Assalamualaikum...
Malam minggu tiba-tiba rajin update cerita di blog. Cerita yang biasa-biasa mungkin luar biasa atau ada info berguna kepada orang lain. Kita update masakan telur dadar misalnya kedengaran biasa kepada mereka yang sering masuk dapur tetapi mungkin tidak kepada mereka yang tak pernah masuk dapur. Samalah macam masak nasi, saya melihat nasi yang ditanak atas dapur gas atau cara tradisional atas dapur kayu bagi saya itu bukan sesuatu yang ganjil kerana saya pernah melalui detik sukar dalam hidup di masa lalu, tetapi mungkin ianya satu 'penyeksaan' terhadap adik bongsu saya yang lahir sahaja sudah ada bekalan air dan elektrik, masak nasi pun tak reti, haha... goreng telur sahaja terkial-kial.
Ok, fokus kepada tajuk di atas. Lihat diari kejadian di bawah, saya cuba cerita seringkas mungkin.
DEMAM - 10/3/2015, suami saya demam kuat, menggigil, badan panas seperti kita dekat dengan api tapi katanya sejuk yang teramat. Suami minta selimut berlapis-lapis siap lapis toto lagi adeiii (jangan ikut petua ini). Bermula selepas Maghrib sehingga melewati tengah malam. Ditambah lagi di luar rumah hujan lebat,kilat dan guruh sedang 'bertarung', sangat-sangat merisaukan saya, hanya kami berdua dan yang terbayang di kepala sekiranya keadaan suami bertambah teruk, call teksi. Tapi dengan cuaca hujan lebat selebatnya seakan tidak mahu reda... mahukah pakcik teksi membawa kami ke hospital? Atau pakcik teksi juga sudah diulit mimpi indah? Doa dan tawakal mengiringi perasaan gundah gulana saya malam itu. Alhamdulillah melewati 2 pagi, suami masih demam tapi sudah tertidur, menggigilnya sudah reda, hanya sesekali meracau, mengigau. Suami saya kalau sakit memang macam tu stailnya.
Esoknya kami ke klinik swasta - Poliklinik Khoo & Quay di Klang, suami minta suntik tapi doktor beritahu, dia hanya boleh bagi ubat sahaja, tidak boleh suntik kerana kerajaan tak benarkan untuk kes demam. Maklum kes denggi di Selangor agak runcing, rasanya anda pun tahu tentang ini.
Doktor nasihat makan ubat dulu kalau demam berulang segera ke klinik kerajaan cek darah. Ok, suami saya makan ubat dan Alhamdulillah demamnya baik.
DEMAM - 16/3/2015, suami demam lagi macam demam di atas, bezanya kebetulan kami bertiga dan tidak hujan, adik saya datang ke rumah bercuti. Kali ini demamnya bermula sebelum Maghrib sehingga keesokan harinya. Kali kedua ini saya tekad tidak akan selimutkan dia yang tebal-tebal dan berlapis seperti yang sebelumnya, saya teringat pengalaman demam anak-anak rakan saya di group whatsapp dan pengalaman emak ketika malaria, tidak elok selimutkan begitu ; berlapis- lapis sebab panas demam tu terperangkap di dalam badan pesakit, sebab tu kalau kanak-kanak demam panas sangat, kadang-kadang sampai sawan dan pengsan.
Saya tukarkan baju suami, pakaikan dia baju sejuk dan seluar trek. Kemudian hanya selimut biasa sahaja sambil saya basahkan tuala lap badan dia, basahkan kepalanya. Dia menolak tapi saya tetap lap badannya dengan tuala basah, punyalah panas badan sampaikan air yang saya peras dari tuala setelah lap badan suami pun panas! Bayangkanlah, betapa panas badannya, rasa kesian pun ada tengok dia menggigil terketar-ketar tapi saya tetap lapkan badan terutama sekali dahi, sekitar leher, belakang dan dadanya.
Kebetulan suami saya ada sejarah malaria dan pernah masuk hospital ketika di Johor pada usia 20-an. Emak saya yang kebetulan ada sejarah malaria dan pernah admit wad, berkongsi pengalamannya dia direndam dalam air sejuk ketika dia sedang menggigil terketar-ketar, direndam selama 1/2 jam di hospital. Ketika itu jam 3 pagi katanya, selepas direndam kata emak tiba-tiba demamnya beransur surut dan sakit kepalanya juga hilang.
