, kecuali kalau kerja lama dan ikhlas. Bos cuma bagi bahan dan kawan saya itu hanya menjual sahaja.
Bukan sesuatu yang ganjil lebih-lebih lagi bagi seorang peniaga makanan untuk merahsiakan resepi makanan istimewa mereka. Alasannya untuk mengelakkan persaingan, dan itu juga salah satu cara supaya pelanggan tetap hanya membeli makanan daripada mereka, seterusnya keuntungan bisnes pun bertambah.

Di sekitar Klang, saya melihat sayap/kepak ayam panggang hanya dijual oleh Sabahan. Tapi sayangnya tidak semua kawasan perumahan ada peniaga sayap ayam panggang. Yang terdekat dengan kami hanya di Sungai Pinang itupun kena tunggu pasar malam hujung minggu, kalau teringin sangat memakannya. Yang lain ada di Bukit Tinggi. 

Kata kawan saya lagi, bos mereka itu memang monopoli bisnes sayap ayam panggang di beberapa tempat dan capaian keuntungan sehari ribu-ribu katanya. Seronok di dengar tapi dalam masa yang sama saya rasa terkilan juga (saya bukan peniaga).
Maksud terkilan yang saya nyatakan dari sudut WARISAN. Ya, warisan makanan itu. Resepi yang hebat, digemari ramai orang sekiranya dirahsiakan lama-kelamaan resepi itu akan pudar dan hilang ditelan arus masa. Ramuan itu akan berubah sedikit demi sedikit sehingga hilang ramuan yang asli yang asal yang dirahsiakan itu.

Zaman saya kanak-kanak, arwah bapa saya setiap kali terima gaji peneroka, dia akan membeli sayap ayam panggang untuk kami, dapatlah seorang satu. Sebulan sekali kami akan makan sayap ayam panggang. Harganya 50 sen satu, sekitar era 80-an sehingga 90-an. Sekarang standard price RM 1.50 ke RM 2 setiap satu. Rasa sayap ayam panggang itu masih saya ingat sehingga sekarang... tetapi belum pernah lagi saya jumpa rasa yang sama di mana-mana tempat saya beli sayap ayam panggang walaupun penjualnya warga Sabah.

Jadi, apa maksudnya itu? Ini menunjukkan ramuan sayap ayam panggang pakcik yang selalu arwah bapa saya beli itu sudah pupus atau tidak tersebar secara meluas resepinya atau... dirahsiakan. Mungkin diturunkan kepada generasi seterusnya, cuma lambat laun ianya akan berubah sedikit demi sedikit ramuan itu kerana sudah tentu si penerima resepi tadi akan dipengaruhi faktor sekeliling... kenaikan harga kos untuk ramuan vs untung yang diperolehi. Adakah berbaloi atau tidak mengekalkan ramuan yang sama atau perlu ubahsuai/tolak tepi sebahagian bahan yang digunakan.

Contoh lain, untuk menguatkan hujah saya. Ada satu program masakan di tv, misi pengacara itu menjejak resepi tradisional, mencari mereka yang pakar tentang makanan yang hampir pupus ditelan ombak dunia moden. Pengacara itu berjumpa dengan seorang pakcik membuat dan menjual mee 100% kaedah tradisional. Di situlah rumah pakcik itu berhampiran dengan kilang kecilnya dan kedai tempat dia berniaga mee. 

Usianya sudah lanjut, katanya hanya menunggu masa untuk 'pergi' bila-bila masa sahaja. Ditanya oleh pengacara itu kenapa pakcik itu sanggup memilih kaedah ini walaupun mesin membuat mee sudah dicipta. 
Jawab pakcik tu lebih kurang macam ni - dari usia kanak-kanak sehingga sekarang hanya tinggal dia seorang sahaja yang masih bertahan dengan kaedah tradisional yang rumit itu. Warisan dari orang tuanya. Proses membuat mee bermula jam 3 pagi sehingga lewat tengah hari. Tidak ada orang muda yang sanggup meneruskan pekerjaan ini malah anaknya sendiri pun tidak berminat. Dia hanya ingin membuat mee sehingga akhir nyawanya, itu sahaja.

Di dalam interview itu, ditanya rahsia ramuan mee yang dibuatnya. Pakcik itu mengatakan tidak ada apa-apa rahsia, mungkin kaedah tradisional yang digunakannya penyebab mee itu lebih segar dan sedap berbanding kaedah membuat mee menggunakan mesin. Dan yang menariknya... dulu-dulu ketika harga barang masih murah, dia menggunakan TELUR ITIK sebagai salah satu ramuan mengenyalkan mee namun begitu disebabkan sekarang semua barang naik harga, pakcik tu tiada pilihan terpaksa beralih menggunakan TELUR AYAM sebagai salah satu ramuan dalam pembuatan mee. 

