Assalamualaikum...
sumber gambar dari facebook
Pertama kali melihat rama-rama tin ini, ingatan saya segera terimbas kenangan di zaman kanak-kanak saya. Kreativiti yang dihasilkan daripada tin minuman ini seakan 'key' kepada momen tersebut. Ketika itu saya berumur lingkungan 5 atau 6 tahun, setiap kali orang tua kami pulang ke kampung halaman di Beluran terutama sekali di kampung halaman arwah bapa saya (Kg. Sg. Lidong), hiasan dinding di rumah arwah nenek sangat menarik perhatian saya.
Tapi bukan rama-rama, ianya berbentuk kelopak bunga, seakan bunga raya dan dicat dengan warna-warna bunga. Pada masa itu saya sangat hairan melihat perhiasan unik tersebut tergantung di dinding rumah arwah nenek. Saya sering tertanya-tanya ketika itu, siapa yang membuat 'bunga' tersebut? Dan tidak lukakah tangan si pembuatnya? Tapi tidak ada sebarang jawapan kepada persoalan saya itu disebabkan ianya hanya berlegar dalam ruang fikir.
Di usia dewasa ini, tentunya kita faham betapa kreativiti itu tidak mengenal medium tertentu untuk dibentuk. Bahan-bahan terbuang seperti ini yang selalunya dikutip dikumpul untuk dijual kitar semula, siapa sangka di mata mereka yang berjiwa seni ianya menjadi begitu indah sekali. Jimat kos, murah, hanya memerlukan sedikit tenaga untuk mengubah hiasan. Sekali pandang dari jarak jauh tentunya kita tidak menyangka ianya daripada tin minuman.
Dan sekali lagi saya tertanya-tanya, siapakah orang yang kreatif itu? Yang membentuk kelopak bunga raya daripada tin minuman di dinding rumah arwah nenek saya? Apa hiasan itu masih ada sehingga sekarang atau sudah lama menjadi bahan buangan semula? Kali terakhir saya jejak kaki ke kampung halaman arwah bapa tahun lepas, itupun di luar perancangan kerana ipar kepada arwah bapa saya meninggal dunia.
Banyak yang sudah berubah, adik-beradik arwah bapa yang dahulunya tinggal menetap dalam hanya satu rumah besar walaupun sudah beranak pinak, kini masing-masing sudah punya rumah sendiri. Sepupu-sepupu saya banyak yang sudah besar panjang, sama macam kami juga. Seakan kenangan itu baru berlalu semalaman. Seakan terngiang di telinga saya suara jerit pekik kami bermain berkejaran, bergaduh kemudian berbaik semula, alangkah indahnya kenangan.
# Agaknya lepas ni, siapa tahu mungkin saya yang akan membentuk hiasan daripada tin minuman untuk hiasan dinding di rumah kami? Siapa tahu kan?
love,
monalizahrais
No comments:
Post a Comment