Sebab itu saya gigih juga lap badan suami walaupun dia terketar-ketar, Alhamdulillah demamnya masih ada cuma panasnya berkurangan dan nampak nyenyak juga dia tidur walaupun sesekali meracau dan mengigau. Hampir setiap jam saya bangun pegang dahi dan badannya untuk pastikan badannya tidak panas semula.
Esoknya 17/3/2015, suami sambil ditemani adik saya, ke klinik kerajaan dekat Klinik Anika, Jalan Tengku Kelana untuk cek darah, kemudian dia disuruh ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang. Hasil darah mendapati suami mendapat jangkitan kuman dalam darah.
Di hospital TAR, suami diperiksa darah sekali lagi dan X-Ray.
Kemudian suami disuruh masuk wad kerana menurut doktor ada banyak kuman dalam darah.
Mereka pergi klinik waktu petang berlanjutan sehingga malam di hospital TAR, lebih kurang jam 7.30 malam saya bergegas ke hospital setelah suami telefon saya, katanya dia disuruh masuk wad. Saya call pakcik teksi yang sering kami guna khidmatnya, direct ke hospital. Pakcik teksi yang cekap memandu, mahir selok belok jalan di Lembah Klang ini dan boleh dipercayai.
Ok, next.. cerita berkembang lagi :D, sampai di sana, suami menunggu giliran masuk wad, terlalu ramai orang demam, wad penuh kata nurse. Tunggu punya tunggu dan tunggulah jawabnya. Kebetulan malam itu suami rasa tak sedap badan seakan hendak demam, cepat-cepat dia maklumkan nurse dan suami ditambah air ubat (antibiotik) di bilik menunggu. Habis jugalah sepeket, Alhamdulillah demamnya tak jadi dan suami pun rasa lebih segar. Sebenarnya ada tempat untuk suami di wad, cuma keutamaan diberi kepada pesakit yang lebih teruk dari suami, ada yang menggigil, ada yang terpaksa disorong dengan kerusi roda malah diusung dengan katil pun ada! Suami secara zahirnya seperti orang sihat, ke sana sini merayau di sekitar hospital melayan bosan sama seperti saya dan adik saya.
Sehingga esok pagi suami saya tak dapat tempat di wad lagi. Saya dan adik menghabiskan masa makan minum di kantin, melayan internet dan tidur di kantin malam itu. Saya rasa serabut menunggu di kawasan laluan staf hospital dan bermacam ragam pesakit yang batuk, demam dan yang segaris dengannya. Tu pasal kami melepak di kantin hospital. (Eh, aku ni cerita ringkas atau nak buat novel?).
Esoknya, +- jam 7 pagi ketika hari masih gelap, saya dan adik berasak di perhentian bas untuk balik rumah. Suami ditinggalkan sekejap, saya bercadang hendak berehat tidur sekejap dan datang semula ke hospital selepas lunch. Sampai sahaja di rumah, terus 'tumbang' melayan penat semalaman tidur tak menentu di kantin hospital, sebenarnya tidur-tidur ayam kata orang, sekadar bersandar di kerusi dan seterusnya berbantalkan meja kantin.
Tengah hari selepas lunch ketika saya sedang bersiap-siap untuk ke hospital, suami call katanya tak perlu datang, dia duduk wad sekejap sahaja dan dibenarkan balik petang itu juga.Cek darah dan X-raya sekali lagi. Menurut doktor suami hanya perlu makan ubat dan berehat di rumah, dia dapat MC satu minggu. Hari Isnin berikutnya iaitu 23/3/2015, suami disuruh cek darah sekali lagi di klinik berhampiran rumah kami, yang terdekat Klinik Desa Rantau Panjang, Klang.
Hasil keputusan darah suami kurang memuaskan. Ini membimbangkan kami, jangkitan kuman tu, tapi doktor tak nak bagi ubat katanya datang lagi 26/3/2015 untuk cek darah lagi.
Mendengar jangkitan kuman dalam darah, bimbang kami bukan alang-alang lagi, melalui dapatan di blog-blog dan laman web aduii... jangkitan kuman yang bab kencing tikus tu yang mengerikan kerana ada seorang penyanyi tu meninggal dunia disebabkan jangkitan kuman kencing tikus. Tapi suami saya tidak pula dinyatakan kuman apa yang ada dalam darahnya.