Kan... faktor semasa menyebabkan ramuan asli itu berubah. Pengacara itu agak terkejut, tidak menyangka TELUR ITIK pernah digunakan sebelum digantikan dengan telur ayam. Saya sendiri pun baru tahu tentang TELUR ITIK  itu. 

Contoh lain yang dekat dengan kita - ketupat tradisional vs ketupat segera. Sekiranya tidak ada usaha dokumentasi ketupat tradisional (nasib baik ada, yang terpantas capaian di youtube berlambak cara-cara membuat ketupat tradisional guna daun kelapa) mungkin kita pun terkejut mendengar cerita tentang ketupat tradisional. Ok, cerita contoh sudah siap dan saya perlu U-turn ke dalam cerita sayap ayam panggang,  @_@

  Sayap ayam panggang Sabah ini kategori street food/makanan jalanan. Bukannya terhasil seperti KFC yang sentiasa berkembang maju dan terus melebar 'sayapnya' di seluruh dunia. Tidak semua yang menjual sayap ayam panggang sekarang sedap rasanya, malah ada yang keras dagingnya atau tak rasa pun ramuannya.

Ops! sorry, terlebih terus terang pula. Semalam, hari Ahad saya cuba buat resepi puding raja/royal puding yang asalnya adalah sajian istana. Melalui carian di blog-blog masakan... resepi asal dari istana itu sudah boleh dinikmati rakyat biasa dengan tersebarnya resepi, antaranya melalui buku masakan bertajuk Air Tangan Tengku Puan Pahang.

Sekarang sebaran ilmu/resepi puding raja mudah didapati di hujung jari sahaja. Malah ada yang bisnes jual puding raja dan hasilnya, laku keras.. Ilmu yang tersebar lebih berkat... dapat membuka pintu rezeki yang lain malah cuba bayangkan! Rangkaian pahala yang diperolehi sentiasa berpanjangan antara yang mengajar dan diajar, inilah contoh ilmu bermanfaat yang diamalkan.

Saya sendiri sudah terbayang-bayang INSYAALLAH balik raya nanti... saya hendak buat puding raja  bersama family saya di kampung.
Kita respect kepada blogger masakan di laman maya yang sudi berkongsi resepi mereka. Bukan mudah menulis resepi, upload gambar tetapi semuanya dikongsi percuma. Sesekali saya letak resepi bergambar di blog, hendak menyusun kata-kata pun adakalanya tunggang terbalik, maklumlah bukan chef.

Sekiranya kita ada ilmu bermanfaat, jangan kedekut berkongsi resepi. Rezeki Allah amatlah luas siapa tahu ilmu yang kita kongsikan menambahkan lagi rezeki yang kita ada sekarang. Rezeki tidak semestinya menjelma dalam bentuk wang ringgit sahaja, boleh jadi rezeki melalui kesihatan diri yang bebas penyakit, dijauhkan bencana dan dipermudahkan pelbagai urusan seharian.

Saya menunggu dan berharap satu hari nanti akan ada 'otai' sayap ayam panggang yang berpengalaman dalam bisnes ini sudi berkongsi rahsia resepi secara meluas contohnya muncul di program-program pagi di kaca televisyen kita. Reminder me atau beritahu saya sekiranya anda ternampak mereka di kaca tv, hehehe....

Di facebook, saya lihat mereka yang tayang gambar makanan sambil menyatakan resepi dan mempersilakan kita 'share' ramai sungguh peminat mereka, macam artis. Beza memang berbeza daripada yang sekadar tayang gambar makanan sahaja. Yang buat bisnes makanan tapi beritahu juga resepinya... saya lihat bisnes mereka semakin 'maju' semakin bertambah rakan online. Yang bisnes makanan tapi tak share resepi kurang sikit meriahnya berbanding yang share resepi tadi. 
Yalah bisnes online tentunya diukur melalui respon, komen, like yang diberikan dapat memberitahu gambaran kasar di mata kita bisnes mereka maju atau suam-suam kuku.

Semua di atas sekadar pendapat peribadi saya sahaja, di mana lagi hendak menyatakan pendapat panjang x lebar x tinggi x dalam mengikut acuan sendiri kalau bukan di blog sendiri. Kita bebas berbeza pendapat, kerana kita sememangnya berbeza antara satu sama lain, mencari musuh jauh sekali.

love,
monalizahrais
Klang,selangor
20 April 2015
Isnin 






 

 




2 comments:

  1. yup. sayang sebab terlalu berahsia..sesuatu yang baik dah tak boleh di kongsi bersama. tapi hati2 juga admin. mungkin ada sebab resepi tu di rahsiakan/.. tempat saya pernah kena. dia letak benda kotor. sebab tu sedap sangat.

    [Jemput ke blog saya untuk tips Kerja Part Time Online]

    ReplyDelete