Dan saya pun gigihlah mencari alternatif di internet, godek sana sini sinun saya terjumpa petua SUP KETAM. Selama ini saya dengar sup ketam untuk mereka yang demam denggi sahaja. Jadi kesimpulannya bermula Isnin 23/3/2015 sehinggalah 26/3/2015 tu kami pun mencari ketam dan berlauklah kami sup ketam selama 3 hari berturut-turut.
Alhamdulillah pada temujanji 26/3/2015 itu, setelah cek darah suami disahkan sembuh dan tak perlu ulang alik lagi cek darah. Rasa bimbang yang mencanak sampaikan kami terfikir hendak balik kampung sekiranya sakit suami tak sembuh lagi... hilang begitu sahaja.
Alhamdulillah...
Sekiranya kamu demam on off, sekejap demam sekejap ok, jangan ambil ringan terus sahaja jumpa doktor, macam saya dan suami yang rakyat marhaein ini... tentunya hospital kerajaan menjadi pilihan. Menunggu berjam-jam? Bersabarlah kita kerana kita bukannya taraf VIP/VVIP.
Banyak pengajaran dan hikmah kepada saya dan suami ketika suami disahkan ada jangkitan kuman dalam darah. Sebelum ini asal sakit sahaja kami direct ke klinik swasta, faham-faham sajalah kan... servicenya cepat cuma bayarannya standby jer lah RM 50 ke RM 100 kalau setakat demam batuk selsema tu. Sesekali kita perlu ke klinik kerajaan juga kalaupun tak suka sangat menunggu, kerana ada part tertentu yang doktor swasta tak dibenarkan buat, misalnya untuk demam, mereka dimaklumkan tidak menyuntik pesakit sebaliknya terus ke klinik kerajaan untuk cek darah/tindakan susulan.
Hikmah lain suami saya sudah mula belajar makan sayur, minum sup, makan makanan seimbang dan berusaha mengurangkan bilangan rokok yang dihisap setiap hari. Tiada darah tinggi, tiada diabetis cuma dia dinasihatkan supaya berhenti merokok oleh doktor.
Semoga ada manfaatnya cerita di atas, siapa tahu bukan? Tentang sup ketam itu, saya tak pasti dari segi saintifik, cuma saya sering mendengar pengalaman dari mereka yang pernah melaluinya sahaja. Jadi, saya sekadar mencuba dan Alhamdulillah dengan izinNya, mungkin ia banyak membantu kesihatan suami saya ketika disahkan tentang jangkitan kuman itu. Allahu'alam.
Kita cuma berusaha, Allah juga sebaik-baik penyembuh.
love,
monalizahrais
Batu 3 Jln kapar,Klang
Selangor
29/3/2015
maaf bertanya... ketam tu ketam apa ya ?
ReplyDeletemasa tu kami bedal jer ketam bunga, beli kat pasaraya dekat rumah. sebenarnya saya pun tak sure sangat petua tu, sekadar mencuba sahaja ketika itu.
Deletesaya nk cuba jgk la.demam dh sminggu xmau lega..ada jankitan kuman dalam darah..
ReplyDeletesemoga cepat sembuh ...amin
Deletesaya nk cuba jgk la..doctor sahkan sy ada jangkitan kuman dalam darah..semoga sihat kembali.kesian kt ank masih kecil lg ni.
ReplyDeletesaya pun tak pasti sangat pasal petua tu... masa tu sebab dah bimbang sangat, kami try jer buat. bulan lepas (februari 2016)- masa mood perayaan cny, saya masuk wad demam kena jangkitan bakteria. sempat saya tanya sorang PPP tu... katanya petua sup ketam n jus betik khas utk denggi, yg demam jenis lain just makan ubat jer...apapun kita berusahalah untuk kesembuhan segera. tapi masuk wad bulan lepas tu suami saya ada buatkan saya sup ketam n sayur peria, wallahualam...
Deletesalam
ReplyDeletewalaikumussalam...
DeleteAyah sy warded jugak atas sebab jangkitan kuman dlm darah.. n sy rsa nk bgi dia mkn sup ketam.. tapi dia ada sakit gout.. ada alternatif lain x selain sup ketam
ReplyDeletesorry amiera farhana saya lambat respon... baru buka blog ni. alternatif lain saya tak tahu... tentang sup ketam tu, kami sekadar mencuba dan kebetulan sel darah putih suami kembali normal stlh makan sup ketam. wallahualam...
Delete